Showing posts with label idea spontan. Show all posts
Showing posts with label idea spontan. Show all posts

Friday, September 20, 2013

Siapakah DIA???





Dia adalah seorang yang tidak pernah berputus asa tetap sabar walaupun kejayaan tidak pernah dijanjikan dalam setiap langkah usahanya. Dia tetap berusaha bersungguh - sungguh walau sering yang dijumpainya adalah kegagalan. Namum disebalik kesungguhannya itu dia langsung tidak mengharapkan ganjaran jauh sekali mengharap ianya berjaya. Baginya usahanya itu adalah satu kepuasan bukan kejayaan dari usahanya itu yang memuaskan hatinya. Adakalanya dia dicemuh kerana dikatakan melakukan sesuatu yang sia - sia, tapi dia tetap tenang tidak membalas cemuhan itu kerana baginya adalah tidak adil menghukum balas kepada mereka yang tidak tahu apa - apa yakni jahil. Bila tiba masanya dia akan berusaha dan mencuba lagi, namum jauh dihatinya dia tetap tidak mengharapkan usahanya itu berbalas dengan kejayaan. Adakala dia berjaya namum yang dibicara adalah bukan kejayaan itu tapi usahanya. Begitulah unik sifat dia. Dia adalah........................







           Si Pemancing Ikan...

Wednesday, April 18, 2012

Antara Sempurna dan Menyempurnakan


Kita selalu bercakap tentang kesempurnaan tetapi kita sering terlupa bagaimana untuk menyempurnakan. Baik dalam apa jua hal dalam hidup kita, kita pasti akan mencari yang sempurna. Dalam bidang akademik pelajar akan mencari kesempurnaan dalam keputusan peperiksaan. Tetapi adakah cukup sempurna seorang pelajar itu jika hanya mempunyai keputusan peperiksaan yang sempurna tetapi tidak sedar dan tidak tahu bagaimana untuk menyempurnakan ilmu  yang dipelajarinya. Adakah hanya cukup sekadar lakaran A diatas slip atau transkrip peperiksaan. Jika hanya lakaran A yang dikejar itu dikatakan sempurna ia sebenarnya belum sempurna dan masih lagi perlu kepada proses penyempurnaan.

Seorang pekerja tentu mahukan suasana tempat kerja dan pengurusan tempat kerja yang sempurna. Jika tempat kerjanya atau pengurusannya kurang sempurna pasti pekerja – pekerja ini melahirkan rasa tidak puas hati dan membebel – bebel tentang ketidaksempurnaan yang dirasainya. Namum pernahkah pekerja – pekerja itu tadi memikirkan bagaimana cara untuk menyempurnakan ketidaksempurnaan yang dirasainya itu. Adakah kesempurnaan itu boleh datang dengan sendiri tanpa berbuat apa – apa.

Dalam hidup berkeluarga atau mencari pasangan sudah pasti kita mahukan keluarga yang sempurna. Tetapi apa peranan kita sebagai anggota keluarga untuk menyempurnakan keluarga kita dan bagaimana ianya hendak disempurnakan. Mencari pasangan hidup sudah tentu sesiapa sahaja mahukan pasangan yang sempurna di mata dan di hati kita. Namum pernahkan kita terfikir jika yang datang itu sudah benar – benar sempurna maka peranan kita sudah tiada dan kita hanya akan menjadi pengguna atau dipergunakan. Sudah tentu kita mahu memainkan peranan dalam hidup dan peranan itu datang bila kita mampu untuk melakukan sesuatu agar boleh disempurnakan.

Tidak ada siapa yang tidak mahu sesuatu yang tidak sempurna mungkin ketidaksempurnaan yang kita lihat di depan mata kita itu sempurnanya ada pada kita atau pada orang lain. Oleh itu kita perlu memainkan peranan untuk menyempurnakan sesuatu ketidaksempunaan yang kita kesan baik dalam diri, masyarakat atau persekitaran kita. Sesuatu yang sempurna tidak tidak akan hadir tanpa diusahakan.

Sunday, November 6, 2011

Tidak Punya Idea Untuk Menulis

Dalam tempoh dua ke tiga hari ini blog "Teh Tarik Komtar" agak sunyi kerana aku tidak mempunyai idea untuk menulis. Ini mungkin disebabkan kesibukan kerja dan beberapa hal lain yang menyebabkan ilham untuk berkarya itu terbantut. Mungkin ini yang dikatakan kekejaman dunia yang adakalanya merentap ruang untuk kita berfikir sebaliknya terpaksa menumpukan kepada rutin harian yang regim. 

Boleh saja aku mencari isu-isu dan komentar - komentar panas dari beberapa laman web lain dan "paste" kan ke blog ini untuk menarik lebih ramai pengunjung ke blog aku. Tetapi itu bukan satu cara yang aku gemari. Sebaliknya aku lebih gemar untuk menghasilkan penulis asli aku sendiri di laman blog ini. Ya, memang aku juga inginkan jumlah pelawat yang tingggi ke blog ini namum bagi aku kepuasan itu bukan datang hanya dari jumlah pengunjung tetapi kepuasan yang sebenarnya adalah apabila aku dapat menghasilkan penulisan atau ulasan dari idea asli aku sendiri. 

Namum dengan kesibukan adakalanya menjejaskan peluang aku untuk berkarya. Memang boleh untuk aku memaksa sesuatu idea itu untuk menjadi suatu ulasan dan penulisan. Tetapi hasil karya yang dipaksa adakalanya tidak begitu membanggakan kerana mungkin karya itu sendiri tidak ikhlas dengan kita. Bagi aku, untuk kita membuat satu penulisan atau ulasan kita perlu ikhlas dan tiada paksaan agar idea dan pandangan yang dilontarkan itu bisa menghasilkan sesuatu yang bermakna.

Oleh itu, jika saudara pembaca mempunyai sebarang isu yang ingin aku ulaskan disini, sudilah kiranya mencadangkan idea tersebut. Dan mungkin ianya bisa mencetuskan idea kepada aku untuk menulis dalam runag maya ini.

Sunday, May 29, 2011

Kebosanan itu seni dan seni itu indah

Hujung minggu aku sama ja seperti hari-hari biasa. Bangun tido, makan, tengok tv pastu online. Memang bosan dan bosan itu adalah seni dan seni itu indah. Rasa bosan itu juga merupakan nikmat atau suatu perasaan yang dikurniakan oleh maha percipta kepada setiap makhluk. Aku rasa bukan manusia saja yang pernah dan akan mengalami perasaan bosan, malahan binatang juga mungkin pernah mengalaminya.

"Bosan" boleh dikategorikan sebagai satu perasaan atau situasi sunyi atau situasi bilamana sesorang itu tidak tahu hendak berbuat apa-apa atau tidak ada sebarang aktiviti yang menarik baginya. Mungkin seseorang itu ada mempunyai sesuatu aktiviti tetapi aktiviti itu sudah tidak menarik atau sering kali dilakukan dan melahirkan perasaan "bosan" terhadap aktiviti itu.

"Bosan" juga bukan sahaja boleh berlaku pada sesuatu aktiviti atau sesuatu situasi. Tetapi "bosan" juga boleh berlaku kepada diri sendiri, bosan dengan pasangan, bosan dengan kawan-kawan, bosan dengan pekerjaan, bosan dengan majikan, bosan dengan kereta yang ada, bosan dengan subjek pelajaran dan pelbagai lagi perasaan "bosan" ini boleh meresapi ke dalam diri kita. Selalunya kebosanan ini boleh melahirkan tekanan atau "stress".

Pelbagai langkah dan cara cuba dilakukan oleh setiap manusia untuk mengatasi rasa bosan. Dan adakalanya mereka berjaya dan ada juga yang tidak berjaya untuk mengatasinya. Seseorang itu boleh dikatakan berjaya mengatasi rasa bosannya jika dia berjaya menjumpai aktiviti atau sesuatu perkara yang boleh mengembirakan dirinya. Seseorang yang bosan pada hujung minggu dan tidak tahu berbuat apa-apa mungkin berjaya mengatasi rasa bosannya apabila dia menjumpai sesuatu aktiviti yang menarik untuk dia lakukan. Contohnya seperti bersukan, memancing, keluar membeli belah. Atau seseorang yang bosan dengan kereta yang dipakai dia sekarang berjaya mengatasi rasa bosanya jika dia berjaya membeli kereta yang baru. Begitu juga bagi mereka yang berjaya mendapat pasangan baru dan mungkin rasa bosan dalam hubungan dengan pasangan lama akan hilang.

Namun tidak semua orang berjaya dalam cubaan untuk mengatasi rasa bosan dalam hidupnya. Mungkin seseorang itu begitu bosan dengan pekerjaan dia sekarang tetapi dia tidak mampu untuk menukar ke pekerjaan baru diatas beberapa faktor seperti tawaran gaji yang lebih rendah atau jarak tempat kerja yang jauh, maka mahu tidak mahu dia terpaksa melayani kebosanan bekerja ditempat kerja yang sedia ada. Seseorang juga mungkin sudah bosan dengan kereta yang dipakai dia sekarang tetapi tidak mampu menukar ke kereta baru mungkin disebabkan kewangan yang tidak mencukupi.

Aku juga sebenarnya tengah mengalami apa yang sedang aku bicarakan ini iaitu "kebosanan". Lalu menulis di blog ini aku rasakan sebagai mampu untuk mengatasi rasa bosan yang sedang melanda diri aku ini. Tetapi aku sendiri tidak pasti adakah dengan cara ini mampu mengatasi rasa bosan dalam diri aku ini. Sebab itu aku katakan kebosanan itu adalah satu seni dan seni itu adalah indah. Dan jika ada dari anda yang tidak membaca penulisan aku ini hingga habis atau membaca dengan rasa "tidak best" itu bermakna anda juga sedang dirundung kebosanan dan aku berjaya menjerumuskan anda ke kancah kebosanan yang penuh seni ini.
Peace No War