Showing posts with label ideologi. Show all posts
Showing posts with label ideologi. Show all posts

Wednesday, December 3, 2014

Tiga lagi warga Malaysia ditahan disyaki terlibat aktiviti militan IS

KUALA LUMPUR: Pihak polis telah menahan tiga lagi rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan di Syria, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata.

Semua suspek tersebut yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 36 tahun, telah ditahan oleh BahagianCounter TerrorismCawangan Khas Bukit Aman, kata Khalid dalam sebuah kenyataan media hari ini.

Mereka kini ditangkap di bawah Bab VI A – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Khalid berkata, penangkapan tersebut merupakan susulan siri operasi dari 27 hingga 28 November di Kuala Lumpur dan Kedah.

"Seorang daripada suspek yang berusia 36 tahun telah menyertai kumpulan militan di Syria sejak 28 Disember 2013 dan kembali ke Malaysia pada 8 April 2014.

"Sementara dua lagi suspek yang berumur 23 dan 28 tahun berkhidmat dalam sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur. Kedua-dua kakitangan kerajaan tersebut disyaki terlibat dalam menyalurkan dana kepada beberapa rakyat Malaysia yang ingin menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria," ujarnya.

Pada 23 Oktober, tiga lelaki telah didakwa atas kesalahan cuba menunjukkan sokongan kepada militan IS.

Arkitek Mohd Syafrein Rasid, 26, dari Kuantan, Pahang; peniaga Mohd Rosmadi Che Daud, 42, dari Ipoh, Perak; dan jurutera Mohamad Yusoffe Ishak, 26, dari Arau, Perlis, telah ditahan ketika mereka cuba menaiki sebuah pesawat yang mahu berlepas ke Istanbul, Turki.

Pada Februari tahun lalu, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) , Yazid Sufaat; seorang surirumah, Halimah Hussein; dan Mohd Hilmi Hasim ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Dua suspek itu yang berusia 30 dan 50-an, dipercayai menjadi dalang di sebalik perekrutan rakyat Malaysia dalam aktiviti berkaitan keganasan.

Malaysia melonjak ke tangga ke-48 dalam Indeks Keganasan Global 2014 dari kedudukan ke-91 ketika senarai itu mula diperkenalkan pada tahun 2012.

Laporan yang dikeluarkan Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) tersebut menyenaraikan negara-negara berdasarkan impak aktiviti pengganas selain menganalisa dimensi ekonomi dan sosial yang berkaitan dengan keganasan.

Tuesday, December 2, 2014

Asal usul ISIS

Oleh: Hishamuddin Rais a.k.a Tukar Tiub



November 16, 2014 "ICH" - "The Independent"- The Islamic State (Isis) has recruited an army hundreds of thousands strong, far larger than previous estimates by the CIA, according to a senior Kurdish leader. He said the ability of Isis to attack on many widely separated fronts in Iraq and Syria at the same time shows that the number of militant fighters is at least 200,000, seven or eight times bigger than foreign in intelligence estimates of up to 31,500 men. 

Dari mana agaknya perlu saya mulakan surah ini? Dari detik mana wajib saya jadikan patukan kelahiran ISIS? Saya bertanya kerana saya ingin berlaku adil ketika kita bersama-sama membaca salasilah dan memahami ISIS.

Kepada anak-anak muda biar saya nyatakan bahawa pada 9 November 2011 dua bangunan World Trade Center di New York telah meledak dilanggar oleh kapal terbang penumpang. Juga Bangunan 7 dengan tak semena-mena telah runtuh. Ini 12 tahun dahulu. Semenjak itu dunia yang kita diami ini telah berubah. Dunia hari ini bukan seperti dunia sebelum ledakan WTC.

Biar saya rungkai sejarah. Ketika ledakan 9/11 berlaku saya dikurung di Kamunting. Justeru, tidak banyak lambakan berita yang masuk. Tetapi saya masih ingat bagaimana pada minggu pertama setelah 9/11 ada muncul 'kisah' agen Saddam Hussein bertemu dengan wakil Mohamed Atta di Praque. Muhamad Atta dikatakan daripada kumpulan Al-Qaeda. Si Atta ini juga pemimpin 19 'pengganas' yang dikatakan telah meledakkan WTC.

Begitu pantas risikan Amerika telah mengetahui rancangan Al-Qaeda. Malah maklumat ini dikatakan telah diketahui lima bulan sebelum ledakan. Tetapi, hairan bin takjub, tidak ada apa-apa yang dilakukan.

Akhirnya pada 19 Mac 2003 Iraq telah diserang oleh Amerika atas tuduhan Saddan Hussein memiliki senjata pemusnah atau weapon of mass destruction. Tetiba kesah Saddam bersubahat dengan Al-Qaeda meledakkan WTC hilang ghaib begitu sahaja.

Saya mengulangi kesah ini kerana saya merasa terpanggil oleh sejarah untuk merakamkan apa yang telah berlaku satu dekad yang lalu. Iraq dan Saddam Hussein tewas. Presiden Iraq ini digantung mati. Tetapi perang tidak mengendur tapi berterusan dan hari ini semakin melebar.

Setelah Baghdad jatuh ,yang datang menjadi wakil Rumah Putih di Baghdad ialah seorang diplomat bernama Paul Bremer. Langkah pertama mamat Bremer ini telah meruntun dan memusnahkan apa sahaja lembaga-lembaga daulah dari kerajaan Saddam. Pegawai kerajaan, guru sekolah, pensyarah, pemandu, wartawan semua dibuang kerja.

Paling memeranjatkan dunia ialah apabila semua askar, soldadu dan pegawai polis Irag dilucutkan senjata. Beratus ribu hilang pekerjaan.

Mengikut lojik Bremer, semua ini dilakukan untuk memastikan semangat dan kesetiaan terhadap nasionalis Saddam dan parti Baath dapat dilupuskan.

Maka perang gerila anti-Amerika dan antikolonial bermula. Perang gerila ini ini dipandu dan dipimpin oleh bekas soldadu dan tentera yang masih setia dengan Saddam. Mereka terdiri dari pelbagai jalur termasuk kaum nasionalis, kaum agamawan juga dari kabilah-kabilah suku Badwi yang memiliki kesetiaan kepada ketua kabilah.

Perang gerila ini menghuru harakan Rumah Putih. Ramai soldadu Amerika dan sekutunya gugur. Langkah Bremer melupuskan tentera Saddam dilihat sebagai satu kesilapan besar. Maka satu taktik baru dimunculkan.

Seperti kuasa kolonial British ketika menjajah Tanah Melayu dan berhadapan dengan Perang Gerila Rakyat Malaya, Amerika juga menggunakan taktik 'pecah perintah'. Kalau di Tanah Melayu, kaum Cina dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan Melayu. Di Tanah Melayu, Cina dan Melayu digaduh-gaduhkan. Di Iraq, penganut Sunni dan Syiah digaduh-gaduhkan.

Satu malam yang gelap agen Amerika secara sulit telah meledakan masjid Sunni. Satu minggu kemudian agen yang sama telah meledakkan masjid Syiah. Pemimpin Sunni dibunuh. Pemimpin Syiah dibunuh. Semua ini dilakukan beruang-ulang. Akhirnya setiakawan yang dibina di zaman kerajaan nasionalis hancur lebur. Kesedaran satu bangsa – Bangsa Iraqi hancur. Kini jati diri diwakili dengan kesedaran mazhab.

Wilayah Utara Iraq menjadi negara Kurdish. Dari Baghdad ke Basrah menjadi wilayah Syiah. Penganut Sunni menduduki di antara dua kawasan ini. Kota Baghdad yang kosmopolitan di mana warga kota tidak memilih mukim Sunni atau Syiah kini hancur. Dalam kota Baghdad, daerah dan mukim mula dipisah-pisah melalui mazhab.

Taktik pecah dan perentah ini membawa kejayaan besar kepada Amerika. Perang gerila mengendur dan akhirnya dapat dipatahkan. Puak penentang Amerika dari jalur nasionalis termasuk kumpulan Islamis telah hampir hancur. Mereka berundur ke wilayah padang pasir yang lebih selamat.

Ketika inilah Presiden Obama dengan bangganya membawa bala tentera Amerika meninggalkan Iraq. Pada Disember 2011, Obama mengumumkan semua soldadu dan bala tentera Amerika selamat pulang. Iraq dipulangkan kepada Iraqi dibawah pimpinan Presiden Maliki.

Iraq Baru bawah pimpinan Presiden Maliki membawa satu harapan kepada rakyat Iraq. Presiden Maliki diharap-harapkan akan membawa keamanan. Tetapi harapan tinggal harapan. Maliki dilihat bukan Presiden Iraq, bukan mewakili Iraqi tetapi menjadi Presiden Syiah. Sikap berpuak Maliki ini cukup tebal dan ini gagal untuk melahirkan Iraq Baru pasca-Saddam.

Pilihan raya 2010 telah memperlihatkan cara pengundi memilih. Sama seperti yang berlaku di Tanah Melayu pada tahun 1955, Melayu undi Melayu, Cina undi Cina. Di Iraq, Syiah undi Syiah dan Sunni undi Sunni. Sikap sekterian mazhab ini semakin menebal.

Pertelingkahan Shia/Syiah ini menjadi bertambah buruk. Naib Presiden Tariq al-Hashemi telah dituduh oleh Maliki bersekongkol dengan 'puak pengganas'. Tariq melarikan diri. Pada September 2012 dia telah dijatuhkan hukum mati. Kini Tariq seoarang Sunni hidup dalam buangan di Doha.

Sikap sekterian Maliki ini tidak berkesudahan. Kini seorang lagi menteri kewangan Iraq dituduh bersekongkol dengan 'puak pengganas'. Raffi al-Issawi dilihat sebagai perwakilan Sunni dalam kabinet Maliki. Pada bulan Disember 2012, sosok ini diserang dan cuba ditangkap. Raffi yang amat-amat dihormati di kalangan Sunni kini melarikan diri. Dengan ini keyakinan warga Sunni terhadap kerajaan Iraq Baru hancur.

Ketika semua ini berlaku Abu Bakar Baghdadi mungkin dalam penjara Amerika di Kem Bucca atau mungkin telah dibebaskan. Apa yang sahih dalam penjara Iraq, ada ratusan anak-anak muda Sunni yang telah ditahan oleh soldadu Maliki.

Dalam masa yang sama kumplan Rela Syiah terus menerus membunuh anak-anak muda Sunni walau pun mereka tidak terlibat dalam apa gerakan politik. Syiah bunuh Sunni menjadi lumrah hinggakan saban hari mayat bergelimpangan ditemui di pinggir jalan.

Ketika ini juga Amerika sedang menjalankan strategi induk untuk mendominasi telaga minyak dunia. Racangan kaum imperialis Amerika untuk mengepung dan memiliki telaga minyak dunia sedang dijalankan satu persatu. Libya kini telah menjadi wilayah Amerika. Gadaffi telah mati dibunuh, maka langkah saterusnya ialah menyerang Syria.

Amerika menyerang Syria adalah sebahagian daripada tindakan yang telah dilakar dan dirancang. Amerika dengan licik telah menggunakan dasar 'pecah perintah'. Di Iraq, Amerika mendokong kerajaan Syiah manakala di Syria Amerika menyokong Sunni untuk menggodam Bashir yang dikatakan dari mazhab Syiah.

Perang Syria ini telah membuka peluang yang amat baik untuk Al-Qaeda cawangan Iraq. Pada musim panas 2011 mereka telah memasuki Syria. Di Syria, Al-Qaeda telah mendapat sambutan hangat. Mereka dilihat sebagai pejuang Sunni.

Saudi, Qatar dan Kuwait telah menyokong dengan dolar dan dinar segala jenis macam kumpulan-kumpulan Sunni yang dikatakan ingin menumbangkan kerajaan Bashir. Senjata mula masuk mencurah-curah dari Amerika dan sekutunya. Amerika, Britain, Perancis dan Turki telah terlibat secara langsung dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan Bashir di Damascus.

Di sinilah Al-Qaeda yang berpengalaman dalam taktik perang gerila telah membuktikan ketrampilan mereka. Kalau dahulu mereka hanya menunggu duit zakat dan sedekah, kini duit dan senjata datang mencurah-curah. Mereka juga telah mula menjalankan 'road block' untuk memungut cukai, melakukan 'rompakan' untuk menambah dana. Al-Qaeda juga telah berjaya menawan telaga minyak di Syria.

Pada bulan April 2013, warga Sunni di Iraq telah melakukan tunjuk perasaan di Bandar Huwija. Seorang soldadu telah 'ditembak' mati. Tapi tindak balas dari Presiden Maliki cukup memeranjatkan. Seramai 56 penunjuk perasaan telah ditembak mati oleh soldadu Maliki. Keadaan ini menjadikan semua pekan dan kota bermajoriti Sunni – Ramadi, Fallujah, Takrit dan Mosul- keluar berdemo untuk bersetiakawan.

Dalam suasana inilah kumpulan Al-Qaeda cawangan Iraq berhujah bahawa pilihan raya telah dijalankan dan hasilnya menteri Sunni ditangkap. Tunjuk perasaan telah dilakukan. Hasilnya ramai yang ditembak mati. Al-Qaeda kini berhujah bahawa masanya telah sampai untuk semua anak muda Sunni bangun menentang Maliki dengan mengangkat senjata.

Lima bulan sesudah pembantaian di Huwija, Al-Qaeda telah menyerang penjara Abu Ghraib. Serangan ini membebaskan 500 tahanan. Ini bermakna Al-Qaeda bertambah 500 orang gerila.

Dengan senjata dari Syria dan sokongan warga Sunni, Al-Qaeda telah menyerang Ramadi dan Falujjah. Dua kota Sunni ini berjaya ditawan. Amat jelas soldadu Maliki tidak ada keupayaan untuk menentang kumpulan Al-Qqeda ini.

Pada bulan April 2013, Al-Qaeda Iraq menukar nama untuk menjadi Negara Iraq dan Levant (ISIS) dan melantik Abu Bakar al-Baghdadi sebagai pemimpin. ISIS menghidupkan kembali konsep Khalifah. Konsep ini dilihat telah berjaya menjerut bukan sahaja anak muda di Iraq, malah menjerut dan memanggil ramai anak-anak muda Sunni dari benua Arab dan Eropah untuk menyertai revolusi dalam usaha untuk menegakkan kembali sistem Khalifah Islam.

Laungan Kahlifah Islam ini juga telah sampai ke Malaysia. Justeru laungan inilah yang telah memanggil saya untuk menulis dan memberi pencerahan tentang ISIS.

Bersambung...

Monday, November 24, 2014

Perang petrol dan ISIS

Oleh: Hishamuddin Rais




Sepuluh hari setelah World Trade Center di New York meledak dilanggar kapal terbang, Jeneral Wesley Clark, bekas Komander Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah datang melawat Pentagon.

Pentagon ialah ibu pejabat Jabatan Pertahanan Amerika. Jeneral Clark datang untuk bertemu dengan Naib Presiden Dick Cheney dan Timbalan Setiausaha Pertahanan Paul Wolfowitz. Mereka berbincang tentang ledakan yang baru berlaku.

Ketika beredar, Jeneral Clark 'ditahan' oleh seorang jeneral yang pernah bertugas bawahnya. Sang jeneral ini memberitahu bahawa Iraq akan diserang. Sesudah itu Syria, Lebanon, Libya, Sudan dan akhirnya Iran.

(There) is a memo (at the Pentagon) that describes how we’re going to take out seven countries in five years, starting with Iraq, and then Syria, Lebanon, Libya, Somalia, Sudan and, finishing off, Iran.”

- General Wesley Clark, former Supreme Allied Commander of NATO (1997-2000), (March 2, 2007) 

Justeru jelas serangan ke atas Iraq ini telah lama dirancang. Bisul telah lama mengeram. Ledakan WTC 9/11 hanyalah 'punat' yang dirancang untuk meletus. Perang tidak bermula secara spontan. Perang disusun, diatur dan dirancang dengan teliti. Perang bukan mabuk bergaduh di kedai todi.

Untuk para pembaca yang terlupa biar saya ingatkan bahawa Amerika telah menyerang negara-negara yang warganya beragama Islam: Iran (1980, 1987-1988), Libya (1981, 1986, 1989, 2011), Lebanon (1983), Kuwait (1991), Iraq (1991-2011, 2014- belum tamat), Somalia (1992-1993, 2007- belum tamat ), Bosnia (1995), Afghanistan (1998, 2001- belum tamat), Sudan (1998), Kosovo (1999), Yaman (2000, 2002- belum tamat), Pakistan (2004- belum tamat ).

Dan ketika saya menggarap tulisan ini perang sedang dilancarkan ke atas Syria.

Apakah maknanya semua peperangan ini? Kenapa perang ini berterusan?

Dari pemerhatian saya berita sama ada dari kaca TV atau yang dicetak telah gagal untuk menerangkan sejelas mungkin tentang makna perang ini. Media Malaysia, malah media dunia kapitalis telah gagal untuk memberi pencerahan tentang makna perang ini.

Akhbar dan media kita hanya melaporkan berapa yang mati, siapa yang meledak, di mana pertempuran berlaku, siapa yang diserang, kenyataan dari presiden itu dan perdana menteri ini atau dari politikus pelbagai jenis. Untuk saya ini tidak memadai untuk betul-betul memahami apa itu politik dan apa itu realpolitik. Dan apa maknanya perang.

Letupan, bom yang meledak, soldadu yang gugur, orang kampung yang tewas, kanak-kanak yang menjadi mangsa atau bangunan yang runtuh hanyalah fenomena perang. Semua ini adalah manifestasi. Di belakang manifestasi ini ada 'gajah' yang lebih besar. Gajah inilah yang tidak berani diusik oleh media. Gajah ini tidak berani dihujah oleh pemerhati politik. Gajah ini juga tidak dibogelkan untuk diketahui umum.

Tulisan saya ini ialah untuk membogelkan 'gajah ' ini.

Perang ialah politik. Saya ulangi sekali lagi bahawa perang adalah penerusan politik. Perang adalah politik yang tidak dapat diselesaikan melalui perundingan. Manakala politik ialah perebutan kuasa. Perebutan kuasa bertujuan untuk merebut dan memiliki punca-punca ekonomi. Ekonomi ialah asas politik. Gagal memahami asas ini maka kita akan gagal memahami apa itu politik.

Contohnya: Pakatan Rakyat berjuang untuk menggulingkan kerajaan BN kerana Pakatan mahu memiliki punca-punca ekonomi Malaysia. United Malays National Organisation terus mahu berkuasa kerana dengan kuasa mereka memiliki punca-punca ekonomi dan kekayaan Malaysia. Tujuan ahli-ahli Pakatan berpolitik ialah memiliki punca ekonomi.

Bangsa, bahasa, agama, kenegerian, wilayah, budaya dan, dan, dan, semua ini hanyalah alat propaganda dalam usaha untuk mengolah persetujuan orang ramai dalam usaha merebut kuasa. Ia tidak berubah-ubah sama ada parti itu ahlinya beragama Hindu, beragama Islam, tidak beragama atau tidak meminati agama. Ini hukum politik. Ini hukum ekonomi.

Justeru perang yang dilancarkan oleh Amerika terhadap negara-negara Arab, negara Afrika semuanya kerana ekonomi. Ekonomi yang dimaksudkan ialah minyak – bahan bakar petroleum. Hari ini siapa yang memiliki minyak akan memiliki kuasa dalam dunia ini. Tanpa memiliki bahan bakar petrol sesebuah negara tidak memiliki kuasa kerana minyak petrol ialah kuasa.

Hari ini harga bahan bakar petroleum telah jatuh mendadak. Ketika saya menulis ini harga minyak Brent mentah ialah AS$83.39 satu tong. Bulan April yang lalu harganya hampir AS$120 untuk satu tong. Kenapa ini berlaku? Kenapa jatuh mendadak? Biasanya apabila musim sejuk sampai maka harga minyak dan gas naik. Tetapi yang berlaku sebaliknya.

Sebenarnya turun naik harga bahan bakar petrol dalam Oktober/November 2014 ini ialah sebahagian dari strategi perang yang sedang dilakukan oleh Amerika. Harga minyak kini menjadi senjata.

Harus diingat bahawa pada ketika ini Amerika memiliki dua musuh yang jelas. Musuh Amerika ialah Rusia dan Iran. Ini musuh yang tersurat. Awas. Musuh akhir kuasa imperial Amerika ialah China. Malah tiga negara ini China, Rusia dan Iran secara gelap dan secara terang sering tidak patuh dan tidak tunduk kepada kuasa imperial Anglo-Amerika.

Amerika menyedari bahawa hari-hari akhirnya telah sampai apabila China menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar sesudah Amerika. China satu-satunya kuasa dunia yang boleh bersaing dan melawan Amerika. Jika China bersatu bersama Rusia jawabnya Amerika terkubur.

Atas kesedaran ini, secara rahsia Amerika telah bersekongkol dengan kerabat diraja Arab Saudi untuk menjatuhkan harga minyak. Caranya cukup senang. Saudi pada ketika ini ialah pengeluar terbesar minyak petrol dunia. Saudi telah telah mengalirkan minyak melebihi permintaan. Pasaran minyak dunia dilambakkan dengan minyak. Justeru harga mula jatuh.

Tujuan menjatuhkan harga minyak ini ialah untuk melemahkan ekonomi Rusia. Satu sekatan ekonomi telah dikenakan ke atas Rusia setelah Crimea bersetuju untuk kembali menjadi wilayah Rusia pada March lalu. Sekatan ini tidak menjejaskan ekonomi Rusia. Maka, satelah MH17 meletup 17 Julai dahulu, satu lagi sekatan ekonomi dikenakan. Tetapi ekonomi Rusia masih lagi kukuh kerana Rusia adalah pengeluar minyak kedua terpenting sesudah Arab Saudi.

Pada ketika ini Rusia membekalkan 38 peratus bahan bakar petrol untuk Eropah. Ini bermakna Eropah menjadi rakan niaga yang intim dengan Rusia. Eropah bergantung kuat dengan Rusia. Rusia terus mendapat tukaran dolar dan euro hasil dari penjualan minyak dan gas. Justeru, nikmat ekonomi Rusia ini wajib diledakkan.

Justeru rampasan kuasa kumpulan fasis di Ukraine wajib dibaca sebagai sebahagian daripada strategi mengepong Rusia. Apabila kumpulan fasis pro-Amerika ini dinobatkan di Kiev maka laluan saluran minyak dan gas dari Rusia ke Eropah akan diganggu dan dipotong. Pembekalan bahan bakar ini minyak dan gas ke Eropah Barat adalah tunggak ekonomi Rusia. Pasaran Rusia dihalang dalam masa yang sama harga menurun. Ini satu serangan hebat.

Penurunan harga minyak ini juga bertujuan untuk mengganggu gugat Iran. Iran sama seperti Rusia telah dikenakan pelbagai bentuk sekatan ekonomi. Banyak negara termasuk Malaysia yang pada satu ketika dahulu berniaga dengan Iran telah mendapat tekanan dari Amerika. Iran juga – sama seperti Rusia – adalah pengeluar minyak dan gas terbesar dalam dunia.

Sebenarnya apa lagi Amerika mahu?

Amerika sedang merancang untuk mewujudkan satu tata dunia yang baru. Ini dipanggil New World Order (NWO). Dalam strategi NWO ini, negara-negara dalam dunia ini akan hilang kedaulatan dan wajib tunduk bawah kuasa imperial Anglo-Amerika. NWO ini akan mewujudkan satu kerajaan yang didalangi oleh kaum pemodal Anglo-Amerika.

Justeru, pada ketika ini dunia telah dipecah-pecah ke beberapa wilayah. Amerika Utara dan Selatan satu wilayah. Afrika satu Wilayah. Timur tengah satu wilayah dan Asia satu wilayah. Ada wilayah yang terikat dengan perjanjian ekonomi dan pertahanan.

Contohnya, Eropah Barat ada perjanjian tentera dalam NATO. Jepun diikat dengan perjanjian ketenteraan semenjak tahun 1951 dengan Amerika. Asia kini sedang dipaksa untuk diikat dengan perjanjian TTPA.

Dalam perancangan kuasa imperial Anglo-Amerika – dengan bala tentera yang kuat maka empayar Amerika ini akan tegak berdiri hingga dunia kiamat.

Lalu persoalan timbul, apa kena mengena semua ini dengan ISIS?

Pada 10 Mac 2013 agensi berita Reuters di Berlin telah memetik satu berita tentang ISIS dari majalah Der Spiegal – mingguan dalam bahasa Jerman. Menurut laporan Der Spiegal, gerila-gerila ISIS telah dilatih oleh Amerika di Jordan. Berita ini tidak memeranjatkan sesiapa kerana umum telah mengetahui ISIS ini sama seperti Al-Qaeda, adalah anak didik Amerika.

Justeru apa tujuan ISIS ini diwujudkan?

Sebelum saya menjawab kenapa ISIS diwujudkan, saya amat yakin pasti semua pembaca teringat akan nama arwah Usama bin Ladin dari Al-Qaeda. Malah apabila nama ini disebut pasti imej sosok akan tergambar. Tetapi berapa ramai yang teringat akan nama Abu Musab Al-Zarqawi atau Zarqawi?

Ke mana hilangnya Zaqarwi yang dikatakan berkaki kudung dan bermata satu. Sosok ini dikatakan sebagai pemimpin numero unocawangan Al-Qaeda di Iraq. Dunia melalui media Barat telah heboh dengan Mamat Zaqarwi yang dilaporkan amat licik memimpin gerila menyerang soldadu Amerika di Iraq.

Kini 'Jom Heboh' Mamat Zarqawi ini telah padam. Tetiba dunia menjadi Jom Heboh dengan nama Abu Bakar Al-Baghdadi yang dulunya dikenali sebagai Dr Ibrahim atau Abu Du'a. Sosok ini dilaporkan oleh media Barat sebagai Khalifah Islam yang baru. Betul ke semua ini?

Thursday, March 27, 2014

Antara Rakyat, Kerajaan dan Negara



Hari ini walaupun sudah hampir 57 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan namum rakyat negara kita malahan pemimpin-pemimpin dalam negara kita juga dilihat masih lagi tidak mampu untuk melihat dan membezakan antara rakyat, kerajaan dan negara. Kesukaran memahami dan membezakan ketiga-tiga perkara inilah yang menyebabkan salah faham dan krisis terhadap sistem kenegaraan kita hari ini. Maka tidak hairanlah pada hari ini, rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan atau melawan tindakan kerajaan akan digelar dan dituduh sebagai pengkhainat negara dan dengan tuduhan-tuduhan yang mahu merosakan negara dan sebagainya. Juga pemimpin yang terus membolot dan menggunakan harta negara kerana beranggapan bahawa dia adalah kerajaan dan rakyat terus merayu dan meminta kerana beranggapan bahawa rakyat adalah hamba yang perlu menurut perintah.


Sebenarnya semua tanggapan ini adalah salah sama sekali. Rakyat, kerajaan dan negara perlu dilihat dan dinilai dalam waktu yang sama tetapi pada tempat yang berbeza. Apa yang ingin penulisan ini sampaikan dan mahu memberi pencerahan kepada pembaca bahawa dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia, “rakyat” itu merupakan “tuan” atau boss kepada negara. Jika rakyat adalah tuan, boss atau tauke dalam sebuah negara, bagaimana pula dengan kerajaan? Bukankah kerajaan itu merupakan pemerintah?. Jawapannya adalah ya, memang kerajaan itu merupakan pihak yang memerintah tetapi ini bukan bermaksud mereka adalah tuan yang mutlak. Kerajaan dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia adalah seperti “pengurus” yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja mengurus. Kerajaan bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja menguruskan negara. Untuk siapa kerajaan ini menguruskan negara?. Jawapannya kerajaan menguruskan negara ini untuk rakyat.


Jadi setakat ini adakah pembaca yang budiman dapat melihat garis pemisah antara rakyat, kerajaan dan negara. Jika masih kurang jelas biar saya jelaskan dalam bentuk perbandingan. Mari saya membawa pemikiran pembaca kepada sebuah organisasi syarikat. Didalam sesebuah syarikat mesti terdapat majikan dan pekerja(pengurus). Dalam contoh ini, “syarikat” itu tadi boleh diumpamakan sebagai “negara” manakala “majikan” pula boleh diumpamakan sebagai “rakyat” dan “pengurus” boleh diumpamakan sebagai “kerajaan”. Kenapa saya mengatakan begitu? Mari kita lihat perenggan seterusnya.

Sumber: http://www.malaysia-today.net/protests-reflect-vibrant-democracy-pm/
Dalam sebuah syarikat, siapa yang melantik pengurus? Jawapannya sudah tentu majikan. Bagaimana pengurus ini dilantik? Jawapannya sewaktu sesi temuduga dan si pengurus tadi mengemukakan permohonan untuk mengisi jawatan sebagai pengurus. Dalam sistem negara kita siapa yang melantik kerajaan? Maka jawapannya adalah rakyat. Bila rakyat melantik kerajaan? Jawapannya ialah sewaktu pilihanraya bilamana parti-parti politik tertentu menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihanraya dan mahu dilantik untuk mengisi kekosongan sebagai kerajaan setelah parlimen dibubarkan. Tujuan apa majikan melantik pengurus? Sudah tentu untuk mengarahkannya menguruskan kerja-kerja syarikat. Dan kenapa rakyat melantik kerajaan? Tujuannya adalah untuk menguruskan negara. Jadi dalam sebuah syarikat siapa yang mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat seseorang pengurus? Jawapannya sudah tentu majikan. Juga dalam sistem negara kita, siapa yang mempunyai kuasa untuk melantik dan menukar kerajaan? Jawapannya sudah tentu rakyat. Maka adakah tidak tepat jika dikatakan rakyat itu adalah tuan,boss atau tauke dan kerajaan itu adalah pengurus, pekerja atau dengan kata lain kuli dalam sistem kenegaraan ini. 


Dalam sesebuah syarikat jika seoarang pengurus itu tidak pandai melaksanakan kerja dan tugas yang diamanahkan kepadanya apakah tindakan yang selalu diambil oleh majikan. Jika seorang pengurus itu tidak amanah, selalui mencuri duit syarikat, menyalahgunakan harta syarikat untuk kepentingan peribadi adakah pengurus ini patut diberi pujian dan dinaikkan pangkat. Jika seorang pengurus menyebabkan kuailiti produk keluaran syarikatnya merosot dan menyebabkan syarikat kerugian hampir setiap tahun adakah majikan mahu menyimpan lagi pengurus yang sebegini. Dapatkah pembaca yang budiman bayangkan apa yang akan terjadi kepada syarikat tersebut jika pengurus yang sebegitu terus dikekalkan untuk mengurus syarikat tersebut. Sudah pasti syarikat tersebut akan bangkrap dan majikan akan kehilangan perniagaannya serta hidup dalam keadaan merana. Adakah jika majikan memarahi pengurus yang tidak bertanggungjawab tersebut maka majikan tersebut akan digelar tidak bersyukur. Adakah jika majikan memecat pengurus tersebut maka majikan akan digelar sebagai pengkhainat syarikat  dan tidak setia dan tidak sayangkan syarikat. 


Manusia yang berfikiran waras pasti akan melihat tindakan majikan memarahi atau mungkin memecat penguruskan tersebut kerana majikan tersebut sayangkan kepada syarikatnya. Majikan tersebut tidak mahu syarikat mengalami kerugian setiap tahun yang mana kerugian tersebut akan ditanggung oleh majikan itu sendiri dan majikan tidak mahu syarikat tersebut bangkrap dan terpaksa ditutup. Maka berdosakah tindakan majikan yang mengambil tindakan terhadap pengurus tersebut.


Berbalik kepada sistem kenegaraan kita, kita mengatakan tadi yang rakyat itu adalah majikan, kerajaan itu adalah pengurus dan syarikat itu adalah negara. Jika sebuah kerajaan itu tidak pandai melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat, mengapakah rakyat pula yang dipersalahkan jika mereka memarahi kerajaan hingga ada yang menggelar mereka sebagai pengkhainat atau tidak tahu bersyukur. Apa perlu kita bersyukur apabila melihat pihak kerajaan yang sedang rakus merosakkan negara. Sebagai rakyat jika terus berdiam diri ini bermaksud rakyat tadi mahukan negaranya musnah atau bangkrap yang mana pihak yang akan menanggung beban daripada kemusnahan itu tadi adalah rakyat. 


Harus diingat, tindakan majikan yang memarahi atau memecat pengurusnya tadi, kerana dia mahu menyelamatkan syarikatnya. Begitu juga dengan rakyat yang menentang kerajaan dan mengkritik kerajaan atau menukar kerajaan adalah kerana rakyat tadi mahu menyelamatkan negaranya dan tidak mahu negaranya musnah. Kesetiaan, ketaatan dan sumpah setia yang tidak berbelah bagi setiap rakyat tanpa mengira apa bangsa dan agama adalah kepada negara dan bukannya kepada kerajaan. Kerajaan sifatnya boleh berubah dan bertukar ganti tetapi negara sifatnya kekal. Yang perlu dipertahankan bermati-matian adalah negara dan bukannya kerajaan. Jadi jika sudah jelas dan terang kelihatan sesebuah kerajaan itu sedang merosakkan negara maka amatlah wajar untuk kita tetang kerana kita semua cintakan kepada negara Malaysia ini.-TTK-

Pencerahan: TTK adalah bermaksud Teh Tarik Komtar. Ini bermaksud aktikel ini adalah hasil penulisan sendiri oleh admin blog Teh Tarik Komtar.

Sunday, January 5, 2014

Membedah Demokrasi

Oleh: Mat Sabu


APABILA saya ikuti perkembangan di laman web, Facebook, Twittter, akhbar-akhbar tabloid yang dipunyai oleh parti pemerintah dan sebahagian daripadanya dimiliki oleh parti yang tidak memerintah dan berbagai-bagai daripada siaraya yang dikeluarkan oleh berbagai pihak di Malaysia sekarang ini menyentuh hal inflasi serta kenaikan harga barang serta sara hidup.



Saya ingin tegaskan sekali lagi, nampaknya pemerintah berjaya memutar pemikiran rakyat untuk berbincang hal berkaitan kenaikan harga barang, kenaikan sara hidup, kenaikan kos perkhidmatan.


Rakyat terpengaruh dengan hujah-hujah pemerintah, yang berkaitan dengan kenaikan harga barang, kos perkhidmatan, kos sara hidup tidak dapat dielakkan. Oleh itu, saya ingin tegaskan sekali lagi, rakyat hendaklah dibawa untuk berbincang tentang punca yang berlaku berkaitan kenaikan harga barang, kenaikan kos sara hidup, kenaikan kos perkhidmatan.


Punca inilah yang cuba diselubungi atau ditutup oleh Umno dan Barisan Nasional, sebab mereka ingin lari daripada bertanggung jawab tentang keadaan suasana yang berlaku hal berkaitan kenaikan harga barang sekarang ini.


Punca utama negara Malaysia dan rakyatnya terpaksa memikul bebanan yang dahsyat, tidak lain dan tidak bukan adalah akibat daripada rasuah, ketirisan, nepotisma dan berbelanja dengan boros.


Ini adalah di antara perkara yang menyebabkan wang negara dibelanjakan secara tidak betul, di mana telah didedahkan berulang kali setiap tahun oleh Laporan Jabatan Audit Negara tentang bagaimana kerajaan berbelanja dengan wang rakyat.


Daripada skandal “mi segera” sebungkus yang berharga lebih kurang 0.30 sen, telah dibeli oleh kerajaan pemerintah dengan harga lebih daripada RM2.00. Telah didedahkan juga bagaimana sebuah teropong di Jabatan Laut yang berharga di pasaran lebih kurang RM1,900, kerajaan telah membeli dengan harga RM19,000.


Telah didedahkan juga bagaimana sebuah komputer yang berharga RM4000, kerajaan Barisan Nasional telah membelinya dengan harga lebih RM40,000. Telah didedahkan juga bagaimana sebuah jam dinding yang berharga sekitar lebih kurang RM100, kerajaan telah membelinya dengan harga lebih RM3700.


Pendedahan, demi pendedahan…., demi pendedahan…, rakyat kurang mengambil perhatian soal rasuah dan dosa rasuah. Sebab itu di dalam Islam, meletakkan soal pemberi rasuah dan penerima rasuah tempatnya adalah di dalam neraka.


Alasan diberi oleh orang awam, di mana setengah-setengah Ustaz mengatakan biarlah mereka yang terlibat itu masuk neraka. Dan kita tidak ada kena mengena dengan mereka. Tetapi apa yang berlaku sekarang akibat rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan wang rakyat, maka orang ramailah yang memikul segala bentuk bebanan yang telah dilakukan oleh para perasuah dan para penyeleweng.


Ada beberapa orang anggota polis yang telah melakukan rasuah dan penyelewengan, akibatnya seluruh anggota polis sekarang menanggung beban kenaikan harga barang, kenaikan sara hidup, kenaikan harga pengurusan daripada bocornya wang negara.


Ada juga beberapa pegawai kerajaan telah melakukan rasuah dan penyelewengan, dan akhirnya seluruh pegawai kerajaan memikul bebanan akibat daripada wang negara yang telah dibelanjakan secara tidak betul, wang negara lesap dan hilang.


Ada orang-orang politik yang ikhlas bekerja, berjuang untuk membela rakyat, tetapi ada juga di antara orang-orang politik ini yang melakukan penyelewengan, berbelanja boros, rasuah, menyalah gunakan kuasa, dan akhirnya seluruh rakyat, samada mereka yang bekerja dengan kerajaan, swasta, atau rakyat awam telah menanggung beban akibat daripada rasuah dan penyelewengan ini.


Sebab itulah, soal rasuah dan soal penyelewengan, amatlah perlu diperangi. Saya berkeyakinan penuh di mana golongan agama di kalangan orang Islam, para ulama, amatlah berpengaruh dalam masyarakat.


Apabila mereka bercakap hal Syiah, maka dalam masa lebih kurang satu tahun isu itu berkumandang dan menarik perhatian masyarakat. Saya yakin jikalau golongan agama ini, tumpu kepada hal rasuah, penyelewengan, ketirisan, salah guna kuasa, dalam masa tidak sampai satu tahun ataupun dua tahun fikiran rakyat akan berubah, akan melihat perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa itu amat jijik dan kotor sehingga boleh membawa kepada bankrapnya negara dan akhirnya rakyat yang menanggung penderitaan ini.


Oleh itu kita harap, apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini dengan kenaikan minyak, kenaikan harga elektrik, kenaikan harga tol, kenaikan harga gula dan pemotongan belanjawan pembangunan dan sebagainya, sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.


Salah satu langkah untuk membuat perubahan ini ialah di mana pilihan raya yang akan datang, rakyat wajib menukar pemerintah terutama di peringkat pusat (federal) biarlah parti lain, kumpulan lain mengambil alih pemerintahan, lalu menunjukkan cara pemerintahan dan persembahan mereka supaya negara ini diikhtiarkan untuk diselamatkan daripada “buaya darat” yang mengaut kekayaan tanpa belas kasihan, yang akhirnya orang awam dan rakyat menanggung derita.


Oleh itu, tiada jalan yang lain untuk menyelamatkan Malaysia, menyelamatkan ekonomi, menyelamatkan penderitaan rakyat, melainkan rakyat hendaklah bersedia untuk menukar pemerintah.


Lihatlah pula pemerintah baru, untuk menunjukkan prestasi pemerintahan mereka. Jikalau pemerintah baru ini pula melakukan kerja yang sama seperti yang telah dibuat oleh Barisan Nasional, maka pemerintah baru ini pula dihukum juga oleh rakyat.


Apabila rasuah dapat dikurangkan, ketirisan juga dapat dikurangkan, yakinlah bahawa yang akan mendapat kebahagiaan ialah rakyat jelata, rakyat awam.


Inilah seruan saya kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, benci kepada rasuah dan penyelewengan, benci kepada kekayaan yang dimiliki oleh orang-orang politik tanpa melalui gaji dan elaun yang sesuai.


Kerajaan menuju bankrap bukan kerana gaji menteri, bukan kerana elaun wakil rakyat, bukan kerana gaji pegawai kerajaan. Gaji menteri, elaun wakil rakyat dan Parlimen, gaji pegawai kerajaan masih rendah, tetapi negara menuju bankrap kerana rasuah, tiris, nepotisma dan penyelewengan bukan kerana gaji wakil rakyat, kerana seperti laporan audit negara faktor ketirisan yang begitu nyata, pemborosan, salah guna wang rakyat, menggunakan wang untuk bahan politik. Inilah yang menjadikan negara menuju kebankrapan, soal rasuah, tiris, pembaziran, penyelewengan dan nepotisma.


Hentikan segala bentuk retorik kosong, letakkan rasuah, ketirisan, penyalah gunaan kuasa ialah satu dosa yang perlu kita perangi, yang perlu kita tamatkan pada masa yang terdekat ini.