Showing posts with label pengalaman. Show all posts
Showing posts with label pengalaman. Show all posts

Friday, March 28, 2014

(BAHAGIAN AKHIR) Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 8

Selesai STPM dan Menanti Keputusan
Selesai STPM masing-masing ingin mencari pekerjaan sementara untuk menunggu keputusan keluar. Aku sebenarnya setelah selesai STPM, aku mula menjadi kekok setiap malam di rumah. Ini kerana setiap malam bermula dari jam 8.30 hingga 11.30 malam aku mesti masuk ke bilik untuk mengulangkaji pelajaran. Perkara tersebut telah menjadi tabiat aku. Namun setelah habis STPM aku sudah tidak ada subjek untuk diulangkaji dan aku mula merasa kekok dengan situasi tersebut.
Pada waktu menunggu keputusan STPM aku masih lagi bermain ragbi, kali ini Mat Pi mengajak aku untuk menyertainya bermain pasukan Polis Kedah. Aku bersetuju dengan ajakan Mat Pi. Bila ada perlawanan kami akan menunggu di plaza tol Sungai Dua dan Van dari kontigen Polis Kedah akan mengambil kami di plaza tol tersebut. Aku yang pada waktu itu berjanggut tebal dan berambut panjang dan kembang seperti penyanyi alleycats menaiki van polis tidak ubah seperti penjahat yang baru ditangkap polis. Aku rasakan jika orang lain melihat kami dalam van polis pada waktu itu pasti akan menyangka yang kami ini banduan yang hendak dibawa ke balai polis. Sememangnya banyak pengalaman dan keseronokan bermain dengan pasukan polis kedah tersebut.
Mencari Kerja
Setelah beberapa lama tamat peperiksaan STPM dan menunggu keputusan, aku mula mahu mencari kerja. Satu hari aku bersama dengan dengan Faruqi, Ashun dan Nori pergi memohon pekerjaan di Carefour Seberang Jaya. Kami hanya membawa keputusan SPM dan tidak memberi tahu yang kami sedang menunggu keputusan STPM, ini kerana rata-rata industri pada waktu itu tidak mahu mengambil mereka yang sedang menunggu keputusan SPM bekerja kerana mereka tahu golongan ini hanya mahu bekerja untuk sekejap sahaja.

Dengan usia kami pada waktu itu sudah 19 tahun maka kakitangan pengurusan Carefour yang menemuduga kami tidak menyedari yang kami juga sebenarnya sedang menunggu keputusan tetapi bukan SPM sebaliknya STPM. Selang beberapa hari aku dan Faruqi diterima bekerja sebagai pekerja stor di Carefour Seberang Jaya. Namun Ashun dan Nori tidak diterima. Aku memulakan kerja di Carefour Seberang Jaya sebagai pekerja stor dibahagian minuman. Hari-hari kerja aku menyusun botol air minuman dan aku amat bosan dengan kerja tersebut. Terlintas difikiran aku jika aku tidak layak untuk masuk ke universiti nanti apakah aku akan jadi, dan apakah kerja yang akan aku buat dan adakah aku akan terus menyusun botol air ini sampai bila-bila.

Aku amat bosan dan langsung tidak ada minat untuk bekerja waktu itu. Tidak beberapa lama Nori pula diterima untuk bekerja di Carefour, tetapi dia dilantik sebagai pengawal keselamatan Carefour. Kami semua mengketawakan Nori kerana bekerja untuk jawatan orang tua (menteliti baru habis STPM). Ashun pada waktu itu telah mula bekerja menjaga kedai snooker di Bandar Perda. Aku hanya bekerja tidak sampai sebulan disitu dan aku berhenti. Selang beberapa minggu aku pergi bekerja di supermarket Sunshine di Sungai Rambai bersama Amar dan Wadi. Aku hanya bekerja 3 hari disitu dan aku berhenti. 

Tidak beberapa lama pula selepas itu pula, Mat Pi mengajak aku untuk kerja part-time di Shopping Complex Megamall, kerja aku kali ini adalah membungkus pakaian dalam wanita di kuanter bayaran. Pada mulanya memang perasaan segan dan malu menguasai diri, apabila aku seorang jejaka 19 tahun yang kelihatan gagah dan mungkin tampan perlu memegang dan membungkus pakaian dalam wanita dihadapan wanita-wanita yang ramai yang sedang menunggu untuk membuat bayaran, namun seperti pepatah Melayu "alah bisa tegal biasa". Kerja itu hanya part time untuk 3 hari pada setiap hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan selepas 3 hari gaji dibayar jadi aku rasa sesuai untuk aku yang mahukan kerja yang lebih santai. 

Sebenarnya aku memang malas untuk bekerja pada waktu sedang menunggu keputusan STPM, kerana bagi aku selepas habis STPM aku mahu berehat sepuas-puasnya dan tidur sepuas-puasnya bagi mengganti semula rehat dan tidur aku yang banyak tertangguh selama hampir 2 tahun belajar untuk STPM. Aku juga pada waktu itu membantu rakan aku menjual burger pada waktu malam. Aku lebih selesa untuk membantu rakan aku menjual burger kerana merasakan lebih santai.

Keputusan STPM muncul
3 ke 4 bulan STPM selesai akhirnya saat yang dinanti-nanti telah tiba. Hari pengumuman keputusan STPM 2004 akhirnya muncul jua. Memang berdebar-debar aku pada hari itu. Kerana sebelum keputusan STPM keluar aku memikirkan apa yang akan aku jadi sekiranya aku gagal untuk ke universiti. Cita-cita aku amat tinggi dan begitu mengharap untuk layak masuk ke universiti.

Aku dan rakan-rakan aku semua berjanji untuk bertemu di Nasi Kandar Irfanah dan pergi bersama-sama ke sekolah untuk mengambil keputusan. Sampai di sekolah kami bertemu dengan Amir, rupanya Amir telah terlebih dahulu mengambil keputusan. Dia dengan ceria memaklumkan yang dia mendapat keputusan yang baik. Langkah aku dan rakan-rakan aku semakin cemas untuk ke kantin sekolah. Ini kerana pengedaran slip keputusan STPM dilakukan di kantin. Aku masih ingat sewaktu aku menghampiri kantin, Cikgu Ooi yang selama ini cukup begis di sekolah menyambut kami dengan penuh senyum. Bagai tidak percaya Cikgu Ooi mengerti apa itu senyuman.

Aku pergi kepada guru kelas aku iaitu Cikgu Hayati, dia mencari slip keputusan aku dan menyerahkan kepada aku. Aku melihat keputusan STPM aku dan bersyukur aku tidak gagal dalam Pengajian Am dan subjek-subjek lain juga aku mendapat keputusan agak baik dan boleh dikatakan baik. Rasanya tidak perlu disebutkan keputusan penuh. Aku berasa lega dan aku sedikit yakin yang aku boleh masuk ke universiti. Begitu juga dengan rakan-rakan aku lain yang nakal sebelum ini. Keputusan mereka baik dan layan  untuk memohon masuk ke universiti. Cuma ada seorang dua yang mungkin bukan rezeki yang mana terkandas sedikit dalam Pengajian Am.

Memohon ke Universiti
Selang beberapa hari selepas keputusan STPM, tawaran permohonan ke universiti awam mula dibuka melalui sistem online UPU. Aku tidak tahu memohon kursus apa, tetapi aku memang meminati bidang saing sosial. Aku memohon kursus-kursus seperti Hubungan Antarabangsa, Sains Politik dan beberapa kursus perguruan di beberapa universiti awam seluruh Malaysia. Aku tiada bimbingan untuk memilih kursus di universiti pada waktu itu. Ini kerana dalam keluarga aku, aku lah orang pertama yang memohon masuk ke universiti.

Selesai proses memohon ke unversiti, aku dan rakan-rakan yang lain meneruskan rutin hidup kami seperti biasa seperti bermain snooker, lepak di kedai mamak dan ronda kesana-sana kesini. Kami rasakan itulah masanya kehidupan yang bebas dari sebarang tanggungjawab dan tidak perlu memikirkan sesuatu yang rumit. Girlfriend?? Memang aku dan majoriti kawan-kawan aku pada waktu itu tidak mempunyai girlfriend. Kami lebih mementingkan pertalian persahabatan daripada percintaan. Mungkin sebab itu perhubungan persahabatan kami kekal hingga hari ini, yang mana dari kecil kami telah bersahabat. Hanya segelintir kecil sahaja yang pada waktu itu terjerumus ke alam percintaan. Pada zaman persekolahan aku dahulu sesiapa yang mempunyai awek akan dikutuk di digelar "Mat Bunga". Hari-hari berlalu dengan pantas dan akhirnya keputusan ke universiti keluar.

Tawaran ke Universiti
Berita dalam televisyen telah memaklumkan bahawa keputusan tawaran ke IPTA akan dapat diketahui keesokannya. Semua kami berdebar, namun bila tiba harinya sistem online UPU masih lagi tidak boleh disemak dan tertera di laman web tersebut bahawa keputusan akan diumumkan pada hari berikutnya.

Tiba hari berikutnya, aku bangun dari tidur dan terus menghidupkan komputer Pentium II, windows 98 yang menggunakan talian internet Dailling Up TM1515 yang terdapat dirumah aku yang ayah aku beli melalui skim KWSP dibawah program "satu rumah satu komputer". Aku mengekses kepada internet dengan penuh debar. Aku masuk ke dalam laman web UPU dan memasukan nombor kad pengenalan aku. Selang beberapa ketika terpapar keputusan yang aku layak untuk masuk ke Universiti Sains Malaysia USM dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan.

Aku tidak tahu untuk berkata apa-apa pada waktu itu, hanya tersenyum dan aku memberi tahu kepada emak aku yang sedang menjahit pakaian, bahawa aku layak masuk ke USM. Emak aku tidak memberi respon yang banyak mungkin sebagai orang tua dia tidak faham erti layak masuk ke universiti, lagi pun aku pernah masuk ke politeknik sebelum ini. Mungkin emak aku memikirkan yang sama sahaja masuk ke politeknik dan universiti.

Walaupun aku seronok kerana telah diterima masuk ke USM tapi aku masih kurang jelas apakah itu kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan. Rupanya setelah aku belajar barulah aku tahu, itu adalah Sains Sosial (sosial itu maksudnya masyarakat) yang memang aku minat dan aku membuat pengkhususan atau pun digelar kursus Major dalam bidang Sains Politik dan Minor dalam Pengajian Islam. Di USM dalam bidang sains kemasyarakatan, pelajar boleh memilih sama ada untuk membuat pengkhususan berdasarkan kecenderungan sama ada sains politik, ekonomi atau antropolgi sosiologi pada semester kedua.

Kawan aku yang lain juga yang satu “geng jahat” sewaktu zaman sekolah dahulu juga ramai telah diterima masuk ke universiti. Mat Pi mendapat tawaran ke Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Sains Sukan, Amar mendapat ke Universiti Malaysia Sarawak dalam bidang komunikasi tetapi dia gagal menyesuaikan diri di Sarawak dan mengambil keputusan untuk berhenti dan menyambung pelajaran ke Uitm Shah Alam juga dalam komunikasi, Faruqi ke Universiti Utara Malaysia dalam bidang Hubungan Antarabangsa, Amir dan Jamil juga ke Universiti Utara Malaysia masing-masing dalam bidang sumber manusia dan pengurusan, Nori ke Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam bidang pendidikan sains sukan, Usop juga mendapat tawaran ke Universiti Sains Malaysia seperti aku tetapi dalam bidang komunikasi, Ling Waran ke Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang undang-undang. Bagi pelajar-pelajar perempuan yang aku tahu, Nurul mendapat tawaran ke Uitm Kangar dalam bidang pemasaran dan Silah ke Universiti Utara Malaysia dalam bidang pentadbiran perniagaan. Lain-lain budak perempuan tidak tahu perkembangan.


Sekarang bila terkenangkan kembali, kami tidak menyangka yang kumpulan pelajar nakal seperti kami semua dapat menyambung pelajar hingga ke universiti. Nakal kami bukan hanya bermula dari tingkatan enam tetapi dari tingkatan satu dengan kisah ponteng sekolahnya dan pelbagai lagi kenakalan. Jika dinilai semula sikap dan tingkah laku kami semua dari awal memang orang akan mengatakan kami tidak akan berpeluang seperti berikut. Namun kami berpegang kepada prinsip apa jua yang kita buat, kita mesti tahu siapa diri kita yang sebenar dan barulah kita tidak akan hanyut dan lupa diri. Senakal mana dan se "enjoy" mana pun kita, tetapi selagi kita tahu dan sedar yang kita itu adalah seorang pelajar maka kita perlu belajar kerana itu adalah tanggungjawab utama dan begitulah yang harus kita pegang dalam urusan-urusan lain dalam kehidupan kita hari ini dan akan datang.

Kejayaan Hari Ini.
Hari ini walaupun kami semua tidaklah sehebat elit-elit lain dalam masyarakat namun masing-masing dari kami semua telah memperolehi kejayaan yang jika dilihat dari kenakalan atau kejahatan kami dari dahulu ianya mungkin mustahil. Hari ini aku bergelar pensyarah di kolej swasta berprestij di Pulau Pinang yang bakal dinaik taraf sebagai kolej universiti, Amar bertugas sebagai perunding kewangan, Mat Pi kini menjadi guru sekolah rendah, Nori juga menjadi guru sekolah menengah, Amir kini pegawai kerajaan, Jamil eksekutif bank, Usop bertugas sebagai wartawan bersama TV9, Ling Waran kini seorang peguam, Ashun kini seorang programmer, Faruqi kini eksekutif PLUS Malaysia, Edreena kini menjadi Setiausaha Sulit Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan ramai lagi kawan-kawan aku yang lain juga boleh dikatakan semuanya mempunyai karjaya yang boleh dibanggakan. Kini hampir lebih separuh dari kawan-kawan aku sudah berkeluarga dan bakal berkeluarga dan ada yang bercahaya mata. Aku??? Insyaallah kalau ada rezeki..

Sekian, tamatlah sudah catatan dan rakaman pengalaman aku sewaktu belajar di tingkatan enam Bukit Mertajam High School. Kisah ini aku kongsikan untuk tatapan dan bacaan kepada sesiapa yang berminat. Sengaja juga aku rakamkan dalam blog ini, kerana jika pengalaman dan kenangan ini tersimpan disini ianya akan kekal hingga bila-bila selagi internet wujud di dunia ini berbanding jika aku simpan pengalaman dan kenangan itu hanya dikepala aku atau di dalam kertas. Mungkin lagi 20 atau 30 tahun akan datang, jika aku atau rakan-rakan lain yang terlibat dalam kisah ini terjumpa semula penulisan ini pasti akan membuatkan aku dan mereka tersenyum sendirian. 

Sekali lagi aku memohon maaf sekiranya terdapat bahagian-bahagian atau kata-kata dalam penulisan ini dari part 1 hingga 8 yang ada mengguris hati mana-mana pihak. Ini adalah penulisan jujur dari aku dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan jauh sekali untuk berbangga diri. Moga yang baik dari penulisan ini boleh dijadikan tauladan atau pembakar semangat kepada yang membaca dan buruk boleh dijadikan sempadan dan pengajaran. Terima kasih dan perhargaan yang tidak terhingga juga kepada semua guru-guru yang telah mendidik aku sewaktu aku di Bukit Mertajam High School dari 1998 hinggalah 2004 dengan penuh ikhlas dan tekun, sesungguhnya jasa guru-guru semua tidak dapat dan tidak termampu aku dan rakan-rakan balas. Sekali lagi terima kasih kepada sudi membaca. -TTK-



Di bawah adalah senarai penuh link-link dari part 1 hingga 8.

PART 1
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004.html

PART 2
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004_08.html

PART 3
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004_09.html

PART 4
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004_10.html

PART 5

PART 6

PART 7

Sunday, March 23, 2014

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 7

Hari-hari semua itu berlalu dengan pantas, yang pasti tetap pasti dan STPM muncul jua akhirnya….

Kawan-kawan aku dari kelas syariah mengambil peperiksaan terlebih dahulu iaitu subjek syariah. Kelas aku seminggu selepas itu iaitu subjek Sejarah Tamadun Islam jika tidak salah aku. Aku memang telah membuat persediaan dengan rapi untuk subjek sejarah. Habis lunyai semua buku-buku rujukan aku ulangkaji dan berpuluh esei berkenaan sejarah telah aku cuba buat. Tiba hari pertama peperiksaan semuanya berjalan lancar. Aku menjawab dengan tenang dan yakin walaupun soalan agak susah. Aku sudah tidak ingat tajuk soalan apakah yang keluar dalam subjek Sejarah Tamadun Islam tersebut tetapi aku masih yang yang soalan-soalan yang aku ulangkaji tersebut ada yang keluar dalam peperiksaan sebenar STPM.

Menjalani Peperiksaan
Aku masih ingat peperiksaan STPM untuk kertas yang aku ambil tidak berjalan secara berturut-turut. Satu hari cuma satu kertas sahaja cuma hari terakhir peperiksaan aku dan kawan-kawan aku terpaksa mengambil dua kertas dalam satu hari. Disebabkan jarak antara satu peperiksaan agak panjang, kami masih mempunyai masa untuk lepak bersama-sama pada waktu malam di Nasi Kandar Irfanah. Sememangnya di Nasi Kandar tersebutlah tempat kami selalu lepak setiap malam jika tidak ada apa-apa aktiviti. Cuma sekarang kami sudah tidak lepak disana setelah nasi kandar tersebut dibanjiri oleh pekerja dari Nepal dan Myanmar yang mana kebersihan mula tergugat.

Habis satu subjek ke satu subjek, Sejarah Tamadun Dunia dan Islam ke Pengajian Perniagaan kertas 1, Bahasa Melayu kertas 2, Sejarah Asia dan Malaysia, Pengajian Perniagaan kertas 2 dan hari terakhir peperiksaan ialah Bahasa Melayu kertas 1 dan hari terkahir Pengajian Am kertas 1 dan kertas terakhir untuk STPM 2004 ialah Pengajian Am kertas 2. Mungkin terdapat kesilapan dalam susunan jadual peperiksaan tersebut tetapi yang paling pasti dan aku ingat adalah kertas yang terakhir adalah Pengajian Am kertas 2. Ini kerana subjek Pengajian Am ini walaupun aku cukup minat tetapi kami semua melalui pengalaman yang cukup mencabar.

Pengajian Am
Sememangnya subjek Pengajian Am sangat-sangat ditakuti dan digeruni oleh semua pelajar-pelajar yang mengambil STPM. Ini kerana subjek Pengajian Am adalah sangat-sangat penting untuk melayakkan seseorang calon itu diterima masuk ke universiti awam. Aku sememangnya meminati subjek Pengajian Am terutamanya Kertas 1 iaitu “Kenegaraan” dalam Kertas 1 soalan-soalan akan berkisar berkenaan isu-isu politik semasa, ekonomi dan sosial disamping sistem pentadbiran Malaysia. Ya aku amat meminatinya. Dan aku mendapat A 4.00 untuk kertas tersebut. Tetapi kertas 2 sememangnya mencabar.

Aku kira aku sahaja yang mengalami masalah dengan kertas 2 Pengajian Am rupanya kawan-kawan aku yang lain juga sama. Biar aku ceritakan sedikit berkenaan format Pengajian Am kertas 2 yang aku ambil sewaktu zaman aku belajar tahun 2004 yang lalu. Hari ini format kertas tersebut telah berubah. Dalam kertas Pengajian Am 2 calon mesti menyiapkan dua esei, satu esei yang digelar laras sastera bahagian A dan satu lagi esei laras sains bahagian B. Laras sastera soalan lebih menjurus kepada isu-isu sosial semasa dan laras sains lebih menjurus kepada soalan yang berkaitan dengan sains dan teknologi. Bahagian C lebih kepada soalan teknikal iaitu memindahkan maklumat dan data dari bentuk artikel kepada bentuk carta samaada graf atau pun carta pai. Bagi bahagian D pula soalan lebih kepada menganalisis maklumat iaitu memindahkan maklumat atau data atau statistic dari bentuk jadual atau carta ke dalam bentuk esei.

Graf dan Carta Pai
Aku tidak mempunyai masalah untuk bahagian A, B dan D walaupun soalannya agak mencabar. Tetapi soalan bahagian C betul membuatkan aku malah rakan-rakan aku yang lain juga tergamam dan kaget. Ini kerana aku dan rakan-rakan aku dari aliran sastera agak lemah dalam soalan-soalan dalam bentuk teknikal dan pengiraan rumit. Kami lebih selesa dengan bacaan dan penulisan yang panjang berjela.

Seperti yang aku tulis dalam part 6, aku sememangnya tidak pandai dalam membuat graf dan aku telah benar-benar bersedia dengan soalan yang berbentuk carta Pai. Bukan aku sahaja yang lemah dalam membuat graf kawan-kawan aku yang lain juga begitu. Selalunya dan dari analisis soalan-soalan STPM dari tahun-tahun yang sudah, bahagia C akan mempunyai dua pilihan soalan. Satu soalan akan meminta calon membuat graf yang sesuai berdasarkan maklumat dan data yang diberikan dan satu soalan lagi akan meminta calon untuk membuat carta pia yang sesuai berdasarkan data dan maklumat yang diberikan. Dan calon akan diminta untuk memilih salah satu dari soalan tersebut.

Namum entah apa nasib kami semua STPM 2004 tidak lagi mengikut tradisinya dalam soalan bahagian C. Sebaik sahaja diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan untuk membuka kertas Pengajian Am 2 aku terus membuka bahagian C. Aku melihat soalan pertama bahagian C berbunyi “Sila sediakan graf yang sesuai untuk maklumat dibawah”. Aku masih tenang dan aku yakin aku akan memilih soalan kedua kerana pasti soalan kedua akan mengarahkan untuk membuat carta pai. Aku menyelak kertas soalan untuk melihat soalan kedua bahagia C. Apabila melihat soalan kedua bahagian C dunia aku seperti gelap serta merta dan seperti batu besar menghempap kepala aku. Berkali-kali aku membacanya dan tidak percaya apabila soalan kedua bahagia C berbunyi “Sila sediakan graf yang sesuai untuk maklumat yang terdapat di bawah”. Ini bermakna pada tahun 2004 soalan STPM bahagian C kedua-duanya mengarahkan calon membuat graf dan langsung tidak diminta carta pai.

Aku melihat kawan aku disebelah kiri dan dia juga menggeleng-gelengkan kepala, dikanan aku tingkap tiada sesiapa disitu, aku cuba sedikit menoleh kebelakang dan kawan aku disitu juga menggeleng-gelengkan kepala. Aku dapat merasai apa mereka semua sedang rasa kerana aku juga turut merasainya. Sudah tidak ada pilihan, selesai aku menjawab bahagian A,B dan D aku terpaksa gagahi jua untuk menjawab bahagia C. Ini kerana jika aku langsung tidak menjawab bahagian tersebut kemungkinan besar aku akan gagal. Masa tinggal lebih kurang 20minit. Dan sememangnya 20minit selalunya diperuntukan untuk membuat graf. Aku buat graf tersebut sekadar termampu walaupun aku tahu graf yang aku buat tersebut bukanlah tepat kerana calon perlu mengenalpasti jenis graf yang tepat berdasar soalan. Ya ada hampir berbelas jenis graf. Aku terus melakar graf hingga tamat masa peperiksaan. Aku sudah sugul pada waktu itu kerana kertas 2 membawa 60% markah dari keseluruhan. Apabila pengawas peperiksaan mengutip kertas terakhir tersebut aku hanya mampu berserah.

Tamat STPM 2004
Apabila tamat kertas Pengajian Am 2 tersebut bermakna tamatlah juga zaman kami semua sebagai pelajar-pelajar tingkatan 6 di Bukit Mertajam High School. Secara lazimnya pelajar-pelajar akan melompat kegembiraan dan ada yang menganggap sudah merdeka dengan tamatnya peperiksaan besar seperti itu. Tetapi bagi aku dan rakan-rakan aku merdeka kami dengan tidak sepenuh jiwa. Jiwa kami penuh resah setelah tamat peperiksaan kertas 2 tersebut. Sebaik melangkah keluar dari kelas tempat peperiksaan berlangsung suasana menjadi riuh-rendah dan bising. Riuh dan bising bukan kerana gembira peperiksaan telah tamat tetapi riuh kerana masing-masing mengeluh berkenaan soalan bahagian C Pengajian Am kertas 2. Beberapa orang rakan datang berjumpa dengan aku dan bertanya “Mirul soalan bahagian C dua-dua suruh buat graf kan?” aku dengan lemah semangat menjawab “ya, kalau soalan minta suruh buat carta pai, soalan akan sebut sediakan carta pai yang sesuai tapi dua-dua soalan tu minta suruh sediakan graf yang sesuai, kalau buat carta pai akan dapat 0”. Aku sebenarnya telah mendapat A penuh iaitu 4.00 CGPA dalam peperiksaan percubaan STPM. Bukan untuk riak tetapi sekadar berkongsi.

Tiba-tiba datang lagi seorang rakan dengan penuh yakin (tidak perlu disebutkan nama) memanggil-mangil nama aku dari belakang. “Mirul Mirul.. yang soalan kedua bahagian C memang kena buat carta Pai kan…??” Aku dengan tenang menjawab, “takda… dua-dua soalan tu kena buat graf” Dia tidak berkata apa-apa dan terus berlalu dan aku dapat merasakan yang dia telah silap menjawab dengan membuat carta pai.

Semua telah dilakukan, peperiksaan telah berakhir kini kami semua hanya mampu berserah tentang apa jua keputusan. Dan masing-masing berlalu meninggalkan tempat peperiksaan dan mungkin tidak akan kembali lagi ke situ.

Kenakalan Yang Terakhir
Setelah sampai di tempat kami meletakkan motosikal iaitu di belakang bilik seni. Masing-masing kami mengeluh dan risau berkenaan peperiksaan tadi. Ada yang sudah menjangkakan yang tidak akan dapat memasuki universiti dan ada yang mula bertanyan bagaimana untuk mengulang semula mengambil STPM.

Sambil-sambil bersembang kami dengan selamber menyalakan rokok dan menghisap dalam kawasan sekolah. Keadaan belakang bilik seni yang terlindung dan ditambah dengan suasana sekolah yang sunyi kerana sudah tidak ramai pelajar membuatkaan “line clear” untuk kami merokok. Najmi yang tidak pernah merokok cuba untuk merokok dan kesannya dia pening dan melelong haha.

Amar rupa-rupanya memiliki beberapa butir mercun bom. Dan memang tujuannya adalah untuk meletupkan mercun tersebut setelah selesai peperiksaan. Tetapi disebabkan mood setelah tamat peperiksaan tersebut agak muram jadi dia menangguhkan seketika niat dia tersebut. Namum setelah lama kami berbual disitu dan habis menghisap rokok Amar mengeluarkan sebungkus beg plastik kecil yang mengandungi beberapa butir mercun bola atau pun yang kami gelar mercun bom kerana bunyinya sangat kuat.

Setelah rakan-rakan lain melihat mercun tersebut semuanya seperti menjadi dirasuk keseronokkan untuk mengarahkan untuk Amar meletupkannya dalam kawasan sekolah. Kami agak cuai pada waktu itu kerana pengetua sedang berada dalam kawasan sekolah dan beliau berada di kawasan sekitar surau yang mana dalam setengah kilometer saja dari tempat kami berada. Kami meletupkan beberapa butir mercun tersebut dan leputan yang kuat tersebut telah mengejutkan suasana sunyi dalam kawasan sekolah. Turut sama terkejut adalah tuan pengetua.

Pengetua mengambil langkah pantas dengan melakukan Ops Tutup iaitu dengan mengarah pengawal keselamatan sekolah menutup semua pintu pagar sekolah bagi menghalang kami keluar dan senang untuk beliau menangkap kami. Hari terakhir disekolah pun kami masih melakukan masalah haha. Selesai semua letupan tersebut kami menghidupkan enjin motosikal untuk pulang beramai-ramai dan destinasi kami selepas itu adalah ke rumah Ain kerana dirumahnya ada open house dan dia menjemput kami datang.

Sampai dihadapan pintu pagar, pengetua telah sedia berdiri disitu. Dia memeriksa beg kami satu persatu bagi mengesan sampai yang mempunyai mercun dan mahu mengambil tindakan. Namum kami lebih bijak, pengetua gagal untuk menemui mercun tersebut Cuma Usop yang tidak bernasib baik. Ini kerana Usop menyimpan rokok dunhill 10 nya dalam beg sekolah. Pengetua memeriksa beg Usop dan menjumpai rokok tersebut. Fokus pengetua dari mercun telah beralih kepada rokok.


Usop dengan berani membantah kata-kata pengetua dengan mengatakan yang dia sekarang sudah habis sekolah dan dia boleh menghisap rokok. Pengetua meminta nombor telefon waris Usop untuk memaklumkan kepada ayah Usop. Usop member nombor telefon ayahnya kepada pengetua. Akhirnya pengetua melepas Usop setelah berbual dengan ayah Usop. Selepas itu aku bertanya kepada Usop apa yang dikatakan oleh ayahnya kepada pengetua. Usop mengatakan yang ayahnya member tahu pengetua yang memang ayahnya tahu yang Usop ini merokok dan membenarkan Usop merokok. Mungkin itu yang membuatkan pengetua mengangkat bendera putih.

Bersambung part 8

Saturday, March 22, 2014

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 6

“Selepas itu aku meneruskan sesi persekolahan seperti biasa, namum pelajar-pelajar perempuan di dalam kelas aku masih tidak berani menegur dan bersembang dengan aku. Kadang-kadang aku ketawa didalam hati melihat gelagat mereka yang seperti terlalu takut bila aku lalu disebelah.

Tinggal lagi 2 ke 3 minggu sebelum peperiksaan sebenar STPM bermula aku sekali lagi…”

Tinggal 2 ke 3minggu sebelum peperiksaan sebenar STPM bermula aku sekali lagi dijemput pengawas sewaktu di kelas. Aku kira kes aku tersebut sudah tamat rupa-rupanya pihak pendakwa telah membuat rayuan dan kes aku disebut semula. Kali ini aku dibawa terus ke bilik disiplin dan di bilik disiplin kakak dan adik lelaki Salwa telah sedia menunggu dengan keadaan marah. Aku ditengking oleh kakak Salwa di bilik disiplin dan dihadapan guru disiplin iaitu Cikgu Ooi dan seorang lagi cikgu disiplin perempuan yang aku tidak ingat nama sebenarnya tetapi kami hanya menggelarnya “Mama Bosan”. Cikgu Ooi dan Mama Bosan agak terkejut melihat kakak Salwa yang begitu marah pada waktu itu. Aku hanya tersenyum dan diam.

Cikgu Ooi cuba menenangkan keadaan dan berjanji kepada kakak Salwa untuk mengambil tindakan tegas kepada aku dengan sekurang-kurangnya menggantung aku dari sekolah. Mungkin pada waktu itu Cikgu Ooi dan dan Mama Bosan sudah tidak mampu mengawal keadaan dan Cikgu Ooi mengatakan akan membawa aku berjumpa dengan pengetua sekolah iaitu Cikgu Hj Tarmizi yang hari ini telah menjadi Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang.

Di Bilik Pengetua
Sampai di bilik pengetua aku melihat pengetua seperti agak terkejut kerana mungkin sekolah sebesar BM High School jarang kes-kes disiplin seperti itu dirujuk kepada pengetua kecualilah kes jenayah yang besar dan serius. Aku, Cikgu Ooi, Cikgu Mama Bosan, Salwa dan Kakak Salwa dijemput masuk kedalam bilik pengetua  dan duduk di sofa di bilik tersebut. Pengetua dengan tenang mengendalikan perbincangan a.k.a perbicaraan pada waktu itu. Tuan pengetua mengatakan yang beliau mempunyai pengalaman dan bidang kaunseling dan berpengalaman mengendalikan kes-kes sebegini.

Tuan pengetua berkata beliau akan menyelesaikan kes tersebut dan akan mengambil tindakan  bagi menyelesaikannya. Kakak Salwa sekali lagi bertegas dan mahu memastikan yang aku tetap akan dikenakan tindakan. Aku hanya diam sewaktu sesi tersebut kerana aku tahu seberat-berat hukuman pun tidak sampai aku akan digantung sampai mati.  Lebih kurang 20 minit sesi dalam bilik pengetua tersebut berlangsung, akhirnya Salwa, kakak beliau dan kedua-dua guru disiplin beredar dari bilik pengetua. Tetapi aku diarah oleh pengetua untuk tunggu sebentar, mungkin ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh Tuan pengetua kepada aku.

Memohon Maaf
Selesai mereka semua beredar tinggal aku dan pengetua sahaja dalam bilik tersebut. Lalu Tuan Pengetua membuka bicara, dialognya aku masih ingat dan berbunyi lebih kurang begini, Pengetua: “Hang pi kacau dia buat apa???”  Aku: “Mana ada saya kacau cikgu.. saya marah…” Pengetua: “Hang tau tak dalam dunia ni.. kalau laki bergaduh dengan perempuan orang mesti kata laki yang salah punya..” aku hanya terdiam dan tidak berkata apa-apa. Lalu Tuan pengetua menyambung ayatnya Pengetua: “Sekarang ni macam ni lah.. saya nak hang pi dalam kelas hang minta maaf balik kat semua orang yang terlibat.” Aku menjawab “ya takpa cikgu…”.

Sejurus selepas itu Tuan pengetua membawa aku ke kelas. Sepanjang perjalanan tidak henti-henti Tuan pengetua menyekolahkan aku. Sampai di kelas Tuan Pengetua dan aku berdiri dihadapan kelas. Tuan pengetua memulakan dengan ucapan ringkas yang penuh dengan kata-kata nasihat. Selepas itu aku diminta untuk membuat ucapan maaf dihadapan kelas. Aku dengan selamber membuat ucapan memohon maaf tetapi ucapan maaf aku secara umum. Selesai semua tersebut aku mengambil tempat duduk aku disebelah Saufi. Kelas berjalan seperti biasa.

Hari demi hari selepas itu aku menunggu tindakkan susulan dari pihak disiplin sekolah untuk mengeluarkan arahan hukuman menggantung aku dari sekolah. Tetapi hinggalah ke hari terakhir persekolahan tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadap aku. Maka kes tersebut terus senyap begitu sahaja. Tetapi pelajar-pelajar perempuan kelas aku sampai tamat sekolah pun masih tidak berani bersembang dengan aku. Aku tidak pasti samaada mereka takut atau menyampah tetapi ianya langsung tidak memberi kesan kepada aku.

Belajar Dengan Serius
Selesai peristiwa itu aku dan dan rakan-rakan aku terus menumpukan perhatian yang lebih serius kepada pelajaran. Memandangkan kejohanan ragbi peringkat sekolah semuanya telah selesai kami semua menumpukan perhatian kepada pelajaran. Namum setiap petang hari Khamis dan Jumaat aku dan Saufi tetap pergi ke Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan Padang Polo untuk berlatih Ragbi bagi mewakili Kelab Ragbi Penang All Blues dan pemilihan ke kejohanan SUKMA. Namum fokus kami terhadap pelajaran tetap tidak terjejas. Mungkin pengalaman aku semua ini membuatkan aku menjadi seorang insan yang lasak dan boleh bertahan dengan apa jua cabaran dan rintangan yang ditempuhi pada hari ini.

Guru-guru kelas aku terus bersemangat dan tekun mengajar kami. Setiap hujung minggu diadakan kelas tambahan percuma untuk kami semua. Atas kesungguhan dan keikhlasan melihat guru-guru aku mengajar, timbul minat dan cita-cita untuk aku menjadi seorang guru pada suatu hari nanti. Setiap malam seperti biasa dari jam 8.30 hingga 11.30 malam aku pasti akan mengulangkaji pelajaran tanpa henti. Walaupun pada waktu itu rancangan televisyen menghidangkan rancangan-rancangan tv yang menarik namum aku mengorbankan semua itu demi cita-cita aku untuk masuk ke universiti. Kerana aku sedar dengan membuat keputusan untuk mengambil STPM tiada jalan untuk aku berpatah balik dan aku perlu selesaikan dengan penuh jaya sama seperti slogan sekolah aku iaitu “Accomplish or Do Not Begin”.

Persiapan Terakhir Untuk ke STPM
Aku membeli soalan-soalan ramalan STPM Maktab Adabi yang dijual melalui pos. Aku jumpai iklan tersebut di dalam surat khabar dan terus aku pergi membelinya dengan wang pos. Aku bukanlah dari keluarga yang senang. Aku hanya anak seorang pekerja kilang, ibu aku merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Sewaktu aku mengambil STPM aku masih mempunyai dua orang adik lelaki yang masih bersekolah dan sudah tentu ayah aku memerlukan wang yang banyak untuk menyara pembelajaran adik-adik aku. Aku tidak pernah mengambil tusyen berbayar di pusat-pusat tusyen swasta yang banyak terdapat di bandar. Aku hanya pergi ke kelas tambahan yang dibuat secara percuma oleh guru-guru aku yang ikhlas mengajar. Pernah satu ketika aku mengalirkan air mata sewaktu menunggang motosikal pulang dari sekolah kerana aku tidak mempunyai cukup duit untuk membeli buku rujukan sejarah yang pada aku buku tersebut amat penting dan berguna.

Aku membeli sepaket kertas graf yang aku gunakan untuk membuat latih tubi dengan mencuba pelbagai jenis graf dan carta pai sebagai persediaan untuk subjek Pengajian Am. Dalam peperiksaan STPM subjek Pengajian Am amat penting sekali dan jika gagal dalam dan mendapat C- dalam Pengajian Am bermakna anda tidak akan layak terus untuk diterima masuk ke mana-mana universiti awam walaupun subjek-subjek lain mendapat markah A. Aku memang tidak pandai untuk membuat graf kerana pengiraannya agak rumit tetapi aku cukup cekap untuk membuat carta pai dan berpuluh jenis bentuk carta pai telah aku berlatih dan aku yakin sekiranya bentuk carta pai apa yang keluar dalam STPM nanti pasti aku akan dapat menjawab. Ini kerana selalunya dalam kertas 2 Pengajian Am bahagian B tidak salah aku akan ada soalan pilihan samaada untuk membuat soalan graf atau carta pai dan pasti aku akan memilih carta pai. Setiap malam sebelum tidur aku tidak henti-henti berdoa agar Allah memberi peluang kepada aku untuk masuk ke universiti kerana itulah cita-cita setiap pelajar yang mengambil STPM.

Dalam Kelas Masih Lagi Ceria
Walaupun STPM sudah semakin hampir, aku dan rakan-rakan aku masih lagi ceria dan nakal seperti selalu. Saufi yang sebagai ketua kelas masih tidak henti-henti dengan perangai gila-gilanya. Habis semua satu kelas diusiknya termasuklah dengan cikgu-cikgu menjadi mangsanya. Aku pada waktu itu selain rapat dengan pelajar-pelajar lelaki aku turut rapat dengan pelajar-pelajar perempuan India di kelas aku. Pelajar perempuan Melayu semuanya sudah anti aku atau mungkin truma dengan aku. Adrena Khor merupakan pelajar keturunan Sikh dalam kelas aku, dia boleh dikatakan pelajar yang agak cantik. Aku dan rakan-rakan aku yang lain seperti Jamil sering mengusik dia di dalam kelas. Begitulah perangai nakal dan gila-gila kami yang tidak pernah habis. Amir merupakan kaki tidur didalam kelas tetapi dia juga pelajar yang paling cemerlang. Mawi nakalnya luar biasa, Usop dengan dunianya yang sukar difahami. Zul rupanya sedang menjalin cinta dengan Wani dan hari ini mereka telah bergelar suami isteri dan dikuarniakan seorang cahaya  mata.

Hari-hari semua itu berlalu dengan pantas, yang pasti tetap pasti dan STPM muncul jua akhirnya….


Thursday, March 20, 2014

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 5

Semperna keputusan STPM 2013 yang diumumkan hari ini. Hati aku terpanggil untuk menyambung semula penulisan aku berkenaan pengalaman aku sewaktu di tingkatan enam yang terhenti pada part 4. Hampir 2 tahun lebih penulisan aku ini tergangguh.

Aku tinggalkan pembaca pada part 4 dengan mengatakan..

"Namum diwaktu beberapa bulan untuk kami semua menghadapi peperiksaan besar STPM, aku berhadapan dengan isu besar yang serius dan mungkin juga kelakar yang akan aku ceritakan pada bahagian seterusnya..."

Aku akan berkongsikan peristiwa tersebut dalam part ini dan mohon pihak yang terlibat dalam kisah ini jangan mengambil hati kerana ini semua kenangan yang dirakam hampir 10 tahun yang lalu.
Tinggal kurang daripada sebulan sebulan peperiksaan STPM berlangsung aku sudah jarang ke sekolah. Setiap petang aku dan kawan-kawan aku akan pergi bermain bola sepak di padang awam Taman Kota Permai. Pada petang itu Jamil telah memberi tahu aku bahawa susunan meja di dalam kelas telah diubah kepada bentuk U seperti ala-ala dewan rakyat di parlimen.

Aku yang mendengar berita tersebut terus menjadi bengang dan hot kerana bagi aku tindakan tersebut dilakukan dengan sesuka hati tanpa mendapat persetujuan majoriti. Aku bertanya kepada Jamil siapa yang mengarahkan meja-meja tersebut diubah sesuka hati. Jamil memberi tahu aku bahawa Salwa(bukan nama sebenar) and the geng. Aku sound kepada Jamil(nama sebenar) kenapa mereka tidak membantah dan Jamil memberitahu dia malas untuk bergadoh dengan budak-budak perempuan tu semua. 

Jiwa muda aku pada waktu itu sudah memasang niat hari Isnin ini aku akan lancarkan pemberontakan dan mengembalikan semula susunan meja tersebut kepada asal. Aku sanggup berkonfrantasi kepada sesiapa sahaja yang menentang.

Pagi Isnin tersebut aku datang ke sekolah niat aku tidak lain hanyalah mahu memecahkan ketidakadilan yang aku rasakan tersebut. Masuk ke kelas aku memerhatikan kedudukan meja yang disusun seperti mana yang Jamil ceritakan. Aku meletakkan beg dan pergi ke tapak perhimpunan kerana pada setiap hari Isnin perhimpunan sekolah diadakan. Selesai perhimpunan aku terus menuju semula ke kelas dan akan terus melancarkan pemberontakan tanpa mengharapkan sokongan dari mana-mana pihak.

Pemberontakan bermula

Masuk ke kelas aku terus bertanya kepada Silah, siapa punya idea yang mengubah semua susunan meja tersebut. Silah tidak menjawab malah mengangkat muka untuk melihat muka aku pun dia sudah tidak sanggup mungkin kerana muka aku pada waktu itu sudah cukup bengis. Wani dengan tenang cuba menerangkan kepada aku tentang susunan meja tersebut. Aku mendengar penerangan dari Wani tetapi aku tetap tidak bersetuju dan mahukan meja-meja tersebut disusun semula seperti asal. Aku tegas mengatakan yang tindakan mereka itu tidak betul kerana melakukan tanpa mendapat persetujuan dari seluruh kelas, malahan ketua kelas sendiri pun tidak tahu apa-apa berkenaan tindakan itu. Bagi aku ini jelas melanggar dan menyalahgunakan kuasa. 

Tiba-tiba satu suara perempuan memekik ke arah aku dengan kuat, "susun balik la kalau tak suka!!!" lebih kurang begitu pekikannya, suara tersebut adalah dari Salwa yang merupakan pemimpin kepada gerakan susunan meja tersebut. Aku yang sudah mendidih pada waktu itu terus meletup dengan pekikan tersebut. Aku membalas pekikan tersebut dengan menengking Salwa hingga mengejutkan beberapa kelas yang lain. Kawan-kawan aku datang menenangkan aku dan kawan-kawan aku dari kelas bersebelahan juga datang ke kelas aku mungkin kerana terkejut mendengar tengkingan aku yang agak kuat. Aku sudah tidak ingat apa perkataan yang aku tengkingkan pada waktu itu kerana otak aku sudah tidak boleh berfungsi dan hanya marah yang menguasai diri pada waktu itu.

Salwa yang terkejut dengan tengkingan aku tersebut lari meninggalkan kelas. Budak-budak perempuan yang lain terdiam membisu dan terkaku senyap tidak berkata apa-apa. Selang seketika selepas itu beberapa pelajar perempuan bangun dan menyusun semula meja-meja kelas seperti kedudukan asal. Ya,,, pemberontakan aku berjaya. Dan aku bersedia untuk menghadapi risiko dan kesan dari tindakan aku tersebut.

Selang beberapa lama Cikgu Suzi masuk kelas. Rupanya cikgu Suzi sudah sedia maklum apa yang terjadi dalam kelas sebelum itu. Mungkin telah ada pelajar yang memberitahu kepada beliau. Cikgu Suzi masuk ke dalam kelas untuk mengajar subjek Bahasa Melayu kertas 1. Setiba cikgu suzi di dalam kelas beliau cuba menenangkan keadaan kelas dengan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Satu langkah profesional yang harus dipuji. Aku masih ingat kata-kata cikgu Suzi yang menasihatkan jangan mengambil tindakan mengikut perasaan dan jika mahu membuat sesuatu keputusan perlu mendapat persetujuan semua pihak yang terlibat.

Sesi persekolahan pada hari itu berjalan seperti biasa tetapi dingin. Budak-budak perempuan kelas aku sepatah pun tidak berani menegur, bersembang jauh sekali bergurau seperti sebelum kejadian tersebut berlaku. Hanya Wani yang berani tegur aku dan pelajar-pelajar perempuan India. Rupanya pelajar-pelajar perempuan India dalam kelas aku tersebut juga tidak setuju dengan susunan meja tersebut tetapi mereka hanya mendiamkan diri. Ini bermaksud aku bukan keseorangan dalam melancarkan pemberontakan tersebut. Hinggalah tamat zaman sekolah pelajar-pelajar perempuan kelas aku tidak berani untuk bersembang dengan aku mungkin mereka amat truma dengan amukan aku hari itu.

Sampai kepada guru disiplin

Rupanya tindakan aku tersebut telah sampai kepada pengetahuan pihak berkuasa bilik disiplin. Aku telah dipanggil oleh Cikgu Ooi yang merupakan seorang guru disiplin yang cukup legend di Bukit Mertajam High School. Tidak cukup sempurna seorang pelajar Bukit Mertajam High School jika tidak pernah menerima sebatan rotan dari beliau. 

Dua orang pengawas datang menjemput aku di kelas dan mengiringi aku ke bilik disiplin seperti seorang pesalah yang diiringi polis ke balai polis untuk disoal siasat dan diambil keterangan. Menghampiri bilik disiplin cikgu Ooi telah sedia menunggu aku didepan pintu bilik disiplin dengan memegang rotannya, seperti seorang yang terlibat dalam kes berprofail tinggi yang untuk mengadap ketua siasatan jenayah. Belum sempat aku berkata apa-apa cikgu Ooi telah mengangkat rotannya dan meletakkan ke bawah dagu aku. Rupanya dia memberi isyarat supaya membetulkan tali leher aku yang dipakai tidak kemas.

Aku diarahkan masuk kedalam bilik disiplin dan tidak dibenarkan duduk. Cikgu Ooi mengambil buku rekod disiplinnya dan mengajukan beberapa soalan kepada aku sambil diperhatikan kedua - dua pengawas yang mengiringi aku tadi. Soalan-soalannya lebih kurang berbunyi begini, Soalan 1="Kamu Mohd Zamirul??" aku menjawab "Ya". Soalan 2="Betul kamu marah kepada pelajar perempuan (Salwa)??" aku menjawab "Ya betul". Soalan 3="Kamu mengaku salah atas perbuatan kamu tu dan akan dikenakan hukuman??" Aku menjawab "Ya". Aku melihat cikgu Ooi terkulat-kulat mendegar pengakuan aku tersebut, ini mungkin kerana dia memikirkan aku akan cuba berdolak dalih dan mencari alasan untuk dilepaskan. Aku sudah bersedia dengan apa jua bentuk hukuman yang akan aku terima, bagi aku kalau dengan cikgu Ooi ni.. mesti tak ada benda lain dah.. mesti rotan ja.. setakat rotan ni dari form 1 aku dah biasa kena rotan.

Mungkin kerana kes aku ini agak unik dan mungkin belum ada peruntukan undang-undang disiplin sekolah untuk mendakwa aku, akhirnya aku dirujuk oleh cikgu Ooi kepada bilik Kuanseling dan berjumpa guru kuanseling iaitu Cikgu Zauridah. Sampai dibilik kuanseling aku dibaca pertuduhan. Aku didakwa telah memarahi seorang pelajar perempuan yang juga merupakan seoranga pengawas dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadu. Entah apa kata-kata kesat yang aku telah keluarkan aku sendiri tidak ingat. Tapi sudah semestinya kata-kata yang keluar sewaktu aku menengking itu kesat dan bukannya kata-kata jiwang.

Aku diberikan sehelai kertas kosong oleh cikgu Zauridah. Aku diarahkan untuk menulis maklumat lengkap tentang aku dan merekodkan pengakuan bersalah aku secara bertulis dan menurunkan tandatangan. Aku menulis pengakuan aku dan menurunkan tandatangan dan menyerahkan kepada cikgu Zauridah. Selesai semua itu cikgu Zauridah mahu bercakap dengan aku secara hati ke hati (biasala guru kuanselor). Cikgu Zauridah memberitahu kepada cikgu Ooi bahawa dia mahu bercakap dengan aku secara personal dan cikgu Ooi meninggalkan bilik kuanseling tersebut.

Aku menerangkan kepada cikgu Zauridah tentang perkara apa yang telah berlaku dan dia mendengarnya. Selepas itu dia mengatakan walaubagaimanapun tindakan aku tersebut tetap salah kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Selepas disekolahkan oleh cikgu Zauridah akhirnya aku diarahkan untuk pulang ke kelas. Aku sedikit pelik kerana tidak ada apa-apa tindakan yang dikenakan terhadap aku.

Selepas itu aku meneruskan sesi persekolahan seperti biasa, namum pelajar-pelajar perempuan di dalam kelas aku masih tidak berani menegur dan bersembang dengan aku. Kadang-kadang aku ketawa didalam hati melihat gelagat mereka yang seperti terlalu takut bila aku lalu disebelah.

Tinggal lagi 2 minggu sebelum peperiksaan sebenar STPM bermula aku sekali lagi.....

Bersambung Part 6
http://mohdzamirul.blogspot.com/2014/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004_22.html

Kepada yang terlepas mengikuti episod-episod sebelum ini boleh mengikuti di link di bawah.

Part 1
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004.html

Part 2
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004_08.html

Part 3
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004_09.html

Part 4
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004_10.html

Saturday, March 10, 2012

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 4

Aku meminta maaf kepada follower "Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004" kerana lambat untuk menerbitkan artikel bahagian ke-4 kisah ini. Ini kerana kesibukan aku bekerja membuatkan feeling dan mood untuk menulis itu kurang. Ini kerana untuk menulis kita memerlukan mood yang sesuai. Penulisan dalam bentuk paksaan adalah satu penulis yang tidak jujur dan aku tidak mahu menghasilkan penulisan yang tidak jujur.

Sebelum aku menyambung kisah yang terhenti pada perenggan terakhir part 3 yang lalu, aku ingin mengimbau kembali kisah - kisah yang mana aku terlepas untuk merakamkannya dalam bahagian - bahagian sebelum ini. Mujur kawan - kawan mengingatkan kembali banyak kisah - kisah yang aku tertinggal. Rupanya penulisan aku ini banyak menyentuh dan mengusik jiwa rakan - rakan aku yang lain.


Ditangkap Merokok Sambil Mulut Berasap

Aku ingin mengimbau kisah aku, Jhon, dan mat pie ditangkap sedang mengisap rokok dibelakang block lama sebelah stor buku teks(sekarang mungkin stor buku tersebut telah bertukar sifat dan peranan). Pada waktu itu kami bertiga sedang ponteng kelas, kami berlegar - legar dan menyembunyikan diri dari dilihat oleh guru disiplin. Akhirnya kami berhenti dibelakang block lama sebelah stor buku teks tersebut. Sebenarnya pada waktu itu kami baru sahaja lepas dikejar guru penolong kanan hal ehwal murid Cikgu Nazri. Sewaktu berhenti disitu, Jhon mengeluarkan sebatang rokok, Jhon menyalakan rokok tersebut dan mengisapnya. Setelah tinggal separuh Jhon memberikan kepada aku, Mat Pie tidak merokok. Aku mengisap rokok yang Jhon berikan kepada aku. Sedang aku menyedut dan menghembus asap rokok tersebut, entah dari mana dan bagaimana tiba - tiba guru disiplin yang paling digeruni iaitu Cikgu Mat Nor muncul betul - betul dihadapan aku.

Aku terkejut dan tergamam, sudah tidak mampu berbuat apa - apa. Untuk melarikan diri sudah tidak berguna kerana Cikgu Mat Nor telah nampak dengan jelas dan cam muka kami bertiga. Aku sudah tidak punya idea untuk melepaskan diri pada waktu, hanya yang mampu aku lakukan ialah tersenyum dan tersengih sambil asap rokok yang belum sempat aku hembus tadi keluar dari mulut aku ketika tersengeh. Aku hanya berserah pada waktu itu kerana aku tidak boleh menafikan lagi yang aku tidak merokok kerana jelas cikgu mat nor nampak asap rokok terbuai - buai keluar dari mulut aku tanpa rela. 

Kami bertiga hanya berserah dan bersedia untuk menerima amukkan cikgu mat nor kerana satu sekolah telah mengetahui keganasan dan kebrutallan dia. Namum sangkaan kami meleset, cikgu mat nor yang begitu bengis sebelum itu bertukar perwatakan menjadi cukup cool dan tenang sekali mengendalikan kesalahan yang kami lakukan. Cikgu Mat Nor hanya menggelengkan kepala dan mengeluh panjang melihat perangai kami. Kata - katanya lebih kurang begini "kenapalaa... dengan hampa ni... saya dah tak tau nak buat apa... jom ikut saya pi jumpa cikgu nazri, dia duk cari hampa lama dah" apabila mendengar kata - kata cikgu mat nor tersebut, Jhon terus menjawab sambil mencebikkan muka "takmau!!! kami tak mau jumpa cikgu nazri" apabila mendengar nama cikgu nazri kami menjadi kecut perut, memang cikgu nazri cukup anti dengan geng kami hihihihi. Cikgu Mat Nor terus memujuk kami dengan lembut agar kami mengikut dia. Sebenarnya kami bertiga menjadi pelik dan merasakan sesuatu yang tidak kena dengan cara Cikgu Mat Nor yang bersikap begitu lembut dan cool dengan kami pada waktu. Sikapnya pada waktu itu begitu kontra dengan sikap dan tindakannya sebelum - sebelum ini.

Kami terus enggan mengikut ajakan Cikgu Mat Nor untuk berjumpa dengan Cikgu Nazri. Selepas melihat keengganan kami terserbut Cikgu Mat Nor mula mengubah cadangan. Ayat yang ini masih betul - betul aku ingat dengan jelas, bunyi begini "kalau hampa tak mau pi jumpa Cikgu Nazri, jom pi jumpa Cikgu Zauridah kat bilik kuanseling" mendengar kata - kata tersebut Jhon sekali lagi dengan lantas menjawab "aarr kalau Cikgu Zauridah kami mau.." Kami bersetuju kerana hanya itulah pilihan yang terbaik kami ada. Setelah bersetuju dengan rundingan tersebut, kami bertiga bersama dengan Cikgu Mat Nor berjalan menuju ke bilik kuanseling. Sampai dibilik kuanseling kami bertiga terkejut kerana salah seorang member kami iaitu Adzin a.k.a Jinz telah berada dalam bilik kuanseling tersebut. Cikgu Mat Nor menyerahkan kami kepada Cikgu Zauridah dan terus berlalu meninggalkan kami. Kami tidak tahu kenapa Jinz terlebih awal lagi ditahan di bilik kuanseling. Jinz yang bersongkok hanya tersengih melihat kami bertiga masuk ke bilik kuanseling sambil disambut dengan muka yang cukup ketat oleh guru kuanseling iaitu Cikgu Zauridah.


Dibawa ke Bilik Kuanseling

Kami bertiga diarah duduk di atas kusyen bilik kuanseling bersama dengan Jinz. Cikgu Zauridah memulakan tazkirah dan sesi kuanselingnya. Kami berempat sambil membuat muka insaf dan menyesal sambil mendengar kata - kata nasihat dari Cikgu Zauridah dengan penuh tawaduk. Tiba satu sesi Cikgu Zauridah menyebut nama kami seorang demi seorang sambil menyebut kesalahan kami. Tiba giliran Jinz  ,Cikgu Zauridah mengarahkan dia membuka songkok yang dipakai. Jinz dengan selamber dan tersengeh membuka songkoknya dan terpampang jelas fesyen rambut "Sesame Street" yang dibuat olehnya. Kami bertiga menahan ketawa melihat tingkah laku Jinz. Mat Pie juga bersongkok pada waktu itu dan diarahkan menanggalkan songkoknya dan jelas kelihatan fesyen rambut sarang labah-labah di kepala Mat Pie. Cikgu Zauridah hanya mengelengkan kepala melihat fesyen rambut Jinz dan Mat Pie. Rupanya Jinz ditahan di bilik kuanseling kerana fesyen rambut "Sesame Street" tersebut. 

Setelah hampir sejam dikuanselingkan oleh Cikgu Zauridah, kami diarahkan pulang ke kelas. Kami semua pulang ke kelas dengan rasa lega kerana tidak ada tindakkan disiplin yang serius diambil terhadap kami atas kesalahan kami tersebut. Selang seminggu selepas kejadian tersebut kami mendapat berita yang Cikgu Mat Nor telah pulang ke rahmatullah. Kami amat terkejut dengan berita tersebut dan aku bersama - sama dengan rakan - rakan aku menziarahi jenazah beliau dan mengiringi jenazah Arwah Cikgu Mat Nor hingga dia selamat dikebumikan. Sebenarnya arwah Cikgu Mat Nor memang telah bercuti panjang sebelum itu kerana beliau diserang strok. Setelah sihat dia kembali semula bertugas di sekolah. Mungkin perubahan sikap Cikgu Mat Nor ketika menangkap kami menghisap rokok tempoh hari adalah tanda - tanda dia bakal pergi mengadap yang Maha Esa buat selama - lamuanya. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman, Al-fatihah.


Hati dan Perasan Seorang Lelaki

Selain dari kisah kenakalan, kawan - kawan aku juga tidak boleh lari dari kisah hati dan perasan. Buyam dari seorang yang begitu kuat tidur telah berubah sikap 100% setelah berjumpa dengan hati dan perasaannya. Kebiasaanya Buyam akan dikejut oleh kawan - kawan aku yang lain yang pergi ke rumahnya untuk mengajak ke sekolah, tetapi setelah berjumpa hati dan perasaannya sikap Buyam terus berubah, dia menjadi seorang yang rajin ke sekolah hingga dia yang bertindak menjadi peranan utama mengajak kawan - kawan lain ke sekolah. Tetapi panas yang disangka hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Hati dan perasaan yang Buyam minati telah berhenti dari tingkatan 6 kerana mendapat tawaran menyambung pelajaran ke Uitm Sarawak. Bermula dari detik itu Buyam telah kehilangan hati dan perasaannya di tingkatan 6. Tidak lama selepas itu Buyam telah berhenti dari tingkatan 6 dan menyambung pelajaran di tempat lain. Itulah realiti hidup seganas dan sekeras mana hati seorang lelaki bisa tersentuh kerana seorang perempuan.


Forum Remaja

Jika pembaca mengikuti kisah - kisah di atas sudah tentu pembaca menyangka dan mantafsirkan aku dan kawan - kawan aku merupakan pelajar - pelajar yang jahat dan tidak berguna. Tetapi jangan silap, walaupun kami nakal sebegitu, tetapi dalam siri atau part 3 yang lalu aku ada menyebut yang kami juga tetap tekun belajar dan aktif baik dalam kurikulum dan kokurikulum. Walaupun aku dan kawan - kawan aku sepeti Mat Pie ditangkap dan mempunyai rekod disiplin tetapi kami juga aktif terlibat dengan aktivti - aktivit berpretij yang dianjurkan sekolah dan banyak kali naik ke atas pentas perhimpunan untuk menerima hadiah dan anugerah. Salah satu program yang aku dan Mat Pie sertai ada pertandingan Forum Remaja. Jika mengikut kebiasaan mana mungkin budak sejahat kami mahu dan boleh menyertai pertandingan seperti tersebut.

Aku dan Mat Pie bersama dua lagi rakan kelas aku menyertai peringkat saringan dalam karnival forum remaja tersebut. Tajuk pertama yang kami bahaskan dalam forum tersebut jika tidak salah adalah berkenaan "kejadian rogol terhadap kanak - kanak bawah umur". Aku masih ingat salah satu hujah yang aku berikan sewaktu forum tersebut ialah "Kejadian rogol terhadap kanak - kanak bawah umur ini adakalahnya berpunca dari sikap wanita dewasa itu sendiri, kerana wanita dewasa yang gemar berpakaian seksi menyebabkan lelaki bertindak merogol kanak-kanak perempuan, ini kerana kanak-kanak perempuan dilihat mangsa yang lebih mudah dan lemah untuk dirogol berbanding wanita dewasa" Sebenarnya kami tidak pernah membuat sebarang persedian seperti bacaan atau kajian terhadap satu - satu topik yang diberikan sewaktu pertandingan forum tersebut. Semua yang aku cakap itu adalah idea spontan yang muncul pada waktu itu. Dalam pertandingan tersebut kami berjaya ke peringkat akhir dan pada peringkat akhir tersebut aku mungkin tersilap percaturan dengan memilih untuk menjadi pengerusi, dan tewas di peringkat akhir tersebut. Walaupun tewas aku amat berpuas hati kerana berjaya layak ke peringkat akhit peringkat sekolah.


High School Idol 2004

Satu lagi kenangan yang tidak mungkin aku lupakan ialah pertandingan karaoke yang diadakan disekolah sewaktu aku di tingkatan 6 atas. Pertandingan karaoke tersebut digelar "High School Idol. Peringkat saringan diadakan pada waktu persekolahan. Banyak pelajar - pelajar junior yang menyertai peringkat saringan tersebut. Kelas aku yang terletak bersebelahan dengan dewan tempat saringan diadakan memudahkan aku menyusup masuk ke dewan tersebut untuk menyertai peringkat saringan karaoke tersebut. Cikgu Idris yang membawa aku ke bilik disiplin kes kantoi merokok depan pengetua itu yang mengendalikan sesi peringkat saringan tersebut.

Aku dan beberapa rakan aku seperti Amir, Sham, Mat Pi dan Mawi telah berada dalam dewan tersebut. Sedangkan pelajar - pelajar tingkatan 6 atas yang lain langsung tidak ambil pusing dengan  pertandingan karaoke tersebut kerana peperiksaan STPM hanya beberapa bulan sahaja lagi akan berlangsung. Aku pergi ke arah Cikgu Idris dan memberitahu aku ingin menyertai peringkat saringan karaoke tersebut. Aku memilih lagu "memburu rindu". Hasil dari nyanyian tersebut aku terpilih untuk ke peringkat akhir pertandingan karaoke tersebut yang digelar "High School Idol 2004" yang diadakan semperna hari kantin sekolah aku. 

Menjelang hari pertandingan akhir, kami seperti biasa pada Jumaat malam sabtu akan pergi ke karaoke tapi kali ini untuk berlatih sebagai persediaan peringkat akhir keesokkannya. Tujuan aku pada waktu itu adalah untuk memilih lagu yang sesuai untuk aku bawa pada peringkat akhir. Tujuan aku pada peringkat akhir tersebut adalah bukan untuk menang tetapi untuk mewujudkan suasana gembira. Aku akhirnya memilih untuk menyanyikan lagu 60an "Tak Mengapa" nyanyian A. Rahman Hassan. Aku memilih lagu ini kerana bagi aku lagu ini akan mewujudkan suasana havoc dan riuh-rendah dalam dewan. Ini kerana aku percaya pada hari kantin tersebut aktiviti dalam dewan itu nanti akan menjadi tumpuan lebih dari aktiviti lain.

Mencari VCD Karaoke 60an

Tiba pada hari pertandingan aku memandu kereta proton saga merah(yang telah dijual) bapak aku ke rumah Ashun. Aku mengambil Ashun dirumah dan kami pergi ke kedai - kedai vcd/cd yang terdapat diseluruh pekan Bukit Mertajam. Tujuan aku adalah untuk mencari vcd karaoke lagu 60an yang mana terdapat lagu "Tak Mengapa" A. Rahmah Hassan. Puas aku dan Ashun memusing kesemua kedai - kedai vcd/cd di pekan BM tetapi gagal menjumpai vcd yang ingin aku beli. Akibat masa yang terlalu suntuk aku terpaksa membatalkan niat untuk mencari vcd tersebut. Aku hanya akan memilih lagu - lagu yang difikirkan sesuai yang ada dalam  simpanan Cikgu Idris.

Tiba di dewan tempat berlangsung pertandingan akhir tersebut, aku terus pergi ke arah Cikgu Idris dan bertanyakan adakah terdapat lagu - lagu 60an dalam simpanannya. Dia menunjukkan aku beberapa keping vcd lagu 60an malangnya lagu yang aku cari tidak ada. Aku terus membelek dan aku terpadang satu tajuk lagu yang aku kira agak menarik walaupun aku tidak pernah mendengarnya iaitu lagu yang bertajuk "Kenangan Ku" nyanyian Jeffrey Din. Aku yang telah siap dengan pakaian ala 60an itu tidak sabar-sabar untuk menanti giliran. 


Dewan Riuh Rendah

Tiba giliran aku untuk menyampaikan nyanyian, dan setiba aku di atas pentas para penonton telah mula bersorak melihat penampilan aku. Penonton dalam dewan tersebut bukan sahaja terdiri dari pelajar sekolah High School Bukit Mertajam tetapi ramai juga yang hadir dari sekolah - sekolah berhampiran seperti dari Smk Bkt Mertajam, Smk Pmtg Rawa dan Covent Bkt Mertajam (yang mana aku tersangkut dengan salah seorang budak convent bkt mertajam selepas pertandingan tersebut, tetapi hanya rapat selepas aku tamat STPM). 

Apabila muzik dibunyikan aku terus berjoget irama 60an diatas pentas, situasi ini membuatkan seluruh dewan gamat dan rakan - rakan aku yang berada dibawah pentas juga turut sama berjoget sakan. Cikgu Hayati iaitu guru kelas aku turut berada dalam dewan pada waktu itu untuk menyaksikan murid kelasnya beraksi. Aku menyedari Cikgu Hayati tidak henti - henti ketawa melihat gelagat aku diatas pentas. Sebenarnya itulah kali pertama aku menyanyikan lagu itu dan membuatkan aku tidak berapa hafal lirik lagunya dan banyak berpandukan pada skrin. Namum aku berjaya membuatkan seluruh dewan riuh - rendah. Nurul, classmate aku dengan selamber naik keatas pentas memberi bunga kepada aku yang sedang menyanyi, sekali lagi dewan gamat melihat tindakkan Nurul tersebut.

Aku berpuas hati dengan persembahan aku tersebut kerana berjaya membuatkan semua orang yang berada di dalam dewan tersebut gembira walaupun aku tidak mendapat tempat pertama. Tempat pertama dimenangi oleh pelajar perempuan cina yang menyanyikan lagu melayu. Memang cukup sedap nyanyian dia. Memang kenangan - kenangan tersebut cukup indah dan sukar untuk aku lupakan. 

Namum diwaktu beberapa bulan untuk kami semua menghadapi peperiksaan besar STPM, aku berhadapan dengan isu besar yang serius dan mungkin juga kelakar yang akan aku ceritakan pada bahagian seterusnya...

Bersambung Part 5

http://mohdzamirul.blogspot.com/2014/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004.html


Friday, March 9, 2012

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 3


Melangkah Ke Tingkatan Enam Atas Sebagai Pelajar Paling Tua di Sekolah Dengan Motosikal Cabuk

Januari 2004 aku dan kawan - kawan aku yang lain kembali semula ke Bukit Mertajam High School. Dalam umur 19 tahun kami semua kembali ke sekolah sebagai pelajar paling tua di sekolah. Aku masih menunggang motosikal ex5 ayah aku ke sekolah, Faruqi a.k.a mat kie dengan motosikal kriss, saufi dengan vespa, yusoh ibrahim a.k.a  mat usop dengan yamaha cdi, amar juga dengan ex5 yang seat motosikalnya ditampal dengan sellotape dan kadang - kadang dibalutnya dengan beg plastik kerana seat motosikalnya koyak dan yang bisa membasahkan punggungnya bila hari hujan. Walaupun kami semua bermotosikal, tapi jangan salah sangka, kami bukannya mat rempit. Motosikal kami tidak pernah diubah usai dan boleh dikatakan "standard pekak". Walaupun ramai junior - junior kami yang datang ke sekolah dengan motosikal yang habis di modified, tapi aku dan rakan - rakan aku yang lain masih mengekalkan imej "standart pekak" kami. Sekali pandang motosikal kami umpama motosikal orang tua yang kadang - kadang berselut kerana jarang dicuci.


Guru - Guru Tingkatan Enam Atas Yang Cool dan Sempoi

2004 menyaksikan aku dan rakan - rakan aku semua masuk ke tingkatan enam atas. Kami mendapat guru - guru berpengalaman yang otai-otai dan hebat. Ini kerana tugas sebagai guru tingkatan enam atas bukannya mudah dan bukan calang - calang guru yang boleh mengajar di tingkatan enam atas apatah lagi mengajar batch kami yang tidak pernah hilang perangai gila - gilanya walaupun umur sudah 19 tahun pada waktu itu. Guru kelas aku pada waktu itu Cikgu Hayati yang mengajar sejarah Melayu dan Asia, cikgu Normala yang mengajar Sejarah Dunia dan Sejarah Islam , Cikgu Suzi mengajar Bahasa Melayu kertas 1, Cikgu Zauwiyah mengajar Bahasa Melayu kertas 2, Cikgu Danapal mengajar Pengajian AM, cuma cikgu pengajian perniagaan perniagaan yang aku tidak ingat namanya kerana dia boleh dikatakan guru baru tapi aku masih ingat dan kenal wajahnya, dan teacher Jamalia mengajar MUET. Aku masih ingat satu persatu nama guru - guru aku ini yang mana mereka telah banyak memberi ilmu kepada aku. Guru kelas aku yang pertama sewaktu aku masuk di tingkatan 1 madani tahun 1998 pun aku masih ingat lagi iaitu Cikgu Lim Mie Suan yang mengajar sejarah dan bahasa melayu. 

Cikgu Hayati memang seorang guru yang cool dan sempoi, cara dan pendekatan dia mengajar sejarah membuatkan aku begitu minat dengan sejarah yang memang telah aku minat itu. Kekerapan membuat perbentangan di hadapan kelas membuatkan aku berkeyakinan untuk berucap di hadapan dan kebolehan itu memainkan peranan penting sewaktu aku di universiti dan aku seperti ketagih untuk membentangkan sesuatu tugasan di hadapan kelas. Mungkin semua ini yang membentuk dan membolehkan aku hari ini berucap dan memberi syarahan kepada pelajar - pelajar aku 3 jam tanpa henti dan tanpa pelajar aku bosan. Di dalam kelas aku merasa cukup happy walaupun dibebani dengan latihan dan tugasan yang berat. Telatah saufi, mawi, amir(yang selalu tidur), dan rakan aku yang lain baik lelaki dan perempuan membuatkan kelas aku sentiasa ceria. Aku dan saufi suka mengusik Ling Waran Sing. Aku suka mengusik dan bertekak dengan dia kerana dia mempunyai pandangan yang tegas dalam satu - satu isu. Maka tidak hairanlah pada hari ini dia telah menjadi seorang peguam dan bergiat aktif dengan pemimpin tinggi Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur.

Cikgu Danapal yang mengajar mengajar pengajian am juga seorang guru yang berani dalam menyampaikan ilmu. Aku gemar dengan cara bersahaja cikgu danapal mengajar. Isu - isu semasa yang diajar didalam pengajian am membuatkan kami tidak boleh lari dari isu sensitif seperti politik semasa di Malaysia pada waktu itu. Cikgu Danapal jujur dengan ilmu yang disampaikan, dia mengajar realiti yang sebenar agar anak muridnya menjadi manusia dan bukan burung kakak tua. Cikgu Suzi anginnya ada pasang dan surut, dia adakalanya boleh diajak bergurau dan adakalanya cukup garang didalam kelas. Dia mengajar bahasa melayu kertas 1 yang bagi aku subjek tersebut agak sukar. Mempelajari diftong, mofologi, e pepet, e taling dan berbagai lagi membuatkan adakalanya kepala otak aku bersimpul tetapi menarik. Cikgu Normala yang mengarahkan kami semua membeli buku latihan setebal 1 inci dan setiap minggu sekurang - sekurangnya dua esei sejarah dunia mesti disiapkan, jika tidak pasti ribut taufan mesopotamia akan melanda kelas aku. Cikgu Zauwiyah adalah seorang guru yang boleh dikatakan paling garang dalam kalangan semua guru-guru kelas aku. Dia mengajar bahasa melayu kertas dua. Gaya bahasa dan penulisan yang diajar oleh cikgu zauwiyah inilah yang mungkin memberikan aku kebolehan untuk mengarang dalam apa jua bidang. Cikgu Kamalia mengajar MUET Malaysia University English Test, aku dan rakan - rakan aku bersungguh belajar bagi membolehkan kami menguasai bahasa inggeris kerana kami sudah mula sedar kepentingan bahasa inggeris pada waktu itu.


Toyol dan Menoyol Sewaktu Ujian

Setiap bulan kami mesti menjalani ujian bulanan, dan markah ujian bulanan ini akan mengukur kemampuan kami semua untuk berhadapan dengan STPM kelak. Tetapi walaupun namanya ujian dan peperiksaan percubaan budaya "toyol" tetap masih ada. Aku dan kawan - kawan aku terutama saufi sering membuat nota kecil atau "toyol" setiap kali ujian. Tujuannya adalah untuk meniru kah kah kah.. pernah juga kami mencuri membuka buku sewaktu ujian tetapi langit tidak selalunya cerah kerana ada juga yang terkantoi. Tapi aku tegaskan aku tidak pernah meniru dalam peperiksaan besar yang sebenar.


Usaha Keras Guru - Guru Dan Kenakalan Aku dan Kawan - Kawan

Guru - guru tingkatan enam kelas aku bukan sahaja mengajar tetapi mereka juga bertindak memberi semangat, dorongan dan bimbingan kepada kami. Aku masih ingat kata - kata cikgu hayati lebih kurang begini "kamu semua boleh berjaya dan sekarang kamu diberi peluang untuk berjaya jadi gunakanlah peluang ini" kata - kata itu walaupun ringkas dan bersahaja tetapi membawa makna yang cukup mendalam dan aku mula nampak yang sebenarnya peluang sedang terhidang cuma atas usaha sendiri untuk aku mencapainya. Cerita - cerita dan pengalaman - pengalaman guru - guru aku di universiti yang dikongsikan bersama kami didalam kelas membuatkan aku dan rakan  - rakan aku bersemangat untuk belajar. Kelas tamabahan percuma yang diadakan pada waktu cuti sekolah menunjukkan kesungguhan guru - guru aku untuk melihat kami semua berjaya.


Tandas Cowboy

Aku akui memang aku begitu belajar bersungguh - sungguh sewaktu tingkatan 6. Tetapi dalam masa yang sama aku dan rakan - rakan aku masih juga aktif dalam sukan ragbi dan aktiviti kokurikulum yang lain. Sewaktu di tingkatan 6 atas, aku dan kawan - kawan aku tidak pulang terus ke rumah selepas habis waktu sekolah. Selalunya selepas tamat waktu sekolah kami akan pergi ke kantin untuk makan dan minum sambil kacau adik - adik junior perempuan di kantin yang mana perbuatan sebegitu tidak pernah dilakukan oleh senior - senior tingakatan 6 yang lain. Selepas habis di kantin, kami akan pergi ke tandas di block A yang kami gelarkan sebagai "tandas cowboy" kerana pintu tandasnya ala - ala zaman cowboy. Tujuan kami pergi tandas bukanlah untuk membuang air tetapi adalah untuk merokok. Satu lagi perkara yang tidak pernah dilakukan oleh student - student tingkatan 6 yang lain sebelum ini. 


Hisap Rokok dan Kantoi

Sebenarnya aktiviti merokok dalam kawasan sekolah ini adalah satu perkara rutin bagi kami. Bukan sahaja pada waktu selepas sekolah, tetapi pada waktu pagi sebelum kelas bermula dan sewaktu rehat. Pernah kawan aku Ashun ditangkap oleh pengawas kerana kantoi menghisap rokok didalam tandas. Ashun pada waktu itu cuba melarikan diri sewaktu tandas cowboy tersebut diserbu pengawas dari tingkatan 5 ketika sedang merokok, tetapi malangnya kasut dia tertanggal dan menyebabkan dia terpaksa berpatah balik mengambil kasutnya yang tertanggal dan akibatnya dia ditangkap dan dirotan kah kah kah... 

Sebenarnya dalam ramai - ramai kawan - kawan aku, Rasul a.k.a Ashun adalah yang paling kerap kantoi dan ditangkap ketika merokok. Pernah pada satu kejadian ketika selepas waktu sekolah aku, amar dan ashun pergi ke tandas cowboy tersebut untuk merokok. Sudah menjadi kebiasaan sebatang rokok akan dikongsi 3 ke 4 orang. Amar mengisap rokok terlebih dahulu dan selepas itu dia memberikan kepada aku, baki rokok tersebut aku serahkan kepada Ashun. Amar ketika itu masuk kedalam tandas (jamban)  dan aku berjalan keluar. Tiba - tiba aku nampak Cikgu Liew sedang meluru pantas ke aras tandas, aku tidak sempat untuk berpatah balik memberitahu amar dan ashun di dalam tandas. Aku terus berjalan menuju ke perpustakaan. Sampai di perpustakaan aku melihat Ashun telah dipegang tangan dengan kuat dan diheret keluar oleh Cikgu Liew tetapi Amar tidak kelihatan. Rupa - rupanya Amar bersembunyi senyap didalam jamban tandas tersebut. Malangnya Ashun seorang sahaja yang terkantoi kah kah kah..


Study Group di Perpustakaan Setiap Hari, Belajar 3 jam sehari dan Ragbi Tetap Ragbi

Setelah selesai merokok di tandas cowboy, aku dan 2,3 orang kawan - kawan aku yang lain seperti Ashun, Amar, Saufi dan Faruqi akan ke perpustakaan untuk study group. Kadang - kadang pelajar perempuan juga akan join kami untuk study group di perpustakaan selepas habis waktu sekolah. Itulah rutin kami setiap hari hingga ke akhir tahun. Sekitar jam 3.30 petang baru kami akan pulang ke rumah. 

Sampai di rumah aku hanya berehat sebentar, dan pada waktu petang sekitar jam 5 petang aku akan  tiba di padang sekolah untuk berlatih ragbi. Hinggalah sekitar jam 7 malam barulah aku pulang ke rumah semula. Memang padat aktiviti aku dan membuatkan aku merasakan waktu begitu cepat berlalu. Apabila waktu malam, aku hanya akan menonton tv sekitar jam 8 hingga 8.30 malam bagi menonton berita. Selepas itu aku akan masuk ke bilik dan mengulangkaji pelajaran hinggalah sekitar jam 11.00 dan 11.30 malam barulah aku tidur. Sebenarnya pada waktu itu, aku sudah menjadi ketagih untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran. Aku menjadi tidak boleh duduk sekiranya pada jam 8.30 malam aku masih belum mengulangkaji. Aku akan mengulangkaji subjek - subjek yang berat seperti sejarah dan bahasa melayu. Memilih dari beberapa tajuk dan berlatih membuat esei dengan baik secara berulang - ulang. Bukan mudah untuk menguasainya jika tidak dilakukan secara konsisten dan bersungguh - sungguh.


Berfoya - foya di Malam Hari

Tetapi pada malam jumaat dan malam minggu aku tidak akan mengulangkaji pelajaran. Dua malam tersebut aku gunakan untuk berfoya - foya  bersama  rakan aku yang lain. Boleh dikatakan setiap jumaat malam sabtu kami akan pergi ke karaoke untuk berhibur. Selepas itu kami akan lepak dan berlabong dan berborak hingga lewat pagi di mana - mana kedai yang menarik, selalunya kedai mamak menjadi pilihan kami. Begitulah setiap minggu aktiviti aku dan rakan - rakan aku. Kami nakal melanggar peraturan sekolah, tetapi kami belajar melebihi masa pelajar - pelajar lain. Kami berlatih ragbi dengan begitu lasak setiap petang tetapi kami tetap hadir dengan segar dan ceria ke sekolah setiap pagi. Kami mengulangkaji pelajaran berjam - jam setiap malam dirumah tetapi kami juga bersosial dan melepak hingga awal pagi pada hari cuti.

Selain aktiviti kurikulum, seperti yang aku katakan tadi aku juga aktif dalam kokurikulum seperti sukan dan aktiviti lain seperti aktiviti forum remaja peringkat kelas dan sekolah. Aku juga pernah menyertai pertandingan koreoke peringkat sekolah. Selain dari aktiviti yang penuh ceria tersebut aku juga tidak boleh lari dari konflik, hingga terjadi satu isu besar yang menggemparkan di kelas dan di kalangan pelajar - pelajar tingkatan enam hingga ke pengetua. Nantikan kisahnya di siri keempat nanti.....