Thursday, March 8, 2012

Empat tahun kemudian – hari ini

Oleh: Hishamuddin Rais a.ka Tukar Tiub

Pada 8 Mac 2008 - empat tahun dahulu - lanskap negara kita telah berubah. Selama 50 tahun warga Tanah Melayu, kemudian Malaysia, telah diperintah oleh parti Perikatan yang kemudiannya bertukar menjadi parti Barisan Nasional. Sama ada kerajaan Perikatan mahu pun kerajaan campuran Barisan Nasional — kuasa dibelakang kerajaan ialah parti politik yang bernama United Malays National Organisation.

Selama 50 tahun ini kuasa hegemoni United Malays National Organisation telah mendifinasi apa itu Malaysia. Kuasa hegemoni ini juga telah membudayakan apa yang kita ketahui hari ini sebagai Malaysia. Dengan menggunakan slogan Hidup Melayu dan bersandarkan falsafah Ketuanan Melayu, United Malays National Organisation telah menggunakan kuasa hegemoni tanpa segan silu.

Fakta sejarah dengan terang telah menunjukkan bahawa United Malays National Organisation ini hanya ditubuhkan pada tahun 1946. Penubuhan parti politik ini dibantu dengan dukungan dan sokongan kuat dari kuasa penjajah British. United Malays National Organisation dipilihara dan dididik oleh British untuk menjadi benteng pertahanan melawan ombak ampuh Nasionalis Melayu. Kaum Nasionalis Melayu kiri telah menjadi musuh penjajah kerana berani bangun menentang British dengan slogan Merdeka.

Kesatuan Melayu Muda (KMM-1938) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM-1945) adalah parti-parti politik paling awal yang telah bangun memperjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. Ini lama sebelum munculnya United Malays National Organisation.

Sesudah Perang Dunia Kedua tamat , pada tahun 1947, Parti-parti Melayu kiri ini telah bekerjasama dengan parti-parti bukan Melayu dalam barisan yang dikenali sebagai All-Malaya Council of Joint Action — Pusat Tenaga Rakyat (AMCJA-PUTERA). Pergabungan perjuangan politik anak semua bangsa di bawah AMCJA-PUTERA telah menerbit satu dokumen bersejarah - Perlembagaan Rakyat.

Didalam Perlembagaan Rakyat ini ada satu fasal yang paling radikal dan paling ditakuti oleh penjajah British. Fasal ini ialah tentang hak kerakyataan dan hak kewarganegaraan. Mengikut Perlembagaan Rakyat 1947 sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu dan mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai negara mereka maka mereka akan dinobatkan sebagai Melayu atau Malayan. Justeru Pelembagaan Rakyat ini ada satu usaha yang positif untuk membentuk sebuah negara bangsa yang mengenepikan politik perkauman.

Perjuangan menuntut kemerdekaan ini telah melahirkan satu setiakawan yang ampuh dari anak semua bangsa. Kaum buruh ladang getah telah bangun mogok dan menunjuk perasaan. Buruh lombong bijeh telah bangun mogok menuntut hak mereka. Buruh lombong arang baru di Bukit Arang telah mogok berdemonstrasi menuntut hak mereka. Semua ini dilihat oleh penjajah British sebagai satu ancaman terhadap kuasa mereka. Jelas kuasa penjajah British makin terdesak.

Pada 20 Jun 1948 British telah mengistiharkan apa yang dipanggil Darurat. British telah menangkap ramai pemimpin parti politik, pemimpin kesatuan sekerja, pemimpin agama dan juga pemimpin pelajar. Mereka ditahan tanpa bicara atas tuduhan melawan British. Parti-parti Nasionalis Melayu - PKMM, Angkatan Pemuda Insaf ( API) dan Parti Komunis Malaya adalah diantara parti politik yang telah diharamkan.

Pemimpin parti politik yang sempat melarikan diri telah memulakan perjuangan bersenjata melawan British di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya. Perang kolonial — perang melawan British - telah diistiharkan oleh Parti Komunis Malaya. Justeru, zaman Darurat sebenarnya ialah zaman dimana rakyat Tanah Melayu bangun mengangkat senjata melawan penjajah.

Darurat ini juga telah memberi nafas baru untuk kuasa kolonial British. Dalam suasana ini British telah membuat penjanjian dengan United Malays National Organsiation. British berjanji akan memberikan kemerdekaan jika harta dan kepentingan ekonomi British — seperti bank, ladang getah, ladang sawit, lombong bijeh dan kilang — tidak diganggu gugat. Melalui perjanjian inilah kuasa kolonial British telah bersedia memberikan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malays National Organistion pada tahun 1957.

Adalah penting untuk kita semua memahami salasilah sejarah ini kerana apa yang berlaku 4 tahun dahulu ialah sambungan perjuangan AMCJA-PUTERA yang telah digagalkan oleh British pada tahun 1947 dahulu. Kalau Perlembagaan Rakyat 1947 bertujuan untuk mencapai kemerdekaan dan melahirkan Bangsa Melayu dimana anak semua bangsa akan dinobatkan setaraf dan sederajat. Kini — 50 tahun kemudian sejarah berulang. Ombak dan badai untuk melahirkan Bangsa Malaysia mengampuh kembali.

Pilihanraya ke-12 yang lalu telah memeterikan setikawan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Dermokratik (DAP) dan Parti Islam Semalaysia (PAS). Tiga parti politik yang memanggil diri mereka Pakatan Rakyat telah mengikat janji bersetiakawan dalam satu saf perjuangan untuk melahirkan sebuah Malaysia yang baru. Pakatan Rakyat ini juga bersetia untuk berjuang menerapkan satu pembudayaan baru yang bercita-cita untuk membebaskan 28 juta warga Malaysia cengkaman hegemoni politik Ketuanan Melayu.

Kemenangan 8 Mac empat tahun dahulu wajib juga dilihat sebagai satu peluang membetulkan kembali sosial konstruk ke landasan yang tepat untuk melahir satu negara bangsa. Selama 50 tahun ini Tanah Melayu dan kemudian Malaysia telah dipesongkan untuk bergerak di bawah hegemoni United Malays National Organisation yang berlandaskan ajenda perkauman.

Apa yang berlaku empat tahun dahulu adalah tanda bukti bahawa garis budaya politik yang berasakan kaum adalah politik lama — politik peninggalan British. Dari buku sejarah kita memahami bahawa parti-parti politik yang berasaskan kaum ini muncul hasil dari taktik dan strateji British. Ketika menjajah Tanah Melayu , kuasa kolonial British telah menjalankan dasar pecah dan perentah. Dasar perkauman - pecah dan perentah - inilah yang telah diteruskan oleh United Malays National Organisation sebagai senjata ampuh untuk terus berkuasa.

Dizaman melawan hegemoni kuasa kolonial British pada tahun 1947 dahulu rakyat Malaya telah bersatu melihat British sebagai musuh utama. Perasaan menentang British ini sama seperti perasaan orang ramai sebelum 8 Mac. Perasaan ini ialah persaaan bangun menentang hegemoni Ketuanan Melayu. Orang ramai telah besepadu melihat United Malays National Organisation sebagai musuh utama.

Orang ramai telah juga sedar - selama 50 tahun United Malays National Organisation telah mewujudkan pelbagai akta dan undang-udang untuk memastikan kuasa hegemoni mereka berterusan hingga hari kiamat. Orang ramai juga melihat bagaimana hak kesatuan sekerja telah dimandulkan melalui pelbagai bentuk akta. Anak muda mahasiswa melihat bagaimana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah menjadikan universiti setaraf dengan sekolah menengah. Orang ramai juga sedar tentang kes-kes rasuah pemimpin parti yang berkuasa yang melibatkan berbilon ringgit. Orang ramai juga sedar pelbagai cerita dan kesah tentang penyalah gunaan kuasa oleh parti yang memerentah.

Selama 50 tahun United Malays National Organisation telah menguna jentera daulah — polis, mahkamah dan undang-undang - untuk menakut-nakutkan rakyat. Selama 50 tahun rakyat Malaysia telah tunduk takut. Tetapi pada 8 Mac 2008 yang lalu rakyat Malaysia secara kolektif telah melintasi garis takut.

Telah sampai ke satu tahap dimana rakyat Malaysia secara kolektif tidak dapat lagi ditakut-takutkan dengan 'hantu 13 Mei'. Rakyat Malaysia secara berani telah menolak sikap perkauman yang tertanam lama. Kini, orang ramai merasa begitu bertanggung jawab untuk mempertahankan masa depan mereka. Untuk mempertahankan masa depan cucu cicit mereka. Langkah pertama untuk menyelamatkan Malaysia dari memasuki kelab 'negara gagal' ialah menolak kuasa hegemoni United Malays National Organsiation.

Penolakan hegemoni ini pasti akan membawa reaksi. Tergelincir dari kuasa bermakna jauh dari 'peti duit negara'. Ini bermakna nikmat kuasa ekonomi yang dimiliki oleh United Malays National Organisation selama 50 tahun ini akan lupus.

Justeru, selama 3 tahun kebelakangan ini kita telah melihat gereja di bakar. Kita melihat kepala babi dimasukkan ke dalam masjid dan surau. Kita juga melihat kepala lembu dipijak-pijak. Semua ini adalah usaha untuk memainkan api perkauman. Api perkauman adalah senjata yang telah dan sedang digunakan oleh United Malys National Organisation untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Yakinlah , United Malays National Organisation tidak akan berehat dan menerima penolakan kuasa hegemoni mereka dengan hati terbuka. Yakinlah mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka terus berkuasa. Berkuasa bermakna memiliki , mengawal dan mengagih-agihkan punca-punca ekonomi negara. Yakinlah — kepala babi dalam masjid itu hanyalah permulaan.

No comments: