Friday, June 10, 2011

Seharian punya interview yang hampeh

Semalam 9 Jun 2011 aku telah menghadiri temuduga untuk kali ke-2 bagi jawatan "pensyarah" untuk Intitut Profesional Langkawi yang dulunya dikenali sebagai Kolej Lagenda(kalau tak silap). Interview itu dijalankan di Pejabat Tenaga Rakyat Cawangan Butterworth di Komplek Pentadbiran Persekutuan Kepala Batas. Ramai yang hadir untuk ditemuduga sekitar 30 orang calon untuk dua jawatan Pegawai HEP dan Pensyarah.  Aku tiba sekitar pukul 9 pagi di wisma persekutuan pulau pinang dan terus ke tingkat dua iaitu ke pejabat buruh. Sejuruh tiba di pejabat buruh tersebut aku diarahkan oleh pegawai disitu untuk ke dalam dewan. Rupanya sudah ramai calon yang menunggu didalam dewan tersebut.

Seketika kemudian pegawai dari pejabat buruh datang ke dalam dewan dan memaklumkan yang kami diarahkan menunggu disitu dan sebentar lagi kami akan diambil alih oleh kakitangan Intitut Profesional Langkawi yang akan mengendalikan program temuduga. Selang berapa lama selepas itu, seorang pegawai lelaki dari Intitut Profesioanl Langkawi IPL masuk ke dewan. Dia memaklumkan bahawa kami akan melalui dua sesi temuduga, sesi pertama adalah dalam bentuk perbincangan kumpulan (6 - 7 orang satu kumpulan) dan kedua, sesi mengajar dan soal balas bersama panel (dah serupa interview pegawai tadbir diplomatik la plak).

Berjumpa dengan yang senasib dengan aku
Semasa menunggu sesi pertama bermula, aku sempat berbual dan berkenalan dengan calon-calon lain dalam dewan tersebut, sambil menyiapkan bahan untuk mengajar yang mana tajuknya telah diberikan. Dalam bersuaikenal itu aku mengetahui bahawa ada juga calon yang senasib dengan aku iaitu "kontrak perkhidmatan telah ditamatkan". Seorang rakan yang aku kenal berumur 24 tahun (aku lagi tua) itu memberitahu bahawa dia telah 3 tahun berkhidmat dibawah Kementerian Belia dan Sukan secara kontrak dan sudah berkahwin serta mempunyai seorang anak. Kontrak perkhidmatannya telah ditamatkan pada bulan lepas selepas kerajaan mengumumkan pembekuan pengambilan kakitangan awam. Aku kira pembekuan pengambilan kakitangan awam itu bermakna tiada lagi pengambilan baru, tetapi mereka yang berstatus kontrak juga tidak disambung kontrak mereka(oh rakyat didahulukan....). Seorang lagi rakan yang berjumpa juga menyatakan perkara  yang sama iaitu kontrak perkhidmatan dia juga telah ditamatkan serta - merta tanpa sebarang notis, aku tidak berapa ingat berapa lama dia sudah ditamatkan kontrak dan dengan kementerian mana. Ada juga yang sudah setahun lebih tamat pengajian tapi hanya membantu emak menjual kuih hingga hari ini. Bila aku mendengar kisah-kisah mereka ini, terlintas dihati aku "aku merasakan yang aku sedang susah kerana tiada pekerjaan, rupanya ada lagi yang lebih susah dan besar dugaannya dari aku" kurang-kurangnya aku baru 6 bulan menganggur tanggungang aku cuma sebuah kereta dan kad kredit. Tapi macam kawan aku yang seorang itu, sudahlah dia menganggur, perlu pula menanggung isteri, anak, rumah, kereta, makan minum keluarga yang sudah tentu lebih berat dugaan dan tekanan yang dia rasa. Satu perkara yang aku pelajari dari situ ialah "jangan mengeluh dengan dugaan yang kita terima kerana ada lagi yang lebih besar dugaan yang mereka terima".

Selain dari rakan yang aku kenal yang tidak disambung kontrak, ada juga mereka yang dari bekas guru sandaran tidak terlatih GSTT yang juga menerima nasib yang sama tidak disambung kontrak, juga seorang calon perempuan yang pernah bekerja sama seperti aku dahulu iaitu fasilitator schoolnet tapi di negeri Kedah, mereka yang sedang tunggu kontrak untuk ditamatkan dan calon - calon yang bakal tamat pengajian (fresh). Memang agak serius masalah pengangguran dan pekerjaan di Malaysia ini dan di mana silapnya? Hanya mereka yang berada dalam situasi kami sahaja akan lebih mengerti apa yang kami hadapi. Ini bukan soal terlalu memilih pekerjaan atau sebagainya walaupun ramai orang diluar sana yang tidak merasai akan masalah ini melemparkan pelbagai tuduhan kepada golongan seperti kami seperti terlalu memilih pekerjaan dan lain - lain.

Menunggu sesi pertama
Aku diletakkan dalam kumpulan ke-3 untuk temuduga sesi pertama, setiap kumpulan diberi masa 15 minit untuk memberi  hujah mereka berdasarkan tajuk yang diberi secara rawak dan setiap kumpulan tidak tahu tajuk apa yang bakal mereka terima sehingga mereka masuk ke dalam dewan temuduga baru tajuk tersebut akan diberikan.

Aku dah mula mengantuk sementara menunggu giliran kumpulan aku tiba, yalah malam sebelum hari temuduga aku tidak tidur semalaman, bukan kerana aku terlalu memikirkan tentang temuduga hingga tidak boleh tidur, tetapi aku memang jenis tidak boleh tidur malam semenjak aku menganggur ini. Selalunya jika ada temuduga keesokan paginya aku akan makan ubat tidur supaya boleh tidur awal tetapi malam itu aku terlupa untuk makan pil tidur, jam 3.00 pagi aku baru pergi makan ubat tidur namum ubat tidur itu gagal memberi sebarang kesan, dan aku hanya tidur-tidur ayam hinggalah kesubuh dan bangun bersiap untuk ke temuduga.

Aku cuba untuk berborak dan bergurau dengan rakan-rakan calon yang lain sementera menunggu giliran kumpulan aku tiba. Ada juga calon - calon perempuan yang cun - cun, rasa macam nak mengorat pun ada pada salah sorang tu,  tapi bila terpikir balik yang aku ni penganggur terus aku mematikan niat aku dan sekadar bersembang dan bergurau biasa saja. Dengan dugaan serta situasi tidak memiliki pekerjaan sekarang, membuatkan aku hilang mood untuk memikir atau mencari pasangan a.k.a awek, tidak seperti lelaki lain yang seusia dengan aku (dah berbini dan ada anak pun ada), ini ditambah lagi dengan pengalaman-pengalaman yang lalu membuatkan aku meletakkan soal pasangan atau awek ini pada peringkat kedua terakhir atau terakhir dalam hidup aku.

Sesi pertama tiba
Sekitar jam 10.30 pagi giliran kumpulan aku tiba untuk sesi temuduga bagi sesi pertama. Ahli kumpulan aku yang lain sebulat suara melantik aku sebagai pengerusi dalam kumpulan kami untuk mengendalikan perbincangan itu nanti. Aku terima saja tanpa sebarang alasan dan cool. Mungkin kerana sudah 9 kali aku menghadiri interview (termasuk yang ini)dalam masa 3 bulan bermula April lalu membuatkan aku langsung tidak merasa gementar aku gugup untuk ke dewan temuguda. Kami menunggu didepan pintu dewan dan menunggu arahan untuk masuk kedalam dewan. Selepas diberi arahan untuk masuk, aku sebagai pengerusi melangkah terlebih dahulu memasuki dewan yang suasananya agak gelap dalam hanya cahaya dari laptop dan projekter sahaja yang menerangi bilik tersebut.

4 orang penal dan 2 pembantu penal menanti kami didalam dewan. Kami mengambil tempat duduk masing-masing di meja mesyuarat di dalam dewan tersebut. Aku diarahkan oleh penal untuk mengambil tempat dibahagian tengah kerana aku sebagai pengerusi dalam kumpulan itu. Kumpulan aku diberikan tajuk lebih kurang bunyinya begini "Didalam sesebuah organisasai atau pun syarikat pada hari ini budaya berpuak - puak selalu terjadi, apakah dan bagaimanakah cara yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini". Tajuk itu terpampang jelas pada skrin projektor yang dipasang. Selepas diberi beberapa penerangan ringkas, kami diminta terus memulakan perbincangan dan hujah - hujah berkenaan tajuk tersebut dalam masa 15minit dan panel tidak akan masuk campur dalam tempoh tersebut.
Tugas aku sebagai pengerusi rupanya agak berat kerana aku perlu mengendalikan perbincangan tersebut agar berjalan lancar, nampak menarik dan profesional. Aku pada mulanya agak "stuck" dan "blur" apabila panel mengarahkan untuk memulakan perbincangan. Aku cuba berlagak cool.. dengan membaca soalan yang terpapar di skrin dengan nada "penganalisis awani" (sebenarnya aku tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbincangan tersebut) dan menghuraikan secara ringkas tentang soalan tersebut serta sedikit cadangan selepas itu aku menanyakan pendapat ahli kumpulan aku yang pertama. Selepas itu aku mula mendapat rentak untuk mengendalikan perbincangan tersebut. Aku mula mengalihkan soalan tersebut kepada ahli kumpulan aku yang lain agar semua mendapat peluang bercakap dan menonjolkan kebolehan masing-masing. Perbincangan kami mula menjadi rancak dan panas sehingga aku sebagai pengerusi terpaksa memotong cakap ahli kumpulan yang lain bagi mengelakkan dominasi dalam perbincangan tersebut.

Dalam tidak sedar kami telah mencukupi masa yang diberikan dan panel bertindak menghentikan perbincangan kami. Kini giliran panel untuk memberi komen dari perbincangan kami. Penal pertama terus menghemtam aku sebagai pengerusi kerana tindakkan aku memotong cakap ahli kumpulan yang lain kerana katanya tindakan itu membuatkan ahli kumpulan takut untuk berhujah. Panel kedua juga menghentam aku dengan alasan yang sama tetapi kali ini aku memberi alasan yang aku perlu mengejar masa dan memberi peluang kepada ahli kumpulan yang lain untuk bercakap. Alasan itu tidak diterima dan aku buat muka selamber jala....Penal kedua juga menempelak kami kerana tidak menggunakan alasan yang berbentuk keagamaan untuk dalam perbincangan tadi. Panel ketiga tidak memberi apa-apa komen dan panel keempat juga sependapat dengan penal pertama dan kedua terhadap aku. Aku terima kritikan dengan cool..selepas sesi pertama tamat kami diminta untuk tunggu diluar sementara menunggu selesai lagi satu kumpulan.

Rehat dan makan tanpa hisap rokok
Jam sudah menghampiri 12 tengah hari. Kami dibenarkan untuk pergi makan dan datang kembali ditempat menunggu pada jam 2ptg. Aku turun ke tingakat bawah bersama 3 orang rakan yang aku kenal tadi ke cafe yang teletak dalam komplek kerajaan persekutuan cawangan Pulau Pinang itu. Selepas makan dan ke surau dan aku mula sedar yang rokok aku tinggalkan didalam kereta yang aku letakkan di luar kawasan komplek berkenaan. Kali terakhir aku merokok adalah semasa dalam kereta ke sini tadi. Rakan aku yang lain aku perhatikan yang mereka ini tidak merokok. Aku berasa malas untuk berjalan ke kereta untuk mengambil rokok kerana kereta aku letakkan ajak jauh disamping cuaca yang panas. Aku cuba buat relex dan tak mahu hisap rokok, lagi pun tak ada tempat yang sesuai untuk aku merokok dan tak ada geng untuk aku merokok. Boleh pula kali ni aku tak hisap rokok, selalunya kalau selepas makan tak sah dan tak boleh duduk aku kalau tak merokok. Mungkin dengan menjauhkan diri dari merokok, bergaul dengan orang yang tidak merokok, jangan bersendirian dan sibukkan diri sepanjang hari boleh membuatkan seorang perokok berhenti merokok. Haha tidak semudah itu...

Jam 2 petang
Pada jam 2 petang kami kembali semula ke tingkat 2 ke pejabat buruh diruang menunggu kerana suasana disana lebih nyaman dan sejuk berhawa dingin berbanding berada diluar. Tidak berapa lama selepas itu sesi kedua temuduga mula berjalan, kali ini proses temuduga berjalan agak perlahan. Ini kerana calon dipanggil seorang demi seorang masuk ke dewan untuk ditemuduga. Seorang calon mengambil masa 10 hingga 15 minit dari jumlah keseluruhan 30 orang calon. Kalau mengikut perkiraan waktu, memang tidak sempat untuk menghabiskan kesemua 30 orang calon dalam tempoh masa itu. Pukul 5 ptg pejabat kerajaan dah nak tutup, 4.30 dah siap-siap ready nak balik, faham-faham jala.. "gomen...." Calon yang memilih jawatan pegawai HEP dahulu dipanggil masuk ke dewan. Itu bermakna giliran aku lambat lagi untuk tiba. Rasa mengantuk telah mula menyerang aku kembali ditambah lagi dengan kekurangan tembakau dalam badan a.k.a tidak merokok membuatkan aku rasa seperti terawang-awangan. Kalau ada tempat dan "port" yang cantik untuk aku tidur mesti aku akan melakukannya.

Dalam tempoh menunggu itu kami menghabiskan banyak masa berbual dan bertanya tentang hal masing - masing serta bergurau senda, oh Dia disitu. Semua ini membuatkan aku kurang sikit rasa mengantuk dan keinginan aku untuk merokok kurang. Lama menunggu pelbagai topik kami bualkan, ada yang sibuk bertanyakan kepada calon yang baru keluar dari dewan temuduga tentang apa yang disoal dalam dewan tersebut. Aku pun mencuri dengar dan sekali sekala menyampuk.

Letih menunggu
Setelah habis calon untuk jawatan Pegawai HEP, kini tiba giliran calon untuk jawatan pensyarah. Setelah diberi tahu giliran, aku memegang giliran yang terakhir. Iaitu bermakna dalam 30 orang atau yang ke 30. Seorang demi seorang dipanggil masuk ke dewan. Jam lagi 10 minit menunjukkan 5 petang, banyak lampu dalam pejabat buruh berkenaan telah ditutup. Pada masa ini sesi interview telah dipecahkan kepada dua tempat ini bagi mempercepatkan proses termuduga dijalankan. CEO Intitut Profesional Langkawi (juga salah seorang penal) keluar menemui tiga calon terakhir termasuk aku dan meminta kami agar datang keesokkannya kerana masa sudah tidak ada. Dalam hati aku sudah mula merasa hampeh, tetapi atas jasa baik salah seorang pegawai pejabat buruh berkenaan dia membenarkan proses temuduga kami dijalankan hingga jam 5.30petang. Nasib baik, kalau tak nak kena datang esok plak. Akibat terlalu lama menunggu mood aku nak masuk interview pun dah makin hilang. Tapi oh Dia masih situ, selang berapa lama Dia pun hilang.

Tiba giliran aku
Jam lebih kurang pukul 5 petang, giliran aku pun tiba. Aku melangkah masuk ke dewan dengan ucapan "good luck" oleh kawan - kawan yang telah selesai temuduga dan akan beredar pulang. Tapi Dia telah beredar terlebih dulu, lupa aku bertanya namanya. Aku yang cuba bermuka manis terus masuk ke dewan dan terus menyerahkan fail aku kepada salah seorang panel penemuduga. Muka panel-panel penemuduga itu pun semuanya sudah letih dan giliran aku ini mungkin hanya melengkap jadual mereka. Aku terus ke depan  dan berdiri dihadapan penal dengan jarak lebih kurang 15 meter. Aku memberi salam dan kata pembukaan, selepas itu aku terus melakukan ujian mengajar seperti di dewan kuliah. Tajuk yang aku pilih adalah berkenaan perkakasan komputer dan persedian melakukan perbentangan. Aku menjalankan ujian tugasan mengajar aku dengan memperkenalkan perkakasan komputer, input, output, software, hardware dan sebagainya. Selepas itu aku menceritakan kaedah penggunaan powerpoint dalam presentation dan beberapa lain lagi. Lebih kurang 10 minit aku diminta berhenti oleh penal. Selepas itu aku mula diajukan soalan oleh ahli panel penemuduga. Aku ditanya tentang pengalaman kerja dan latarbelakang pekerjaan aku sebelum ini. Aku menjawab kesemuanya dengan lancar dan bersemangat kerana semangat aku sewaktu melakukan presentation a.k.a. ujian mengajar tadi masih ada. Aku juga terlepas cakap yang aku sudah kali sembilan menghadiri temuduga (ini menunjukkan kelemahan aku).

Kucing
Salah seorang panel yang juga merupakan CEO Intitusi Profesional Langkawi menanyakan aku satu soalan  "adakah aku sukakan binatang". Aku menjawab "ya" dan aku memberitahu yang aku sukakan kucing. Penal bertanya lagi, berapa ekor kucing yang aku pelihara. Aku menjawab hampir 20 ekor kucing terdapat di rumah aku hingga terpaksa membuat kandang kucing. Penal itu bertanya lagi, siapa yang selalu memandikan kucing-kucing tersebut, aku cakap emak aku yang selalu mandikan kucing-kucing itu semua. Aku tidak berbohong tentang jumlah kucing tersebut dan memang rumah aku banyak kucing. Panel bertanya lagi kenapa aku sukakan kucing, kali ini aku agak berbohong. Aku menyatakan yang aku sukakan kucing kerana kucing itu comel, manja dan gebu dan ada seekor kucing yang dinamakan "merah", kucing itu begitu manja dengan aku dan selalu menyapa aku tiap kali aku pulang ke rumah. Sebenarnya aku tidak sukakan sangat kucing pun kerana bulunya, kucing-kucing yang banyak dekat rumah aku itu pun emak aku yang pelihara, dan kucing yang namanya "merah" yang aku maksudkan itu pun dah lama mati haha dan satu lagi kucing - kucing dekat rumah aku tak pernah bagi mandi pun..kucing kampung nak bagi mandi buat apa..depa reti mandi sendiri hahaha. Aku sendiri tidak tahu atas perkiraan apa soalan "kucing" itu ditanya dan apa yang panel tersebut mahu cari dari soalan yang begitu. Mungkin ini salah satu kaedah saikologi bagi mengenal identiti seseorang yang mungkin aku sendiri tak tahu.

Hampeh
Setelah selesai soal jawab, tiba giliran panel kedua memberi komen kepada aku. Penal itu bertanyakan adakah aku tahu mengapa aku sering gagal dalam temuduga. Aku menjawab yang ianya mungkin sebab persaingan yang sengit pada sekarang ini. Penal bertanya adakah aku ada jawapan lain. Aku memberi tahu mungkin disebabkan suara dan penyampaian aku yang terlalu lantang. Tak sangka pula rupanya dia mempunyai jawapan yang sama dengan aku. Panel kedua tersebut mengatakan yang aku "over" dalam penyampaian aku dan tidak hormat kepada CEO - CEO yang berada didepan aku sebab itu aku selalu gagal dalam temuduga. Aku hanya akur dengan komen tersebut dan aku sendiri tidak sedar part atau bahagian mana yang aku "over" dalam penyampaian aku. Adakah disebabkan pengakuan "ikhlas" aku tentang kucing tadi atau gaya persembahan aku waktu ujian mengajar tadi. Bagi aku sewaktu aku melakukan ujian mengajar tadi aku telah meletakkan atau membayangkan aku sedang mengajar di dewan kuliah dan dihadapan aku adalah para pelajar seperti mana arahan yang diberi sewaktu awal pagi tadi. Sampai saat ini aku cuba memuhasabah diri mencari dimana yang aku "over" dan "tidak hormat" tadi. Aku kebingungan sampai hari ini... Soalan terakhir penal tersebut bertanya, "jika untuk hari pengijazahan/konvokesyen sesuai atau tidak diletakkan gambar kartun yang memakai baju jubah konvo pada backdrop pentas. Aku menjawab yang ianya tidak sesuai kerana pada hari berkenaan ialah hari pengijazahan yang mana mereka yang terlibat pada hari itu ialah mereka yang cerdik pandai, profesional dan matang. Sekali lagi aku dihentam kerana jawapan aku tidak berlandaskan fakta. eemmm tak pala..Selesai semua itu aku dibenarkan meningkalkan dewan dan bersalaman dengan penal kedua tadi dengan muka yang cool serta tidak menunjukkan yang sedikit pun aku terkesan dengan kritikan dan henteman dia tadi. Aku tidak bersalam dengan panel yang pertama bukan kerana marah tapi kerana dia perempuan (bukan muhrim) dan cukup sekadar aku memberi memberi tanda hormat.

Selesai
Aku terus keluar dari dewan dan terus ke lif, rakan - rakan aku yang lain semua telah tiada disitu, yala dah aku yang last sekali. Oh mungkin Dia pun sudah tiba dirumah dan tak mungkin aku boleh jumpa lagi. Lampu-lampu dalam pejabat buruh tersebut telah banyak yang terpadam (ekfisyen sungguh kakitangan awam bila tamat kerja). Sewaktu melangkah keluar dari lif dan untuk ke kereta aku dihurungi dengan perasaan sepoi dan hampeh. Aku dapat merasakan yang peluang aku untuk diterima kejawatan itu begitu tipis sekali dan mungkin tak ada harapan langsung. Ini berdasarkan komen panel yang aku rasakan itu adalah masej yang ingin diberitahu bahawa "anda tidak layak". Ahhh mampus lah...hati aku mengatakan yang kalau tak dapat pun tak apa kerja tu dan mungkin rezeki aku dekat tempat lain dan mungkin ada orang lain yang lebih layak dan memerlukan pekerjaan itu dari aku seperti kawan aku tadi yang telah ada anak dan bini. Aku juga mendoakan yang rakan aku itu mendapat jawatan tersebut. Hamka pernah mengatakan bahawa tuhan itu maha adil dalam membahagikan nikmat hidup. Tak apa aku akan terus usaha cari kerja lagi.

Pulang
Masuk sahaja dalam kereta, aku terus mencapai rokok yang terselit di dinding kereta aku dan menyalakannya. Lebih 8 jam aku tak merokok hari itu (satu kemajuan utk berhenti merokok), tapi dengan komen dan hentaman itu membuatkan aku lagi kuat nak merokok. Aku terus memandu sambil menghisap rokok dan tiba-tiba terfikir agak-agak Dia dapat tak kerja tu nanti eemm rasanya apalah panel tu komen dekat dia, rasanya tak seteruk aku yang kena komen kut. Dalam perjalanan pulang dari Kepala Batas ke Bukit Mertajam hampir 3  batang rokok hisap. Ianya bukan kerana semata - mata aku begitu kegatihkan rokok, tapi kerana aku bingung dan mencari jawapan dimana yang aku "over" dan "tak hormat" CEO-CEO dekat depan...sampai sekarang aku masih bingung..HAMPEH BETULLLLLLLL....


Nota: Jabatan Tenaga Rakyat juga dirujuk sebagai Pejabat Buruh dalam artikel diatas

1 comment:

Anonymous said...

hurm, entry yg panjang berjela2 tapi nsb baik best baca..