Wednesday, March 7, 2012

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 1


Semperna keputusan STPM yang diumumkan hari ini membuatkan aku teringatkan kembali kisah - kisah dan kenangan sewaktu di tingkatan enam dahulu. Rasanya begitu cepat masa berlalu kini sudah hampir 8 tahun aku meningkalkan tingkatan enam pada 2003 hingga 2004. Dalam tempoh dua tahun tersebut terlalu banyak kisah dan kenangan jika ingin dirakamkan.


Ragbi



Aku mengambil tingkatan 6 di sekolah asal aku memasuki sekolah menengah iaitu  Bukit Mertajam High School. Selama 7 tahun aku di Bukit Mertajam High School dari tingkatan 1 hinggalah ke tingkatan 6 atas. Aku membesar di sekolah yang terletak di atas sebuah bukit tersebut. Di sana aku belajar segala jenis ilmu baik secara langsung dan tidak langsung yang akhirnya membentuk diri aku hari ini.
Tapi apa yang ingin aku kongsikan disini adalah pengalaman aku sewaktu di tingkatan enam tersebut. Sebenarnya aku langsung tidak pernah menanam minat atau cita - cita untuk masuk ke tingkatan 6. Ini kerana presepsi yang timbul pada waktu itu dan mungkin juga pada hari ini yang mengatakan tingkatan 6 itu susah, tidak menjamin masa depan dan tidak ada stail. 

Salah satu sebab utama yang membuatkan aku masuk ke tingkatan 6 adalah ragbi. Mungkin orang pelik kenapa aku masuk ke tingkatan 6 kerana ragbi. Tetapi kerana ragbilah aku masuk ke tingkatan enam secara tidak langsung. Sebenarnya aku adalah pemain ragbi mewakili sekolah aku sejak dari tingkatan 2 aku di Bukit Mertajam High School HSBM. Ini kerana di sekolah aku pada waktu itu, sukan utamanya adalah ragbi, dan seseorang itu akan berada pada kelasnya yang tersendiri jika dia bergelar pemain ragbi sekolah pada waktu itu. Sepanjang aku bermain untuk pasukan ragbi sekolah aku, aku dan pasukan aku telah menjuarai banyak kejohanan di peringkat dearah, negeri dan kebangsaan. Bila habis tingkatan 5 beerti aku akan meningkalkan pasukan sekolah kerana aku sudah tidak akan belajar disitu. Atas semangat yang membara untuk terus bermain ragbi mewakili sekolah aku, aku dan rakan - rakan aku yang lain mengambil keputusan untuk mendaftar diri masuk ke tingkatan 6. Ditambah pula semua kami mendapat keputusan yang melayakkan untuk masuk ke tingkatan 6.



Dihalau Guru Disiplin

Jadi sekitar hujung bulan 3 tahun 2003 aku dan rakan -rakan aku pergi ke semula ke sekolah untuk mendaftar masuk ke tingkatan 6. Ada dari kami yang datang mendaftar dengan rambut berwarna, ada yang rambut mencacak, rambut panjang ke bahu dan pelbagai fesyen lagi. Ini kesemua kerana kebebasan untuk berfesyen selepas tamat tingkatan 5. Hari pertama kami masuk mendaftar kami telah dihalau oleh guru disiplin kerana datang dengan pelbagai fesyen. Aku dan member aku lain meningkalkan kawasan sekolah dengan ketawa terbahak - bahak selepas dihalau oleh guru disiplin (Cikgu Ooi) tanpa sempat mendaftar. Keesokkannya kami datang lagi ke sekolah untuk memasuki tingkatan 6. Tapi penampilan aku dan member-member aku yang lain pada hari kedua ini agak kemas dan membuatkan kami tidak dihalau lagi. Sebenarnya sekolah aku adalah sekolah yang agak tegas dengan dispilin dan penampilan pelajar.

Sewaktu minggu orientasi pelajar - pelajar tingkatan 6, kumpulan aku dan member-member aku yang paling nakal. Tidak ada yang berani mengganggu kami kerana seluruh sekolah telah mengenali kami semua yang boleh dikatakan pelajar - pelajar nakal sekolah. Selesai minggu orientasi aku dan member-member aku yang lain mula memasuki tingkatan 6 enam rendah. Aku dipilih masuk ke aliran sastera di dalam kelas yang bernama 6 PRH (Pra-U Rendah Harmoni) dan guru kelas aku pada waktu itu adalah cikgu Sugunawati. Subjek yang aku ambil adalah Pengajian Am, Sejarah, Pengajian Perniagaan dan Bahasa Melayu selain Muet. Jujur aku nyatakan disini adalah tujuan aku dan kemungkinan besar rakan - rakan aku yang masuk ke tingkatan enam rendah ini bukanlah untuk benar - benar belajar. Tujuan aku adalah untuk sekadar berdaftar dengan sekolah dan membolehkan aku dan member-member aku yang lain untuk terus bermain ragbi dengan pasukan sekolah.

 Fokus aku dan rakan - rakan aku yang lain pada waktu itu hanyalah ragbi. Setiap petang aku dan member - member pasti akan turun ke padang untuk berlatih sedangkan pelajar - pelajar tingkatan 6 yang lain sibuk memulakan hidup baru sebagai pelajar tingkatan 6 dengan belajar bersungguh-sungguh. Tetapi aku dan rakan - rakan aku yang lain jarang - jarang hadir ke sekolah dan pada waktu petang datang ke hanya untuk berlatih ragbi. Tapi hasilnya berbaloi kerana pada tahun tersebut iaitu pada tahun 2003 sekolah aku berjaya menjuarai kejoharan ragbi peringkat negeri Pulau Pinang. Pasukan sekolah aku pada waktu itu cukup mantap dan menyapu bersih setiap perlawanan bermula dari peringkat awal lagi. Jurulatih kami pada waktu itu ialah mendiang uncle Loren dan Coach Syarif.


Mewakili Negeri ke MSSM dan Tawaran Politeknik

Pada tahun 2003 itu juga aku telah terpilih untuk mewakili pasukan negeri Pulau Pinang ke Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia MSSM peringkat kebangsaan di Labuan. Dengan terpilih mewakili pasukan negeri aku pada waktu itu terpaksa lebih fokus dengan latihan yang penuh disiplin dalam pasukan ragbi negeri. Pada waktu itu aku langsung sudah tidak memikirkan tentang persekolahan dan pembelajaran aku di tingkatan 6 malah sekolah pun sudah jarang aku pergi. Seminggu sebelum aku bertolak ke Labuan aku perlu memasuki kem latihan pusat, ini bermakna seminggu aku tidak ke sekolah. Selang beberapa hari aku di dalam kem latihan pusat aku dapat berita dari ayah aku yang aku mendapat tawaran untuk masuk ke Politeknik Seberang Perai dalam kursus Sijil Pengajian Perniagaan. Pada waktu itu aku memikirkan selepas pulang dari Labuan nanti aku akan masuk ke politeknik dan berhenti dari tingkatan enam.

Setelah pulang dari kejohanan ragbi MSSM dari Labuan selang seminggu selepas itu aku terus bersiap untuk mendaftar masuk ke politeknik. Aku terus tidak mengendahkan lagi tingkatan 6 dan berhenti dengan begitu sahaja tanpa sebarang notis. Aku masuk ke politeknik sekitar Julai 2003. Aku mula belajar di politeknik seberang perai dalam kursus pengajian perniagaan. Tapi entah mengapa sepanjang aku berada di politeknik tersebut aku merasakan yang hati aku tidak berada disitu. Jiwa aku seolah terpisah dengan apa yang aku lakukan sepanjang di politeknik tersebut.


Hilang Minat Belajar di Politeknik

Satu malam aku termenung sambil berbaring di atas katil di dalam hostel aku di politeknik. Aku memikirkan yang seperti satu kerugian jika aku terus belajar di situ, ini kerana aku hanya membuat kursus sijil yang mana tempoh masanya selama 2 tahun. Sijil yang aku ambil pula ialah pengajian perniagaan yang kurang peluang kerjayanya. Aku memikirkan jika aku di tingkatan 6 selepas dua tahun aku boleh terus masuk ke universiti dan boleh terus membuat ijazah tapi dengan syarat perlu bersungguh-sungguh. Aku mengenangkan kawan-kawan aku yang masih terus di tingkatan 6. Aku merasakan yang rakan - rakan aku itu nanti pasti akan masuk ke universiti dan membuat ijazah selepas dua tahun pada waktu itu. Tetapi aku selepas dua tahun hanya memiliki sijil. 

Lama aku termenung dan memikirkan perkara itu hingga lewat pagi....

Bersambung Part 2

No comments: