Membuat Keputusan Masa Depan Hidup
Setelah memikir panjang tentang perkara dan memikirkan yang aku boleh pergi lebih jauh lagi dari sijil politeknik, aku membulatkan tekad untuk berhenti dari politeknik. Pada waktu itu aku sudah hampir sebulan lebih belajar di politeknik. Keesokannya aku pulang ke rumah dan memberitahu ayah aku yang aku mahu berhenti dari politeknik dan masuk semula ke tingkatan 6. Ayah aku tidak bercakap banyak dan dia katakan terpulang pada aku untuk buat keputusan. Aku tahu ayah aku telah habiskan duit yang banyak sewaktu urusan pendaftaran masuk aku ke politeknik dan keputusan aku untuk berhenti ini sudah tentulah mensia-siakan duit yang ayah aku keluarkan hasil dari gaji titik peluhnya sebagai pekerja kilang. Jadi aku perlu bayar semula semua ini dalam bentuk satu kejayaan dan aku tidak boleh main - main dengan keputusan yang aku buat untuk masuk semula ke tingkatan enam.
Aku lepak di rumah sahaja pada hari itu dan aku sudah malas untuk ke politeknik. Esoknya aku pergi semula ke hostel dan mengemas semua barang - barang di dalam hostel untuk dibawa pulang. Selesai mengemas aku pergi ke pejabat warden untuk menyerahkan kunci kepada kerani bertugas dan aku memberi tahu bahawa aku ingin keluar dari asrama. Sewaktu hari aku sedang mengemas bilik asrama, ada seorang pelajar baru dari Selangor datang mendaftar masuk ke bilik asrama aku yang selama ini aku tinggal seorang. Aku hanya sempat berbual ringkas dengan dia dan memberitahu yang aku akan keluar asrama. Mungkin sampai kiamat pun aku tidak akan dapat bertemu dia kembali kerana namanya pun aku tidak sempat tanya. Ini satu kelemahan aku dimana aku selalu sukar untuk bertanyakan nama seseorang bila berkenalan. Aku terus pulang dengan membawa barang - barang aku menaiki motosikal. Untuk 2,3 hari aku masih kelas dengan berulang - alik dari rumah, tapi selepas itu aku terus berhenti dari politeknik tanpa memberi sebarang notis hingga pensyarah aku menghubungi telefon rumah aku. Selepas itu aku menulis surat dan menyatakan aku ingin berhenti.
Memohon Semula ke Tingkatan Enam
Aku mengambil langkah berani dengan terus berhenti dari politeknik tetapi dalam masa yang aku belum membuat permohonan untuk masuk semula ke tingkatan 6. Andainya permohonan aku untuk masuk semula ke tingkatan 6 gagal entah kemana akan aku tuju. Tetapi aku memang gemar bermain dengan risiko.
Aku menghubungi Saufi yang merupakan kawan baik aku. Kisah Saufi juga lebih kurang sama macam aku, dia sebelum ini telah pergi mendaftar dan belajar di sebuah kolej swasta di Kelantan tetapi telah berhenti dari kolej tersebut dan masuk semula ke tingkatan 6. Aku menghubungi dia untuk bertanyakan tentang cara bagaimana untuk membuat permohonan semula untuk masuk ke tingkatan 6. Dia memberi tahu aku hanya perlu membawa surat tawaran ke tingkatan enam bersama slip keputusan SPM ke jabatan pelajaran negeri di Bangunan Tuanku Syed Putra P.Pinang. Keesokanya aku mengajak Abu kawan aku untuk menemani aku ke sana. Sampai di sana aku hampa, kerana pegawai yang bertugas mengendalikan urusan tersebut sedang bercuti dan aku terpaksa menunggu lagi 3 hari untuk berurusan dengan pegawai tersebut.
Selang 3 hari aku pergi semula dengan motosikal EX5 cabuk aku yang masih bertahan hingga hari ini dengan seorang lagi kawan aku Ashun. Ashun sebenarnya sama - sama mendaftar masuk ke tingkatan enam dengan aku dahulu cuma bezanya aku berhenti tetapi dia tidak berhenti. Kebetulan pada hari itu dia tidak ke sekolah jadi dia ingin menemani aku ke Jabatan Pelajaran Negeri. Sampai di pejabat JPN Bangunan Tuanku Syed Putra aku terus ke pejabat yang sebelum ini aku pernah pergi. Kali ini pegawai tersebut ada, dan aku memaklumkan hasrat aku untuk masuk semula ke tingkatan enam sekolah yang sama iaitu High School Bukit Mertajam. Setelah meneliti surat tawaran dan keputusan SPM aku, pegawai tersebut mengatakan "ok esok hang p sekolah, tunggu sat satg ambil surat" mendengar ayat tersebut membuatkan aku rasakan satu jalan baru telah terbentang dalam hidup aku. Setelah semua urusan selesai, aku terus ke kedai untuk makan dan belanja Ashun makan tengahari pada hari itu.
Back to the school
Keesokanya, pagi - pagi aku telah bersiap - siap untuk ke sekolah semula. Aku belum mempunyai seluar putih yang merupakan uniform untuk pelajar tingkatan enam. Aku hanya memakai baju sekolah aku yang lama dan seluar sekolah hijau sewaktu di tingkatan 5 dahulu. Saufi yang dari jauh melihat aku melangkah ke kelas telah tersengih dan menunggu masa untuk mentertawakan aku yang patah balik ke tingkatan 6. Masuk sahaja di dalam kelas aku rasa seperti menemui semula jiwa aku yang hilang sebelum ini. Apa bila cikgu Sugunawati masuk kedalam kelas dia terkejut melihat aku berada didalam kelasnya. Dan dengan sepantas kilat dia membebel kerana aku masuk semula ke tingkatan enam kerana sudah tentu dia terpaksa merombak semula senarai pelajar kelas tersebut. Saufi masuk semula ke tingkatan enam seminggu sebelum aku, ini bermakna setiap minggu cikgu sugunawati terpaksa merombak senarai pelajar.
Kali ini langkah aku masuk ke tingkatan enam bukan lagi untuk bermain - main. Ya aku masih lagi mahu bermain ragbi tetapi bukan untuk bermain - main. Aku mula serius belajar sewaktu di 6 rendah, walaupun pada waktu itu telah memasuki bulan 8 dan sudah banyak topik-topik yang sudah habis diajar. Tetapi aku tidak mengalah dan terus mengejar. Namum sikap nakal aku dan member - member aku yang lain masih tetap ada. Memang aku serius untuk belajar tetapi masa yang sama aku masih nakal bersama member-member aku dan hingga di tingkatan enam pun aku masih dirotan oleh guru disiplin kerana merokok di hadapan pengetua.
Kantoi Hisap Rokok
Pagi itu, Cikgu Idris datang ke kelas aku dan membacakan number plat motosikal aku. Dia bertanyakan "PCS 6742 moto sapa??" aku dengan cool mengaku itu motosikal aku. Lantas cikgu Idris mengajak aku ke bilik disiplin. Dalam perjalanan ke bilik disiplin aku bertanyakan kepada cikgu Idris, kenapa aku dipanggil ke bilik disiplin. Cikgu Idris memulangkan semula soalan kepada aku "hang cuba ingat balik apa hang buat" aku masih lagi keliru dan tidak faham apa yang telah aku buat hingga dipanggil ke bilik disiplin. Sebenarnya Cikgu Idris adalah seorang guru disiplin yang cool, Cikgu Idris dengan aku dan member-member aku yang lain dah macam kawan hingga hari ini pun kami still kawan. Ketika menghampiri bilik disiplin aku bertanya lagi kepada Cikgu Idris, "saya parking motor tak kena ka?? motor saya takda stiker kut.." (di sekolah aku setiap kenderaan perlu mempunyai stiker khas sekolah untuk memasuki kawasan sekolah). Cikgu Idris tersengeh dan selepas itu dia menjawab "tu laa hang... nak hisap rokok pun tak pandai cover.. yang hang p hisap depan pengetua tu buat apa... dia ambil nombor plat hang pagi tadi, dia kata hang hisap rokok kat atas motor depan kereta dia dekat traffic light" mendengar kata - kata Cikgu Idris tersebut aku terus tergelak dan dengan selamba aku jawab "tu kat luar sekolah bukan dalam sekolah..."
Masuk kedalam bilik disiplin aku cuba untuk berunding dengan Cikgu Idris, bagi aku kalau kes ni aku dengan Cikgu Idris saja sure boleh settle. Tetapi nasib tidak menyebelahi aku, tiba - tiba ketua guru displin Cikgu Wong masuk ke dalam bilik displin. Cikgu Wong bertanya kenapa aku dibawa ke sini dan Cikgu Idris menjelaskan atas arahan pengetua sebab kesalahan aku tadi. Cikgu Wong mengambil kes aku tersebut dari Cikgu Idris, kali ini pendakwara telah bertukar dan sukar untuk aku berunding dengan Cikgu Wong. Aku masih mempertahankan diri aku dengan mengatakan yang mengisap rokok tersebut luar sekolah, jadi aku tidak boleh diambil tindakan, lagi pun waktu itu belum lagi masuk waktu sekolah, dan pada waktu itu juga aku memakai jaket sewaktu menunggang motorsikal, jadi tidak timbul soal imej sekolah dan sebagainya. Tapi ternyata Cikgu Wong seorang yang sukar berdiplomasi, akhirnya aku rela dirotan agar tidak memanjangkan cerita. Sebenarnya aku sudah tidak mampu untuk mengira jumlah rotan yang telah hinggap dipunggung aku sejak selama 7 tahun aku di High School Bukit Mertajam jadi perkara dirotan ini adalah perkara biasa bagi aku. Cuma bezanya kalau dahulu aku merasa bangga bila dirotan umpama hero yang dari bilik hukuman dan melambai tangan kepada penyokongnya. Tetapi pada waktu ini aku merasa malu kalau - kalau junior-junior pempuan dapat tahu yang aku dirotan kah kah kah..
Awek Dan Putus Cinta
Di tingkatan enam rendah ini juga aku telah putus cinta dengan awek aku, sebenarnya aku mempunyai seorang awek pada waktu itu. Awek aku pada waktu itu baru tingkatan 3.(tergalak aku menulis ini). Aku couple dengan dia sewaktu pertengahan aku di tingkatan 5. Waktu itu dia baru tingkatan dua, dengan status aku sebagai pemain ragbi sekolah yang memang terkenal amat mudah untuk aku menekel dan mengorat awek junior. Tetapi sebenarnya itulah kali pertama aku mengorat secara direct kerana sebelum itu ini seorang yang amat pemalu dengan perempuan. Sewaktu aku di tingkatan 6 rendah aku baik dan rapat dengan seorang budak perempuan (tak perlu disebutkan nama) dari dalam kelas aku. Keakraban dan kerapatan aku dengan classmate perempuan aku tersebut telah berjaya dihidu oleh awek aku tersebut. Perkara ini membuatkan dia cemburu dan memutuskan hubungan dengan aku. Sebenarnya pada waktu itu aku sendiri sudah bosan dengan awek aku tersebut kah kah kah.... tetapi dengan budak perempuan kelas aku ini juga aku tidak mempunyai apa - apa perasan hanya seronok - seronok berkawan kerana sebelum ini aku tidak pernah berkawan dengan perempuan kah kah kah..... aku hiaran kerana orang selalu mengatakan yang apa bila putus cinta akan berasa sedih kecewa, tetapi aku pada waktu itu langsung tidak merasai semua itu dan mungkin itulah yang dikatakan cinta monyet kebun bunga kah kah kah...
Tetap Cool Bukan Skema dan Poyo
Selepas itu perjalanan hidup aku di tingkatan enam rendah terus berlalu seperti biasa. Aku mereka cukup seronok ketika belajar di tingkatan enam rendah tersebut walaupun banyak kerja dan latihan serta buku yang tebal - tebal perlu dibaca. Aktiviti ragbi aku masih terus berjalan, setiap petang aku akan masih turun ke padang untuk berlatih ragbi untuk kejohanan ragbi sekolah - sekolah primer, tetapi malangnya tahun itu kami dibelasah oleh Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar yang merupakan musuh trasidi bagi kejohana primer cup. Aku dan rakan - rakan aku yang lain telah melanggar norma budak tingkatan 6 sebelum - sebelum ini. Ini kerana sebelum - sebelum ini iaitu senior aku yang lain, apabila masuk ke tingkatan 6 terus bertukar menjadi mamat skema, rambut yang sebelum ini tidak pernah bersikat telah disikat rapi, berjalan melangkah umpama seorang YB dan sentiasa mengepit buku, jauh sekali untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan secara serius. Tetapi batch kami tidak begitu, aku dan member - member aku terus dengan sikap dan perangai gila - gila, rambut bermacam fesyen dan tetap aktif bermain ragbi hingga merisau dan menggusarkan guru kuanselor iaitu Cikgu Zauridah.
Walaupun begitu kami tetap belajar dan tahu tujuan kami masuk ke tingkatan enam. Kerana bagi aku, rambut yang disikat rapi, langkah yang tersusun kemas tidak sama sekali menjamin kejayaan dalam STPM apa tah lagi jika buku hanya dikepit tetapi tidak dibaca. Tinggal lagi beberapa bulan untuk habis tingkatan enam rendah seorang lagi kawan aku iaitu Zul telah membuat "come back" ke tingkatan enam. Masa berlalu begitu cepat aku rasakan ditingkatan enam rendah. Tidak aku sedar aku dan rakan - rakan aku yang lain telah tamat tingkatan enam rendah.
Selepas cuti penggal hujung tahun, aku dan member - member tingkatan enam aku kembali semula ke sekolah dalam umur 19 tahun pada waktu itu ke tingkatan Enam Atas Harmoni (6PAH) yang menyaksikan lebih banyak cabaran, kisah suka dan duka.....
No comments:
Post a Comment