Aku baru lepas menonton Filem Ayat - Ayat Cinta di Tv3 yang tamat pada pukul 5 petang tadi. Masuk kali ni entah berapa kali aku menonton filem ini yang mula ditayangkan sekitar tahun 2008 dan ini kali pertama aku menonton dari televisyen. Sebelum ni aku hanya menonton di youtube dan download dari internet dan kali ini terlintas bagi aku untuk menulis berkenaan filem ini. Bagi aku filem keluaran Indonesia yang diadaptasi dari dari kisah sebuah novel ini cukup menarik dan sarat dengan mesej - mesej yang berguna dalam kita menjalani kehidupan kita seharian berbanding dengan filem-filem Malaysia yang kosong dan tanyangannya hanya sekadar untuk menghibur berbanding dengan filem Ayat-Ayat Cinta ini yang sifatnya bukan sekadar untuk menghibur tetapi juga untuk mendidik. Namum aku agak tidak berpuas hati dengan tv3 yang memotong babak - babak penting dalam filem berkenaan seperti babak Maria yang beragama Kritian Katolik memberi salam. Sepatutnya babak itu tidak perlu dipotong kerana masyarakat perlu disedarkan bahawa penggunaan salam "assalamualaikum" dan "waalaikumsalam" itu digunakan secara meluas di Mesir dan negara - negara arab lain tanpa mengira bangsa dan agama.Berbanding kita di Malaysia yang hanya menghadkan pengunaan salam itu kepada orang Islam sahaja.
Kisah hidup dan percintaan antara Fahri iaitu seorang penuntut Universiti Al-Azhar Mesir dengan Aishah gadis berketurunan Jerman-Turki disamping gadis-gadis lain yang meminatinya seperti Maria, Nurul dan Nuoron yang membawa hidup Fahri penuh dengan cubaan dan dugaan. Aku bukan mencerita tentang perjalanan filem ini ataupun apa-apa yang tersurat yang dapat dilihat melalui filem ini. Apa yang aku ingin ceritakan adalah berkenaan mesej-mesej tersirat yang terdapat dalam filem ini yang aku kira pengarah filem ini ingin sampaikan dan aku juga percaya bukan semua antara kita yang walau berpuluh kali menyaksikan filem ini dapat melihat dan membaca apa mesej-mesej tersirat yang terdapat dalam filem ini.
Pertama filem ini menyampaikan mesej yang bahawa Islam ini bukan agama yang ekstrem atau ganas seperti mana yang difahami oleh sesetengah pihak. Mesej ini disampaikan melalui babak dua orang warga Amerika yang cuba diperlakukan dengan kasar oleh seorang warga arab mesir didalam bas. Aisha yang cuba memberikan tempat duduk kepada ibu warga Amerika tersebut disergah dan dimarahi oleh seorang lelaki warga arab mesir kerana lelaki itu mendakwa Aisha tidak patut memberi pertolongan kepada warga Amerika tersebut kerana Amerika itu terrorist atau pengganas. Sikap Fahri yang menghalang tindakkan kasar dan ganas lelaki arab itu menunjukkan Islam bukan bersikap kasar begitu dan menyarankan umatnya bersikap adil kepada semua pihak.
Filem ini memaparkan urusan perkahwinan itu tidak perlu disulitkan dan perlu dipermudahkan. Filem ini juga memaparkan bagaimana proses Ta`aruh itu dijalankan dan membawa kepada perkahwinan. Petikan dialog "selain dari memenuhi keperluan syariat, perkahwinan juga adalah untuk mendapat ketenangan batin" jelas memberi mesej akan keperluan perkahwinan.
Filem ini juga membawa kita untuk menghayati perhubungan antara dua agama iaitu Islam dan Kristian. Maria walau seorang kristian katolik, bersahabat baik dengan Fahri yang merupakan seorang lelaki Islam yang baik. Fahri juga melayan Maria sebagai seorang kawan yang baik dan tidak pernah mendiskriminasi Maria walaupun Maria seorang penganut Kristian. Ini jelas sekali lagi menunjukkan yang Islam agama yang begitu syumul yang menuntut umatnya untuk bersikap baik dengan semua orang walaupun dari berlainan pegangan agama.
Filem ini juga mengajar atau cuba mendidik kita agar tidak lalai apabila diuji dengan kesenangan dan kemewahan. Allah bukan sahaja menguji kita dengan kesusahan tetapi juga turut menguji kita dengan kesenangan dan kemewahan, selalunya manusia boleh menghadapi dugaan yang berbentuk kesusahan tetapi selalunya tewas apabila diuji dengan kesenangan dan kemewahan. Ini dapat dilihat dengan pada watak Fahri yang sebelum itu merupakan pelajar yang miskin berubah kehidupannya menjadi mewah dan kaya raya selepas berkahwin dengan Aisha. Selepas perkahwinan itu Fahri datang ke kuliah dengan menaiki kereta mewah dan gaya hidup Fahri terus berubah. Namum Fahri cuma melawan dugaan kemewahan itu.
Dan filem ini juga menunjukkan yang Allah itu maha berkuasa dan dapat mengubah nasib seseorang manusia itu dengan sekelip mata. Ini dapat dilihat bilamana Fahri yang hidup dengan serba mewah dan selesa selepas berkahwin dengan Aisha terus berubah kehidupannya selepas dia ditimpa fitnah. Dengan itu Fahri hilang kemewahannya dalam sekelip mata, dia terpaksa meringkuk dalam penjara sementara perbicaraan berlangsung, yang serba tidak selesa serta kotor dan jijik hinggakan dibuang dari Al-Azhar berbanding dengan kehidupannya sebelum itu.
Bagi aku, aku lebih menggemari adegan Fahri didalam penjara kerana pada babak itu banyak mesej-mesej yang berbentuk pengajaran disampaikan. Pertama ketika Fahri mahu sembahyang dan dia gagal untuk khusyuk dalam sembahyangnya lalu menangis teresak-esak. Lalu datang seorang banduan didalam penjara yang sama lalu mengatakan "engkau hanya ingat kepadaNya sewaktu dalam kesusahan" ini jelas mempaparkan tentang kehidupan masyarakat hari ini yang hanya sedar apabila diuji dengan kesusahan dan selalunya lalai apabila diuji dengan kesenangan. Antara dialog yang menarik lain ialah 1-"Allah sedang berbicara dengan mu, agar tidak sombong", 2-"ketika kita dalam kesusahan dan dugaan, itu bermakna Allah sedang berbicara dengan kita tentang sabar dan ikhlas, sabar dan ikhlas itu Islam", 3-"Tuhan bukan untuk orang-orang yang taat sahaja tetapi untuk orang yang berdosa". Dipetik juga kisah Nabi Yusuh dan Zulaika serta doa Nabi Yusuf ketika didalam penjara akibat difitnah oleh Zulaika, "Ya, Allah jika dipenjara ini lebih mulia untuk ku, aku lebih rela ya Allah, dari aku hidup diluar sana dengan mereka yang penuh pendusta"
Filem ini juga mengajar kita tentang perbuatan fitnah yang terkutuk dan bahayanya fitnah. Mesej yang cuba dibawa ialah fitnah itu boleh menghancurkan sesebuah kehidupan. Fitnah akan membuatkan seseorang yang tidak berdosa akan teraniaya, maka sebab itulah Islam melarang keras perbuatan fitnah. Ini boleh dilihat dalam babak Fahri yang difitnah merogol Noruon hingga menyebabkan Fahril menderita didalam penjara dan keluarga beliau di Indonesia juga berada dalam kesedihan akibat dari fitnah ini. Dan yang Hak itu pasti berdiri dan Batil pasti akan kecundang bilamana akhirnya terbongkar akan rancangan jahat untuk menfitnah Fahri.
Selain itu, mesej yang cuba dibawa dalam filem ini adalah berkenaan urusan mencari keadilan. Seseorang yang dihadapkan dengan sesuatu tuduhan mesti diberi peluang seluas-luasnya untuk dia membela diri. Adalah tidak adil menghukum seseorang tanpa ada ruang untuk seseorang itu membela dan mempertahankan dirinya. Selain itu, dalam mencari keadilan, seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah hanya dengan menghadapi sesuatu tuduhan sebelum kesalahan itu berjaya dibuktikan. Ini jelas dapat dilihat dalam watak Aisha yang masih setia dengan Fahri iaitu suaminya walaupun dalam keadaan Fahri menghadapi pertuduhan memperkosa seorang gadis. Bagi Aisha suaminya itu tidak bersalah kerana tidak ada bukti yang menunjukkan suaminya bersalah dan Aisha cuba mencari kebenaran dengan pergi ke rumah sewa Fahri untuk mencari dan mengenali latarbelakang suaminya yang sebenar. Ini menunjukkan yang setia Aisha itu bukannya setia yang membuta tuli tetapi setia kerana kebenaran.
Mesej lain yang terdapat dalam filem ini adalah berkenaan kesetian dan pengorbanan seorang isteri kepada suaminya dan orang lain. Aisha sanggup berkorban dengan mengarahkan Fahri untuk berkahwin (berpoligami) seorang lagi iaitu dengan Maria walaupun hakikatnya hati Aisha terluka. Aisha sanggup mengarahkan Fahri berpoligami kerana Aisha menyedari akan Maria yang sedang berada dalam kesakitan itu terlalu menyintai Fahri dan juga kerana terlalu sayangkan suaminya kerana Maria adalah saksi penting yang boleh menyelamatkan Fahri dari tuduhan fitnah itu. Aisha menyedari, dengan menyatukan Fahri dan Maria boleh membuatkan Maria sedar dan sihat serta mampu untuk menjadi saksi di mahkamah.
Antara mesej atau pengajaran yang ingin disampai dalam babak - babak terakhir filem berkenaan adalah tentang kehidupan berpoligami. Filem ini cuba menghantar masej bahawa seorang lelaki yang berpoligami perlu tahu apa itu erti keadilan dan bagi isteri-isteri yang dipoligami tentang erti bertolak - ansur. Aku amat mengemari dialog dari sabahat Fahri yang berbunyi, "seorang isteri sahaja belum tentu kamu boleh berlaku adil, inikan pula dua" dan dialog "Fahri, kamu tidak akan bisa menyatukan mereka tetapi kamu bisa berusaha untuk mencari keadilan untuk mereka". Ini bermakna, keadilan itu tidak akan dapat tercapai kerana kita sebagai manusia tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak dalam satu-satu masa tetapi kita mesti terus juga mengusahakannya.
Antara dialog terakhir yang bagi aku membawa mesej yang cukup mendalam ialah dialog yang dialafazkan oleh Maria ketika Maria sedang tenat sebelum meninggal dunia. Dialog tersebut berbunyi "Antara cinta dan keinginan untuk memiliki tidak sama".Dalam kita mencipta kehidupan kita perlu bijak mengenalpasti adakah sesuatu yang kita kejar itu kerana cinta atau keinginan untuk memiliki? Cukup mendalam perumpaan itu dan terpulang kepada pembaca untuk mentafsirkannya sendiri.
Kesimpulan, filem Ayat-Ayat Cinta ini memang sarat dengan mesej - mesej yang berguna dan terjawab mengapa pengarah filem ini mengunapakai "Ayat-ayat Cinta" sebagai tajuknya kerana banyak ayat dan dialog yang dituturkan dalam filem ini membawa kita menghayati mesej dan makna cinta yang sebenar.
No comments:
Post a Comment