Friday, June 3, 2011

Pro & Con laman internet sosial kepada masyarakat

Apa itu halaman sosial atau social networking? Mungkin ramai antara kita yang tahu akan makna perkataan itu atau mungkin juga ada yang masih samar-samar dengan makna perkataan itu tetapi selalu menggunakannya. Halaman sosial atau social networking ini merupakan satu media alternatif atau juga media baru yang wujud pada hari seiring dengan kemunculan internet. Antara contoh halaman sosial yang popular pada hari ini ialah seperti facebook, twitter, foursquare, myspace, friendster, tagged, blog yang anda sedang gunakan ini dan berbagai lagi yang mungkin aku sendiri tidak menyedari akan kemunculannya.

Sewaktu internet mula memasuki Malaysia sekitar pertengahan era 90an, halaman - halaman sosial ini agak kurang menonjol penggunaannya dalam kalangan rakyat Malaysia. Mungkin pada waktu itu kelajuan internet di negara kita masih lagi terlalu perlahan berbanding hari ini yang masih lagi perlahan tetapi agak ok berbanding 90an dahulu. Dan semenjak akhir-akhir ini dan seawal tahun 2000 peranaan dan penggunaan halaman sosial ini dilihat begitu signifikan sekali baik kepada individu, kumpulan masyarakat, organisasi, Ngo, parti politik hinggalah kepada golongan pemerintah. Hari ini jika seseorang individu atau lebih-lebih lagi anak muda jika tidak mempunyai akuan facebook sendiri mereka ini akan dilihat tidak "cool" dan ketinggalan. Mat rempit juga pada hari ini telah mempunyai akuan dan aktif berfacebook dalam kehidupan mereka.

Apa peranan halaman sosial dan bagaimana halaman sosial ini berfungsi?. Melalui halaman sosial ini. Setiap individu boleh berhubung antara satu sama lain pada setiap jurang sempadan dan walau dimana sahaja mereka berada. Selagi adanya talian internet dan perkakasan komputer (software dan hardware) pasti perhubungan dan komunikasi melalui halaman sosial ini boleh wujud. Melalui halaman sosial ini, kita boleh menggumpulkan teman, mencari awek, mencari pekerjaan, mendapatkan info-info terkini, berkongsi maklumat, menyebarkan maklumat dan berbagai lagi bergantung kepada kehendak dan tujuan penggunaan kita. Namum dalam semua ini pasti ada pro dan contra nya.

Baik buruk penggunaannya pasti ada dan semua benda dalam dunia ini bukan sahaja halaman sosial mempunyai baik dan buruknya. Malah tidak adil jika sesetengah pihak melihat kemunculan halaman sosial dan media baru ini dengan begitu nagetif sekali. Jika kita mencari keburukan pasti kita akan berjumpa akan keburukan dan jika kita mencari kebaikkan pasti kita akan menjumpai kebaikkan maka untuk lebih adil kita perlu mencari kedua-duanya sekali.

Positif
Antara perkara pro atau positifnya halaman sosial ini kepada masyarakat ialah, jurang komunikasi antara manusia dimuka bumi ini akan mengecil. Ini dengan kata lain komunikasi antara manusia ini akan menjadi lebih mudah dan murah. Seorang ayah di Bukit Mertajam Penang boleh mengikuti perkembangan dan berkomunikasi dengan anaknya yang belajar di Amerika dengan mudah, cepat dan murah jika kedua-dua mereka mempunyai halaman sosial seperti facebook atau twitter. Keluarganya tidak perlu membuat panggilan antarabangsa yang menelan caj yang begitu mahal atau mengutus surat yang memakan masa untuk sampai dan tidak perlu membazirkan wang membeli tiket untuk ke Amerika bertemu anaknya bagi melepaskan rindu. Dengan halaman sosial ini kedua mereka dapat berhubung dan berkomunikasi baik secara text, percakapan malah sidang video.

Kedua, kita boleh mengumpulkan rakan-rakan kita dengan mudah dan boleh berhubung dengan mereka pada bila - bila masa sahaja yang dikendaki. Rakan-rakan lama yang terpisah semenjak dari dari sekolah rendah atau tadika dapat ditemukan semula dan dikumpul agar sentiasa berhubung melalui halaman sosial ini. Betapa sentimental peranan halaman sosial ini kepada kita yang dapat merasainya. Bayangkan kita mungkin ada yang terpisah dengan saudara sejak berpuluh tahun tapi dengan adanya facebook dan sebagainya kita dapat menjejaki semula saudara kita tersebut tanpa perlu menghabiskan banyak wang untuk mengiklankan di surat khabar atau di televisyen.

Ketiga, maklumat - maklumat dapat dikumpul dengan mudah dan ianya dapat dikongsi dengan mudah, cepat dan murah melalui halaman sosial yang wujud ini. Maklumat seperti akademik, pengetahuan am, kemahiran-kemahiran tertentu dapat disebarkan dengan cepat melalui halaman sosial ini. Kita tidak perlu bertungkus - lumus menyelak akhbar, menjelajah setiap perpustakaan dan sebagainya untuk mencari sesuatu maklumat.

Keempat, yang mungkin lebih popular dalam kalangan remaja dan anak muda ialah boleh mencari awek atau pakwe dengan mudah di halaman sosial :) . Mungkin generasi tua ada yang tidak bersutuju dengan kenyataan ini tetapi mereka juga pernah muda dan cara mereka memikat pasangan mungkin sudah tidak sama dengan genarasi hari ini gunakan.

Sebenarnya banyak lagi kebaikkan yang boleh saya senaraikan seperti boleh menjalankan perniagaan dengan mudah, promosi dapat dijalankan dengan kos yang rendah dan berkesan dan pelbagai lagi jika saya hendak nyatakan disini.Tetapi cukuplah sekadar perkara positif yang popular yang saya nyata disini dan saya akan sentuh pula akan contra atau perkara nagetif berkenaan halaman sosial ini kepada masyarakat.

Negatif
Antara perkara nagetif yang boleh dan mungkin timbul melalui halaman sosial adalah pertama, penipuan dalam talian. Seperti pemalsuan maklumat, seseorang mungkin tertipu dengan maklumat yang diberikan dan akibatnya mereka menanggung kerugian atau akibat dari perkara itu.

Kedua, halaman sosial ini boleh digunakan untuk tujuan menyebarkan fitnah atau mengaibkan sesuatu pihak dengan mudah dan cepat. Situasi ini pasti mengundang rasa kurang senang pada kumpulan yang terlibat dan boleh menyebabkan sesuatu yang buruk berlaku.

ketiga, kewujudan halaman sosial ini juga boleh menyebabkan rasa ketagih pengguna untuk menggunakannya dan boleh saya katakan ketagihan kepada halaman sosial hari ini sama seperti ketagihan perokok untuk menghisap rokok. Seorang perokok pasti tidak senang duduk jika tidak dapat merokok dalam satu tempoh masa yang lama begitu juga dengan seorang pengguna halaman sosial pasti tidak senang duduk jika tidak dapat mengakses ke halaman sosialnya dalam satu tempoh masa yang lama hinggakan "smart phone" seperti blackberry atau Iphone memainkan peranan penting hari ini. Jika seorang perokok, rokok pasti sentiasa berada dalam poket seluar atau bajunya dan bila tiba masanya dia akan membawa keluar dan memegangnya. Begitu juga pengguna facebook, blackberry atau Iphone nya pasti akan sentiasa berada dalam poket baju atau seluarnya dan akan membawa keluar apabila mahukannya.

Berbagai lagi keburukan atau nagetifnya akan halaman sosialnya ini jika saya mahu senaraikan. Dan rasanya cukuplah sekadar keburukan-keburukan yang popular yang saya nyatakan disini. Apa yang ingin saya katakan internet dan halaman sosial ini baik buruknya bergantung kepada kepada niat dan tujuan kita. Internet dan halaman sosial ini boleh kita umpamakan seperti pisau atau kenderaan yang kita gunakan pada hari ini seperti kereta atau motosikal.

Perumpaan
Pisau jika kita menggunakannya dengan niat dan cara positif seperti untuk memotong makanan, memasak dan sebagainya maka baiklah jadinya tetapi dalam kita berhati-hati menggunakan pisau itu pun kadang-kadang kita boleh terluka atau terhiris jari kerana risikonya tetap ada dan jika memang kita berniat menggunakan pisau itu untuk tujuan yang jahat seperti membunuh, mengungut orang dan sebagai memang perkara jahat akan terjadi tetapi dalam cubaan kita membunuh orang menggunakan pisau kadang-kadang boleh membunuh kita sendiri.

Motosikal atau kereta jika kita gunakannya untuk tujuan yang baik seperti untuk pergi ke kelas, pergi ke tempat kerja mencari rezeki, pergi ke surau atau lain-lain lagi sudah pasti motosikal atau kereta itu tadi menjadi sesuatu yang positif bagi kita, tetapi dalam kita menunggang dengan cermat motosikal atau kereta ke tempat kerja juga kita boleh terlibat dalam kemalangan kerana risikonya tetap ada dan jika memang mahu gunakan untuk berlumba haram, meragut dan sebagainya sudah pastilah kenderaan itu menjadi sesuatu yang negatif dan risiko perbuatan negatif kita itu juga ada.

Begitulah kesimpulannya yang dapat saya buat dalam memperkatakan "Pro & Con laman internet sosial kepada masyarakat"

No comments: