Showing posts with label kawen. Show all posts
Showing posts with label kawen. Show all posts

Wednesday, September 19, 2012

Apabila Zina Lebih Mudah Daripada Kahwin


Oleh: Dr Asri Zainal Abidin (Bekas Mufti Perlis dan sekarang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Islam USM dan Penyarah Pelawat di Universiti Oxford London)


Minggu depan adalah minggu terakhir saya sebagai Mufti Negeri Perlis. Tulisan hari ini adalah yang kedua sebelum yang terakhir pada minggu hadapan. Banyak perkara yang ingin saya kongsikan sepanjang tempoh dua tahun menjadi mufti.


Namun, nampaknya saya terpaksa tangguhkan terlebih dahulu hasrat itu kerana buat penghabisan kali di atas jawatan ini saya ingin menyentuh kerenah perkahwinan dalam negara ini. Hal ini penting terutama menjelang musim cuti sekolah kerana ramai yang akan berkahwin.

Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitumenegak yang makruf dan mencegah yang munkar.

Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.

Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya.

Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan.

Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:

“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; “kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”.Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.

Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf.

Nabi s.a.w. bersabda:

“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.

Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.

Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.

Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.

Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut “saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.

Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:

“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan:“Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”.

Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.

Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut:

“Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).


Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.

Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa.

Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu Iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi mahkamah yang bernama syariah.

Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan. Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:

“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).

Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.

Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:

“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).

Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahagiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.

Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.


http://drmaza.com/home/?p=501

Thursday, November 3, 2011

Wanita Berusia Bercinta Dengan Lelaki Muda


Nampaknya, wanita berusia berpacaran dengan lelaki muda sudah menjadi satu trend. Keadaan ini digambarkan dengan lebih jelas oleh pasangan selebriti seperti Demi Moore dengan Ashton Kutcher dan Halle Berry bersama Gabriel Aubry.
Terbaru ialah kisah cinta antara Linda Hogan, 48 (bekas isteri Hulk Hogan) dengan Charlie Hill yang baru berusia 19 tahun.
Buktinya, satu kajian yang dijalankan oleh satu laman web sosial pada tahun 2007, melibatkan 50,000 orang wanita berusia 30 tahun ke atas. Kajian itu mendapati, satu pertiga daripada responden menunjukkan minat kepada lelaki yang sekurang-kurangnya lima tahun lebih muda daripada mereka.
Pada tahun 2003, kaji selidik AARP (American Association of Retired Persons) mendedahkan, 34 peratus daripada 3,500 wanita berusia antara 40 hingga 69 tahun menjadikan lelaki 10 tahun lebih muda sebagai teman.
Gambar Sekadar Hiasan



Trend

Mungkin trend ini mengejutkan ramai orang, tetapi tidak kepada pakar psiko terapi dari Amerika, Dr. Tina B. Tessina.
Hujahnya, sudah berlaku peralihan peranan dalam masyarakat. Wanita sekarang dilihat lebih berkuasa dan mahukan lelaki muda serta lebih fleksibel. Maksudnya, lelaki yang memahami kerjaya dan gaya hidup lebih dipentingkan oleh wanita tersebut.
Gambaran yang dipaparkan oleh media seperti siri televisyen Sex and the City dan Desperate Housewives juga menunjukkan bahawa wanita tidak semestinya berkasih dengan lelaki lebih tua. Wanita yang memiliki kerjaya dan imej diri hebat sememangnya mempunyai banyak pilihan.
Malah, golongan wanita yang sudah bercerai atau ibu tunggal mungkin gemar mempunyai teman untuk berseronok dan tidak mengongkongnya. Persoalannya, bolehkah hubungan seperti ini berjaya?


Berjaya

Tessina mengakui dia sudah melihat banyak hubungan sebegini yang berjaya. Media memberi fokus kepada perbezaan umur. Sedangkan apa yang menjaya atau memusnah hubungan ialah sebagus mana pasangan terbabit boleh membentuk kerjasama.
Perbezaan umur ialah satu kebimbangan dalam kalangan orang dewasa. Apabila kita remaja, perbezaan usia walaupun dua atau tiga tahun memberikan kelainan yang ketara dari aspek pengalaman dan bagaimana kita melihat kehidupan.
Perbezaan ini boleh bercampur aduk dengan matlamat hidup, komunikasi, pendapat dan pengalaman dalam perhubungan. Bagi orang muda, reaksi sosial terhadap hubungan seperti ini biasanya bersifat negatif. Jika pasangan itu bawah umur, hubungan seksual sudah pun melanggar batas undang-undang.
Namun begitu, apabila kita meningkat dewasa, pengalaman hidup dan kematangan emosi membantu menyeimbangkan kemahiran dalam satu-satu perhubungan.
Jurang usia 10 tahun atau lebih tidak memberi banyak perbezaan dari segi sebijak mana anda mengendalikan hubungan cinta. Jadi, tidak perlu fokus kepada angka tersebut.

Matang
Jika anda gembira, mempunyai komunikasi yang baik, mampu menyelesaikan masalah secara bersama dan mencintai satu sama lain, itu lebih penting. Andai ada pihak yang bermasalah dengan kenyataan itu, biarkan mereka.
Sihat atau tidak sesuatu hubungan itu bukanlah ditentukan oleh beza umur. Sebaliknya interaksi antara anda berdua. Beza usia sepuluh tahun bukanlah terlalu sukar untuk mencipta persefahaman. Tetapi jika jurangnya 20 tahun, ia mungkin boleh membawa kepada kesukaran apabila pasangan semakin meningkat usianya.
Contohnya, pasangan yang lebih muda mungkin menjadi lebih matang dan akan menimbang semula pilihannya. Manakala pasangan lebih tua pula terpaksa berdepan dengan masalah penuaan yang kian hampir.
Namun, selagi kedua-duanya bersikap dewasa dan pasangan itu sudah berbincang tentang perbezaan umur serta kemungkinan- kemungkinan yang akan berlaku pada masa depan, tidak perlu membuat andaian terhadap hubungan mereka.


Motivasi

Terdapat alasan yang bagus dan tidak untuk bercinta dengan seseorang berbeza generasi. Salah satu motivasi yang kurang wajar untuk bercinta dengan lelaki lebih muda ialah perasaan takut untuk menjadi tua.
Pasangan muda tidak boleh menterbalikkan proses penuaan anda. Sebenarnya, lelaki atau wanita yang bercinta dengan mereka yang seusia anak-anak akan berdepan masalah. Perbezaan itu boleh mencetuskan masalah paling besar iaitu tahap kematangan yang berlainan.
Ketika semakin ramai wanita memilih pasangan lebih muda, satu soalan timbul. Adakah hubungan wanita ini akan lebih berjaya dengan lelaki yang 10 hingga 15 tahun lebih muda berbanding mereka?
Kejayaan dalam perhubungan bergantung kepada motivasi kedua-dua pihak. Ada orang tua yang berjiwa muda dan suka bertemu janji dengan pasangan yang aktif seperti mereka. Kronologi usia tidak selalunya menjadi refleks kepada kemampuan fizikal atau kematangan emosi.
Kadangkala, perbezaan umur mencipta satu bentuk hubungan 'mentor' apabila yang lebih berumur memberi nasihat kepada pasangannya tentang kehidupan atau kerjaya. Apa pun, elemen yang benar-benar membuatkan perhubungan itu berjaya ialah wujudnya hubungan bersifat emosi.


#Artikel ini dipetik dari sumber lain dari intenet dan bukan hasil karya penulis (Teh Tarik Komtar) sendiri.

Tuesday, May 31, 2011

Nak kawen la mahal, sewa hotel lagi murah...golongan muda atau tua yang salah?

"Nak kawen la mahal, sewa hotel lagi murah.." tajuk ni aku dapat dari member aku setelah aku minta idea kat dia tentang apa topik aku nk tulis dalam blog ni. Bila dia bagi tajuk ni rasa macam menarik jugak untuk aku tulis. Hakikatnya memang situasi seperti mana tajuk artikel ini berlaku pada hari ini bilamana kos untuk melangsungkan sesuatu perkahwinan terlalu mahal dan lebih murah untuk bawak awek pegi hotel.

Apa yang boleh dikatakan fenomena hari ini mewujudkan suatu situasi dimana "pernikahan yang sah disusahkan dan maksiat dimudahkan". Maka tidak hiaranlah pada hari ini kes persetubuhan luar nikah makin menjadi-jadi dan kalau kita membaca metro boleh dikatakan tiap-tiap hari akan ada berita berkenaan "tangkap basah".

Apa bila masalah sosial timbul asyik-asyik golongan muda yang dipersalahkan, antara alasan yang selalu kita dengar golongan muda hari ini semakin liar, suka mengamalkan gaya hidup bebas, terlalu mengikutkan nafsu, terpangaruh dengan budaya barat dan pelbagai lagi kesalahan yang diletakkan pada golongan muda. Seolah - olah setiap masalah sosial yang timbul itu adalah berpunca dari orang muda.

Saya berani memperkatakan yang bukan semua gejala sosial yang wujud seperti seks bebas ini bukan berpunca dari golongan muda 100% dan golongan tua juga antara penyumbang terbesar kepada berlakunya gejala sosial seperti seks bebas ini. Mari saya perincikan satu - persatu dan terpulang pada anda untuk bersetuju atau tidak.

Pertama, berkenaan seks bebas. Kita semua sedia maklum setiap makhluk baik manusia atau binatang mempunyai keinginan untuk seks. Cuma bezanya manusia mempunyai akal untuk mengawal kehendak seksnya berbanding haiwan. Dan seks ini merupakan satu fitrah. Oleh sebab itu Islam sendiri menyarankan kepada perkahwinan. Salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk mendapat "ketenangan batin". Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyarankan kepada golongan muda agar segera berkahwin apabila cukup umur dan mampu serta urusan kahwin itu perlu dipermudahkan kerana nabi sendiri menyedari akan keperluan fitrah manusia ini iaitu salah satunya "seks".

Namun pada hari ini terutamanya di Malaysia urusan untuk berkahwin ini dilihat terlalu diberatkan atau dirumitkan. Siapa yang menyusahkan atau merumitkan urusan perkahwinan ini?? Berani saya katakan golongan tua yang menyebabkan situasi ini berlaku. Hantaran perkahwinan 10k ribu adalah angka yang biasa pada hari ini, kalau anak daranya statusnya agak tinggi tak mustahil jumlah hantaran boleh mencecah berbelas ribu. Itu baru hantaran, belum dikira jumlah kenduri kendara semuanya lagi. Busuk-busuk untuk kos perkahwinan pada hari ini terutama bagi pihak sebelah lelaki kurang-kurang 30k. Ya, kita faham memang kos barang mentah dan makanan di pasaran pada hari ini semakin tinggi ditambah dengan kenaikkan harga minyak dan lain-lain lagi menyebabkan kos untuk mengadakan sebuah majlis kenduri juga pasti meningkat. Tetapi cuba kita fikirkan golongan mana yang menyebabkan harga makanan kos kehidupan ini meningkat?? Mereka adalah golongan tua yang menjadi pemimpin negara yang gagal mengurus tadbir ekonomi negara dengan baik dengan berlakunya rasuah serta penyelewengan dan menyebabkan berlaku peningkatan kos sara hidup.

Kesan dari percaturan golongan tua ini menyebabkan golongan muda pada hari ini terkesan. Golongan tua dikampung dengan sikap berlumba wang hantarannya, golongan tua di kerajaan dengan sikap gila kuasanya dan natijahnya golongan muda yang menghadapi kesukaran. Walau ini semua berlaku tetapi ianya tidak akan dapat membenduung atau menghalang fitrah atau keinginan setiap manusia terutamanya golongan muda ini dari hidup berpasangan. Untuk melangsungkan perkahwinan yang sah begitu sukar pada hari ini itu belum diambil kira biorokrasi yang perlu dilalui untuk setiap perkahwinan. Maka alternatif lain akan diambil oleh golongan muda ini dengan menyewa hotel dan sebagainya untuk melepaskan "keinginan" yang sememangnya wujud dalam diri setiap manusia dan bukan dibuat-buat. Apabila masalah ini terjadi, berlakunya kes pembuangan bayi dan sebagainya maka semua pihak hanya akan menuding jari kepada golongan muda. Tidak ada satu suara pun yang berani menyalahkan golongan tua kerana mungkin "nilai timur" yang ada pada kita membuatkan seolah - olah berdosa jika golongan tua dipersalahkan.

Itu baru dalam kes seks bebas, dan banyak lagi antara gejala sosial yang berlaku pada hari ini golongan tua juga antara penyumbangnya dan ianya mungkin akan saya sentuh dalam penulisan saya yang lain. Dan terpulang kepada anda untuk bersetuju atau tidak....