Thursday, October 27, 2011

Hari Ketujuh: Nasi Dagang Di Negeri Orang, Nasi Kandaq Di Negeri Sendiri

Hari ini masuk tujuh hari aku di Terengganu dengan kata lain genap seminggu aku disini. Esok hari terakhir aku bertugas di Terengganu. Sabtu ini aku akan bertolak pulang ke Penang. Aku sudah mula rasakan masa begitu lambat berlalu menanti hari sabtu. Ini kerana aku sudah puas di sini dan aku mahu pulang ke Penang.

Hari ini 27 Oktober 2011 dimulakan dengan hujan yang lebat dan kadang kala renyai di Kuala Terengganu. Aku keluar dari hotel yang aku menginap selama dua malam dalam keadaan hujan yang sedikit lebat. Kepala aku mula terasa pening ketika menulis di blog ini mungkin akibat sering terkena hujan siang tadi.

Tidak ada apa yang menarik yang aku hendak kongsikan pada hari ketujuh ini. Ini kerana pada hari ini aku melakukan kerja-kerja seperti biasa yang agak memenatkan. Mujur cuaca yang dingin dan mendung membuatkan tidak sangat terasa keletihan. Dua ke tiga tempat aku tuju disekitar Kuala Terengganu ini. Boleh dikatakan aku sudah mula mahir jalan-jalan di bandar Kuala Terengganu ini. Aku memandu secekap aku memandu di pekan Bukit Mertajam. 

Jalan di bandar Kuala Terengganu ini tidak memeningkan kepada pemandu-pemandu yang pertama kali memandu disini. Ini kerana sistem trafiknya mudah, jalannya juga tidak akan membawa anda tersesat jauh jika anda tersilap mengambil simpang. Tidak seperti di Kuala Lumpur yang mana pasti anda akan menjerit hiba jika terlepas atau tersalah mengambil simpang. Papan tanda jalannya juga mudah difahami dan tidak seperti di kawasan lembah kelang yang mana papan tanda arah jalan yang kebanyakkannya dipacak betul-betul pada simpang.

Aku tidak kemana pada hari ini, aku hanya menghabiskan masa seharian dengan melakukan tugas yang diamanahkan untuk hari - hari terakhir ini. Aku hanya sempat bersarapan separuh nasi kukus kira-kira jam 11 pagi dan hanya makan semula kira-kira 9 jam selepas itu iaitu sekitar jam 8 malam. 

Selesai makan aku terus ke bandar kuala terengganu untuk mencari tempat penginapan untuk dua malam terakhir aku disini. Duit peruntukan perjalanan aku kesini yang masih berbaki membuatkan aku boleh memilih hotel yang agak selesa untuk dua malam terakhir ini.

Aku hanya mahu berehat sepuasnya dibilik hotel dan enggan keluar kemana-mana pada malam ini. Ini kerana badan aku yang sudah mula terasa lenguh dan kepala yang sudah mula berdenyut. Merehatkan diri diatas katil empuk dengan dingin penyaman udara begitu menenangkan. Terdetik dihati aku iaitu tidak sabar mahu pulang ke penang, tetapi terlintas juga perasaan yang kurang enak kerana aku perlu masuk ke pejabat seperti biasa pada Isnin ini, ianya diberatkan lagi dengan hasil kerja aku dan rakan aku di Terengganu ini yang kurang berjaya.

2 comments:

Anonymous said...

pasnie cont mengajar la yer..

Anonymous said...

tak pa...tak pa..malam ni tido awal ye..rehat la...dah kata pening...:)