Friday, March 28, 2014

(BAHAGIAN AKHIR) Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 8

Selesai STPM dan Menanti Keputusan
Selesai STPM masing-masing ingin mencari pekerjaan sementara untuk menunggu keputusan keluar. Aku sebenarnya setelah selesai STPM, aku mula menjadi kekok setiap malam di rumah. Ini kerana setiap malam bermula dari jam 8.30 hingga 11.30 malam aku mesti masuk ke bilik untuk mengulangkaji pelajaran. Perkara tersebut telah menjadi tabiat aku. Namun setelah habis STPM aku sudah tidak ada subjek untuk diulangkaji dan aku mula merasa kekok dengan situasi tersebut.
Pada waktu menunggu keputusan STPM aku masih lagi bermain ragbi, kali ini Mat Pi mengajak aku untuk menyertainya bermain pasukan Polis Kedah. Aku bersetuju dengan ajakan Mat Pi. Bila ada perlawanan kami akan menunggu di plaza tol Sungai Dua dan Van dari kontigen Polis Kedah akan mengambil kami di plaza tol tersebut. Aku yang pada waktu itu berjanggut tebal dan berambut panjang dan kembang seperti penyanyi alleycats menaiki van polis tidak ubah seperti penjahat yang baru ditangkap polis. Aku rasakan jika orang lain melihat kami dalam van polis pada waktu itu pasti akan menyangka yang kami ini banduan yang hendak dibawa ke balai polis. Sememangnya banyak pengalaman dan keseronokan bermain dengan pasukan polis kedah tersebut.
Mencari Kerja
Setelah beberapa lama tamat peperiksaan STPM dan menunggu keputusan, aku mula mahu mencari kerja. Satu hari aku bersama dengan dengan Faruqi, Ashun dan Nori pergi memohon pekerjaan di Carefour Seberang Jaya. Kami hanya membawa keputusan SPM dan tidak memberi tahu yang kami sedang menunggu keputusan STPM, ini kerana rata-rata industri pada waktu itu tidak mahu mengambil mereka yang sedang menunggu keputusan SPM bekerja kerana mereka tahu golongan ini hanya mahu bekerja untuk sekejap sahaja.

Dengan usia kami pada waktu itu sudah 19 tahun maka kakitangan pengurusan Carefour yang menemuduga kami tidak menyedari yang kami juga sebenarnya sedang menunggu keputusan tetapi bukan SPM sebaliknya STPM. Selang beberapa hari aku dan Faruqi diterima bekerja sebagai pekerja stor di Carefour Seberang Jaya. Namun Ashun dan Nori tidak diterima. Aku memulakan kerja di Carefour Seberang Jaya sebagai pekerja stor dibahagian minuman. Hari-hari kerja aku menyusun botol air minuman dan aku amat bosan dengan kerja tersebut. Terlintas difikiran aku jika aku tidak layak untuk masuk ke universiti nanti apakah aku akan jadi, dan apakah kerja yang akan aku buat dan adakah aku akan terus menyusun botol air ini sampai bila-bila.

Aku amat bosan dan langsung tidak ada minat untuk bekerja waktu itu. Tidak beberapa lama Nori pula diterima untuk bekerja di Carefour, tetapi dia dilantik sebagai pengawal keselamatan Carefour. Kami semua mengketawakan Nori kerana bekerja untuk jawatan orang tua (menteliti baru habis STPM). Ashun pada waktu itu telah mula bekerja menjaga kedai snooker di Bandar Perda. Aku hanya bekerja tidak sampai sebulan disitu dan aku berhenti. Selang beberapa minggu aku pergi bekerja di supermarket Sunshine di Sungai Rambai bersama Amar dan Wadi. Aku hanya bekerja 3 hari disitu dan aku berhenti. 

Tidak beberapa lama pula selepas itu pula, Mat Pi mengajak aku untuk kerja part-time di Shopping Complex Megamall, kerja aku kali ini adalah membungkus pakaian dalam wanita di kuanter bayaran. Pada mulanya memang perasaan segan dan malu menguasai diri, apabila aku seorang jejaka 19 tahun yang kelihatan gagah dan mungkin tampan perlu memegang dan membungkus pakaian dalam wanita dihadapan wanita-wanita yang ramai yang sedang menunggu untuk membuat bayaran, namun seperti pepatah Melayu "alah bisa tegal biasa". Kerja itu hanya part time untuk 3 hari pada setiap hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan selepas 3 hari gaji dibayar jadi aku rasa sesuai untuk aku yang mahukan kerja yang lebih santai. 

Sebenarnya aku memang malas untuk bekerja pada waktu sedang menunggu keputusan STPM, kerana bagi aku selepas habis STPM aku mahu berehat sepuas-puasnya dan tidur sepuas-puasnya bagi mengganti semula rehat dan tidur aku yang banyak tertangguh selama hampir 2 tahun belajar untuk STPM. Aku juga pada waktu itu membantu rakan aku menjual burger pada waktu malam. Aku lebih selesa untuk membantu rakan aku menjual burger kerana merasakan lebih santai.

Keputusan STPM muncul
3 ke 4 bulan STPM selesai akhirnya saat yang dinanti-nanti telah tiba. Hari pengumuman keputusan STPM 2004 akhirnya muncul jua. Memang berdebar-debar aku pada hari itu. Kerana sebelum keputusan STPM keluar aku memikirkan apa yang akan aku jadi sekiranya aku gagal untuk ke universiti. Cita-cita aku amat tinggi dan begitu mengharap untuk layak masuk ke universiti.

Aku dan rakan-rakan aku semua berjanji untuk bertemu di Nasi Kandar Irfanah dan pergi bersama-sama ke sekolah untuk mengambil keputusan. Sampai di sekolah kami bertemu dengan Amir, rupanya Amir telah terlebih dahulu mengambil keputusan. Dia dengan ceria memaklumkan yang dia mendapat keputusan yang baik. Langkah aku dan rakan-rakan aku semakin cemas untuk ke kantin sekolah. Ini kerana pengedaran slip keputusan STPM dilakukan di kantin. Aku masih ingat sewaktu aku menghampiri kantin, Cikgu Ooi yang selama ini cukup begis di sekolah menyambut kami dengan penuh senyum. Bagai tidak percaya Cikgu Ooi mengerti apa itu senyuman.

Aku pergi kepada guru kelas aku iaitu Cikgu Hayati, dia mencari slip keputusan aku dan menyerahkan kepada aku. Aku melihat keputusan STPM aku dan bersyukur aku tidak gagal dalam Pengajian Am dan subjek-subjek lain juga aku mendapat keputusan agak baik dan boleh dikatakan baik. Rasanya tidak perlu disebutkan keputusan penuh. Aku berasa lega dan aku sedikit yakin yang aku boleh masuk ke universiti. Begitu juga dengan rakan-rakan aku lain yang nakal sebelum ini. Keputusan mereka baik dan layan  untuk memohon masuk ke universiti. Cuma ada seorang dua yang mungkin bukan rezeki yang mana terkandas sedikit dalam Pengajian Am.

Memohon ke Universiti
Selang beberapa hari selepas keputusan STPM, tawaran permohonan ke universiti awam mula dibuka melalui sistem online UPU. Aku tidak tahu memohon kursus apa, tetapi aku memang meminati bidang saing sosial. Aku memohon kursus-kursus seperti Hubungan Antarabangsa, Sains Politik dan beberapa kursus perguruan di beberapa universiti awam seluruh Malaysia. Aku tiada bimbingan untuk memilih kursus di universiti pada waktu itu. Ini kerana dalam keluarga aku, aku lah orang pertama yang memohon masuk ke universiti.

Selesai proses memohon ke unversiti, aku dan rakan-rakan yang lain meneruskan rutin hidup kami seperti biasa seperti bermain snooker, lepak di kedai mamak dan ronda kesana-sana kesini. Kami rasakan itulah masanya kehidupan yang bebas dari sebarang tanggungjawab dan tidak perlu memikirkan sesuatu yang rumit. Girlfriend?? Memang aku dan majoriti kawan-kawan aku pada waktu itu tidak mempunyai girlfriend. Kami lebih mementingkan pertalian persahabatan daripada percintaan. Mungkin sebab itu perhubungan persahabatan kami kekal hingga hari ini, yang mana dari kecil kami telah bersahabat. Hanya segelintir kecil sahaja yang pada waktu itu terjerumus ke alam percintaan. Pada zaman persekolahan aku dahulu sesiapa yang mempunyai awek akan dikutuk di digelar "Mat Bunga". Hari-hari berlalu dengan pantas dan akhirnya keputusan ke universiti keluar.

Tawaran ke Universiti
Berita dalam televisyen telah memaklumkan bahawa keputusan tawaran ke IPTA akan dapat diketahui keesokannya. Semua kami berdebar, namun bila tiba harinya sistem online UPU masih lagi tidak boleh disemak dan tertera di laman web tersebut bahawa keputusan akan diumumkan pada hari berikutnya.

Tiba hari berikutnya, aku bangun dari tidur dan terus menghidupkan komputer Pentium II, windows 98 yang menggunakan talian internet Dailling Up TM1515 yang terdapat dirumah aku yang ayah aku beli melalui skim KWSP dibawah program "satu rumah satu komputer". Aku mengekses kepada internet dengan penuh debar. Aku masuk ke dalam laman web UPU dan memasukan nombor kad pengenalan aku. Selang beberapa ketika terpapar keputusan yang aku layak untuk masuk ke Universiti Sains Malaysia USM dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan.

Aku tidak tahu untuk berkata apa-apa pada waktu itu, hanya tersenyum dan aku memberi tahu kepada emak aku yang sedang menjahit pakaian, bahawa aku layak masuk ke USM. Emak aku tidak memberi respon yang banyak mungkin sebagai orang tua dia tidak faham erti layak masuk ke universiti, lagi pun aku pernah masuk ke politeknik sebelum ini. Mungkin emak aku memikirkan yang sama sahaja masuk ke politeknik dan universiti.

Walaupun aku seronok kerana telah diterima masuk ke USM tapi aku masih kurang jelas apakah itu kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan. Rupanya setelah aku belajar barulah aku tahu, itu adalah Sains Sosial (sosial itu maksudnya masyarakat) yang memang aku minat dan aku membuat pengkhususan atau pun digelar kursus Major dalam bidang Sains Politik dan Minor dalam Pengajian Islam. Di USM dalam bidang sains kemasyarakatan, pelajar boleh memilih sama ada untuk membuat pengkhususan berdasarkan kecenderungan sama ada sains politik, ekonomi atau antropolgi sosiologi pada semester kedua.

Kawan aku yang lain juga yang satu “geng jahat” sewaktu zaman sekolah dahulu juga ramai telah diterima masuk ke universiti. Mat Pi mendapat tawaran ke Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Sains Sukan, Amar mendapat ke Universiti Malaysia Sarawak dalam bidang komunikasi tetapi dia gagal menyesuaikan diri di Sarawak dan mengambil keputusan untuk berhenti dan menyambung pelajaran ke Uitm Shah Alam juga dalam komunikasi, Faruqi ke Universiti Utara Malaysia dalam bidang Hubungan Antarabangsa, Amir dan Jamil juga ke Universiti Utara Malaysia masing-masing dalam bidang sumber manusia dan pengurusan, Nori ke Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam bidang pendidikan sains sukan, Usop juga mendapat tawaran ke Universiti Sains Malaysia seperti aku tetapi dalam bidang komunikasi, Ling Waran ke Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang undang-undang. Bagi pelajar-pelajar perempuan yang aku tahu, Nurul mendapat tawaran ke Uitm Kangar dalam bidang pemasaran dan Silah ke Universiti Utara Malaysia dalam bidang pentadbiran perniagaan. Lain-lain budak perempuan tidak tahu perkembangan.


Sekarang bila terkenangkan kembali, kami tidak menyangka yang kumpulan pelajar nakal seperti kami semua dapat menyambung pelajar hingga ke universiti. Nakal kami bukan hanya bermula dari tingkatan enam tetapi dari tingkatan satu dengan kisah ponteng sekolahnya dan pelbagai lagi kenakalan. Jika dinilai semula sikap dan tingkah laku kami semua dari awal memang orang akan mengatakan kami tidak akan berpeluang seperti berikut. Namun kami berpegang kepada prinsip apa jua yang kita buat, kita mesti tahu siapa diri kita yang sebenar dan barulah kita tidak akan hanyut dan lupa diri. Senakal mana dan se "enjoy" mana pun kita, tetapi selagi kita tahu dan sedar yang kita itu adalah seorang pelajar maka kita perlu belajar kerana itu adalah tanggungjawab utama dan begitulah yang harus kita pegang dalam urusan-urusan lain dalam kehidupan kita hari ini dan akan datang.

Kejayaan Hari Ini.
Hari ini walaupun kami semua tidaklah sehebat elit-elit lain dalam masyarakat namun masing-masing dari kami semua telah memperolehi kejayaan yang jika dilihat dari kenakalan atau kejahatan kami dari dahulu ianya mungkin mustahil. Hari ini aku bergelar pensyarah di kolej swasta berprestij di Pulau Pinang yang bakal dinaik taraf sebagai kolej universiti, Amar bertugas sebagai perunding kewangan, Mat Pi kini menjadi guru sekolah rendah, Nori juga menjadi guru sekolah menengah, Amir kini pegawai kerajaan, Jamil eksekutif bank, Usop bertugas sebagai wartawan bersama TV9, Ling Waran kini seorang peguam, Ashun kini seorang programmer, Faruqi kini eksekutif PLUS Malaysia, Edreena kini menjadi Setiausaha Sulit Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan ramai lagi kawan-kawan aku yang lain juga boleh dikatakan semuanya mempunyai karjaya yang boleh dibanggakan. Kini hampir lebih separuh dari kawan-kawan aku sudah berkeluarga dan bakal berkeluarga dan ada yang bercahaya mata. Aku??? Insyaallah kalau ada rezeki..

Sekian, tamatlah sudah catatan dan rakaman pengalaman aku sewaktu belajar di tingkatan enam Bukit Mertajam High School. Kisah ini aku kongsikan untuk tatapan dan bacaan kepada sesiapa yang berminat. Sengaja juga aku rakamkan dalam blog ini, kerana jika pengalaman dan kenangan ini tersimpan disini ianya akan kekal hingga bila-bila selagi internet wujud di dunia ini berbanding jika aku simpan pengalaman dan kenangan itu hanya dikepala aku atau di dalam kertas. Mungkin lagi 20 atau 30 tahun akan datang, jika aku atau rakan-rakan lain yang terlibat dalam kisah ini terjumpa semula penulisan ini pasti akan membuatkan aku dan mereka tersenyum sendirian. 

Sekali lagi aku memohon maaf sekiranya terdapat bahagian-bahagian atau kata-kata dalam penulisan ini dari part 1 hingga 8 yang ada mengguris hati mana-mana pihak. Ini adalah penulisan jujur dari aku dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan jauh sekali untuk berbangga diri. Moga yang baik dari penulisan ini boleh dijadikan tauladan atau pembakar semangat kepada yang membaca dan buruk boleh dijadikan sempadan dan pengajaran. Terima kasih dan perhargaan yang tidak terhingga juga kepada semua guru-guru yang telah mendidik aku sewaktu aku di Bukit Mertajam High School dari 1998 hinggalah 2004 dengan penuh ikhlas dan tekun, sesungguhnya jasa guru-guru semua tidak dapat dan tidak termampu aku dan rakan-rakan balas. Sekali lagi terima kasih kepada sudi membaca. -TTK-



Di bawah adalah senarai penuh link-link dari part 1 hingga 8.

PART 1
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004.html

PART 2
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004_08.html

PART 3
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004_09.html

PART 4
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/03/kenangan-di-tingkatan-enam-2003-2004_10.html

PART 5

PART 6

PART 7

Thursday, March 27, 2014

Antara Rakyat, Kerajaan dan Negara



Hari ini walaupun sudah hampir 57 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan namum rakyat negara kita malahan pemimpin-pemimpin dalam negara kita juga dilihat masih lagi tidak mampu untuk melihat dan membezakan antara rakyat, kerajaan dan negara. Kesukaran memahami dan membezakan ketiga-tiga perkara inilah yang menyebabkan salah faham dan krisis terhadap sistem kenegaraan kita hari ini. Maka tidak hairanlah pada hari ini, rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan atau melawan tindakan kerajaan akan digelar dan dituduh sebagai pengkhainat negara dan dengan tuduhan-tuduhan yang mahu merosakan negara dan sebagainya. Juga pemimpin yang terus membolot dan menggunakan harta negara kerana beranggapan bahawa dia adalah kerajaan dan rakyat terus merayu dan meminta kerana beranggapan bahawa rakyat adalah hamba yang perlu menurut perintah.


Sebenarnya semua tanggapan ini adalah salah sama sekali. Rakyat, kerajaan dan negara perlu dilihat dan dinilai dalam waktu yang sama tetapi pada tempat yang berbeza. Apa yang ingin penulisan ini sampaikan dan mahu memberi pencerahan kepada pembaca bahawa dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia, “rakyat” itu merupakan “tuan” atau boss kepada negara. Jika rakyat adalah tuan, boss atau tauke dalam sebuah negara, bagaimana pula dengan kerajaan? Bukankah kerajaan itu merupakan pemerintah?. Jawapannya adalah ya, memang kerajaan itu merupakan pihak yang memerintah tetapi ini bukan bermaksud mereka adalah tuan yang mutlak. Kerajaan dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia adalah seperti “pengurus” yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja mengurus. Kerajaan bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja menguruskan negara. Untuk siapa kerajaan ini menguruskan negara?. Jawapannya kerajaan menguruskan negara ini untuk rakyat.


Jadi setakat ini adakah pembaca yang budiman dapat melihat garis pemisah antara rakyat, kerajaan dan negara. Jika masih kurang jelas biar saya jelaskan dalam bentuk perbandingan. Mari saya membawa pemikiran pembaca kepada sebuah organisasi syarikat. Didalam sesebuah syarikat mesti terdapat majikan dan pekerja(pengurus). Dalam contoh ini, “syarikat” itu tadi boleh diumpamakan sebagai “negara” manakala “majikan” pula boleh diumpamakan sebagai “rakyat” dan “pengurus” boleh diumpamakan sebagai “kerajaan”. Kenapa saya mengatakan begitu? Mari kita lihat perenggan seterusnya.

Sumber: http://www.malaysia-today.net/protests-reflect-vibrant-democracy-pm/
Dalam sebuah syarikat, siapa yang melantik pengurus? Jawapannya sudah tentu majikan. Bagaimana pengurus ini dilantik? Jawapannya sewaktu sesi temuduga dan si pengurus tadi mengemukakan permohonan untuk mengisi jawatan sebagai pengurus. Dalam sistem negara kita siapa yang melantik kerajaan? Maka jawapannya adalah rakyat. Bila rakyat melantik kerajaan? Jawapannya ialah sewaktu pilihanraya bilamana parti-parti politik tertentu menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihanraya dan mahu dilantik untuk mengisi kekosongan sebagai kerajaan setelah parlimen dibubarkan. Tujuan apa majikan melantik pengurus? Sudah tentu untuk mengarahkannya menguruskan kerja-kerja syarikat. Dan kenapa rakyat melantik kerajaan? Tujuannya adalah untuk menguruskan negara. Jadi dalam sebuah syarikat siapa yang mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat seseorang pengurus? Jawapannya sudah tentu majikan. Juga dalam sistem negara kita, siapa yang mempunyai kuasa untuk melantik dan menukar kerajaan? Jawapannya sudah tentu rakyat. Maka adakah tidak tepat jika dikatakan rakyat itu adalah tuan,boss atau tauke dan kerajaan itu adalah pengurus, pekerja atau dengan kata lain kuli dalam sistem kenegaraan ini. 


Dalam sesebuah syarikat jika seoarang pengurus itu tidak pandai melaksanakan kerja dan tugas yang diamanahkan kepadanya apakah tindakan yang selalu diambil oleh majikan. Jika seorang pengurus itu tidak amanah, selalui mencuri duit syarikat, menyalahgunakan harta syarikat untuk kepentingan peribadi adakah pengurus ini patut diberi pujian dan dinaikkan pangkat. Jika seorang pengurus menyebabkan kuailiti produk keluaran syarikatnya merosot dan menyebabkan syarikat kerugian hampir setiap tahun adakah majikan mahu menyimpan lagi pengurus yang sebegini. Dapatkah pembaca yang budiman bayangkan apa yang akan terjadi kepada syarikat tersebut jika pengurus yang sebegitu terus dikekalkan untuk mengurus syarikat tersebut. Sudah pasti syarikat tersebut akan bangkrap dan majikan akan kehilangan perniagaannya serta hidup dalam keadaan merana. Adakah jika majikan memarahi pengurus yang tidak bertanggungjawab tersebut maka majikan tersebut akan digelar tidak bersyukur. Adakah jika majikan memecat pengurus tersebut maka majikan akan digelar sebagai pengkhainat syarikat  dan tidak setia dan tidak sayangkan syarikat. 


Manusia yang berfikiran waras pasti akan melihat tindakan majikan memarahi atau mungkin memecat penguruskan tersebut kerana majikan tersebut sayangkan kepada syarikatnya. Majikan tersebut tidak mahu syarikat mengalami kerugian setiap tahun yang mana kerugian tersebut akan ditanggung oleh majikan itu sendiri dan majikan tidak mahu syarikat tersebut bangkrap dan terpaksa ditutup. Maka berdosakah tindakan majikan yang mengambil tindakan terhadap pengurus tersebut.


Berbalik kepada sistem kenegaraan kita, kita mengatakan tadi yang rakyat itu adalah majikan, kerajaan itu adalah pengurus dan syarikat itu adalah negara. Jika sebuah kerajaan itu tidak pandai melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat, mengapakah rakyat pula yang dipersalahkan jika mereka memarahi kerajaan hingga ada yang menggelar mereka sebagai pengkhainat atau tidak tahu bersyukur. Apa perlu kita bersyukur apabila melihat pihak kerajaan yang sedang rakus merosakkan negara. Sebagai rakyat jika terus berdiam diri ini bermaksud rakyat tadi mahukan negaranya musnah atau bangkrap yang mana pihak yang akan menanggung beban daripada kemusnahan itu tadi adalah rakyat. 


Harus diingat, tindakan majikan yang memarahi atau memecat pengurusnya tadi, kerana dia mahu menyelamatkan syarikatnya. Begitu juga dengan rakyat yang menentang kerajaan dan mengkritik kerajaan atau menukar kerajaan adalah kerana rakyat tadi mahu menyelamatkan negaranya dan tidak mahu negaranya musnah. Kesetiaan, ketaatan dan sumpah setia yang tidak berbelah bagi setiap rakyat tanpa mengira apa bangsa dan agama adalah kepada negara dan bukannya kepada kerajaan. Kerajaan sifatnya boleh berubah dan bertukar ganti tetapi negara sifatnya kekal. Yang perlu dipertahankan bermati-matian adalah negara dan bukannya kerajaan. Jadi jika sudah jelas dan terang kelihatan sesebuah kerajaan itu sedang merosakkan negara maka amatlah wajar untuk kita tetang kerana kita semua cintakan kepada negara Malaysia ini.-TTK-

Pencerahan: TTK adalah bermaksud Teh Tarik Komtar. Ini bermaksud aktikel ini adalah hasil penulisan sendiri oleh admin blog Teh Tarik Komtar.

Tuesday, March 25, 2014

Mutu pendidikan Malaysia lebih membimbangkan, kata pakar ekonomi Bank Dunia


Pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander menegaskan mutu pendidikan Malaysia yang jatuh merudum lebih membimbangkan berbanding kedudukan kewangan negara. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, Mac 25, 2014.
Pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander menegaskan mutu pendidikan Malaysia yang jatuh merudum lebih membimbangkan berbanding kedudukan kewangan negara. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, Mac 25, 2014.
Pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander menegaskan mutu pendidikan Malaysia yang jatuh merudum lebih membimbangkan berbanding kedudukan kewangan negara. Pencapaian buruk Malaysia dalam keputusan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (Pisa) lalu bukan suatu petanda baik, kata Frederico.

"Malaysia patutnya bimbang dengan tahap prestasi murid-murid dalam sekolah berbanding prestasi murid-murid di Vietnam kerana mereka lebih miskin daripada Malaysia tapi tahap pendidikan lebih baik berbanding Malays," kata Frederico dalam forum yang dianjurkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) hari ini di Damansara.

Malaysia hanya berjaya berada di kedudukan ke-52 daripada 65 negara dalam ranking keputusan Pisa.

Malah, Vietnam berada di tangga ke-17 dalam kajian itu dengan markah 511 manakala Shanghai-China mendapat 613 untuk mendapat tempat pertama dalam ranking itu.

"Murid-murid di kawasan pendalaman Vietnam, prestasi mereka lebih tinggi daripada murid-murid Malaysia.

"Ini akan memberi kesan terhadap pembangunan aset sumber manusia Malaysia," kata pakar ekonomi kanan Bank Dunia itu.

Frederico berkata pihak sekolah perlu diberikan lebih autonomi dan kuasa yang lebih untuk menangani masalah pembelajaran setempat.

Pisa merupakan sebuah program penarafan mutu pendidikan di sekolah yang dikendalikan oleh OECD (Organisation for Economic Corporation and Development) bagi pelajar 15 tahun yang melibatkan negara dari seluruh dunia.

Ia menguji kemampuan dan penguasaan pelajar dalam tiga bidang utama iaitu membaca, matematik dan sains.

Pisa menjadi piawaian antarabangsa yang digunakan untuk menilai keberkesanan dan mutu sistem pendidikan sekolah di dunia.

Purata min skor ialah 494 dan kajian itu menguji 510,000 pelajar tahun lalu merangkumi tiga bahagian peperiksaan – matematik, sains dan keupayaan membaca. Malaysia memperolehi min skor 421.

Pelajar Malaysia dikatakan mendapat pencapaian yang teruk dalam bahagian membaca dengan skor 398 (purata:496), bahagian matematik, Malaysia mendapat 421 (purata:494) dan sains, 420 (purata:501). – 25 Mac, 2014.


Sunday, March 23, 2014

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 7

Hari-hari semua itu berlalu dengan pantas, yang pasti tetap pasti dan STPM muncul jua akhirnya….

Kawan-kawan aku dari kelas syariah mengambil peperiksaan terlebih dahulu iaitu subjek syariah. Kelas aku seminggu selepas itu iaitu subjek Sejarah Tamadun Islam jika tidak salah aku. Aku memang telah membuat persediaan dengan rapi untuk subjek sejarah. Habis lunyai semua buku-buku rujukan aku ulangkaji dan berpuluh esei berkenaan sejarah telah aku cuba buat. Tiba hari pertama peperiksaan semuanya berjalan lancar. Aku menjawab dengan tenang dan yakin walaupun soalan agak susah. Aku sudah tidak ingat tajuk soalan apakah yang keluar dalam subjek Sejarah Tamadun Islam tersebut tetapi aku masih yang yang soalan-soalan yang aku ulangkaji tersebut ada yang keluar dalam peperiksaan sebenar STPM.

Menjalani Peperiksaan
Aku masih ingat peperiksaan STPM untuk kertas yang aku ambil tidak berjalan secara berturut-turut. Satu hari cuma satu kertas sahaja cuma hari terakhir peperiksaan aku dan kawan-kawan aku terpaksa mengambil dua kertas dalam satu hari. Disebabkan jarak antara satu peperiksaan agak panjang, kami masih mempunyai masa untuk lepak bersama-sama pada waktu malam di Nasi Kandar Irfanah. Sememangnya di Nasi Kandar tersebutlah tempat kami selalu lepak setiap malam jika tidak ada apa-apa aktiviti. Cuma sekarang kami sudah tidak lepak disana setelah nasi kandar tersebut dibanjiri oleh pekerja dari Nepal dan Myanmar yang mana kebersihan mula tergugat.

Habis satu subjek ke satu subjek, Sejarah Tamadun Dunia dan Islam ke Pengajian Perniagaan kertas 1, Bahasa Melayu kertas 2, Sejarah Asia dan Malaysia, Pengajian Perniagaan kertas 2 dan hari terakhir peperiksaan ialah Bahasa Melayu kertas 1 dan hari terkahir Pengajian Am kertas 1 dan kertas terakhir untuk STPM 2004 ialah Pengajian Am kertas 2. Mungkin terdapat kesilapan dalam susunan jadual peperiksaan tersebut tetapi yang paling pasti dan aku ingat adalah kertas yang terakhir adalah Pengajian Am kertas 2. Ini kerana subjek Pengajian Am ini walaupun aku cukup minat tetapi kami semua melalui pengalaman yang cukup mencabar.

Pengajian Am
Sememangnya subjek Pengajian Am sangat-sangat ditakuti dan digeruni oleh semua pelajar-pelajar yang mengambil STPM. Ini kerana subjek Pengajian Am adalah sangat-sangat penting untuk melayakkan seseorang calon itu diterima masuk ke universiti awam. Aku sememangnya meminati subjek Pengajian Am terutamanya Kertas 1 iaitu “Kenegaraan” dalam Kertas 1 soalan-soalan akan berkisar berkenaan isu-isu politik semasa, ekonomi dan sosial disamping sistem pentadbiran Malaysia. Ya aku amat meminatinya. Dan aku mendapat A 4.00 untuk kertas tersebut. Tetapi kertas 2 sememangnya mencabar.

Aku kira aku sahaja yang mengalami masalah dengan kertas 2 Pengajian Am rupanya kawan-kawan aku yang lain juga sama. Biar aku ceritakan sedikit berkenaan format Pengajian Am kertas 2 yang aku ambil sewaktu zaman aku belajar tahun 2004 yang lalu. Hari ini format kertas tersebut telah berubah. Dalam kertas Pengajian Am 2 calon mesti menyiapkan dua esei, satu esei yang digelar laras sastera bahagian A dan satu lagi esei laras sains bahagian B. Laras sastera soalan lebih menjurus kepada isu-isu sosial semasa dan laras sains lebih menjurus kepada soalan yang berkaitan dengan sains dan teknologi. Bahagian C lebih kepada soalan teknikal iaitu memindahkan maklumat dan data dari bentuk artikel kepada bentuk carta samaada graf atau pun carta pai. Bagi bahagian D pula soalan lebih kepada menganalisis maklumat iaitu memindahkan maklumat atau data atau statistic dari bentuk jadual atau carta ke dalam bentuk esei.

Graf dan Carta Pai
Aku tidak mempunyai masalah untuk bahagian A, B dan D walaupun soalannya agak mencabar. Tetapi soalan bahagian C betul membuatkan aku malah rakan-rakan aku yang lain juga tergamam dan kaget. Ini kerana aku dan rakan-rakan aku dari aliran sastera agak lemah dalam soalan-soalan dalam bentuk teknikal dan pengiraan rumit. Kami lebih selesa dengan bacaan dan penulisan yang panjang berjela.

Seperti yang aku tulis dalam part 6, aku sememangnya tidak pandai dalam membuat graf dan aku telah benar-benar bersedia dengan soalan yang berbentuk carta Pai. Bukan aku sahaja yang lemah dalam membuat graf kawan-kawan aku yang lain juga begitu. Selalunya dan dari analisis soalan-soalan STPM dari tahun-tahun yang sudah, bahagia C akan mempunyai dua pilihan soalan. Satu soalan akan meminta calon membuat graf yang sesuai berdasarkan maklumat dan data yang diberikan dan satu soalan lagi akan meminta calon untuk membuat carta pia yang sesuai berdasarkan data dan maklumat yang diberikan. Dan calon akan diminta untuk memilih salah satu dari soalan tersebut.

Namum entah apa nasib kami semua STPM 2004 tidak lagi mengikut tradisinya dalam soalan bahagian C. Sebaik sahaja diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan untuk membuka kertas Pengajian Am 2 aku terus membuka bahagian C. Aku melihat soalan pertama bahagian C berbunyi “Sila sediakan graf yang sesuai untuk maklumat dibawah”. Aku masih tenang dan aku yakin aku akan memilih soalan kedua kerana pasti soalan kedua akan mengarahkan untuk membuat carta pai. Aku menyelak kertas soalan untuk melihat soalan kedua bahagia C. Apabila melihat soalan kedua bahagian C dunia aku seperti gelap serta merta dan seperti batu besar menghempap kepala aku. Berkali-kali aku membacanya dan tidak percaya apabila soalan kedua bahagia C berbunyi “Sila sediakan graf yang sesuai untuk maklumat yang terdapat di bawah”. Ini bermakna pada tahun 2004 soalan STPM bahagian C kedua-duanya mengarahkan calon membuat graf dan langsung tidak diminta carta pai.

Aku melihat kawan aku disebelah kiri dan dia juga menggeleng-gelengkan kepala, dikanan aku tingkap tiada sesiapa disitu, aku cuba sedikit menoleh kebelakang dan kawan aku disitu juga menggeleng-gelengkan kepala. Aku dapat merasai apa mereka semua sedang rasa kerana aku juga turut merasainya. Sudah tidak ada pilihan, selesai aku menjawab bahagian A,B dan D aku terpaksa gagahi jua untuk menjawab bahagia C. Ini kerana jika aku langsung tidak menjawab bahagian tersebut kemungkinan besar aku akan gagal. Masa tinggal lebih kurang 20minit. Dan sememangnya 20minit selalunya diperuntukan untuk membuat graf. Aku buat graf tersebut sekadar termampu walaupun aku tahu graf yang aku buat tersebut bukanlah tepat kerana calon perlu mengenalpasti jenis graf yang tepat berdasar soalan. Ya ada hampir berbelas jenis graf. Aku terus melakar graf hingga tamat masa peperiksaan. Aku sudah sugul pada waktu itu kerana kertas 2 membawa 60% markah dari keseluruhan. Apabila pengawas peperiksaan mengutip kertas terakhir tersebut aku hanya mampu berserah.

Tamat STPM 2004
Apabila tamat kertas Pengajian Am 2 tersebut bermakna tamatlah juga zaman kami semua sebagai pelajar-pelajar tingkatan 6 di Bukit Mertajam High School. Secara lazimnya pelajar-pelajar akan melompat kegembiraan dan ada yang menganggap sudah merdeka dengan tamatnya peperiksaan besar seperti itu. Tetapi bagi aku dan rakan-rakan aku merdeka kami dengan tidak sepenuh jiwa. Jiwa kami penuh resah setelah tamat peperiksaan kertas 2 tersebut. Sebaik melangkah keluar dari kelas tempat peperiksaan berlangsung suasana menjadi riuh-rendah dan bising. Riuh dan bising bukan kerana gembira peperiksaan telah tamat tetapi riuh kerana masing-masing mengeluh berkenaan soalan bahagian C Pengajian Am kertas 2. Beberapa orang rakan datang berjumpa dengan aku dan bertanya “Mirul soalan bahagian C dua-dua suruh buat graf kan?” aku dengan lemah semangat menjawab “ya, kalau soalan minta suruh buat carta pai, soalan akan sebut sediakan carta pai yang sesuai tapi dua-dua soalan tu minta suruh sediakan graf yang sesuai, kalau buat carta pai akan dapat 0”. Aku sebenarnya telah mendapat A penuh iaitu 4.00 CGPA dalam peperiksaan percubaan STPM. Bukan untuk riak tetapi sekadar berkongsi.

Tiba-tiba datang lagi seorang rakan dengan penuh yakin (tidak perlu disebutkan nama) memanggil-mangil nama aku dari belakang. “Mirul Mirul.. yang soalan kedua bahagian C memang kena buat carta Pai kan…??” Aku dengan tenang menjawab, “takda… dua-dua soalan tu kena buat graf” Dia tidak berkata apa-apa dan terus berlalu dan aku dapat merasakan yang dia telah silap menjawab dengan membuat carta pai.

Semua telah dilakukan, peperiksaan telah berakhir kini kami semua hanya mampu berserah tentang apa jua keputusan. Dan masing-masing berlalu meninggalkan tempat peperiksaan dan mungkin tidak akan kembali lagi ke situ.

Kenakalan Yang Terakhir
Setelah sampai di tempat kami meletakkan motosikal iaitu di belakang bilik seni. Masing-masing kami mengeluh dan risau berkenaan peperiksaan tadi. Ada yang sudah menjangkakan yang tidak akan dapat memasuki universiti dan ada yang mula bertanyan bagaimana untuk mengulang semula mengambil STPM.

Sambil-sambil bersembang kami dengan selamber menyalakan rokok dan menghisap dalam kawasan sekolah. Keadaan belakang bilik seni yang terlindung dan ditambah dengan suasana sekolah yang sunyi kerana sudah tidak ramai pelajar membuatkaan “line clear” untuk kami merokok. Najmi yang tidak pernah merokok cuba untuk merokok dan kesannya dia pening dan melelong haha.

Amar rupa-rupanya memiliki beberapa butir mercun bom. Dan memang tujuannya adalah untuk meletupkan mercun tersebut setelah selesai peperiksaan. Tetapi disebabkan mood setelah tamat peperiksaan tersebut agak muram jadi dia menangguhkan seketika niat dia tersebut. Namum setelah lama kami berbual disitu dan habis menghisap rokok Amar mengeluarkan sebungkus beg plastik kecil yang mengandungi beberapa butir mercun bola atau pun yang kami gelar mercun bom kerana bunyinya sangat kuat.

Setelah rakan-rakan lain melihat mercun tersebut semuanya seperti menjadi dirasuk keseronokkan untuk mengarahkan untuk Amar meletupkannya dalam kawasan sekolah. Kami agak cuai pada waktu itu kerana pengetua sedang berada dalam kawasan sekolah dan beliau berada di kawasan sekitar surau yang mana dalam setengah kilometer saja dari tempat kami berada. Kami meletupkan beberapa butir mercun tersebut dan leputan yang kuat tersebut telah mengejutkan suasana sunyi dalam kawasan sekolah. Turut sama terkejut adalah tuan pengetua.

Pengetua mengambil langkah pantas dengan melakukan Ops Tutup iaitu dengan mengarah pengawal keselamatan sekolah menutup semua pintu pagar sekolah bagi menghalang kami keluar dan senang untuk beliau menangkap kami. Hari terakhir disekolah pun kami masih melakukan masalah haha. Selesai semua letupan tersebut kami menghidupkan enjin motosikal untuk pulang beramai-ramai dan destinasi kami selepas itu adalah ke rumah Ain kerana dirumahnya ada open house dan dia menjemput kami datang.

Sampai dihadapan pintu pagar, pengetua telah sedia berdiri disitu. Dia memeriksa beg kami satu persatu bagi mengesan sampai yang mempunyai mercun dan mahu mengambil tindakan. Namum kami lebih bijak, pengetua gagal untuk menemui mercun tersebut Cuma Usop yang tidak bernasib baik. Ini kerana Usop menyimpan rokok dunhill 10 nya dalam beg sekolah. Pengetua memeriksa beg Usop dan menjumpai rokok tersebut. Fokus pengetua dari mercun telah beralih kepada rokok.


Usop dengan berani membantah kata-kata pengetua dengan mengatakan yang dia sekarang sudah habis sekolah dan dia boleh menghisap rokok. Pengetua meminta nombor telefon waris Usop untuk memaklumkan kepada ayah Usop. Usop member nombor telefon ayahnya kepada pengetua. Akhirnya pengetua melepas Usop setelah berbual dengan ayah Usop. Selepas itu aku bertanya kepada Usop apa yang dikatakan oleh ayahnya kepada pengetua. Usop mengatakan yang ayahnya member tahu pengetua yang memang ayahnya tahu yang Usop ini merokok dan membenarkan Usop merokok. Mungkin itu yang membuatkan pengetua mengangkat bendera putih.

Bersambung part 8

Saturday, March 22, 2014

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 6

“Selepas itu aku meneruskan sesi persekolahan seperti biasa, namum pelajar-pelajar perempuan di dalam kelas aku masih tidak berani menegur dan bersembang dengan aku. Kadang-kadang aku ketawa didalam hati melihat gelagat mereka yang seperti terlalu takut bila aku lalu disebelah.

Tinggal lagi 2 ke 3 minggu sebelum peperiksaan sebenar STPM bermula aku sekali lagi…”

Tinggal 2 ke 3minggu sebelum peperiksaan sebenar STPM bermula aku sekali lagi dijemput pengawas sewaktu di kelas. Aku kira kes aku tersebut sudah tamat rupa-rupanya pihak pendakwa telah membuat rayuan dan kes aku disebut semula. Kali ini aku dibawa terus ke bilik disiplin dan di bilik disiplin kakak dan adik lelaki Salwa telah sedia menunggu dengan keadaan marah. Aku ditengking oleh kakak Salwa di bilik disiplin dan dihadapan guru disiplin iaitu Cikgu Ooi dan seorang lagi cikgu disiplin perempuan yang aku tidak ingat nama sebenarnya tetapi kami hanya menggelarnya “Mama Bosan”. Cikgu Ooi dan Mama Bosan agak terkejut melihat kakak Salwa yang begitu marah pada waktu itu. Aku hanya tersenyum dan diam.

Cikgu Ooi cuba menenangkan keadaan dan berjanji kepada kakak Salwa untuk mengambil tindakan tegas kepada aku dengan sekurang-kurangnya menggantung aku dari sekolah. Mungkin pada waktu itu Cikgu Ooi dan dan Mama Bosan sudah tidak mampu mengawal keadaan dan Cikgu Ooi mengatakan akan membawa aku berjumpa dengan pengetua sekolah iaitu Cikgu Hj Tarmizi yang hari ini telah menjadi Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang.

Di Bilik Pengetua
Sampai di bilik pengetua aku melihat pengetua seperti agak terkejut kerana mungkin sekolah sebesar BM High School jarang kes-kes disiplin seperti itu dirujuk kepada pengetua kecualilah kes jenayah yang besar dan serius. Aku, Cikgu Ooi, Cikgu Mama Bosan, Salwa dan Kakak Salwa dijemput masuk kedalam bilik pengetua  dan duduk di sofa di bilik tersebut. Pengetua dengan tenang mengendalikan perbincangan a.k.a perbicaraan pada waktu itu. Tuan pengetua mengatakan yang beliau mempunyai pengalaman dan bidang kaunseling dan berpengalaman mengendalikan kes-kes sebegini.

Tuan pengetua berkata beliau akan menyelesaikan kes tersebut dan akan mengambil tindakan  bagi menyelesaikannya. Kakak Salwa sekali lagi bertegas dan mahu memastikan yang aku tetap akan dikenakan tindakan. Aku hanya diam sewaktu sesi tersebut kerana aku tahu seberat-berat hukuman pun tidak sampai aku akan digantung sampai mati.  Lebih kurang 20 minit sesi dalam bilik pengetua tersebut berlangsung, akhirnya Salwa, kakak beliau dan kedua-dua guru disiplin beredar dari bilik pengetua. Tetapi aku diarah oleh pengetua untuk tunggu sebentar, mungkin ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh Tuan pengetua kepada aku.

Memohon Maaf
Selesai mereka semua beredar tinggal aku dan pengetua sahaja dalam bilik tersebut. Lalu Tuan Pengetua membuka bicara, dialognya aku masih ingat dan berbunyi lebih kurang begini, Pengetua: “Hang pi kacau dia buat apa???”  Aku: “Mana ada saya kacau cikgu.. saya marah…” Pengetua: “Hang tau tak dalam dunia ni.. kalau laki bergaduh dengan perempuan orang mesti kata laki yang salah punya..” aku hanya terdiam dan tidak berkata apa-apa. Lalu Tuan pengetua menyambung ayatnya Pengetua: “Sekarang ni macam ni lah.. saya nak hang pi dalam kelas hang minta maaf balik kat semua orang yang terlibat.” Aku menjawab “ya takpa cikgu…”.

Sejurus selepas itu Tuan pengetua membawa aku ke kelas. Sepanjang perjalanan tidak henti-henti Tuan pengetua menyekolahkan aku. Sampai di kelas Tuan Pengetua dan aku berdiri dihadapan kelas. Tuan pengetua memulakan dengan ucapan ringkas yang penuh dengan kata-kata nasihat. Selepas itu aku diminta untuk membuat ucapan maaf dihadapan kelas. Aku dengan selamber membuat ucapan memohon maaf tetapi ucapan maaf aku secara umum. Selesai semua tersebut aku mengambil tempat duduk aku disebelah Saufi. Kelas berjalan seperti biasa.

Hari demi hari selepas itu aku menunggu tindakkan susulan dari pihak disiplin sekolah untuk mengeluarkan arahan hukuman menggantung aku dari sekolah. Tetapi hinggalah ke hari terakhir persekolahan tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadap aku. Maka kes tersebut terus senyap begitu sahaja. Tetapi pelajar-pelajar perempuan kelas aku sampai tamat sekolah pun masih tidak berani bersembang dengan aku. Aku tidak pasti samaada mereka takut atau menyampah tetapi ianya langsung tidak memberi kesan kepada aku.

Belajar Dengan Serius
Selesai peristiwa itu aku dan dan rakan-rakan aku terus menumpukan perhatian yang lebih serius kepada pelajaran. Memandangkan kejohanan ragbi peringkat sekolah semuanya telah selesai kami semua menumpukan perhatian kepada pelajaran. Namum setiap petang hari Khamis dan Jumaat aku dan Saufi tetap pergi ke Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan Padang Polo untuk berlatih Ragbi bagi mewakili Kelab Ragbi Penang All Blues dan pemilihan ke kejohanan SUKMA. Namum fokus kami terhadap pelajaran tetap tidak terjejas. Mungkin pengalaman aku semua ini membuatkan aku menjadi seorang insan yang lasak dan boleh bertahan dengan apa jua cabaran dan rintangan yang ditempuhi pada hari ini.

Guru-guru kelas aku terus bersemangat dan tekun mengajar kami. Setiap hujung minggu diadakan kelas tambahan percuma untuk kami semua. Atas kesungguhan dan keikhlasan melihat guru-guru aku mengajar, timbul minat dan cita-cita untuk aku menjadi seorang guru pada suatu hari nanti. Setiap malam seperti biasa dari jam 8.30 hingga 11.30 malam aku pasti akan mengulangkaji pelajaran tanpa henti. Walaupun pada waktu itu rancangan televisyen menghidangkan rancangan-rancangan tv yang menarik namum aku mengorbankan semua itu demi cita-cita aku untuk masuk ke universiti. Kerana aku sedar dengan membuat keputusan untuk mengambil STPM tiada jalan untuk aku berpatah balik dan aku perlu selesaikan dengan penuh jaya sama seperti slogan sekolah aku iaitu “Accomplish or Do Not Begin”.

Persiapan Terakhir Untuk ke STPM
Aku membeli soalan-soalan ramalan STPM Maktab Adabi yang dijual melalui pos. Aku jumpai iklan tersebut di dalam surat khabar dan terus aku pergi membelinya dengan wang pos. Aku bukanlah dari keluarga yang senang. Aku hanya anak seorang pekerja kilang, ibu aku merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Sewaktu aku mengambil STPM aku masih mempunyai dua orang adik lelaki yang masih bersekolah dan sudah tentu ayah aku memerlukan wang yang banyak untuk menyara pembelajaran adik-adik aku. Aku tidak pernah mengambil tusyen berbayar di pusat-pusat tusyen swasta yang banyak terdapat di bandar. Aku hanya pergi ke kelas tambahan yang dibuat secara percuma oleh guru-guru aku yang ikhlas mengajar. Pernah satu ketika aku mengalirkan air mata sewaktu menunggang motosikal pulang dari sekolah kerana aku tidak mempunyai cukup duit untuk membeli buku rujukan sejarah yang pada aku buku tersebut amat penting dan berguna.

Aku membeli sepaket kertas graf yang aku gunakan untuk membuat latih tubi dengan mencuba pelbagai jenis graf dan carta pai sebagai persediaan untuk subjek Pengajian Am. Dalam peperiksaan STPM subjek Pengajian Am amat penting sekali dan jika gagal dalam dan mendapat C- dalam Pengajian Am bermakna anda tidak akan layak terus untuk diterima masuk ke mana-mana universiti awam walaupun subjek-subjek lain mendapat markah A. Aku memang tidak pandai untuk membuat graf kerana pengiraannya agak rumit tetapi aku cukup cekap untuk membuat carta pai dan berpuluh jenis bentuk carta pai telah aku berlatih dan aku yakin sekiranya bentuk carta pai apa yang keluar dalam STPM nanti pasti aku akan dapat menjawab. Ini kerana selalunya dalam kertas 2 Pengajian Am bahagian B tidak salah aku akan ada soalan pilihan samaada untuk membuat soalan graf atau carta pai dan pasti aku akan memilih carta pai. Setiap malam sebelum tidur aku tidak henti-henti berdoa agar Allah memberi peluang kepada aku untuk masuk ke universiti kerana itulah cita-cita setiap pelajar yang mengambil STPM.

Dalam Kelas Masih Lagi Ceria
Walaupun STPM sudah semakin hampir, aku dan rakan-rakan aku masih lagi ceria dan nakal seperti selalu. Saufi yang sebagai ketua kelas masih tidak henti-henti dengan perangai gila-gilanya. Habis semua satu kelas diusiknya termasuklah dengan cikgu-cikgu menjadi mangsanya. Aku pada waktu itu selain rapat dengan pelajar-pelajar lelaki aku turut rapat dengan pelajar-pelajar perempuan India di kelas aku. Pelajar perempuan Melayu semuanya sudah anti aku atau mungkin truma dengan aku. Adrena Khor merupakan pelajar keturunan Sikh dalam kelas aku, dia boleh dikatakan pelajar yang agak cantik. Aku dan rakan-rakan aku yang lain seperti Jamil sering mengusik dia di dalam kelas. Begitulah perangai nakal dan gila-gila kami yang tidak pernah habis. Amir merupakan kaki tidur didalam kelas tetapi dia juga pelajar yang paling cemerlang. Mawi nakalnya luar biasa, Usop dengan dunianya yang sukar difahami. Zul rupanya sedang menjalin cinta dengan Wani dan hari ini mereka telah bergelar suami isteri dan dikuarniakan seorang cahaya  mata.

Hari-hari semua itu berlalu dengan pantas, yang pasti tetap pasti dan STPM muncul jua akhirnya….


Thursday, March 20, 2014

Mana perginya kapal itu?




Telah melintasi lebih dari satu minggu pesawat MH370 telah hilang lenyap. Seramai 239 penumpang dan anak kapal telah hilang lenyap semenjak 8 Mac lalu. Apa yang terjadi? Saya secara jujur – sama seperti warga dunia - tidak tahu apa terjadi. Malah akan bertanya apa sebenarnya berlaku. Tetapi bukan ini yang ingin saya paparkan dalam tulisan kali ini.


Apa yang terjadi kepada MH370 telah menjadi spekulasi di seluruh dunia. Sesiapa sahaja yang berminat mengikuti berita ini mungkin ada memiliki teori dan labon tentang apa yang telah terjadi. Pelbagai teori dan sudut telah dikupas. Pelbagai dongeng telah terhambur. Para peminat teori konspirasi telah mula menulis berjela-jela. Malah saya sendiri telah menerima pelbagai alamat blog yang menulis teori konspirasi. Meminta saya memberi komen.

Saperti biasa tukang labon teori konspirasi ini akan mengaitkan Yahudi, Freemason, Amerika, CIA dan, dan, dan. Tidak cukup dengan ini diselitkan juga ayat-ayat suci untuk memperkukuhkan teori labon ini.

Saya menolak semua teori konspirasi ini. Untuk saya pada tahap ini satu kemalangan telah berlaku. Hati dan harapan kita adalah kepada kaum keluarga sanak saudara penumpang dan anak kapal yang telah ditimpa kemalangan ini.

Tetapi kenapa teori konspirasi ini muncul? Inilah yang ingin saya paparkan kepada pembaca kali ini. Kita wajib mengetahui bagaimana teori konspirasi ini berjalan, bergerak dan tersebar.

Saya masih ingat lagi ketika saya di Beirut dalam tahun 1975. Ini sesudah terbunuhnya Al-Malik Faisal raja Saudi di tangan anak buahnya. Saya ditanya oleh anak-anak muda Palestin dan Arab yang sedang bergerila menentang fasis Falangist di kota Beirut – siapa membunuh Raja Faizal?

Bila saya tidak memiliki jawapan muncul pula soalan cepu emas. Di mana Malik Faisal sekarang? Saya tersenyum tanpa jawapan. Lalu saya diberitahu bahawa Malik Faisal sedang berkonspirasi dengan kuasa ghaib untuk ‘mengambuskan’ perjuangan Palestin. Bunyi ayat ini lawak. Mana mungkin yang telah mati berkonspirasi. Tetapi inilah hakikatnya yang telah berlaku.

Kita juga pernah membaca tentang Lady Diana, tentang John Lennon , tentang Malcolm X, tentang Martin Luther King, tentang JFK dan, dan, dan. Pelbagai kisah dan teori konspirasi yang kita baca dan dengar tentang kematian mereka. Kenapa ini berlaku? Apa hubungan dengan MH370?

Mari kita ingati kembali bagaimana kita warga Malaysia anak semua bangsa telah diberitahu tentang kemalangan ini berlaku. Berita kemalangan ini hanya dibuka kepada umum hampir 5 jam sesudah putusnya hubungan anak kapal dengan radar di bumi. Kenapa ini berlaku? Tiga jam atau 5 jam lewat ini kini menjadi asas teori konspirasi.

Asas teori konspirasi ialah keyakinan. Asas induk ialah kepercayaan orang ramai terhadap kenyataan rasmi. Harus diakui bahawa 52 peratus rakyat Malaysia telah mengundi Pakatan Rakyat. Ini bermakna mereka TIDAK yakin dengan United Malays National Organisation dan konco-konconya.

Seramai 52 peratus warga ini tidak akan percaya kepada apa sahaja yang dituturkan oleh Najib, atau sepupunya Hishammuddin atau sesiapa sahaja yang dilihat mewakili kepentingan United Malays Natioanal Organisation. Mustahil gerombolan yang telah menipu dalam PRU13 akan diyakini cakap-cakap dan kenyataan mereka tentang MH370. Najib dan sepupunya tidak memiliki kredibiliti. Walau pun Najib dan sepupunya memulakan sidang akhbar dengan bismilllah, ia tidak memungkinkan 52 peratus warga Malaysia kembali percaya kepada mereka.

Jelas teori konspirasi bergerak di atas ketidakyakinan warga terhadap lembaga daulah. Hilangnya keyakinan ini bukan satu yang baru di Malaysia ini. Seramai 52 peratus warga yang mengundi Pakatan telah tidak yakin dengan kerajaan. Ini bukan data yang saya muncul-munculkan. Data 52 peratus ini adalah keputusan PRU13.

Apabila Najib membuka mulut maka soalan pertama akan timbul dari anak semua bangsa ialah siapa bunuh Altantuya? Siapa mengupah Sirul dan Azilah untuk membunuh Altantuya? Selagi persoalan ini tidak terjawab apa sahaja yang dicakapkan oleh Najib dan sepupunya pasti tidak akan diyakini orang ramai. Kalau dalam kes itu mereka dikatakan menipu mustahil dalam kes MH370 ini mereka tidak menipu.

Bukti hujah ini menjadi sahih apabila diketahui bahawa dua warga Iran telah menggunakan pasprot palsu. Dengan serta merta laman sosial Facebook telah heboh memberi ingatan bahawa nama Altantuya juga telah hilang dari senarai keluar masuk imigresen. Dua lagi pasport palsu digunakan untuk masuk ke Malaysia bukan satu yang pelik.

Justeru apa yang ingin saya paparkan di sini ialah keyakinan yang telah hilang terhadap Najib dan konco-konconya. Inilah yang menjadikan teori konspirasi ini meluas dan melebar. Teori ini menjadi kukuh dan dilihat berasas apabila para pegawai Najib mula membuka mulut.

Pada awalnya entah atas nasihat siapa askar telah memberi taklimat tentang kapal terbang awam yang hilang. Ini pelik bin takjub. Kenapa sang askar? Tidak adakah pegawai awam yang berupaya memberi taklimat? MH370 bukan kes perang. Ini kes kapal terbang awam hilang. Ini bukan kapal terbang tentera. Kemunculan askar ini telah menimbulkan banyak syak wasangka.

Teori konspirasi bertambah rancak apabila sidang akbar dibuka untuk akhbar dunia. Selama lebih dari 50 tahun United Malays National Organisation telah menipu dan berbohong melalui media yang mereka miliki. Dengan menggunakan pelbagai bentuk undang-udang – ISA, Akta Cetak, Akta Rahsia Rasmi dan, dan, dan, gerombolan Ketuaan Melayu ini telah menggunakan media untuk menipu.

Apabila wujudnya media baru - United Malays National Organisation telah melarang wartawan dari Malaysiakini atauSuara Keadilan dari dapat bersama membuat laporan. Gerombolan Ketuanan Melayu ini selama lebih dari 50 tahun telah membuli dan mengancam wartawan

Dengan kes MH370 Najib dan sepupunya tersentak dan menggigil apabila mula berhadapan dengan wartawan antarabangsa. Wartawan antarabangsa ini tidak ambil pot siapa Najib, siapa sepupunya dan siapa ketua polis negara. Tugas mereka mencari dan melapor berita. Maka untuk pertama kalinya para Raja Lawak ini dilihat bebal dan berpeluh takut berhadapan dengan media. Padan muka.

Saya yang pada ketika menulis ini berada di London telah berpeluang melihat media bebas bergerak. Saya bernasib baik dapat melihat bagaimana sepupu Najib cuba bersilat lidah – berkuntau - dalam usaha untuk menipu wartawan dunia. Saya dapat berpeluang melihat sidang akhbar Raja Lawak ini secara terus menerus tanpa sekatan dan dipotong.

Malam Ahad yang lalu saya berpeluang melihat media CCTV Tiongkok memperlihatkan sidang akhbar warga mereka di Kuala Lumpur. Saya berpeluang melihat bagaimana warga China telah mengancam Najib dan gerombolan United Malays Natioanl Organsiation kerana mereka merasa mereka telah ditipu. Tidak ada datuk seri atau datin seri untuk warga China ini, mereka merasa telah ditipu.

Di luar negara juga - saya berpeluang melihat induk berita terpampang luas – LIES – pembohongan - muncul dari akhbar cetak Hong Kong. Jika inilah muka hadapan akhbar kita pasti lesen cetak dirampas dan Ketua Pengarang ditahan tanpa bicara. Saya sekali rakyat Malaysia tidak berpeluang melihat apa yang dapat saya lihat, saya baca dari Kota London.

Kemalangan MH370 ini sebenarnya telah membuka mata orang ramai. Untuk 52 peratus pengundi Pakatan mata hati mereka tidak perlu diusik. Mereka telah lama sedar. Kes pesawat hilang ini hanya akan memperkuatkan lagi keyakinan mereka bahawa kerajaan Najib dan sepupunya wajib dilawan.

MH370 ini telah berjaya membuka mata 47 peratus warga Malaysia yang tidak mengundi Pakatan. Kes MH370 ini mula menampakkan kepada mereka betapa bebalnya Najib Rosmah dan sepupunya Hishammuddin. Bunyi suara media dunia yang marah kerana mereka merasa ditipu ini sedikit sebanyak telah sampai ke pendengaran Mak Cik dan Pak Cik Felda.

Najib dan sepupunya menjadi Raja Lawak bertaraf dunia bukan kerana kemunculan bomoh tetapi kerana kegagalan mereka menjawab soalan-soalan dari media antarabangsa. Bukan kita hendak ketawakan keupayaan mereka menggunakan Bahasa Inggeris dengan betul – untuk saya ini kurang penting.

Apa yang penting ialah melihat bahasa badan Najib, Hishammuddin, Ketua Polis Negara. Saya amat-amat jarang menonton TV tapi pada petang Sabtu 15 haribulan yang lalu saya berpeluang melihat Najib dan sepupunya beraksi. Jelas dari nahu bandan mereka, jelas dari cara mereka bersilat lidah – ada sesuatu yang ingin mereka sorokkan.

Secara positif kes pesawat MH370 hilang ini telah membogelkan keupayaan fikrah Najib dan sepupunya. Kes ini juga telah membogelkan kebebalan United Malays National Organisation kepada dunia. Hari ini anak semua bangsa terus berdoa dan berharap pesawat MH370 akan selamat.

Bersama doa dan harapan ini – anak semua bangsa – rakyat Malaysia telah sepakat mengakui bahawa kerajaan Ketuanan Melayu ini wajib diganti. Satu kerajaan baru wajib lahir dari kemalangan MH370 ini. Kita TIDAK ada pilihan- sebelum Kilang Lynas retak, sebelum loji nuklear pecah kerajaan Najib Rosmah dan sepupunya wajib kita gulingkan.


Oleh: Hishamuddin Rais