Thursday, June 2, 2011

"belajar dekat sini senang saja, kena pandai ambik hati lecturer dan rapat dengan lecturer"

Jika pembaca adalah bekas pelajar atau pelajar mana universiti, politeknik, kolej, maktab perguruan atau mana intitusi pengajian tinggi tempatan yang lain, pernahkah anda mendengar nasihat dari senior sewaktu minggu suaikenal atau orientasi yang berbunyi "belajar dekat sini senang saja, kena pandai ambik hati lecturer dan rapat dengan lecturer" kalau bukan anda dengar pada waktu minggu orientasi pun saya percaya anda mesti pernah terdengar akan bisik-bisik ayat itu dari pelajar lain dan mungkin dari mulut lecturer itu sendiri. Bagi pembaca yang bakal menjejakkan kaki ke intitusi pengajian tinggi tidak berapa lagi sila bersedia untuk mendengar perkataan ini malah mungkin guru-guru kelas atau guru kuanseling anda telah menyebut "ayat" itu kepada anda sebagai persediaan ke intitusi pengajian tinggi kelak.

Sekali imbas akan ayat tersebut memang indah dan bagus serta murni. Ya lah, buat baik dengan orang yang memberi kita ilmu bukankah itu suatu perkara yang cukup baik, malah Islam sendiri menyarankan agar kita memuliakan guru - guru kita. Bagi yang pertama kali menjejakkan kaki ke universiti atau intitusi pengajian tinggi pasti anda akan menerima pesanan itu bulat-bulat tanpa sedikit rasa ingin membantah. Namum saya percaya seawal semestar kedua atau paling lewat tahun kedua pengajian pasti anda akan sedar dan nampak masej sebenar dari ayat "belajar dekat sini senang saja, kena pandai ambik hati lecturer dan rapat dengan lecturer". Dan masej ini akan lebih terserlah dengan lebih jelas lagi bila anda sudah berada pada tahun akhir pengajian.

Bagi pembaca yang sudah menamatkan pengajian atau sudah menjadi senior di universiti-universiti pasti anda sudah dapat menangkap apa yang cuba saya maksudkan dan bagi adik-adik yang bakal menjejakkan kaki ke universiti atau intitusi pengajian tinggi pasti masih tertanya-tanya dan bingung tentang apa yang saya ingin maksudkan ini.

Apa yang ingin saya bicarakan ialah tentang budaya bodek, ampu, ambik hati dan lain-lain lagi yang boleh dikatogerikan sebagai "rasuah" yang terbentuk di universiti. Semuanya bermula dengan satu baris ayat yang saya sebut diatas tadi. Bunyinya memang cukup indah, murni dan wangi tapi pelaksanaannya cukup busuk dan hina yang makin menular di universiti-universiti dan intitusi pengajian tinggi tempatan kita pada hari ini.

Cuba bayangkan, pelajar - pelajar anak-anak muda yang di universiti yang bakal menjadi pemimpin, pegawai-pegawai sektor awam dan swasta dan agen perubahan dalam masyarakat apabila keluar dari universiti kelak telah diasuh dengan budaya rasuah semenjak di universiti lagi. Jiwa mereka telah ditanam dengan bibit - bibit dan benih - benih rasuah semanjak menjadi pelajar lagi. Maka tidak hairanlah hari ini jika kita mendengar kes rasuah yang berlaku begitu banyak dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan, pengarah-pengarah syarikat dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Kerana mereka-mereka ini telah diasuh dengan budaya rasuah semenjak menjadi pelajar lagi. Semenjak menjadi pelajar rasuah sudah menjadi "kebiasaan" dalam hidup mereka dan bila mereka bekerja dan berurusan dengan masyarakat rasuah sudah pula menjadi "kemestian".

Di universiti hari ini budaya membawa hadiah kepada pensyarah sewaktu mahu menyerahkan tugasan atau final project boleh dikatakan biasa dan saya sendiri pernah melihat dan terpaksa mengalaminya. Ada yang mengahadiahkan "pen" yang mahal harganya kepada pensyarah pada musim selepas peperiksaan. Ada juga yang sanggup membuat kajian terperinci tentang apa yang pensyarahnya suka demi untuk memastikan agar mereka mendapat markah cemerlang dalam peperiksaan atau tugasan. Itu yang dalam bentuk barangan dan secara terang - terangan.


Ada pula yang dalam bentuk simbolik yang mana selalu berkunjung ke bilik pensyarah bagi menanyakan khabar. Memang tidak salah berkunjung ke bilik pensyarah tapi biar dalam urusan akademik tapi jika sekadar pergi bertanya khabar dan mengemas meja pensyarah tanpa diminta oleh pensyarah persebut, apakah sebenar tujuannya. Ada pula yang sanggup membelanja pensyarah makan tengah hari apabila menghampiri musim final exam, sedangkan gaji pensyarah itu beribu sebulan berbanding kamu yang makan duit ptptn tapi nak belanja pensyarah. Aku sendiri sewaktu di universiti pernah melihat kawan-kawan aku berkongsi duit untuk membeli set hidangan KFC untuk dihadiahkan kepada pensyarah mereka sewaktu pembentangan kerja khusus mereka. Bagi aku ianya cukup jijik dan memalukan bagi seorang pelajar universiti berkelakuan begitu. Mungkin sebab aku tidak membeli KFC aku hanya mendapat C dalam paper tersebut. Tapi nilai saya bukan semurah harga KFC.

Itu belum lagi yang kita dengar ada pelajar yang sanggup skandal untuk mendapat markah cemerlang. Kalau tidak silap aku pernah beberapa tahun dahulu terpapar kes di akhbar berkenaan kes skandal antara pensyarah dan pelajar hingga membawa kepada pembunuhan. Salah seorang pensyarah aku sendiri pernah menceritakan akan satu peristiwa yang berlaku dimana seseorang pelajar perempuan yang telah menamatkan pengajian dengan begitu cemerlang sekali dan pihak universiti telah memutuskan untuk memberinya biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tapi pelajar tersebut menolak tawaran itu dalam keadaan menangis teresak-esak. Semua orang disitu menjadi pelik dan apabila ditanya kenapa beliau menolak, akhirnya beliau menjawab beliau tidak layak menerima biasiswa itu kerana setiap A yang diperolehinya itu adalah A "kangkang". Maka tergamam semua pegawai-pegawai universiti disitu.

Mungkin ada pihak yang menganggap ini kes terpencil tapi bagi aku ianya bukan kes terpencil dan perkara ini bukan lagi sesuatu yang asing di universiti-universiti atau intitusi-intitusi pengajian tinggi tempatan.

Semua ini berlaku kerana ingin merealisasikan atau menterjemahkan ayat "belajar dekat sini senang saja, kena pandai ambik hati lecturer dan rapat dengan lecturer" . dan gejala rasuah yang makin menjadi-jadi dalam negara kita ini adalah manifestasi dari semua yang disebutkan tadi.

No comments: