Friday, November 30, 2012

PELUANG BELAJAR DALAM BIDANG KEMAHIRAN

I-Systems Training Centre Caw. Bukit Mertajam adalah sebuah Pusat Bertauliah yang mendapat pengiktirafan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran JPK. Kami menawarkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia SKM Tahap 1, 2 dan 3 dalam bidang:

SIJIL KEMAHIRAN MALAYSIA 

TAHAP 1, 2 DAN 3

JURUTEKNIK AUTOMOTIF

Keistimewaan dan Syarat Kelayakan: 
- Memiliki PMR dan  berumur 16 keatas
- Pinjaman dan elauan sara hidup RM300 sebulan kepada pelajar
- Daftar segera kerana tempat adalah terhad.

Sila hubungi atau datang terus ke:
I-Systems Training Centre Caw. Bukit Mertajam 
G45, The Summit BM Plaza & Level 8, 
Wisma Summit,566, Jalan Arumugum Pilai, 
14000 Bukit Mertajam,Penang, Malaysia. 
04-5370020

Monday, November 26, 2012

Jawatan Kosong (Pegawai Pengesah Dalaman, Pegawai Penilai, Pegawai Pemasaran dan Pustakawan

Jawatan Kosong di I-Systems Training Centre Caw. Bukit Mertajam / I-Systems Kolej Bukit Mertajam

1- Pegawai Pengesah Dalaman (Automotif)

Syarat Kelayakan:
- SPM atau SPMV
- Memiliki Sijil Kemahiran Malaysia SKM tahap 1,2 dan 3 dalam bidang Automotif
- Memiliki Sijil Kursus Induksi Kemahiran Malaysia
- Memiliki Sijil Vocational Training Officer VTO

2- Pegawai Penilai (Automotif)

Syarat Kelayakan:

- SPM atau SPMV
- Memiliki Sijil Kemahiran Malaysia SKM tahap 1,2 dan 3 dalam bidang Automotif
- Memiliki Sijil Kursus Induksi Kemahiran Malaysia
- Memiliki Sijil Vocational Training Officer VTO

3- Pegawai Penilai (Juruteknik Rangkaian Komputer)

- SPM atau SPMV
- Memiliki Sijil Kemahiran Malaysia SKM tahap 1,2 dan 3 dalam bidang Rangkaian Komputer
- Memiliki Sijil Kursus Induksi Kemahiran Malaysia
- Memiliki Sijil Vocational Training Officer VTO


4- Pegawai Pemasaran
- SPM
- STPM/Diploma atau Ijazah dalam bidang pemasaran, pengajian perniagaan dan yang berkaitan

5-Pustakawan
- SPM
- Ijazah dalam bidang pustakawan atau sistem maklumat

Individu yang berminat boleh menghantar resume ke:

I-SYSTEMS KOLEJ BUKIT MERTAJAM
G45 THE SUMMIT BM PLAZA
LEVEL 8 WISMA SUMMIT
NO 566 JALAN ARUMUGAM PILLAI
14000 BUKIT MERTAJAM
PULAU PINANG

atau email kepada: 
zamirul@i-systems.edu.my

Tuesday, October 23, 2012

Lelaki Bosnia Berjalan Kaki 5,700km Untuk Tunaikan Haji



SARAJEVO - Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.

"Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic menerusi satu temu bual telefon.

Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,700 kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram.

Hadzic memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya termasuk gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing.

"Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan.

"Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka melepaskan saya," ujar Senad.

"Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu.

Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq.

Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di Jordan.

Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji. ~afp

Monday, October 22, 2012

Chua Soi Lek dan Hudud

Sejak akhir - akhir ini dan ditambah lagi dengan Perhimpunan Agong MCA ke-59 Chua Soi Lek dan cukong - cukongnya dalam MCA begitu galak dan rakus menyerang hudud. Perkara ini bukan lagi rahsia atau khabar - khabar angin yang bertiup tetapi dilaporkan secara terbuka oleh media - media yang menghadiri persidangan perhimpunan cukong - cukong tersebut. Langsung tidak kedengaran suara dari NGO Melayu Islam. Hanya sedikit dari Perkasa tetapi mana hilang Hasan Ali, Ibrahim Ali, Zul Nordin semuanya tersipu - sipu malu untuk bersuara bila mendengar kritikan dari kepala Cukong ini.

 Mungkin mereka boleh mengatakan, hudud yang Soi Lek kutuk dan hina itu adalah hudud ala PAS dan bukan hudud Islam sebenar. Tanya balik kepada Soi Lek apakah dia hudud Islam sebenar. Dalam laporan Malaysiakini semalam Soi Lek mengatakan, "lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat". Sekali lagi sila ajukan semula soalan kepada Soi Lek, jika beliau hanya menyerang hudud yang dikatakan ala PAS, tetapi dalam 8 negara yang dikutuknya itu negara mana yang ada Parti PAS didalamnya?

Kita semua jangan tersalah baca dengan isu hudud yang dimainkan oleh Soi Lek dan kuncu - kuncu cukongnya ini. Percayalah tanpa persetujuan, Soi Lek dan cukong - cukong ini tidak akan berani bercakap begini. Malahan tidak mustahil skripnya telah disiapkan dan diserahkan kepada Soi Lek untuk dilagukan dalam perhimpunan Agong MCA. Restunya sudahnya tentu datang dari Umno yang mana kita sendiri boleh lihat Najib sendiri datang pada majlis penutup perhimpunan agong tersebut dengan memakai tshit rasmi perhimpunan agong berkenaan yang terdapat cetakan "katakan tidak pada hudud PAS". 

Ini semuanya memang sudah dirancang dan bukan disebabkan oleh semangat membara Soi Lek akibat mendapat mimpi basah malam sebelum dia menyampaikan ucapannya. Tujuan yang jelas isu ini diarahkan untuk dibangkitkan oleh MCA adalah untuk menarik semula undi orang cina kepada MCA. Kita semua tahu MCA kini umpama pesakit yang mengidap panyakit barah tahap 4 yang mana memang sukar diubati lagi. Oleh itu MCA memerlukan nyawa dan nyawa mereka datang dari undi orang Cina. Orang Cina hari ini jelas dan terang memihak kepada DAP dan PKR malahan juga PAS.  Maka MCA perlu menarik semula undi orang Cina dengan menakut - nakutkan orang Cina yang menyokong DAP dengan hudud atas alasan DAP berkawan dengan PAS. 

Jika sebelum PRU-12 Umno menakut - nakutkan orang Melayu dengan gambaran dan cerita hantu cina kepada orang yang Melayu menyokong DAP dan parti pembangkang lain. Kini tugas MCA pula menggunakan modus operandi yang sama tapi kali ini MCA menggunakan kisah dan cerita hantu Melayu untuk menakut - nakutkan orang Cina  yang menyokong PAS, PKR dan DAP.

Mengapa tugas memainkan cerita hantu ini diserahkan pula kali ini kepada MCA walaupun kebanyakan orang Cina di Malaysia ini tidak gemar dengan cerita hantu? Ini kerana Umno tidak boleh mainkan isu hudud ini kerana Umno mahu dilihat lebih Islam dari Islam pada saat - saat PRU-13 akan datang ini. Jika  Umno terus menyerang parti pembangkang terutamanya PAS dengan isu hudud, sokongan orang Melayu yang hanya tinggal separuh bersama Umno sekarang ini bimbang akan menjadi suku kerana dilihat mereka ini anti Islam. Lagi pula, jika hanya Umno yang memainkan isu hudud ini ianya tidak akan diambil kisah oleh orang Cina dan akhbar - akhbar Cina tidak ambil port untuk melaporkannya. Tetapi jika MCA yang memainkan isu hudud ini, sudah tentu orang Cina akan mengambil perhatian lebih dan bukan sahaja Cina malahan sudah tentu Melayu dan mungkin juga India turut akan ambil peduli. 

Oleh itu MCA perlu menggalas tugas ini untuk terus mengelirukan dan menakutkan orang Cina dengan Hudud. Barisan Nasional sangat - sangat memerlukan undi bukan Melayu untuk menang dalam PRU-13 nanti. Dalam situasi hari ini BN hanya mampu memperolehi tidak sampai 1/4 undi bukan Melayu yang terdapat diseluruh Malaysia ini. Undi Melayu mungkin BN boleh pertahankan dari PRU-12 yang lalu dengan taburan wang dan pelbagai bentuk lain tetapi untuk menambah dan mempertahankan undi bukan Melayu dari PRU-12 untuk dibawa ke ke PRU13 sememangnya BN menghadapi jalan buntu. Orang bukan Melayu terutama Cina tidak mudah termakan dengan dengan sogokan dan imbuhan RM500 atau subsidi baja. Ini kerana majoriti orang Cina di Malaysia adalah berpendapatan tinggi dan tidak boleh dibeli dengan RM500. Yang mereka mahukan sebuah kerajaan yang baik urus tadbirnya, tidak mensia-siakan bayaran puluhan ribu cukai yang dibayar mereka setiap tahun dan perjalanan hidup yang baik.

Oleh itu Umno dan sekutunya MCA dan lain - lain akan terus bermatian - matian dalam tempoh yang ada ini untuk mengelirukan pengundi dengan isu - isu seperti hudud ini. MCA itu adalah parti yang bersifat taukey - taukey dan saudagar - saudagar Cina yang hanya memikirkan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan dan tidak berminat dengan isu agama tetapi kali ini MCA telah mula menunjukkan minat dengan isu agama mungkin kerana tarbiah dan usrah yang dilakukan oleh Umno, maka tidak hairanlah pada hari ini tauke - tauke buah kurma di Malaysia juga ramai terdiri dari orang Cina yang mungkin kroni MCA. 

Bagi rakyat Malaysia yang matang dalam menghadapi isu ini, kita semua perlu sedar bahawa "hanya yang keliru akan menjadi takut dan yang takut akan menjadi bodoh dan diperbodohkan".




p/s: Cukong = adalah dalam bahasa Indonesia yang membawa  makna "taukey - taukey besar"

Friday, October 19, 2012

Kos Membaiki Kenderaan Berusia Lebih Lima Tahun Lebih Tinggi

PETALING JAYA: Jika anda memiliki sebuah kereta berusia lebih dari lima tahun dan terbabit dengan kemalangan, bersedialah menerima tekanan daripada syarikat insurans dan bengkel, yang mengkehendaki anda membayar lebih atau berpuas hati dengan alat ganti tidak berkualiti.

Syarikat insurans menetapkan bahawa alat ganti tidak seharusnya baru dan tidak seharusnya diganti dengan yang tulin mengikut umur kenderaan.

Alat ganti baru hanya akan dipasang jika pemilik bersetuju untuk membayar caj "betterment" yang biasanya antara lima peratus dan 40 peratus daripada harga penggantian.

Bengkel motor mengeksploitasi keadaan ini dengan memasang alat ganti tiruan dan menyatakan ia baru atau asli.

Pemilik perlu membuat perbezaan berapa yang sedia dibayar syarikat insurans dan apa yang dicaj oleh bengkel.

Daripada 9,721,447 kereta di jalan raya, 1,984,140 berusia lebih dari lima tahun.

Pengurus operasi liga sukan berusia 36 tahun mempunyai pengalaman tipikal.

Shamim Imran menyedari fasal alat ganti apabila dia menghantar Proton Satria GTi berusia 12 tahun untuk dibaiki selepas ia rosak bulan lepas.

Setelah mengambil polisi insurans komprehensif, dia menganggap keseluruhan bil pembaikan akan ditanggung.

Sebaliknya, syarikat insurans hanya meluluskan RM5,000 untuk bengkel menggantikan pencucuh kereta, sistem penggera dan stereng.

"Tetapi saya difahamkan alat ganti tiruan akan digunakan untuk kereta saya. Jika saya mahu yang asli, saya terpaksa menambah sebanyak 40 peratus sebagai caj 'betterment'," katanya.

Dia berkata bahawa syarikat insuransnya telah mempersetujuinya dengan bengkel panel.

"Menurut mereka, peraturan Bank Negara membenarkan bahagian alat ganti kenderaan berusia 10 tahun dan ke atas digantikan dengan alat ganti tiruan.

"Saya bingung. Saya fikir insurans akan memberi kebaikan terhadap sebarang tuntutan kerosakan," kata Shamim, sambil menambah beberapa orang rakannya turut mendapat tawaran yang serupa daripada bengkel panel mereka.

Ahninaroah Mohd Noor dari Kuala Lipis berkata bahawa bengkel panelnya memasang alat ganti tiruan pada Proton Wira berusia lapan tahunnya selepas kemalangan yang merosakkan bumper depan, lampu, radiator dan tangki air.

"Saya telah diberikan RM4,000 untuk membaikinya. Apabila kereta pulang dari bengkel ia kelihatan elok," kata guru berusia 29 tahun ini.

Tetapi dia terperasan bahawa logo Proton yang baru ditukar mula pudar selepas beberapa hari.

"Apabila saya menggoncang bumper depan, ia jatuh dan saya menyedari bahawa saya telah diberi alat ganti tiruan," kata Ahninaroah, yang mengadu kepada syarikat insurans tetapi perkara itu tidak pernah diselesaikan.

"Saya akhirnya perlu menggantikannya dengan alat ganti tulin dengan duit saya sendiri."

Wednesday, October 10, 2012

Agensi Kuanseling dan Pengurusan Kredit AKPK

Mungkin ada antara kita yang tidak pernah mendengar tentang Agensi Kuanseling dan Pengurusan Kredit AKPK. Atau pun mungkin ada antara kita yang pernah mendengar tentang AKPK tetapi tidak tahu atau kurang jelas tentang fungsi atau peranan AKPK.

AKPK adalah sebuah badan pengurusan kredit yang terletak dibawah Bank Negara Malaysia. AKPK tidak memberi bantuan pinjaman kewangan tetapi membantu memberi khidmat kuanseling berkenaan pengurusan kredit dan kewangan serta membantu mereka menyelesaikan beban hutang dengan cara menyusun semula bayaran bulanan dengan kadar yang lebih rendah sekaligus meringankan beban si penghutang.

Sekiranya anda mempunyai beban hutang yang mana anda sendiri tidak mampu menjelaskan ansuran bulanan dan pihak bank atau agensi pengutip hutang serta pejabat peguam sering menghubungi anda memaksa dan meminta anda untuk menjelaskan ansuran bulanan dengan jumlah tertentu tetapi anda sememangnya tidak mampu untuk berbuat demikian. Dalam situasi ini anda boleh meminta perlindungan dari AKPK. Dengan meminta perlindungan AKPK bank - bank yang anda hutang tadi tidak lagi boleh menganggu hidup anda. Tetapi bukan semua jenis hutang yang membolehkan anda mendapat perlindungan AKPK. AKPK hanya memberi perkhidmatan kepada mereka yang mempunyai masalah hutang dengan bank-bank yang sah dan berdaftar dengan bank negara yang berbentuk:

- Hutang Kad Kredit
Mereka yang mempunyai hutang kad kredit yang banyak dan tidak mampu menjelaskan ansuran bulan seperti mana yang dituntut oleh pihak bank.

- Pinjaman Peribadi
Mereka yang tidak mampu menjelaskan ansuran bulanan pinjaman peribadi yang mereka buat dengan pihak bank.

- Rugi Atas Jualan
Bermaksud, sekiranya kita tidak mampu menjelaskan ansuran kereta atau rumah, bank akan tarik kereta kita atau menyita rumah kita. Selepas itu bank akan melelong kereta atau rumah kita itu tadi. Jumlah hasil lelongan itu tadi mungkin tidak mampu mampu untuk menampung jumlah hutang keseluruhan kita dengan pihak bank. Baki yang tidak mampu ditampung itulah digelar rugi atas jualan dan biasanya pihak bank akan menyuruh si penghutang untuk menjelaskan baki hutang tersebut. Contohnya, anda membeli kereta dan membuat pinjaman dengan bank sebanyak RM90 000.  Selepas 2 tahun anda menggunakan kereta tersebut anda mungkin telah membuat pembayaran sebanyak RM 14 000. Selepas tempoh itu anda tidak mampu membayar ansuran kereta dan kereta anda ditarik oleh pihak bank. Selepas anda tidak mampu mengambil semula kereta anda dari pihak bank, bank akan melelong kereta anda. Pihak bank mungkin hanya mampu melelong kereta anda pada harga RM40 000. Maka jumlah keseluran hutang anda RM 90 000 tolak jumlah yang telah dibayar oleh anda RM 14 000 dan tolak hasil lelongan RM 40 000 maka hutang anda dengan pihak bank masih berbaki RM 36 000. Baki RM36 000 itu pihak bank akan meminta anda untuk jelaskan dalam tempoh dan jumlah tertentu. Jumlah tersebut selalunya agak tinggi dan tempohnya agak singkat. (RM30 000 keatas membolehkan anda diisytiharkan bangkrap). Maka anda boleh meminta perkhidmatan dari AKPK dalam membantu anda menyelesaikan hutang tersebut dan mengelakkan anda dari diisytihar bangkrap.

Bagaimana AKPK membantu anda:
Seperti yang saya katakan tadi AKPK tidak menawarkan bantuan dalam bentuk kewangan atau dengan kata lain memberi pinjaman kewangan kepada anda. AKPK boleh membantu:
- Mengurangkan ansuran bulanan yang perlu anda bayar lebih 50%. Contohnya, anda mungkin didesak oleh pihak bank untuk membayar minimum RM500 sebulan ansuran hutang kad kredit anda. Kegagalan anda membayar membayar mengikut jumlah tersebut menyebabkan faedah atau pun bunga hutang anda bertambah. AKPK boleh membantu anda mendapatkan ansuran yang lebih rendah mengikut kemampuan anda dalam sekitar RM250 sebulan atau kurang pada itu.
- Anda mungkin mempunyai hutang dengan 2 atau 3 buah bank, dan melalui AKPK hutang-hutang ini akan boleh dikumpulan dan anda hanya perlu membayar satu jumlah ansuran bulan yang lebih rendah dan kadar feadah yang dikenakan juga jauh lebih rendah berbanding bank.
- Mengelakkan anda dari diiytiharkan bangkrap oleh pihak mahkamah bagi kes yang melebihi RM30 000
- Menenangkan hidup anda dari diganggu pihak bank atau agen pemungut hutang.

Bagaimana Proses Mendapatkan Perkhidmatan AKPK:
- Anda boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2575 bagi memilih perkhidmatan yang anda mahukan. Untuk pengurusan hutang seperti yang disebut diatas anda boleh memilih "Pengurusan Kredit"
- Anda akan dihendaki menghadiri "Taklimat AKPK" terlebih dahulu dimana - mana cawangan AKPK seluruh negara. Tarikh, masa dan lokasi boleh anda pilih berdasarkan jadual yang ditetapkan oleh AKPK.
- Semasa sesi taklimat sekitar 2 jam, anda akan diberi penerangan lengkap berkenaan program "Pengurusan Kredit" oleh pegawai AKPK. Anda juga boleh bertanyakan soalan dan perkara - perkara yang anda kurang jelas semasa sesi soal jawab. Jangan lupa untuk menandatangi rekod kehadiran anda selepas tamat sesi taklimat tersebut, kerana jika tidak proses seterusnya tidak boleh berjalan kerana nama anda tiada dalam rekod.
- Selepas selesai sesi taklimat anda boleh membuat keputusan sama ada mahu meneruskan program tersebut atau tidak. Dan sekiranya anda mahu teruskan untuk mendapatkan khidmat AKPK, anda boleh menghubungi AKPK sekali lagi untuk tetapkan temujanji dengan Pegawai Kredit (kuanselor) AKPK. Tarikh, masa dan tempat juga boleh anda tentukan sendiri berdasarkan kekosongan jadual AKPK. Semasa pertemuan kali kedua ini anda akan diminta untuk membawa salinan kad pengenalan, slip gaji terkini, penyata - penyata bank hutang anda, penyata caruman kwsp, surat peguam sekiranya ada dan rekod CRIS yang boleh didapati di cawangan bank negara.
- Sebelum anda berjumpa pegawai AKPK anda akan diminta menyenaraikan kesemua hutang dan perbelanjaan bulanan anda dalam satu borang yang disediakan oleh AKPK. Maklumat ini diperlukan untuk pihak AKPK melihat kemampuan kewangan anda dan jumlah bayaran yang bakal ditetapkan.
- Semasa berjumpa pegawai AKPK anda akan diminta untuk menerangkan serba sedikit berkenaan masalah hutang anda dan pegawai AKPK akan membuat pengiraan berdasarkan kemampuan anda untuk membayar ansuran hutang anda.
- Selepas itu anda akan diminta untuk membuat bayaran pada jumlah tertentu yang telah dipersetujui setiap bulan sebelum 30 hari bulan. 
- Keadah bayaran bulanan boleh dibuat terus ke akaun AKPK di mana -mana cawangan maybank seluruh negara (kuanter, atm atau online). Perkara ini akan diterangkan oleh pegawai AKPK.

Syarat - Syarat Untuk Mendapat Perkhidmatan AKPK
- Seseorang itu mestilah belum disytiharkan bangkrap atau pun muflis oleh pihak mahkamah
- Belum menerima arahan untuk hadir ke mahkamah
- Mempunyai pendapat yang positif

Syarat dan Kesan
- Anda perlu menjelaskan jumlah bayaran bulanan yang dipersetujui dengan AKPK setiap bulan sebelum 30 hari bulan tanpa gagal walaupun sebulan. Sekiranya anda gagal membayar sebulan sahaja ansuran, anda akan terkeluar dari program Penguruan Kredit AKPK  dan anda tidak layak untuk mendapatkan perkhidmatan AKPK lagi selepas itu.
- Dalam tempoh anda mendapatkan perkhidmatan AKPK ini misalnya 30, 60 bulan atau lebih, anda tidak boleh membuat sebarang permohonan pinjaman atau kad kredit dari mana - mana bank. Jika hutang berkaitan kad kredit, kad anda akan dibatalkan. Dengan kata lain anda "blacklist" dalam tempoh tersebut.
- Nama anda akan dibersihkan semula selepas anda selesai membayar kesemua hutang anda dalam tempoh yang ditetapkan atau lebih awal dari itu. 

(Apa yang boleh dikatakan program AKPK ini berkonsepkan menolong dan dalam masa yang sama menghukum agar kita bijak menguruskan kewangan kita)

Monday, October 8, 2012

Pemain Bola Sepak Import Dan Calon Politik Import

Perkara berkenaan pemain bola sepak yang diimport dari satu pasukan ke satu pasukan lain bukanlah satu perkara baru dalam arena sukan bola sepak. Tujuan sesuatu pasukan mengimport pemain dari pasukan lain atau pun dari negara lain adalah untuk memantapkan lagi pasukan mereka disamping merancakkan lagi sesuatu liga bola sepak itu. Contohnya Cristiano Ronaldo yang dahulunya bermain untuk pasukan Manchester United diimport oleh pasukan Real Madrid dan beberapa lagi pemain handalan dunia yang dilihat diimport oleh pasukan lain untuk bermain dengan pasukan mereka. 

Begitu juga dengan Liga Malaysia yang dilihat ramai pemain - pemain import memeriahkan Liga Malaysia ini. Kelab Pelita Jaya dari Indonesia mengimport penyerang handalan Malaysia Safe Sali dengan bayaran yang cukup tinggi dan dilihat ianya berbaloi bilamana pasukan itu mencapai kejayaan yang cukup cemerlang dan berjaya menarik ramai penonton ke stadium. Dengan adanya pemain - pemain import ini nama pasukan dan liga mereka terkenal dan menjadi sebutan diperingkat antarabangsa dan bukan sekadar liga kampung sahaja.

Ini semua gambaran "import" dalam arena sukan bola sepak. Saya akan membawa pembaca ke perkara "import" dalam arena politik khususnya politik Pulau Pinang. Mungkin ada kalangan anda mengatakan tidak boleh disamakan antara "import" bola sepak dengan "import" politik. Tetapi saya mahu pembaca memlihat disebalik yang kita nampak dari perbandingan ini.

Democratic Action Party DAP dilihat telah lama mengamalkan gaya politik import ini iaitu dengan membawa calon dari kawasan atau negeri lain untuk bertanding di kawasan atau negeri lain. Pencubaan yang dimulakan dengan Projek Tajung 1, Projek Tanjung 2, Projek Tanjung 3 dan kini akhirnya DAP telah berjaya membentuk sebuah kerajaan negeri yang dahulunya dilihat begitu sukar bagi parti DAP. Malah pada Pilihanraya Umum 2008 DAP membuat langkah berani mengimport saudara Lim Guan Eng dari Melaka untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan dan Dewan Undangan Negeri Air Puteh kedua - duanya di Pulau Pinang dan hasilnya calon import itu iaitu Lim Guan Eng hari ini diangkat menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama dari DAP dan juga dari komponen pembangkang. 

Kini parti DAP merupakan parti yang popular di Pulau Pinang bukan sahaja dari kalangan penduduk bukan Melayu tetapi hampir separuh penduduk Melayu Pulau Pinang meminati DAP dan tidak memandang DAP seperti tahun - tahun 80 dan 90an yang lalu. Ianya kesan dari perubahan yang dilakukan oleh parti DAP yang tidak mahu mereka dilihat sebagai sebuah parti berteraskan orang Cina dan peranan penting Ketua Menteri Lim Guan Eng yang diimport dari Melaka untuk mengubahkan presepsi rakyat terhadap parti tersebut. Jika tahun - tahun 80 dan 90an dahulu pernah kita terfikir seorang lebai boleh mengibarkan bendera DAP. Tapi hari ini ianya sudah boleh kelihatan. Semua ini adalah hasil usaha parti DAP dan salah satunya berani bermain dengan "Pemain a.k.a Calon Import"

Bagi Parti Keadilan Rakyat PKR pula, pemimpin parti mereka dilihat sedang cuba untuk membuka ruang kepada calon - calon import. Saifuddin Nasution dari Kedah diimport oleh PKR Kelantan untuk bertanding di kerusi Parlimen Machang dan Saifuddin Nasution berjaya menjadi wakil rakyat disitu. Dari Kedah ke Kelantan dua negeri yang mempunyai adat dan loghat bahasa yang cukup berbeza tetapi Saifuddin yang pada ketika itu tidaklah se-popular mana di Kelantan tapi boleh menang di sana, ini kerana keberanian untuk bermain dengan pemain import. 

Menjelang PRU-13, mengikut dari sumber dalaman,  PKR Pulau Pinang sekali lagi akan membuat langkah berani untuk bermain dengan pemain import dengan membawa Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang sekarang Mansor Othman ke parlimen kawasan yang bakal ditandinginya mungkin Nibong Tebal dan membawa masuk Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli ke mana - mana dewan undangan di Pulau Pinang dan mungkin Penanti dan mengikut sumber dalaman Rafizi ini akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang bagi menggantikan tempat Mansor Othman yang ke parlimen. Rafizi adalah anak kelahiran Terengganu dan mahu diimport PKR ke Pulau Pinang. Langkah ini mungkin tidak disenangi oleh calon - calon tempatan tetapi keberanian untuk itu perlu ada. 

Bagaimana pula dengan Parti Islam Se-Malaysia PAS Pulau Pinang. Calon - calon import masih kurang dipraktikan oleh PAS Pulau Pinang. Mungkin PAS masih hanya mahu calon - calonnya bermain dalam liga tempatan atau liga kampung. Percubaan PAS membawa Mat Sabu dari Kedah ke Kuala Terengganu pada PRU-12 yang lalu berakhir dengan kekalahan dan kini Salahuddin Ayub yang sudah 2 penggal di Kubang Kerian mahu dihantar pulang ke negeri asalnya di Johor. Adakah ini masalah pemimpin PAS yang tidak mahu bermain dengan calon import atau penyokongnya yang tidak gemar kepada calon import. 

PAS Pulau Pinang harus berani mengimport calon - calon yang berpotensi untuk bertanding di kawasan dewan undangan negeri Pulau Pinang yang diperuntukan kepada PAS. Mujahid Rawa adalah dilihat calon PAS komtemporer yang berkebolehan untuk menang jika dibawa ke Pulau Pinang. Kerusi DUN Sungai Acheh misalnya sangat sesuai jika diperuntukan kepada beliau. Mad Sabu juga rasanya tidak bermasalah jika diberikan mana - mana kawasan DUN di Pulau Pinang seperti Sungai Dua atau Bertam. Ini kerana pengaruh Umno disana dilihat semakin luntur selepas Pak Lah dipaksa turun dari jawatan Perdana menteri. Jika langkah ini berani dilakukan oleh pemimpin PAS pusat dan negeri ianya boleh menambahkan kerusi calon PAS dalam dewan undangan negeri Pulau Pinang sekaligus menutup mulut Umno yang mengatakan PAS hanya boneka di Pulau Pinang.

Saya percaya mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan idea "Calon Import" ini tetapi dalam untuk menempa kejayaan  kita bukan hanya perlu dan wajib mengekalkan indetiti dan kuatiti tetapi kualiti juga memainkan peranan yang sangat penting. Jika kita masih berpegang kepada prinsip hanya tempatan itu yang lebih baik, sila tolak tawaran ke Al- Ahzar Mesir dan teruskan sahaja belajar di sekolah pondok biasa.

Wednesday, September 19, 2012

Apabila Zina Lebih Mudah Daripada Kahwin


Oleh: Dr Asri Zainal Abidin (Bekas Mufti Perlis dan sekarang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Islam USM dan Penyarah Pelawat di Universiti Oxford London)


Minggu depan adalah minggu terakhir saya sebagai Mufti Negeri Perlis. Tulisan hari ini adalah yang kedua sebelum yang terakhir pada minggu hadapan. Banyak perkara yang ingin saya kongsikan sepanjang tempoh dua tahun menjadi mufti.


Namun, nampaknya saya terpaksa tangguhkan terlebih dahulu hasrat itu kerana buat penghabisan kali di atas jawatan ini saya ingin menyentuh kerenah perkahwinan dalam negara ini. Hal ini penting terutama menjelang musim cuti sekolah kerana ramai yang akan berkahwin.

Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitumenegak yang makruf dan mencegah yang munkar.

Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.

Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya.

Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan.

Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:

“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; “kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”.Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.

Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf.

Nabi s.a.w. bersabda:

“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.

Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.

Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.

Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.

Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut “saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.

Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:

“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan:“Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”.

Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.

Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut:

“Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).


Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.

Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa.

Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu Iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi mahkamah yang bernama syariah.

Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan. Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:

“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).

Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.

Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:

“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).

Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahagiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.

Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.


http://drmaza.com/home/?p=501

Sunday, August 5, 2012

31 OGOS IALAH HARI MALAPETAKA - 16 SEPTEMBER MALAPETAKAN UNTUK SABAH DAN SARAWAK

Oleh: Hishamuddin Rais a.k.a Tukar Tiub

Setiap 15 Mei, warga Palestin akan menyambut Nakba. Tarikh ini bukan disambut dengan pesta-pestaan. Tarikh Nakba ini - 15 Mei 1948 - adalah tarikh entiti yang dipanggil Israel dipacakkan ke atas bumi Arab. Justeru, pada tarikh ini warga Palestin di seluruh dunia akan mengingati kembali hari musibah ini.

Semenjak 15 Mei 1948 warga Palestin berhadapan dengan segala macam kesengsaraan. Tanah mereka dirampas, rumah mereka diroboh. Mereka hilang harta benda, hak demokrasi dan kampung halaman. Rakyat Palestin diserang, dibunuh dan dihalau dari kampung halaman. Sesiapa yang berani melawan akan dipenjara.

Nakba 15 Mei adalah Malapetaka untuk warga Palestin. Nakba 31 Ogos adalah Malapetaka untuk Semenajung Tanah Melayu. Nakba ialah Malapetaka.

Saban tahun semenjak 31 Ogos 1957 Hari Malapetaka telah di rayakan di Tanah Melayu ini. Malapetaka yang menimpa warga Persekutuan Tanah Melayu ini tidak jauh bezanya dari yang sedang dialami oleh Nakba di Palestin.

Untuk memahami kembali sejarah kelahiran Malapetaka ini, biar saya bawa kembali para pembaca kepada pensejarahan kelahiran hari Malapetaka ini. Hendaknya dapatlah kita semua memahami makna Malapetaka ini, yang dieja dengan huruf M besar ini.

Awalnya, Perjanjian Anglo-Dutch 1824 telah memisahkan kepulauan Melayu kepada dua entiti - Semenanjung Tanah Melayu di bawah British dan Batavia di bawah Belanda. Pejanjian Anglo-Thai 1909 telah memisahkan pula lima wilayah Melayu - Pattani, Jala, Setul, Singgora dan Menara. Wilayah ini menjadi tanah jajahan Siam hinga ke hari ini. Pada tahun 1874, melalui Perjanjian Pangkor, kuasa kolonial Britsh telah memasukkan jarumnya untuk menjajah Semenanjung Tanah Melayu.

Perjanjian Pangkor ini akhirnya membolehkan British menguasai seluruh Semenanjung Melayu. Akhirnya Tanah Melayu menjadi tanah jajahan British bawah jagaan England dan bukan lagi East India Company.

Penjajah Barat datang untuk mencari harta kekayaan. Di Tanah Melayu British telah bertemu dengan bijih. British juga membuka ladang getah. Dua punca ekonomi ini menjadi begitu penting sekali untuk perkembangan ekonomi kolonial British.


Setiakawan melawan penjajah


Untuk terus melipat gandakan keuntungan, kaum penjajah British telah membuka bumi Melayu kepada pendatang baru dari Cina dan India. Mereka telah dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh kuasa kolonial British. Dengan kehadiran buruh Cina dan buruh India ini maka lanskap Tanah Melayu berubah untuk selama-lamanya.

Dunia ini bergerak dengan hukum hakam alam. Hukum alam bergerak dan tidak berubah-ubah. Hukum ini menetapkan, di mana ada penindasan, di sana pasti akan ada penentangan. Hukum alam ini mula menapai dan mengampuh di Tanah Melayu. Hasilnya, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuh pada tahun 1938. Ini adalah gerakan politik paling awal yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari British.

Pada ketika ini Parti Komunis Malaya (PKM) telah wujud di Singapura. PKM pada ketika itu sedang menyusun kaum buruh Cina di kota-kota seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.



Penentangan terhadap penjajah British dan kuasa modal penjajah ini telah melahirkan setiakawan diantara KMM dengan PKM. Ikatan setiakawan ini adalah kerjasama antara kaum tani Melayu dengan kaum buruh India dan Cina. Inilah bibit-bibit kelahiran negara bangsa.

Kesampaian Jepun pada tahun 8 Ogos 1941 telah meruntuhkan empayar British. Dalam masa yang sama ikatan setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan telah diperkukuhkan. Perjungan bersenjata Tentera Rakyat Malaya Menentang Jepun atau Malayan People Anti Japanese Army telah memperkukuhkan lagi setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu.

Apabila Jepun kalah perang pada bulan Ogos 1945 sekali lagi pentadbiran ketenteraan British masuk untuk mengambil alih pentabiran Tanah Melayu. Tetapi semuanya telah berubah. Tanah Melayu kini bukan lagi Tanah Melayu sebelum perang Jepun.

Kini gerakan nasionalisma telah mengampuh dan laungan kemerdekaan kedengaran di sana sini. Telah wujud Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS). Semua ini adalah gerakan nasionalis kiri yang bangun berjuang untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

British secara licik dan terancang telah mewujudkan apa yang dipanggil hingga ke hari ini United Malay National Organisation. Ini adalah organisasi yang ditelur, yang dieram dan dinetaskan oleh penjajah British. Tarikh munculnya gerombolan United Malaya National Organisation pada tahun 1946 agak lewat. Ia muncul sebagai reaksi terhadap gerakan nasionalis Melayu kiri yang mahu menghalau British. Dari segi sejarah, cukup jelas bahawa gerombolan ini diwujudkan untuk menjadi tali barut dan budak suruhan British.

Setiakawan antara bangsa-bangsa yang bangun menentang penjajah British telah melahir setiakawan yang baru. Perlembagaan Rakyat telah dilahirkan pada tahun 1947 oleh AMCJA-PUTERA. Ini adalah kerjasama setiakawan antara All Malayan Council Joint Action dengan organisasi massa Melayu bernama PUTERA.


Semua bangsa dipanggil Melayu


Perlembagaan Rakyat 1947 ini cukup penting dalam sejarah pembentukan negara bangsa. Dalam Perlembagaan Rakyat ini sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu akan dinobat sebagai Melayu. Ertinya anak semua bangsa yang lahir di Tanah Melayu adalah Melayu. Ini adalah garis politik kiri yang paling radikal. Garis politik ini dan setiakawan anak semua bangsa telah mengoncang kekuatan kuasa kolonial British.

Untuk menumpaskan agenda kelahiran negara Bangsa Melayu ini, secara licik British melalui gerombolan United Malay National Organisation telah melaungkan slogan "Hidup Melayu". Para pembaca yang budiman, perhatikan betul-betul slogan ini. Slogan ini bukan laungan untuk menghalau British tetapi untuk menunjukan bahawa orang Melayu kurang oksigen.

Gerombolan United Malay National Organisation dengan kerjasama British telah memulakan dan menanamkan garis politik Melayu-Melayu, China-China dan India-India. Maka lahirlah PERIKATAN. Politik perkauman ini amat baik untuk British. Ini adalah dasar pecah dan perintah. Dalam pertubuhan PERIKATAN masih lagi Melayu, Cina dan India. Berbanding dengan AMCAJA-PUTERA, badan ini adalah gabungan anak semua bangsa yang memanggil diri mereka Melayu.


Projek Perlembagaan Rakyat 1947 telah digagalkan British. Akhirnya, pada 20 Jun 1948 pecahlah perang kolonial menentang British. Perang kolonial kali ini telah disertai oleh API, AWAS, Hisbul Musliminin, Malayan Democratic Union, PKM, KMM, PKMM dan ratusan patriot dan nasionalis anak semua bangsa. Mereka mengangkat senjata untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

Saya harap hingga ke tahap ini para pembaca telah dapat memahami pejalanan sejarah Tanah Melayu. Saya harap para pembaca telah dapat memahami dari mana munculnya gerombolan United Malay National Organisation, Malayan Chinese Association dan Malayan Indian Congress. Kesemua badan-badan ini adalah boneka British. Dari namanya kita telah tahu bahawa badan-badan ini dibentuk dan ditaja oleh penjajah British.

Mari kita lihat apakah yang telah dibuat oleh United Malaya National Organisation apabila rakyat Tanah Melayu pada thun 1948 bangun mengangkat senjata melawan British. Apa agaknya yang telah dilakukan oleh United Malay National Organisation? Sejarah membuktikan bahawa mereka bukan bangun menentang British tetapi bangun berjuang menentang orang yang menentang British.

Jika tidak percaya apa yang saya tulis ini, sila bersabar. Pada bulan Ogos ini nanti, media milik United Malay National Organisation akan membuka kisah-kisah bodoh di mana puak-puak gerombolan tanpa segan dan malu akan membuktikan bahawa mereka dengan bangga telah menjadi suruhan British. Mereka akan mendabik dada mengatakan bagaimana mereka berjuang menentang komunis. Walhal, gerila parti komunis ketika itu sedang melawan British.

Ketika Shamsiah Fakeh, Abdullah Sidi, Rashid Maydin, Chin Peng bangun mengangkat senjata, apa yang dilakukan oleh United Malaya National Organisation?


Tidak berkesudahan


Sejarah jelas membuktikan gerombolan United Malay National Organisation telah bersubahat dengan British untuk menumpaskan gerakan bersenjata melawan British ini.

Ketika anak semua bangsa bangun melawan British untuk mencapai kemerdekaan, gerombolan United Malaya National Organisation bangun berjuang melawan orang yang berjuang untuk merdeka.

Justeru, sebagai balasan menjadi budak suruhan yang setia, pada 31 Ogos 1957 penjajah British telah mengagihkan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Tarikh 31 Ogos inilah yang menjadi Hari Malapetaka untuk Tanah Melayu. Tarikh ini adalah Nakba untuk anak semua bangsa di Tanah Melayu. Semenjak dari tarikh ini kita telah melihat satu demi satu musibah telah menimpa Tanah Melayu.


Saya menobatkan 31 Ogos sebagai Hari Malapetaka untuk menilai kembali pensejarahan Tanah Melayu. Kita tidak perlu berselindung. Nakba di Palestin membolehkan tanah-tanah Palestin dirampas oleh kaum Zionis. Malapetaka di Tanah Melayu memperlihatkan ribuan hektar tanah rizab Melayu hilang dirampas oleh Zionis tempatan.

Pelentong, Chu Badak, Tasek Utara, Berembang, Kerpan hanyalah beberapa nama tanah asal Melayu yang dilupus. Paling akhir tanah Keretapi Api Tanah Melayu di Singapura lupus. Dan yang akan datang ialah tanah Kampung Baru dan Kampung Banda Dalam.

Malapetaka ini tidak berkesudahan. Lihat pula berapa ratus ribu anak semua bangsa menjadi mangsa ditahan tanpa bicara semenjak British mewujudkan akta ISA pada tahun 1948. Paling akhir kita melihat enam warga penyokong BERSIH ditahan tanpa bicara bawah Ordinan Darurat.

Berapa ribu pula warga yang telah gugur dan mati dibunuh dalam tahanan? Pernah saya terdengar suara dari parlimen menyatakan lebih dari satu ribu orang telah gugur semenjak sepuluh tahun dahulu. Nama seperti Altantuya, Beng Hock, Kugan, Francis, Aminulrashid dan Sarbaini akan terus bertokok tambah. Malapetaka ini masih berterusan.

Bulan Ogos kelihatan amat ironi untuk Tanah Melayu kerana 500 tahun lalu, pada 10 Ogos 1511 Portugis telah mendarat di Melaka. Pendaratan Portugis 500 tahun dahulu hanya akan dilihat sebagai satu titik dakwat hitam dalam sejarah Tanah Melayu berbanding dengan Malapetaka 31 Ogos.

Untuk pembaca yang muda biar saya ditunjukan di sini bahawa Nakba di Palestin pada 14 Mei adalah hasil dari perancangan British. Manakala Malapetaka di Tanah Melayu pada 31 Ogos adalah juga hasil perancangan British. Nakba di Palestin berterusan hingga ke hari ini. Malapetaka di Tanah Melayu ini juga tidak akan reda-reda selagi gerombolan United Malay National Organisation tidak dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.(TT)


Tuesday, July 31, 2012

KAPITALIS VS SOSIALIS


SISTEM EKONOMI KAPITALIS

Inilah sifat asli kapitalis. Inilah sifat kaum pemodal kapitalis. Dalam sistem ekonomi kapitalisma tujuan utama ialah untung.
Kapitalisma adalah sistem ekonomi yang tujuan asasnya mencari untung. Ini hakikat. Tidak perlu berdolak dalik.

Kaum kapitalis akan melakukan apa sahaja asalkan dapat untung.

Dalam sistem kapitalis – apa yang boleh di jual akan di jual. Asalkan ada untung.

Dalam sistem kapitalis – apa yang boleh di beli akan dibeli. Asalkan ada untung.

Dalam sistem kapitalis – agama, ibu, ayah, anak – semua boleh di jual – jika mendapat untung.

Kapitalisma adalah sistem ekonomi yang tidak mengira agama, bangsa atau wilayah.

Sistem kapitalis bersifat uninversal – melintasi benua, daerah dan wilayah.


SISTEM EKONOMI SOSIALIS

Sistem ekonomi sosialis ini berbeza dari sistem kapitalis.

Dalam sistem ekonomi sosialis yang diutamakan bukan untung tetapi perkhidmatan.

Dalam sistem ekonomi sosialis yang diutamakan ialah kebaikan ramai bukan keuntungan pribadi.

Dalam sisstem ekonomi sosialis pembangunan dilakukan bukan kerana ianya boleh mendapat untung – pembangunan dilakukan kerana ianya membawa manafaat untuk orang ramai.

Dalam sistem sosialis hospital percuma – kerana ianya baik untuk menjaga kesihatan semua warga. Hospital bukan untuk membuat untung tetapi memberi khidmat. Khidmat terbaik diberi bukan kerana si sakit kaya tetapi pesakit memerlukan khidmat itu.
 
Dalam sistem sosialis pembelajaran –sekolah/universiti – diberi percuma kerana ianya akan melahirkan warga yang berilmu. Ini perlaburan yang dananya dikeluarkan dari kantong negara. Pembelajaran bukan perniagaan. Pembelajaran ialah untuk mendidik warga berilmu. Warga yang berilmu akan berbudi dan berbahasa. Warga yang berilmu tidak membawa porak peranda.

Dalam sistem sosialis perumahan didirikan untuk semua. Membuat rumah kediaman bukan untuk mencari laba tetapi untuk memberi keselesaan kepada penduduk. Kenapa yang kaya perlu 4 bilik dan yang miskin duduk berhimpit-himpit?

Kalau dalam sistem ekonomi sosialis syarikat kapal terbang adalah milik negara. Harga tiket ke umrah atau ke mana sahaja akan dijual semurah mungkin. Bukan bermakna penjualanan tiket kapalterbang akan merugikan tetapi niatnya BUKAN untuk keuntungan maksima.

Untung yang didapati bukan akan masuk ke dalam poket individu pemegang saham. Dalam ekonomi sosialis pemegang saham ialah semua warga. Bottom Line sosialis bukan ringgit dan sen. Bottom Line sosialis ialah khidmat untuk orang ramai.

Nota:

Mereka yang menentang sistem sosialis kerana mereka tahu dalam sistem ini mereka tidak dapat melabor modal untuk memeras dan menindas kaum buruh.

Negara sosialis selalu di serang kerana kaum kapitalis tidak dapat membuat untung dan merompak harta kekayaan.

Negara sosialis diserang kerana punca-punca ekonomi negara – minyak, bijeh, sawit,emas, besi dan segala hasil bumi – tidak boleh dimiliki oleh Exxon, General Motors, IBM, Chevron, ITT, Douglas McDonald, City Bank atau HSBC.

Memang betul dan saheh di Cuba tidak ada MacDogal. Betul di Cuba tidak ada KFC. Betul di Cuba tidak ada Coca Cola.

Tetapi di Cuba – ada sistem perubatan awam yang terbaik dalam dunia. Ianya diberi percuma untuk semua warga.

Di Cuba ada sistem pembelajaran yang terbaik di dunia. Sekolah perubatan Cuba memberi kuliah percuma untuk pelajar dari negara-negara dunia ketiga termasuk dari Amerika.

Di Cuba ada sekolah sukan yang tebaik. Negara kecil yang penduduknya berjumlah 11,451,652 ini saban kali di sukan Olimpik akan mengondol berpuluh pingat emas – lebih dari India yang rakyat 1 bilion atau Saudi Arabia yang dikatakan kaya raya.

Fakta :

Paling menyedihkan ada gulungan yang menentang sistem sosialis ini bukan dari kaum kapitalis yang kaya raya tetapi dari mereka yang miskin papa kedana. Mereka ini di beri ajaran dan ditakut takutkan bahawa kaum sosialis ini tidak bertuhan.

Ini adalah hasil dari sistem pembelajaran kapitalis yang telah membuatkan orang-orang ini bebal – tidak dapat berfikir. Dalam sistem kapitalis amat-amat diperlukaan orang-orang bebal lagi bodoh agar mereka boleh terus menjadi buruh dan hamba tanpa memiliki ketinggian fikrah dan keupayaan intelek.

Sistem kapitalis ingin melahirkan kaum buruh yang setia, tidak berfikir dan tidak dibenarkan berpersatuan. Dalam sistem sosialis kesatuan buruh adalah rukun pertama.

Dalam sistem sosialis pembelajaran percuma tidak memungkinkan lahirnya orang –orang bebal. Kebebalan adalah musuh utama sosialisma.Kebebalan dan kebodohan akan dilawan hingga ke akar umbi.

Dalam sistem sosialis tidak akan timbul isu PPSMI – kerana dari segi keilmuan telah diketahui bahawa untuk mengajar satu- satu bahasa BUKAN melalui maths dan sains tetapi melalui sastera.

Hanya dalam sistem kapitalis wujudnya manusia bebal yang mencadangkan cara mempelajari satu-satu bahasa adalah melalui maths dan sains.

Hidup jangan jadi bebal. Fikirkan siapa yang tidak percaya kepada Yang Maha Esa – kaum sosialis atau Kapitalis Yang Menjual Gambar Kaabah?.

Friday, July 20, 2012

Karim dan Hantu Kong Mong Nis (part 1)


Karim  dilahirkan dalam sebuah keluarga Melayu di satu perkampungan yang agak terpencil di Perak. Budaya dan sosial masyarakat kampung tersebut begitu terikat dengan adat istiadat dan budaya Melayu. Menjadi satu dosa besar pada sesiapa yang tinggal di kampung tersebut yang melanggar dan membelakangi adat istiadat budaya Melayu di kampung tersebut.

Karim seperti kanak – kanak lain menjalani kehidupan kanak – kanaknya dengan penuh riang dan ceria. Di kampung tempat Karim tinggal ada sepohon pokok buluh yang tumbuh dengan besar. Orang kampung sering mengaitkan pokok buluh tersebut dengan hantu dan mengatakan pokok buluh tersebut adalah tempat hantu yang bernama Kong Mong Nis tinggal. Hantu Kong Mong Nis ini digambarkan dengan begitu bengis dan kejam sekali, cerita itu dibawa dari turun ke temurun hingga ke generasi Karim yang pada itu baru berusia 9 tahun.

Dalam usia Karim 9 tahun tersebut, dia cukup takut apabila mendengar cerita tetang hantu Kong Mong Nis. Bukan sahaja Karim tetapi rakan – rakan sebaya seperti Ah Meng dan Raju juga pasti akan terkencing dalam seluar apabila mereka ditakut – takutkan oleh orang dewasa terutama ayah dan abang – abang mereka berkenaan hantu Kong Mong Nis ini. Cerita – cerita seram hantu Kong Mong Nis ini membuatkan Karim dan rakan – rakannya begitu takut untuk keluar malam apatah lagi Karim mesti melintasi pokok buluh tersebut jika mahu ke bandar.

Cerita – cerita hantu Kong Mong Nis ini telah membuatkan Karim dan rakan – rakan sebayanya menjadi kanak – kanak yang penakut. Mereka tidak berani menyoal banyak jika ditimbulkan berkenaan isu hantu Kong Mong Nis ini. Jika disoal ianya seperti membawa dosa besar dan hingga adakala dituduh tidak percaya kepada agama. Karim dan rakan sebayanya hanya diminta untuk percaya bulat – bulat apa yang diperkatakan oleh golongan tua berkenaan hantu Kong Mong Nis ini kepada mereka.

 Sebaliknya orang – orang tua di kampung tersebut merasa cukup gembira dan tenang sekali kerana anak – anak mereka takut dengan hantu Kong Mong Nis. Ini kerana orang – orang tua dan ibu bapa di kampung tersebut senang mengawal perangai dan pergerakan anak – anak mereka. Orang – orang tua dan ibu bapa di kampung tersebut cukup yakin dapat menghalang anak – anak mereka dari keluar pada waktu malam kerana mereka tahu anak – anak mereka ini begitu takut dengan hantu Kong Mong Nis yang digembar – gemburkan oleh golongan tua ini.

Setiap malam setelah malam meninggi kanak – kanak seperti Karim, Ah Meng dan Raju ini telah nyenyak terlena bukan kerana mengantok tetapi kerana ketakutan terhadap hantu Kong Mong Nis yang diceritakan oleh orang – orang tua dan ibu bapa mereka setiap malam. Tujuan orang – orang tua dan ibu bapa mereka ini menceritakan tentang kisah hantu Kong Mong Nis ini setiap malam adalah untuk membuatkan anak – anak mereka seperti Karim, Ah Meng dan Raju masuk tidur dengan cepat. Kerana orang – orang tua dan ibu bapa mereka memikirkan inilah fomular yang paling mujarab untuk membuatkan anak – anak mereka tidur dan cara begitu jugalah datuk dan nenek Karim gunakan untuk membuatkan ayah dan ibunya cepat masuk tidur sewaktu ayah dan ibunya kecil.

Maka setelah kanak – kanak seperti Karim masuk ke bilik tidur dan tidur dengan cepat kerana ketakutan, maka ibu bapa Karim boleh tersenyum riang kerana mereka sudah boleh melalukan “projek” suami isteri. Bagi yang tidak beristeri atau tidak bersuami, pada waktu malam setelah kanak – kanak semua tertidur nyenyak ketakutan, mereka menggunakan peluang ini untuk ke bandar dengan melintasi pokok buluh yang mereka sendiri gembar gemburkan terdapat hantu Kong Mong Nis tanpa rasa takut. Di bandar, orang – orang tua ini begitu bergembira menaikki tangga – tangga rumah kedai bagi mencari syurga dengan bayaran tertentu.

Setelah puas bersyurga mereka lepak hingga ke pagi memabuk todi di kedai – kedai minuman yang terdapat di bandar. Lebih celaka lagi, ada orang – orang tua ini yang sanggup mencuri duit tabung anak – anak mereka sewaktu anak – anak mereka tidur kerana takutkan hantu Kong Mong Nis. Adakalanya orang – orang tua ini bersungguh – sungguh menakut – nakutkan anak – anak mereka dengan hantu Kong Mong Nis agar anak mereka tidur dengan cepat. Setelah anak mereka tidur mereka mengambil kesempatan untuk mencuri duit di dalam tabung anak – anak mereka untuk menaikki tangga rumah – rumah kedai di bandar untuk menyundal dan menikmati todi di malam hari.

Bukan itu sahaja, terdapat juga orang – orang tua yang pergi menyembah dan memuja pokok buluh yang dikatakan mempuyai hantu Kong Mong Nis ini untuk mendapatkan nombor ekor pada malam hari. Sebaliknya pada siang hari mereka inilah golongan yang begitu ghairah menakut – nakutkan kanak –kanak seperti Karim berkenaan hantu Kong Mong Nis ini. Mereka jugalah yang melarang keras hingga ketahap merotan dan mengurung kanak – kanak seperti Karim jika ada yang menghampiri pokok buluh berkenaan dengan mengatakan akan disorok oleh hantu Kong Mong Nis.

Hinggakan kesatu tahap golongan orang – orang tua ini dilihat seperti pejuang hebat yang menentang hantu Kong Mong Nis ini. Kehebatan palsu mereka ini membuatkan ramai juga kanak – kanak sebaya Karim memandang tinggi akan kehebatan palsu orang – orang tua ini kerana tegas menentang hantu Kong Mong Nis dan memelihara kanak – kanak seperti mereka dari ancaman hantu Kong Mong Nis. Tetapi tanpa rakan – rakan Karim sedar orang yang mereka fikir hebat inilah yang memuja dan menyembah hantu Kong Mong Nis setiap malam di pokok buluh tersebut dengan tujuan untuk mendapat kekayaan dengan cepat iaitu dengan mendapatkan nombor ekor.

Begitulah nasib Karim dan rakan – rakannya yang lain seperti Ah Meng, Raju dan ramai lagi yang melalui zaman kanak – kanak yang cukup memilukan yang hanya dikelilingi oleh hantu Kong Mong Nis. Cerita hantu Kong Mong Nis ini telah membantutkan perkembangan minda kanak – kanak mereka hingga ada dari kalangan kawan – kawan Karim yang tidak tahu berbahasa Inggeris kerana takut untuk belajar bahasa Inggeris pada waktu malam kerana takut dengan hantu Kong Mong Nis. Maka terpaksalah kawan – kawan Karim ini belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Lebih memilukan, Karim dan kawan – kawannya terpaksa dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah kerana mereka sering histeria di sekolah akibat truma dan terganggu dengan cerita – cerita hantu Kong Mong Nis. Dengan telefon bimbit ini mudah mereka menghubungi ibu bapa mereka jika perasaan takut hantu Kong Mong Nis mula timbul.

barsambung part 2:

Saturday, June 2, 2012

WASPADA UNDANG-UNDANG BARU INTERNET


Kenyataan bersama NGO 30 Mei 2012
Pindaan Akta Bukti : Kerajaan Menginjak Demokrasi

NGO-NGO yang menandatangani kenyataan ini, mengutuk sekeras-kerasnya pindaan Akta Bukti 1950 yang telah diluluskan di persidangan terakhir Parlimen dan akan berkuatkuasa pada 1 Jun 2012. Walaupun pindaan Akta ini membawa implikasi yang amat besar, ianya masih diluluskan tanpa perbincangan yang telus. Orang ramai tidak dibawa untuk berbincang. Tanpa waktu yang panjang untuk berbahas, Parlimen telah meluluskan Akta ini.

Kemasukan Fasal baru Seksyen 114A Akta Bukti mengandungi perkara-perkara berikut:

- Pemilik, tuan rumah, pentadbir, pengarang atau penolong pengarang untuk semua laman-laman atau akaun media sosial akan dianggap bertanggungjawab keatas apa-apa isi yang telah dipapar atau diulang paparan dilaman-laman tersebut. Kandungan paparan ini tidak semestinya oleh mereka sendiri atau pun orang yang menyamar sebagai mereka, atau orang yang menyamar, atau sesiapa sahaja;

- Pelanggan kepada perkhidmatan jaringan yang biasanya mencetak atau mengulang-cetak kandungan-kandungan akan dipertanggungjawabkan keatas penerbitan tersebut;

- Tuan punya atau individu yang menyimpan perkakas elektronik yang telah digunakan untuk mencetak atau mengulang-cetak isi kandungan tersebut , akan dipertanggungjawabkan.

Justeru dengan ini, kami merasa Pindaan ini melanggar hukum undang-undang sejagat dimana individu itu tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya. Pindaan ini telah menterbalikkan undang-undang sejagat ini, dimana individu itu akan didapati bersalah dan dia wajib membuktikan yang dia tidak bersalah.

Seksyen 114A Akta Bukti bersama-sama undang-undang zalim seperti Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak 1984 dan Akta Komunikasi & Multimedia 1998 akan terus menerus menafikan hak rakyat Malaysia untuk mendapat kebebasan menyatakan pandangan. Undang-undang ini bukan sahaja akan mengancam warganegara untuk melakukan pengawalan diri (self-censorship), malah ianya juga akan disalahgunakan oleh sesiapa sahaja untuk memerangkap orang lain dengan menggunakan undang-undang zalim ini. Undang-undang ini tidak mewujudkan keadilan malah ianya melahirkan ketidakadilan. 

Dalam konteks pilihanraya umum, besar kemungkinan Seksyen 114A Akta Bukti ini akan disalahgunakan oleh individu untuk mensabitkan parti politik atau bakal-bakal calon dengan jenayah. Sesiapa sahaja boleh dituduh mencetak kenyataan yang dianggap kasar atau menghasut walaupun yang dituduh tidak mencetaknya. Hanya melalui komen-komen yang tidak bertandatangan atau komen tanpa nama yang telah ditinggalkan didalam laman-laman yang ada kaitan dengan ahli-ahli politik yang berkenaan, maka ianya akan mensabitkan ahli politik tersebut sebagai bertanggungjawab memaparkan kandungan tersebut. Pindaan ini terus menggalakkan politk kotor. Politik kotor ini terus berlaku di Malaysia sebelum, ketika dan sesudah pilihanraya umum. 

Hak menyatakan pendapat ialah asas untuk demokrasi. Di Malaysia, hak mendapat maklumat melalui media massa dikekang oleh kerajaan yang dibantu oleh undang-undang yang menindas. Warganegara Malaysia pada ketika ini telah menggunakan internet sebagai ruang demokrasi dimana mereka boleh menyatakan perasaan dan pandangan. Mereka juga telah mendapat maklumat daripada internet. 

Pindaan keatas Akta Bukti meyakinkan kita bahawa hak kebebasan untuk mengeluarkan pendapat masih lagi satu ilusi yang tercatit dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa bila kerajaan menafikan hak rakyat untuk mengeluarkan pendapat, sebenarnya kerajaan sedang menginjak-injak demokrasi. 

Kami yang menandatangani dibawah ini mendesak kerajaan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan Seksyen 114A Akta Bukti. Atau melupuskan ia serta-merta. 

Bersama dengan ini, kami yang menandatangani ini juga mendesak kerajaan Malaysia untuk menarik kembali segala kekangan terhadap hak menyatakan pandangan termasuk pindaan kepada Akta Mesin Cetak 1984 dan Akta Komunikasi & Multimedia 1998, dan melupuskan fasal-fasal yang mengekang. Kami juga menuntut supaya Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 dipinda kembali. 

PERSATUAN KESEDARAN KONUNITI (EMPOWER)

Friday, June 1, 2012

KEGANASAN TANDA DAN MAKNA

Oleh: Hishamuddin Rais a.k.a Tukar Tiub

Berita ceramah dan rapat politik Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat diserang oleh gerombolan United Malays National Organisation telah menjadi lumrah. Semakin hari semakin ganas. Dari Semborong ke Gambang ke Jalan Kebun ke Merlimau ke Pulau Pinang dan terakhir di Pantai Dalam. Apakah maknanya semua serangan ini? Apakah makna tanda-tanda ini? Dapatkah kita memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku?

Untuk memahami semua ini saya membawa para pembaca kembali kepada asas realpolitik. Kita wajib memahami apa itu politik dan kenapa kita berpolitik. Hanya dengan kita mamahami realpolitik barulah kita akan dapat pencerahan untuk memahami tanda-tanda dari keganasan ini.

Politik ialah kuasa. Berpolitik ialah berkerja untuk merebut kuasa. Kuasa ingin direbut dan dimiliki kerana sesiapa memiliki kuasa akan memiliki punca-punca ekonomi. Melalui kuasa politik sesebuah parti atau kumpulan akan mengawal dan memiliki punca-punca ekonomi. Punca-punca ekonomi ini bermakna harta kekayaan negara.

Di Malaysia harta kekayan negara bukan hanya – telaga minyak Petronas, telaga gas atau berpuluh-puluh syarikat kerajaan (GLC). Kita juga wajib memahami bahawa harta kekayaan negara lebih dari ini. Dua punca harta kekayaan yang tidak habis-habis ialah tanah dan tenaga rakyat Malaysia sendiri. Melalui kuasa politik – tanah dan tenaga manusia – boleh disusun untuk dijadikan harta kekayaan.


Justeru, perebutan politik ialah perebuatan kuasa. Perebutan kuasa ialah perebutan ekonomi. Inilah asas untuk kita memahami apa yang sedang berlaku sekarang. Jika pembaca tidak memahami asas ini maka saya rasa para pembaca akan gagal untuk memahami apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita.


Semenjak diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru ( 1974 ) United Malays National Organisation telah menjalankan dasar ekonomi dimana dasar ini bertujuan untuk mengimbangkan pencapaian ekonomi orang Melayu yang amat mundur. Dasar Ekonomi Baru ini telah diperkuatkan oleh Mahathir Muhamad dengan dasar penswastaan.

Dasar penswastaan ini maknanya – harta negara diambil alih oleh orang-orang persendirian. Harta negara bermakna harta orang ramai. Harta negara bermakna harta rakyat. Contoh harta orang ramai ialah syarikat pembekalan air, pembekalan api leterik, syarikat pengangkutan, syarikat kapal terbang, syarikat kereta api dan tanah-tanah milik kerajaan.

Orang persendirian yang dimaksudkan disini Orang Melayu ahli United Malays National Organisation. Ahli-ahli yang dimaksudkan ialah mereka yang rapat dengan pihak yang berkuasa. Yang rapat disini ialah yang rapat dengan para menteri dan politikus yang memiliki kuasa. Ini bermakna kaum kerabat, anak, bini dan kroni – yang rapat dengan yang berkuasa.

Para Menteri dan politikus dari United Malays National Organsiation menjadi kaya raya. Mereka hidup mewah dan bersenang lenang. Ini kerana mereka dan kroni mereka mengawal dan memiliki harta kekayaan. Melalui harta kekayaan mereka dapat membeli pengaruh. Satelah membeli pengaruh mereka sekali lagi dapat berkuasa.


Apa yang saya tulis diatas ialah asas untuk kita memahami realpolitik. Ini ABC politikal ekonomi. Asas politik ini boleh digunakan untuk memahami politik Indonesia, Pilipina atau politik Siam. Asas politikal ekonomi ini tidak berubah-ubah. Selagi negara itu mengamalkan dasar ekonomi kapitalis maka asas politikal ekonomi ini boleh digunapakai. Perbezaan yang wujud antara negara-negara ini hanyalah perbezaan kulitan. Perbezaan nama parti politik. Perbezaan pemain utamanya. Perbezaan kepentingan ekonomi para kroni. Isinya masih lagi sama – tidak berubah. Isinya ialah perebutan punca-punca ekonomi.

Sesudah 8 Mar 2008 yang lalu lanskap politik Malaysia berubah untuk selama-lamanya. Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 - menjadi tanda bukti bahawa rakyat Malaysia telah melintasi garis takut. Manakala Duduk Bantah Bersih 3.0 yang baru berlalu telah membuktikan bahawa garis takut yang telah dilintasi telah diperkukuhkan lagi dengan tuntuan yang adil dan demokratik. Untuk mengembalikan rakyat Malaysia ke zaman sebelum 8 March, sebelum Bersih adalah satu yang mustahil – semustahil Rosmah Mansor ingin menguruskan badannya.

Dari sini saya membawa kembali para pembaca untuk memahami kenapa serangan keatas PKR dan Pakatan Rakyat. Serangan ini dilakukan secara terancang. Ini bukan bermakna Rosmah Mansor menalipon Raja Nong Chik meminta mencari seorang ‘ budak samseng’ untuk melastik ‘ ball bearing’ ketika kepada program di Pantai Dalam. Ini tidak berlaku.

Serangan ini lebih licik dan lebih terancang. Bermula dengan Mat Gemok Jalan Kebun yang membuat huru hara. Klip video diperlihatkan sebagai saksi. Pihak polis mementaskan sandiwara – cuba cuba membuat kawad cam untuk mencari mereka. Hasilnya zilch – zero, noting , sifar – rien.


Kemudian serangan beralih ke Semborong. Pekara yang sama berlaku. Dari Semborong beralih ke Gambang. Muka, nama dan alamat Budak Baju Merah yang menyerang di Gambang tersebar. Tetapi tidak ada apa-apa dakwa dakwi. Serangan bertambah ganas apabila seorang wartawan telah mendapat 8 jahitan di Pulau Pinang. Gambar 6 Orang Lalaki Hitam muncul sebagai bahan bukti. Tetapi tidak ada dakwa dakwi. Polis pun tidak lagi mementaskan sandiwara kawad cam.

Pasti para pembaca akan bertanya dimana pula bukti-bukti yang serangan ini di rancang? Apakah apa yang saya tulis ini hanya fitnah dan tohmah?

Untuk memahaminya kita wajib mengundur ke belakang. Lihat kembali kes kepala babi dalam Masjid. Kes kepala babi ini hanya heboh-heboh di media kemudian hilang tanpa lanjutan. Kepala babi ini sengaja dimasukkan ke dalam Masjid bertujuan untuk menaikkan suhu kebencian orang Melayu terhadap orang bukan Melayu. Sayangnya, stratiji kepala babi ini meleset. Malah orang Melayu bukan sahaja tidak marah malah terus menuduh ini bukan kerja orang China tetapi ini kerja yang dirancang oleh gerombolan United Malays National Organsiation.

Apabila kes kepala babi ini padam bagitu sahaja maka ini sebenarnya tanda atau signal bahawa pihak polis tidak akan melakukan apa-apa jika penyokong gerombolan United Malays National Organsiation menyerang PKR atau Pakatan Rakyat.

Untuk memperkuatkan lagi hujah ini saya ingin mengingatkan pembaca tentang kes kepala lembu di Shah Alam pada bulan Ogos 2009. Amat jelas muka-muka gedebe yang melakukannya. Pada awalnya Mamat-Mamat Kepala Lembu bukan TIDAK didakwa malah telah dijemput bertemu Menteri dalam Negeri. Apabila orang ramai marah barulah Mamat-Mamt Kepala Lembu ini didakwa.

Apa maknanya semua ini? Tidak ada dakwa dakwi ini adalah bukti bahawa ada arahan yang jelas dari pucuk pimpinan United Malays National Organisation. Maknanya jika sesiapa menyerang PKR atau Pakatan Rakyat bukan sahaja akan mendapat liputan media malah mereka TIDAK akan didakwa dakwi. Isyarat dan tanda ini difahami oleh rangkaian gerombolan dari bahagian hingga ke cawangan.

Bukti akhir tentang rancangan jahat memang diatur ialah kenyatan Mahathir Muhamad sehari sesudah peristiwa berdarah di Pantai Dalam. Dengan licik lagi terancang Mahathir telah membuat kenyataan bukan mengutuk keganasan si penyerang tetapi menuduh Pakatan Rakyat sedang merancang demonstrasi ganas jika Pakatan kalah dalam pilihan raya yang akan datang.


Kenyataan Mahathir ini adalah kata laluan untuk ahli gerombolan United Malays National Organsiation bertindak ganas dan terus menyerang.

Melakukan keganasan yang terancang bertujuan untuk mengancam. Keganasan ini dilakukan terhadap penyokong Pakatan. Mereka yang luka berdarah atau yang dimasukan ke hospital bukan sasaran utama.

Yang menjadi sasaran utama ialah orang ramai yang sedang memerhatikan keadaan tegang yang terus berlaku. Dimana-mana pun dalam dunia ini semua warga tidak suka kepada kacau bilau. Mereka mahukan kestabilan. Kestabilan ini adalah mantra dari United Malays National Organisation. Cara kerjanya cukup senang: gerombolan membuat huru hara kemudian mereka tampil menuduh huru hara dicetus oleh penyokong atau pemimpin Pakatan Rakyat. Pihak yang menuduh akan dilihat baik dan bertanggung jawab untuk membawa kembali kestabilan.

Huru hara ini juga akan menakutkan orang ramai. Pakatan Rakyat melalui media tradisional akan dituduh sebagai punca keganasan dan kekacauan. Yang buat lain – yang dituduh lain. Saperti kenyataan Mahathir dan tiga orang bekas Ketua Polis Negara terhadap Bersih 3.0. Keganasan polis terhadap para demonstran telah dialihkan kepada keganasan penyokong Bersih.

Pucuk pimpinan United Malays National Organsiation amat sedar bahawa sokongan terhadap parti ini semakin merosot. Mustahil para Menteri tidak sedar bahawa parti politik mereka dilihat haprak. Orang Melayu semakin menolak parti ini. Masyarakat China telah hampir 90% tidak akan lagi menyokong mereka. Masyarakat India sekali lagi mula menjauhkan diri menyokong mereka.

United Malays National Organisation akan hilang kuasa bukan lagi satu yang mustahil. Semua jalur pemerhati politik dalam dan luar negara melihat pengaruh dan kuasa politik United Malays National Organisation akan berakhir.

Justeru, satelah memahami semua ini maka kita wajib kembali kepada realpolitik. Hilang pengaruh bermakna hilang kuasa. Hilang kuasa bermakna hilang punca-punca ekonomi. Berbilion-bilon ringgit harta kerajaan akan bertukar tangan. Mengikut kata Najib - duit berbilion ringgit dan harta kekayan negara inilah yang wajib dipertahan sampai ke titisan darah terakhir.

Hilang punca ekonomi ini akan menjadikan mereka saperti anjing kurap di tepi tong sampah. Menjadi anjing kurap masih dianggap baik. Anjing kurap tidak berhadapan dengan - kes rasuah, kes bunuh, kes salah guna kuasa, kes rampas tanah orang kampong dan seribu satu macam kes akan dibuka kembali. Justeru mengupah Mat Gemok Jalan Kebun, mengupah Mat Baju Merah di Gambang atau Mat Tukang Lastik Peluru di Pantai Dalam hanyalah belanja beli kacang puteh.


Satelah memahami realpolitik ini - penyokong Pakatan Rakyat wajib sedar dan bersedia kerana keganasan ini tidak akan mengurang malah akan meningkat.(TT)