Friday, March 9, 2012

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 3


Melangkah Ke Tingkatan Enam Atas Sebagai Pelajar Paling Tua di Sekolah Dengan Motosikal Cabuk

Januari 2004 aku dan kawan - kawan aku yang lain kembali semula ke Bukit Mertajam High School. Dalam umur 19 tahun kami semua kembali ke sekolah sebagai pelajar paling tua di sekolah. Aku masih menunggang motosikal ex5 ayah aku ke sekolah, Faruqi a.k.a mat kie dengan motosikal kriss, saufi dengan vespa, yusoh ibrahim a.k.a  mat usop dengan yamaha cdi, amar juga dengan ex5 yang seat motosikalnya ditampal dengan sellotape dan kadang - kadang dibalutnya dengan beg plastik kerana seat motosikalnya koyak dan yang bisa membasahkan punggungnya bila hari hujan. Walaupun kami semua bermotosikal, tapi jangan salah sangka, kami bukannya mat rempit. Motosikal kami tidak pernah diubah usai dan boleh dikatakan "standard pekak". Walaupun ramai junior - junior kami yang datang ke sekolah dengan motosikal yang habis di modified, tapi aku dan rakan - rakan aku yang lain masih mengekalkan imej "standart pekak" kami. Sekali pandang motosikal kami umpama motosikal orang tua yang kadang - kadang berselut kerana jarang dicuci.


Guru - Guru Tingkatan Enam Atas Yang Cool dan Sempoi

2004 menyaksikan aku dan rakan - rakan aku semua masuk ke tingkatan enam atas. Kami mendapat guru - guru berpengalaman yang otai-otai dan hebat. Ini kerana tugas sebagai guru tingkatan enam atas bukannya mudah dan bukan calang - calang guru yang boleh mengajar di tingkatan enam atas apatah lagi mengajar batch kami yang tidak pernah hilang perangai gila - gilanya walaupun umur sudah 19 tahun pada waktu itu. Guru kelas aku pada waktu itu Cikgu Hayati yang mengajar sejarah Melayu dan Asia, cikgu Normala yang mengajar Sejarah Dunia dan Sejarah Islam , Cikgu Suzi mengajar Bahasa Melayu kertas 1, Cikgu Zauwiyah mengajar Bahasa Melayu kertas 2, Cikgu Danapal mengajar Pengajian AM, cuma cikgu pengajian perniagaan perniagaan yang aku tidak ingat namanya kerana dia boleh dikatakan guru baru tapi aku masih ingat dan kenal wajahnya, dan teacher Jamalia mengajar MUET. Aku masih ingat satu persatu nama guru - guru aku ini yang mana mereka telah banyak memberi ilmu kepada aku. Guru kelas aku yang pertama sewaktu aku masuk di tingkatan 1 madani tahun 1998 pun aku masih ingat lagi iaitu Cikgu Lim Mie Suan yang mengajar sejarah dan bahasa melayu. 

Cikgu Hayati memang seorang guru yang cool dan sempoi, cara dan pendekatan dia mengajar sejarah membuatkan aku begitu minat dengan sejarah yang memang telah aku minat itu. Kekerapan membuat perbentangan di hadapan kelas membuatkan aku berkeyakinan untuk berucap di hadapan dan kebolehan itu memainkan peranan penting sewaktu aku di universiti dan aku seperti ketagih untuk membentangkan sesuatu tugasan di hadapan kelas. Mungkin semua ini yang membentuk dan membolehkan aku hari ini berucap dan memberi syarahan kepada pelajar - pelajar aku 3 jam tanpa henti dan tanpa pelajar aku bosan. Di dalam kelas aku merasa cukup happy walaupun dibebani dengan latihan dan tugasan yang berat. Telatah saufi, mawi, amir(yang selalu tidur), dan rakan aku yang lain baik lelaki dan perempuan membuatkan kelas aku sentiasa ceria. Aku dan saufi suka mengusik Ling Waran Sing. Aku suka mengusik dan bertekak dengan dia kerana dia mempunyai pandangan yang tegas dalam satu - satu isu. Maka tidak hairanlah pada hari ini dia telah menjadi seorang peguam dan bergiat aktif dengan pemimpin tinggi Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur.

Cikgu Danapal yang mengajar mengajar pengajian am juga seorang guru yang berani dalam menyampaikan ilmu. Aku gemar dengan cara bersahaja cikgu danapal mengajar. Isu - isu semasa yang diajar didalam pengajian am membuatkan kami tidak boleh lari dari isu sensitif seperti politik semasa di Malaysia pada waktu itu. Cikgu Danapal jujur dengan ilmu yang disampaikan, dia mengajar realiti yang sebenar agar anak muridnya menjadi manusia dan bukan burung kakak tua. Cikgu Suzi anginnya ada pasang dan surut, dia adakalanya boleh diajak bergurau dan adakalanya cukup garang didalam kelas. Dia mengajar bahasa melayu kertas 1 yang bagi aku subjek tersebut agak sukar. Mempelajari diftong, mofologi, e pepet, e taling dan berbagai lagi membuatkan adakalanya kepala otak aku bersimpul tetapi menarik. Cikgu Normala yang mengarahkan kami semua membeli buku latihan setebal 1 inci dan setiap minggu sekurang - sekurangnya dua esei sejarah dunia mesti disiapkan, jika tidak pasti ribut taufan mesopotamia akan melanda kelas aku. Cikgu Zauwiyah adalah seorang guru yang boleh dikatakan paling garang dalam kalangan semua guru-guru kelas aku. Dia mengajar bahasa melayu kertas dua. Gaya bahasa dan penulisan yang diajar oleh cikgu zauwiyah inilah yang mungkin memberikan aku kebolehan untuk mengarang dalam apa jua bidang. Cikgu Kamalia mengajar MUET Malaysia University English Test, aku dan rakan - rakan aku bersungguh belajar bagi membolehkan kami menguasai bahasa inggeris kerana kami sudah mula sedar kepentingan bahasa inggeris pada waktu itu.


Toyol dan Menoyol Sewaktu Ujian

Setiap bulan kami mesti menjalani ujian bulanan, dan markah ujian bulanan ini akan mengukur kemampuan kami semua untuk berhadapan dengan STPM kelak. Tetapi walaupun namanya ujian dan peperiksaan percubaan budaya "toyol" tetap masih ada. Aku dan kawan - kawan aku terutama saufi sering membuat nota kecil atau "toyol" setiap kali ujian. Tujuannya adalah untuk meniru kah kah kah.. pernah juga kami mencuri membuka buku sewaktu ujian tetapi langit tidak selalunya cerah kerana ada juga yang terkantoi. Tapi aku tegaskan aku tidak pernah meniru dalam peperiksaan besar yang sebenar.


Usaha Keras Guru - Guru Dan Kenakalan Aku dan Kawan - Kawan

Guru - guru tingkatan enam kelas aku bukan sahaja mengajar tetapi mereka juga bertindak memberi semangat, dorongan dan bimbingan kepada kami. Aku masih ingat kata - kata cikgu hayati lebih kurang begini "kamu semua boleh berjaya dan sekarang kamu diberi peluang untuk berjaya jadi gunakanlah peluang ini" kata - kata itu walaupun ringkas dan bersahaja tetapi membawa makna yang cukup mendalam dan aku mula nampak yang sebenarnya peluang sedang terhidang cuma atas usaha sendiri untuk aku mencapainya. Cerita - cerita dan pengalaman - pengalaman guru - guru aku di universiti yang dikongsikan bersama kami didalam kelas membuatkan aku dan rakan  - rakan aku bersemangat untuk belajar. Kelas tamabahan percuma yang diadakan pada waktu cuti sekolah menunjukkan kesungguhan guru - guru aku untuk melihat kami semua berjaya.


Tandas Cowboy

Aku akui memang aku begitu belajar bersungguh - sungguh sewaktu tingkatan 6. Tetapi dalam masa yang sama aku dan rakan - rakan aku masih juga aktif dalam sukan ragbi dan aktiviti kokurikulum yang lain. Sewaktu di tingkatan 6 atas, aku dan kawan - kawan aku tidak pulang terus ke rumah selepas habis waktu sekolah. Selalunya selepas tamat waktu sekolah kami akan pergi ke kantin untuk makan dan minum sambil kacau adik - adik junior perempuan di kantin yang mana perbuatan sebegitu tidak pernah dilakukan oleh senior - senior tingakatan 6 yang lain. Selepas habis di kantin, kami akan pergi ke tandas di block A yang kami gelarkan sebagai "tandas cowboy" kerana pintu tandasnya ala - ala zaman cowboy. Tujuan kami pergi tandas bukanlah untuk membuang air tetapi adalah untuk merokok. Satu lagi perkara yang tidak pernah dilakukan oleh student - student tingkatan 6 yang lain sebelum ini. 


Hisap Rokok dan Kantoi

Sebenarnya aktiviti merokok dalam kawasan sekolah ini adalah satu perkara rutin bagi kami. Bukan sahaja pada waktu selepas sekolah, tetapi pada waktu pagi sebelum kelas bermula dan sewaktu rehat. Pernah kawan aku Ashun ditangkap oleh pengawas kerana kantoi menghisap rokok didalam tandas. Ashun pada waktu itu cuba melarikan diri sewaktu tandas cowboy tersebut diserbu pengawas dari tingkatan 5 ketika sedang merokok, tetapi malangnya kasut dia tertanggal dan menyebabkan dia terpaksa berpatah balik mengambil kasutnya yang tertanggal dan akibatnya dia ditangkap dan dirotan kah kah kah... 

Sebenarnya dalam ramai - ramai kawan - kawan aku, Rasul a.k.a Ashun adalah yang paling kerap kantoi dan ditangkap ketika merokok. Pernah pada satu kejadian ketika selepas waktu sekolah aku, amar dan ashun pergi ke tandas cowboy tersebut untuk merokok. Sudah menjadi kebiasaan sebatang rokok akan dikongsi 3 ke 4 orang. Amar mengisap rokok terlebih dahulu dan selepas itu dia memberikan kepada aku, baki rokok tersebut aku serahkan kepada Ashun. Amar ketika itu masuk kedalam tandas (jamban)  dan aku berjalan keluar. Tiba - tiba aku nampak Cikgu Liew sedang meluru pantas ke aras tandas, aku tidak sempat untuk berpatah balik memberitahu amar dan ashun di dalam tandas. Aku terus berjalan menuju ke perpustakaan. Sampai di perpustakaan aku melihat Ashun telah dipegang tangan dengan kuat dan diheret keluar oleh Cikgu Liew tetapi Amar tidak kelihatan. Rupa - rupanya Amar bersembunyi senyap didalam jamban tandas tersebut. Malangnya Ashun seorang sahaja yang terkantoi kah kah kah..


Study Group di Perpustakaan Setiap Hari, Belajar 3 jam sehari dan Ragbi Tetap Ragbi

Setelah selesai merokok di tandas cowboy, aku dan 2,3 orang kawan - kawan aku yang lain seperti Ashun, Amar, Saufi dan Faruqi akan ke perpustakaan untuk study group. Kadang - kadang pelajar perempuan juga akan join kami untuk study group di perpustakaan selepas habis waktu sekolah. Itulah rutin kami setiap hari hingga ke akhir tahun. Sekitar jam 3.30 petang baru kami akan pulang ke rumah. 

Sampai di rumah aku hanya berehat sebentar, dan pada waktu petang sekitar jam 5 petang aku akan  tiba di padang sekolah untuk berlatih ragbi. Hinggalah sekitar jam 7 malam barulah aku pulang ke rumah semula. Memang padat aktiviti aku dan membuatkan aku merasakan waktu begitu cepat berlalu. Apabila waktu malam, aku hanya akan menonton tv sekitar jam 8 hingga 8.30 malam bagi menonton berita. Selepas itu aku akan masuk ke bilik dan mengulangkaji pelajaran hinggalah sekitar jam 11.00 dan 11.30 malam barulah aku tidur. Sebenarnya pada waktu itu, aku sudah menjadi ketagih untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran. Aku menjadi tidak boleh duduk sekiranya pada jam 8.30 malam aku masih belum mengulangkaji. Aku akan mengulangkaji subjek - subjek yang berat seperti sejarah dan bahasa melayu. Memilih dari beberapa tajuk dan berlatih membuat esei dengan baik secara berulang - ulang. Bukan mudah untuk menguasainya jika tidak dilakukan secara konsisten dan bersungguh - sungguh.


Berfoya - foya di Malam Hari

Tetapi pada malam jumaat dan malam minggu aku tidak akan mengulangkaji pelajaran. Dua malam tersebut aku gunakan untuk berfoya - foya  bersama  rakan aku yang lain. Boleh dikatakan setiap jumaat malam sabtu kami akan pergi ke karaoke untuk berhibur. Selepas itu kami akan lepak dan berlabong dan berborak hingga lewat pagi di mana - mana kedai yang menarik, selalunya kedai mamak menjadi pilihan kami. Begitulah setiap minggu aktiviti aku dan rakan - rakan aku. Kami nakal melanggar peraturan sekolah, tetapi kami belajar melebihi masa pelajar - pelajar lain. Kami berlatih ragbi dengan begitu lasak setiap petang tetapi kami tetap hadir dengan segar dan ceria ke sekolah setiap pagi. Kami mengulangkaji pelajaran berjam - jam setiap malam dirumah tetapi kami juga bersosial dan melepak hingga awal pagi pada hari cuti.

Selain aktiviti kurikulum, seperti yang aku katakan tadi aku juga aktif dalam kokurikulum seperti sukan dan aktiviti lain seperti aktiviti forum remaja peringkat kelas dan sekolah. Aku juga pernah menyertai pertandingan koreoke peringkat sekolah. Selain dari aktiviti yang penuh ceria tersebut aku juga tidak boleh lari dari konflik, hingga terjadi satu isu besar yang menggemparkan di kelas dan di kalangan pelajar - pelajar tingkatan enam hingga ke pengetua. Nantikan kisahnya di siri keempat nanti.....

Thursday, March 8, 2012

Empat tahun kemudian – hari ini

Oleh: Hishamuddin Rais a.ka Tukar Tiub

Pada 8 Mac 2008 - empat tahun dahulu - lanskap negara kita telah berubah. Selama 50 tahun warga Tanah Melayu, kemudian Malaysia, telah diperintah oleh parti Perikatan yang kemudiannya bertukar menjadi parti Barisan Nasional. Sama ada kerajaan Perikatan mahu pun kerajaan campuran Barisan Nasional — kuasa dibelakang kerajaan ialah parti politik yang bernama United Malays National Organisation.

Selama 50 tahun ini kuasa hegemoni United Malays National Organisation telah mendifinasi apa itu Malaysia. Kuasa hegemoni ini juga telah membudayakan apa yang kita ketahui hari ini sebagai Malaysia. Dengan menggunakan slogan Hidup Melayu dan bersandarkan falsafah Ketuanan Melayu, United Malays National Organisation telah menggunakan kuasa hegemoni tanpa segan silu.

Fakta sejarah dengan terang telah menunjukkan bahawa United Malays National Organisation ini hanya ditubuhkan pada tahun 1946. Penubuhan parti politik ini dibantu dengan dukungan dan sokongan kuat dari kuasa penjajah British. United Malays National Organisation dipilihara dan dididik oleh British untuk menjadi benteng pertahanan melawan ombak ampuh Nasionalis Melayu. Kaum Nasionalis Melayu kiri telah menjadi musuh penjajah kerana berani bangun menentang British dengan slogan Merdeka.

Kesatuan Melayu Muda (KMM-1938) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM-1945) adalah parti-parti politik paling awal yang telah bangun memperjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. Ini lama sebelum munculnya United Malays National Organisation.

Sesudah Perang Dunia Kedua tamat , pada tahun 1947, Parti-parti Melayu kiri ini telah bekerjasama dengan parti-parti bukan Melayu dalam barisan yang dikenali sebagai All-Malaya Council of Joint Action — Pusat Tenaga Rakyat (AMCJA-PUTERA). Pergabungan perjuangan politik anak semua bangsa di bawah AMCJA-PUTERA telah menerbit satu dokumen bersejarah - Perlembagaan Rakyat.

Didalam Perlembagaan Rakyat ini ada satu fasal yang paling radikal dan paling ditakuti oleh penjajah British. Fasal ini ialah tentang hak kerakyataan dan hak kewarganegaraan. Mengikut Perlembagaan Rakyat 1947 sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu dan mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai negara mereka maka mereka akan dinobatkan sebagai Melayu atau Malayan. Justeru Pelembagaan Rakyat ini ada satu usaha yang positif untuk membentuk sebuah negara bangsa yang mengenepikan politik perkauman.

Perjuangan menuntut kemerdekaan ini telah melahirkan satu setiakawan yang ampuh dari anak semua bangsa. Kaum buruh ladang getah telah bangun mogok dan menunjuk perasaan. Buruh lombong bijeh telah bangun mogok menuntut hak mereka. Buruh lombong arang baru di Bukit Arang telah mogok berdemonstrasi menuntut hak mereka. Semua ini dilihat oleh penjajah British sebagai satu ancaman terhadap kuasa mereka. Jelas kuasa penjajah British makin terdesak.

Pada 20 Jun 1948 British telah mengistiharkan apa yang dipanggil Darurat. British telah menangkap ramai pemimpin parti politik, pemimpin kesatuan sekerja, pemimpin agama dan juga pemimpin pelajar. Mereka ditahan tanpa bicara atas tuduhan melawan British. Parti-parti Nasionalis Melayu - PKMM, Angkatan Pemuda Insaf ( API) dan Parti Komunis Malaya adalah diantara parti politik yang telah diharamkan.

Pemimpin parti politik yang sempat melarikan diri telah memulakan perjuangan bersenjata melawan British di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya. Perang kolonial — perang melawan British - telah diistiharkan oleh Parti Komunis Malaya. Justeru, zaman Darurat sebenarnya ialah zaman dimana rakyat Tanah Melayu bangun mengangkat senjata melawan penjajah.

Darurat ini juga telah memberi nafas baru untuk kuasa kolonial British. Dalam suasana ini British telah membuat penjanjian dengan United Malays National Organsiation. British berjanji akan memberikan kemerdekaan jika harta dan kepentingan ekonomi British — seperti bank, ladang getah, ladang sawit, lombong bijeh dan kilang — tidak diganggu gugat. Melalui perjanjian inilah kuasa kolonial British telah bersedia memberikan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malays National Organistion pada tahun 1957.

Adalah penting untuk kita semua memahami salasilah sejarah ini kerana apa yang berlaku 4 tahun dahulu ialah sambungan perjuangan AMCJA-PUTERA yang telah digagalkan oleh British pada tahun 1947 dahulu. Kalau Perlembagaan Rakyat 1947 bertujuan untuk mencapai kemerdekaan dan melahirkan Bangsa Melayu dimana anak semua bangsa akan dinobatkan setaraf dan sederajat. Kini — 50 tahun kemudian sejarah berulang. Ombak dan badai untuk melahirkan Bangsa Malaysia mengampuh kembali.

Pilihanraya ke-12 yang lalu telah memeterikan setikawan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Dermokratik (DAP) dan Parti Islam Semalaysia (PAS). Tiga parti politik yang memanggil diri mereka Pakatan Rakyat telah mengikat janji bersetiakawan dalam satu saf perjuangan untuk melahirkan sebuah Malaysia yang baru. Pakatan Rakyat ini juga bersetia untuk berjuang menerapkan satu pembudayaan baru yang bercita-cita untuk membebaskan 28 juta warga Malaysia cengkaman hegemoni politik Ketuanan Melayu.

Kemenangan 8 Mac empat tahun dahulu wajib juga dilihat sebagai satu peluang membetulkan kembali sosial konstruk ke landasan yang tepat untuk melahir satu negara bangsa. Selama 50 tahun ini Tanah Melayu dan kemudian Malaysia telah dipesongkan untuk bergerak di bawah hegemoni United Malays National Organisation yang berlandaskan ajenda perkauman.

Apa yang berlaku empat tahun dahulu adalah tanda bukti bahawa garis budaya politik yang berasakan kaum adalah politik lama — politik peninggalan British. Dari buku sejarah kita memahami bahawa parti-parti politik yang berasaskan kaum ini muncul hasil dari taktik dan strateji British. Ketika menjajah Tanah Melayu , kuasa kolonial British telah menjalankan dasar pecah dan perentah. Dasar perkauman - pecah dan perentah - inilah yang telah diteruskan oleh United Malays National Organisation sebagai senjata ampuh untuk terus berkuasa.

Dizaman melawan hegemoni kuasa kolonial British pada tahun 1947 dahulu rakyat Malaya telah bersatu melihat British sebagai musuh utama. Perasaan menentang British ini sama seperti perasaan orang ramai sebelum 8 Mac. Perasaan ini ialah persaaan bangun menentang hegemoni Ketuanan Melayu. Orang ramai telah besepadu melihat United Malays National Organisation sebagai musuh utama.

Orang ramai telah juga sedar - selama 50 tahun United Malays National Organisation telah mewujudkan pelbagai akta dan undang-udang untuk memastikan kuasa hegemoni mereka berterusan hingga hari kiamat. Orang ramai juga melihat bagaimana hak kesatuan sekerja telah dimandulkan melalui pelbagai bentuk akta. Anak muda mahasiswa melihat bagaimana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah menjadikan universiti setaraf dengan sekolah menengah. Orang ramai juga sedar tentang kes-kes rasuah pemimpin parti yang berkuasa yang melibatkan berbilon ringgit. Orang ramai juga sedar pelbagai cerita dan kesah tentang penyalah gunaan kuasa oleh parti yang memerentah.

Selama 50 tahun United Malays National Organisation telah menguna jentera daulah — polis, mahkamah dan undang-undang - untuk menakut-nakutkan rakyat. Selama 50 tahun rakyat Malaysia telah tunduk takut. Tetapi pada 8 Mac 2008 yang lalu rakyat Malaysia secara kolektif telah melintasi garis takut.

Telah sampai ke satu tahap dimana rakyat Malaysia secara kolektif tidak dapat lagi ditakut-takutkan dengan 'hantu 13 Mei'. Rakyat Malaysia secara berani telah menolak sikap perkauman yang tertanam lama. Kini, orang ramai merasa begitu bertanggung jawab untuk mempertahankan masa depan mereka. Untuk mempertahankan masa depan cucu cicit mereka. Langkah pertama untuk menyelamatkan Malaysia dari memasuki kelab 'negara gagal' ialah menolak kuasa hegemoni United Malays National Organsiation.

Penolakan hegemoni ini pasti akan membawa reaksi. Tergelincir dari kuasa bermakna jauh dari 'peti duit negara'. Ini bermakna nikmat kuasa ekonomi yang dimiliki oleh United Malays National Organisation selama 50 tahun ini akan lupus.

Justeru, selama 3 tahun kebelakangan ini kita telah melihat gereja di bakar. Kita melihat kepala babi dimasukkan ke dalam masjid dan surau. Kita juga melihat kepala lembu dipijak-pijak. Semua ini adalah usaha untuk memainkan api perkauman. Api perkauman adalah senjata yang telah dan sedang digunakan oleh United Malys National Organisation untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Yakinlah , United Malays National Organisation tidak akan berehat dan menerima penolakan kuasa hegemoni mereka dengan hati terbuka. Yakinlah mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka terus berkuasa. Berkuasa bermakna memiliki , mengawal dan mengagih-agihkan punca-punca ekonomi negara. Yakinlah — kepala babi dalam masjid itu hanyalah permulaan.

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 2

Membuat Keputusan Masa Depan Hidup

Setelah memikir panjang tentang perkara dan memikirkan yang aku boleh pergi lebih jauh lagi dari sijil politeknik, aku membulatkan tekad untuk berhenti dari politeknik. Pada waktu itu aku sudah hampir sebulan lebih belajar di politeknik. Keesokannya aku pulang ke rumah dan memberitahu ayah aku yang aku mahu berhenti dari politeknik dan masuk semula ke tingkatan 6. Ayah aku tidak bercakap banyak dan dia katakan terpulang pada aku untuk buat keputusan. Aku tahu ayah aku telah habiskan duit yang banyak sewaktu urusan pendaftaran masuk aku ke politeknik dan keputusan aku untuk berhenti ini sudah tentulah mensia-siakan duit yang ayah aku keluarkan hasil dari gaji titik peluhnya sebagai pekerja kilang. Jadi aku perlu bayar semula semua ini dalam bentuk satu kejayaan dan aku tidak boleh main - main dengan keputusan yang aku buat untuk masuk semula ke tingkatan enam.

Aku lepak di rumah sahaja pada hari itu dan aku sudah malas untuk ke politeknik. Esoknya aku pergi semula ke hostel dan mengemas semua barang - barang di dalam hostel untuk dibawa pulang. Selesai mengemas aku pergi ke pejabat warden untuk menyerahkan kunci kepada kerani bertugas dan aku memberi tahu bahawa aku ingin keluar dari asrama. Sewaktu hari aku sedang mengemas bilik asrama, ada seorang pelajar baru dari Selangor datang mendaftar masuk ke bilik asrama aku yang selama ini aku tinggal seorang. Aku hanya sempat berbual ringkas dengan dia dan memberitahu yang aku akan keluar asrama. Mungkin sampai kiamat pun aku tidak akan dapat bertemu dia kembali kerana namanya pun aku tidak sempat tanya. Ini satu kelemahan aku dimana aku selalu sukar untuk bertanyakan nama seseorang bila berkenalan. Aku terus pulang dengan membawa barang - barang aku menaiki motosikal. Untuk 2,3 hari aku masih kelas dengan berulang - alik dari rumah, tapi selepas itu aku terus berhenti dari politeknik tanpa memberi sebarang notis hingga pensyarah aku menghubungi telefon rumah aku. Selepas itu aku menulis surat dan menyatakan aku ingin berhenti.


Memohon Semula ke Tingkatan Enam

Aku mengambil langkah berani dengan terus berhenti dari politeknik tetapi dalam masa yang aku belum membuat permohonan untuk masuk semula ke tingkatan 6. Andainya permohonan aku untuk masuk semula ke tingkatan 6 gagal entah kemana akan aku tuju. Tetapi aku memang gemar bermain dengan risiko.

Aku menghubungi Saufi yang merupakan kawan baik aku. Kisah Saufi juga lebih kurang sama macam aku, dia sebelum ini telah pergi mendaftar dan belajar di sebuah kolej swasta di Kelantan tetapi telah berhenti dari kolej tersebut dan masuk semula ke tingkatan 6. Aku menghubungi dia untuk bertanyakan tentang cara bagaimana untuk membuat permohonan semula untuk masuk ke tingkatan 6. Dia memberi tahu aku hanya perlu membawa surat tawaran ke tingkatan enam bersama slip keputusan SPM ke jabatan pelajaran negeri di Bangunan Tuanku Syed Putra P.Pinang. Keesokanya aku mengajak Abu kawan aku untuk menemani aku ke sana. Sampai di sana aku hampa, kerana pegawai yang bertugas mengendalikan urusan tersebut sedang bercuti dan aku terpaksa menunggu lagi 3 hari untuk berurusan dengan pegawai tersebut.

Selang 3 hari aku pergi semula dengan motosikal EX5 cabuk aku yang masih bertahan hingga hari ini dengan seorang lagi kawan aku Ashun. Ashun sebenarnya sama - sama mendaftar masuk ke tingkatan enam dengan aku dahulu cuma bezanya aku berhenti tetapi dia tidak berhenti. Kebetulan pada hari itu dia tidak ke sekolah jadi dia ingin menemani aku ke Jabatan Pelajaran Negeri. Sampai di pejabat JPN Bangunan Tuanku Syed Putra aku terus ke pejabat yang sebelum ini aku pernah pergi. Kali ini pegawai tersebut ada, dan aku memaklumkan hasrat aku untuk masuk semula ke tingkatan enam sekolah yang sama iaitu High School Bukit  Mertajam. Setelah meneliti surat tawaran dan keputusan SPM aku, pegawai tersebut mengatakan "ok esok hang p sekolah, tunggu sat satg ambil surat" mendengar ayat tersebut membuatkan aku rasakan satu jalan baru telah terbentang dalam hidup aku. Setelah semua urusan selesai, aku terus ke kedai untuk makan dan belanja Ashun makan tengahari pada hari itu.


Back to the school

Keesokanya, pagi - pagi aku telah bersiap - siap untuk ke sekolah semula. Aku belum mempunyai seluar putih yang merupakan uniform untuk pelajar tingkatan enam. Aku hanya memakai baju sekolah aku yang lama dan seluar sekolah hijau sewaktu di tingkatan 5 dahulu. Saufi yang dari jauh melihat aku melangkah ke kelas telah tersengih dan menunggu masa untuk mentertawakan aku yang patah balik ke tingkatan 6. Masuk sahaja di dalam kelas aku rasa seperti menemui semula jiwa aku yang hilang sebelum ini. Apa bila cikgu Sugunawati masuk kedalam kelas dia terkejut melihat aku berada didalam kelasnya. Dan dengan sepantas kilat dia membebel kerana aku masuk semula ke tingkatan enam kerana sudah tentu dia terpaksa merombak semula senarai pelajar kelas tersebut. Saufi masuk semula ke tingkatan enam seminggu sebelum aku, ini bermakna setiap minggu cikgu sugunawati terpaksa merombak senarai pelajar.

Kali ini langkah aku masuk ke tingkatan enam bukan lagi untuk bermain - main. Ya aku masih lagi mahu bermain ragbi tetapi bukan untuk bermain - main. Aku mula serius belajar sewaktu di 6 rendah, walaupun pada waktu itu telah memasuki bulan 8 dan sudah banyak topik-topik yang sudah habis diajar. Tetapi aku tidak mengalah dan terus mengejar. Namum sikap nakal aku dan member - member aku yang lain masih tetap ada. Memang aku serius untuk belajar tetapi masa yang sama aku masih nakal bersama member-member aku dan hingga di tingkatan enam pun aku masih dirotan oleh guru disiplin kerana merokok di hadapan pengetua.


Kantoi Hisap Rokok

Pagi itu, Cikgu Idris datang ke kelas aku dan membacakan number plat motosikal aku. Dia bertanyakan "PCS 6742 moto sapa??" aku dengan cool mengaku itu motosikal aku. Lantas cikgu Idris mengajak aku ke bilik disiplin. Dalam perjalanan ke bilik disiplin aku bertanyakan kepada cikgu Idris, kenapa aku dipanggil ke bilik disiplin. Cikgu Idris memulangkan semula soalan kepada aku "hang cuba ingat balik apa hang buat" aku masih lagi keliru dan tidak faham apa yang telah aku buat hingga dipanggil ke bilik disiplin. Sebenarnya Cikgu Idris adalah seorang guru disiplin yang cool, Cikgu Idris dengan aku dan member-member aku yang lain dah macam kawan hingga hari ini pun kami still kawan. Ketika menghampiri bilik disiplin aku bertanya lagi kepada Cikgu Idris, "saya parking motor tak kena ka?? motor saya takda stiker kut.." (di sekolah aku setiap kenderaan perlu mempunyai stiker khas sekolah untuk memasuki kawasan sekolah). Cikgu Idris tersengeh dan selepas itu dia menjawab "tu laa hang... nak hisap rokok pun tak pandai cover.. yang hang p hisap depan pengetua tu buat apa... dia ambil nombor plat hang pagi tadi, dia kata hang hisap rokok kat atas motor depan kereta dia dekat traffic light" mendengar kata - kata Cikgu Idris tersebut aku terus tergelak dan dengan selamba aku jawab "tu kat luar sekolah bukan dalam sekolah..."

Masuk kedalam bilik disiplin aku cuba untuk berunding dengan Cikgu Idris, bagi aku kalau kes ni aku dengan Cikgu Idris saja sure boleh settle. Tetapi nasib tidak menyebelahi aku, tiba - tiba ketua guru displin Cikgu Wong masuk ke dalam bilik displin. Cikgu Wong bertanya kenapa aku dibawa ke sini dan Cikgu Idris menjelaskan atas arahan pengetua sebab kesalahan aku tadi. Cikgu Wong mengambil kes aku tersebut dari Cikgu Idris, kali ini pendakwara telah bertukar dan sukar untuk aku berunding dengan Cikgu Wong. Aku masih mempertahankan diri aku dengan mengatakan yang mengisap rokok tersebut luar sekolah, jadi aku tidak boleh diambil tindakan, lagi pun waktu itu belum lagi masuk waktu sekolah, dan pada waktu itu juga aku memakai jaket sewaktu menunggang motorsikal, jadi tidak timbul soal imej sekolah dan sebagainya. Tapi ternyata Cikgu Wong seorang yang sukar berdiplomasi, akhirnya aku rela dirotan agar tidak memanjangkan cerita. Sebenarnya aku sudah tidak mampu untuk mengira jumlah rotan yang telah hinggap dipunggung aku sejak selama 7 tahun aku di High School Bukit Mertajam jadi perkara dirotan ini adalah perkara biasa bagi aku. Cuma bezanya kalau dahulu aku merasa bangga bila dirotan umpama hero yang dari bilik hukuman dan melambai tangan kepada penyokongnya. Tetapi pada waktu ini aku merasa malu kalau - kalau junior-junior pempuan dapat tahu yang aku dirotan kah kah kah..


Awek Dan Putus Cinta

Di tingkatan enam rendah ini juga aku telah putus cinta dengan awek aku, sebenarnya aku mempunyai seorang awek pada waktu itu. Awek aku pada waktu itu baru tingkatan 3.(tergalak aku menulis ini). Aku couple dengan dia sewaktu pertengahan aku di tingkatan 5. Waktu itu dia baru tingkatan dua, dengan status aku sebagai pemain ragbi sekolah yang memang terkenal amat mudah untuk aku menekel dan mengorat awek junior. Tetapi sebenarnya itulah kali pertama aku mengorat secara direct kerana sebelum itu ini seorang yang amat pemalu dengan perempuan. Sewaktu aku di tingkatan 6 rendah aku baik dan rapat dengan seorang budak perempuan (tak perlu disebutkan nama) dari dalam kelas aku. Keakraban dan kerapatan aku dengan classmate perempuan aku tersebut telah berjaya dihidu oleh awek aku tersebut. Perkara ini membuatkan dia cemburu dan memutuskan hubungan dengan aku. Sebenarnya pada waktu itu aku sendiri sudah bosan dengan awek aku tersebut kah kah kah.... tetapi dengan budak perempuan kelas aku ini juga aku tidak mempunyai apa - apa perasan hanya seronok - seronok berkawan kerana sebelum ini aku tidak pernah berkawan dengan perempuan kah kah kah..... aku hiaran kerana orang selalu mengatakan yang apa bila putus cinta akan berasa sedih kecewa, tetapi aku pada waktu itu langsung tidak merasai semua itu dan mungkin itulah yang dikatakan cinta monyet kebun bunga kah kah kah...


Tetap Cool Bukan Skema dan Poyo

Selepas itu perjalanan hidup aku di tingkatan enam rendah terus berlalu seperti biasa. Aku mereka cukup seronok ketika belajar di tingkatan enam rendah tersebut walaupun banyak kerja dan latihan serta buku yang tebal - tebal perlu dibaca. Aktiviti ragbi aku masih terus berjalan, setiap petang aku akan masih turun ke padang untuk berlatih ragbi untuk kejohanan ragbi sekolah - sekolah primer, tetapi malangnya tahun itu kami dibelasah oleh Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar yang merupakan musuh trasidi bagi kejohana primer cup. Aku dan rakan - rakan aku yang lain telah melanggar norma budak tingkatan 6 sebelum - sebelum ini. Ini kerana sebelum - sebelum ini iaitu senior aku yang lain, apabila masuk ke tingkatan 6 terus bertukar menjadi mamat skema, rambut yang sebelum ini tidak pernah bersikat telah disikat rapi, berjalan melangkah umpama seorang YB dan sentiasa mengepit buku, jauh sekali untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan secara serius. Tetapi batch kami tidak begitu, aku dan member - member aku terus dengan sikap dan perangai gila - gila, rambut bermacam fesyen dan tetap aktif bermain ragbi hingga merisau dan menggusarkan guru kuanselor iaitu Cikgu Zauridah.

Walaupun begitu kami tetap belajar dan tahu tujuan kami masuk ke tingkatan enam. Kerana bagi aku, rambut yang disikat rapi, langkah yang tersusun kemas tidak sama sekali menjamin kejayaan dalam STPM apa tah lagi jika buku hanya dikepit tetapi tidak dibaca. Tinggal lagi beberapa bulan untuk habis tingkatan enam rendah seorang lagi kawan aku iaitu Zul telah membuat "come back" ke tingkatan enam. Masa berlalu begitu cepat aku rasakan ditingkatan enam rendah. Tidak aku sedar aku dan rakan - rakan aku yang lain telah tamat tingkatan enam rendah. 

Selepas cuti penggal hujung tahun, aku dan member - member tingkatan enam aku kembali semula ke sekolah dalam umur 19 tahun pada waktu itu ke tingkatan Enam Atas Harmoni (6PAH)  yang menyaksikan lebih banyak cabaran, kisah suka dan duka.....

Wednesday, March 7, 2012

Kenangan di Tingkatan Enam 2003 - 2004 Part 1


Semperna keputusan STPM yang diumumkan hari ini membuatkan aku teringatkan kembali kisah - kisah dan kenangan sewaktu di tingkatan enam dahulu. Rasanya begitu cepat masa berlalu kini sudah hampir 8 tahun aku meningkalkan tingkatan enam pada 2003 hingga 2004. Dalam tempoh dua tahun tersebut terlalu banyak kisah dan kenangan jika ingin dirakamkan.


Ragbi



Aku mengambil tingkatan 6 di sekolah asal aku memasuki sekolah menengah iaitu  Bukit Mertajam High School. Selama 7 tahun aku di Bukit Mertajam High School dari tingkatan 1 hinggalah ke tingkatan 6 atas. Aku membesar di sekolah yang terletak di atas sebuah bukit tersebut. Di sana aku belajar segala jenis ilmu baik secara langsung dan tidak langsung yang akhirnya membentuk diri aku hari ini.
Tapi apa yang ingin aku kongsikan disini adalah pengalaman aku sewaktu di tingkatan enam tersebut. Sebenarnya aku langsung tidak pernah menanam minat atau cita - cita untuk masuk ke tingkatan 6. Ini kerana presepsi yang timbul pada waktu itu dan mungkin juga pada hari ini yang mengatakan tingkatan 6 itu susah, tidak menjamin masa depan dan tidak ada stail. 

Salah satu sebab utama yang membuatkan aku masuk ke tingkatan 6 adalah ragbi. Mungkin orang pelik kenapa aku masuk ke tingkatan 6 kerana ragbi. Tetapi kerana ragbilah aku masuk ke tingkatan enam secara tidak langsung. Sebenarnya aku adalah pemain ragbi mewakili sekolah aku sejak dari tingkatan 2 aku di Bukit Mertajam High School HSBM. Ini kerana di sekolah aku pada waktu itu, sukan utamanya adalah ragbi, dan seseorang itu akan berada pada kelasnya yang tersendiri jika dia bergelar pemain ragbi sekolah pada waktu itu. Sepanjang aku bermain untuk pasukan ragbi sekolah aku, aku dan pasukan aku telah menjuarai banyak kejohanan di peringkat dearah, negeri dan kebangsaan. Bila habis tingkatan 5 beerti aku akan meningkalkan pasukan sekolah kerana aku sudah tidak akan belajar disitu. Atas semangat yang membara untuk terus bermain ragbi mewakili sekolah aku, aku dan rakan - rakan aku yang lain mengambil keputusan untuk mendaftar diri masuk ke tingkatan 6. Ditambah pula semua kami mendapat keputusan yang melayakkan untuk masuk ke tingkatan 6.



Dihalau Guru Disiplin

Jadi sekitar hujung bulan 3 tahun 2003 aku dan rakan -rakan aku pergi ke semula ke sekolah untuk mendaftar masuk ke tingkatan 6. Ada dari kami yang datang mendaftar dengan rambut berwarna, ada yang rambut mencacak, rambut panjang ke bahu dan pelbagai fesyen lagi. Ini kesemua kerana kebebasan untuk berfesyen selepas tamat tingkatan 5. Hari pertama kami masuk mendaftar kami telah dihalau oleh guru disiplin kerana datang dengan pelbagai fesyen. Aku dan member aku lain meningkalkan kawasan sekolah dengan ketawa terbahak - bahak selepas dihalau oleh guru disiplin (Cikgu Ooi) tanpa sempat mendaftar. Keesokkannya kami datang lagi ke sekolah untuk memasuki tingkatan 6. Tapi penampilan aku dan member-member aku yang lain pada hari kedua ini agak kemas dan membuatkan kami tidak dihalau lagi. Sebenarnya sekolah aku adalah sekolah yang agak tegas dengan dispilin dan penampilan pelajar.

Sewaktu minggu orientasi pelajar - pelajar tingkatan 6, kumpulan aku dan member-member aku yang paling nakal. Tidak ada yang berani mengganggu kami kerana seluruh sekolah telah mengenali kami semua yang boleh dikatakan pelajar - pelajar nakal sekolah. Selesai minggu orientasi aku dan member-member aku yang lain mula memasuki tingkatan 6 enam rendah. Aku dipilih masuk ke aliran sastera di dalam kelas yang bernama 6 PRH (Pra-U Rendah Harmoni) dan guru kelas aku pada waktu itu adalah cikgu Sugunawati. Subjek yang aku ambil adalah Pengajian Am, Sejarah, Pengajian Perniagaan dan Bahasa Melayu selain Muet. Jujur aku nyatakan disini adalah tujuan aku dan kemungkinan besar rakan - rakan aku yang masuk ke tingkatan enam rendah ini bukanlah untuk benar - benar belajar. Tujuan aku adalah untuk sekadar berdaftar dengan sekolah dan membolehkan aku dan member-member aku yang lain untuk terus bermain ragbi dengan pasukan sekolah.

 Fokus aku dan rakan - rakan aku yang lain pada waktu itu hanyalah ragbi. Setiap petang aku dan member - member pasti akan turun ke padang untuk berlatih sedangkan pelajar - pelajar tingkatan 6 yang lain sibuk memulakan hidup baru sebagai pelajar tingkatan 6 dengan belajar bersungguh-sungguh. Tetapi aku dan rakan - rakan aku yang lain jarang - jarang hadir ke sekolah dan pada waktu petang datang ke hanya untuk berlatih ragbi. Tapi hasilnya berbaloi kerana pada tahun tersebut iaitu pada tahun 2003 sekolah aku berjaya menjuarai kejoharan ragbi peringkat negeri Pulau Pinang. Pasukan sekolah aku pada waktu itu cukup mantap dan menyapu bersih setiap perlawanan bermula dari peringkat awal lagi. Jurulatih kami pada waktu itu ialah mendiang uncle Loren dan Coach Syarif.


Mewakili Negeri ke MSSM dan Tawaran Politeknik

Pada tahun 2003 itu juga aku telah terpilih untuk mewakili pasukan negeri Pulau Pinang ke Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia MSSM peringkat kebangsaan di Labuan. Dengan terpilih mewakili pasukan negeri aku pada waktu itu terpaksa lebih fokus dengan latihan yang penuh disiplin dalam pasukan ragbi negeri. Pada waktu itu aku langsung sudah tidak memikirkan tentang persekolahan dan pembelajaran aku di tingkatan 6 malah sekolah pun sudah jarang aku pergi. Seminggu sebelum aku bertolak ke Labuan aku perlu memasuki kem latihan pusat, ini bermakna seminggu aku tidak ke sekolah. Selang beberapa hari aku di dalam kem latihan pusat aku dapat berita dari ayah aku yang aku mendapat tawaran untuk masuk ke Politeknik Seberang Perai dalam kursus Sijil Pengajian Perniagaan. Pada waktu itu aku memikirkan selepas pulang dari Labuan nanti aku akan masuk ke politeknik dan berhenti dari tingkatan enam.

Setelah pulang dari kejohanan ragbi MSSM dari Labuan selang seminggu selepas itu aku terus bersiap untuk mendaftar masuk ke politeknik. Aku terus tidak mengendahkan lagi tingkatan 6 dan berhenti dengan begitu sahaja tanpa sebarang notis. Aku masuk ke politeknik sekitar Julai 2003. Aku mula belajar di politeknik seberang perai dalam kursus pengajian perniagaan. Tapi entah mengapa sepanjang aku berada di politeknik tersebut aku merasakan yang hati aku tidak berada disitu. Jiwa aku seolah terpisah dengan apa yang aku lakukan sepanjang di politeknik tersebut.


Hilang Minat Belajar di Politeknik

Satu malam aku termenung sambil berbaring di atas katil di dalam hostel aku di politeknik. Aku memikirkan yang seperti satu kerugian jika aku terus belajar di situ, ini kerana aku hanya membuat kursus sijil yang mana tempoh masanya selama 2 tahun. Sijil yang aku ambil pula ialah pengajian perniagaan yang kurang peluang kerjayanya. Aku memikirkan jika aku di tingkatan 6 selepas dua tahun aku boleh terus masuk ke universiti dan boleh terus membuat ijazah tapi dengan syarat perlu bersungguh-sungguh. Aku mengenangkan kawan-kawan aku yang masih terus di tingkatan 6. Aku merasakan yang rakan - rakan aku itu nanti pasti akan masuk ke universiti dan membuat ijazah selepas dua tahun pada waktu itu. Tetapi aku selepas dua tahun hanya memiliki sijil. 

Lama aku termenung dan memikirkan perkara itu hingga lewat pagi....

Bersambung Part 2

Catatan Anak Muda 1 Ogos 2009 (Mansuhkan ISA)


Aku dan Adil tiba di stesyen keratapi Sungai Buloh Selangor sekitar pukul 6 pagi 1 Ogos 2009 setelah hampir 8 jam lebih perjalanan menaiki keretapi dari Bukit Mertajam. Pada mulanya aku merancang untuk turun di Stesyen KL Central, tetapi aku mengubah rancangan tersebut, sebaliknya aku memilih untuk turun di Stesyen Sungai Buloh. Ternyata percaturan aku itu tepat, ini kerana selepas itu, aku mendapat maklumat yang polis dan cawangan khas sudah bersedia di KL Centrel, ada penumpang – penumpang yang sebaik turun dari keretapi diperiksa beg-beg mereka dan jika terdapat barang atau baju yang berunsur anti ISA mereka akan ditahan.


Setelah berehat dan melakukan apa yang patut di Stesyen Sungai Buloh, aku dan Adil membeli tiket komuter dan kira – kira jam 6.45 pagi kami menaiki komuter ke stesyen komuter Bank Negara. Sekitar jam 7.05 pagi aku dan Adil tiba di Stesyen Komuter Bank Negara. Setiba di sana, aku memilih untuk ke tandas bagi membersihkan muka dan membasahkan rambut bagi menyegarkan diri.

Kami telah memilih untuk berhimpun di SOGO bagi menyertai perhimpunan Mansuhkan ISA tersebut. Dari Stesyen Bank Negara, aku dan Adil berjalan kaki menuju ke Jalan Raja Laut dan menyeberang ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Suasana di jalan – jalan tersebut masih lengang, ini kerana orang tidak berkerja pada hari tersebut.

Setiba di hadapan SOGO aku melihat hampir 20 orang polis beruniform sudah sedia berkawal di hadapan SOGO. Keadaan masih seperti biasa dan tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan bakal berlaku satu perhimpunan besar. Jam pada waktu itu hampir 8 pagi. Aku perhatikan pada sebuah perhentian bas, terdapat sekumpulan lelaki berkopiah dan menggalas beg di bahu mereka. Aku dapat menjangkan yang mereka tersebut bakal menyertai perhimpunan yang bakal berlangsung nanti.
Aku memilih untuk makan di sebuah restoran nasi kandar di Medan Tuanku berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman. Badan sudah mula merasa letih, maklumlah perjalanan menaiki keretapi selama 8 jam dari Bukit Mertajam ke Sungai Buloh dan dari Sungai Buloh ke Kuala Lumpur memang meletihkan.

Pada mulanya aku merancang untuk hanya berlegar – legar disekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan shopping complek yang berhampiran sementara menunggu perhimpunan bermula. Tetapi dengan keadaan badan yang letih dan mata yang mengantuk aku mencadangkan kepada Adil untuk menyewa hotel murah yang ada di kawasan tersebut. Kami memilih dengan untuk menyewa selama 3 jam iaitu dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, di sebuah hotel di Medan Tuanku dengan bayaran RM 40.

Setelah memasuki bilik hotel aku terus baring dan terlelap. Aku terjaga sekitar jam 11 pagi. Aku terus ke bilik air untuk mandi bagi menyegarkan diri kerana aku tahu bahawa dalam perhimpunan nanti memerlukan tenaga yang banyak. Sedang aku mandi aku terdengar bunyi deruan helikopter yang terbang rendah di sekitar kawasan berkenaan. Aku menjadi semakin teruja untuk tahu apa yang sudah jadi di luar. Aku segara membangunkan Adil dan menyuruhnya bersiap cepat kerana aku sudah tidak sabar untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Setelah kami berdua siap kami terus menyerahkan kunci bilik hotel dan terus berjalan keluar. Waktu pada ketika itu dalam sekitar jam 11.45 pagi. Aku memerhatikan dari jauh kelihatan dihadapan SOGO polis semakin ramai. Dan boleh dikatakan polis lebih ramai dari mereka yang akan menyertai perhimpunan. Aku yang ber T-shirt hitam dan berlogo Parti Keadilan Rakyat cuba untuk tidak mempamerkan secara jelas pakaian berkenaan sebaliknya aku memakai jaket diluar. Ini kerana aku tahu waktu itu masih belum sesuai untuk mempamer logo atau apa-apa slogan.

Aku terus kehadapan SOGO, aku dan Adil berlegar-legar disekitar hadapan SOGO. Kelihatan beberapa orang polis memerhatikan gerak – geri kami. Kami berkelakuan seperti tidak tahu apa – apa dan berlagak seolah pengunjung yang datang untuk membeli – beleh di SOGO. Kelihatan ramai juga orang berlegar – legar di sekitar hadapan SOGO dan aku dapat mengagak yang mereka itu juga adalah sebahagian dari peserta perhimpunan anti ISA itu nanti.

Tiba – tiba datang seorang pegawai polis kearah kami dan mengarahkan kami supaya beredar. Pegawai polis berkenaan menjeriti “kalau mahu shopping pergi shopping, kalau tak mahu shopping pergi balik jangan kumpul-kumpul disini” aku dan Adil dengan selamber berjalan ke kawasan lain, kami masuk kedalam SOGO dan berlegar – legar sekitar tingkat bawah SOGO. Selepas itu kami keluar dan berdiri dihadapan pintu masuk SOGO. Aku menyedari yang polis cawangan khas SB berada dimerata cerok kawasan.

Kelihatan tiga orang pemuda berbaju merah dan berbeg galas berjalan menghampiri kawasan hadapan SOGO. Setiba dihadapan SOGO dua orang daripada mereka terus menghala ke pintu SOGO untuk memasuki komplek berkenaan. Seorang lagi terus berjalan kearah hadapan SOGO, dengan tidak semena-mena dua orang polis beruniform datang dari arah belakang pemuda berkenaan dan menangkap pemuda tersebut. Kejadian tersebut berlaku betul-betul dihadapan aku (rupa-rupanya selepas itu banyak lagi berlaku tangkapan dihadapan aku). Pemuda tersebut menjerit memanggil dua rakannya yang sedang menuju kedalam SOGO. Menyederi seorang kawan mereka ditahan, mereka terus berlari kearah polis berkenaan yang mana pada ketika itu sedang membawa rakan mereka itu ke dalam trak. Dua rakan mereka ini cuba berunding dengan polis agar membebaskan rakan mereka yang ditahan tersebut. Akhirnya aku melihat ketiga-tiga mereka diangkut terus kedalam trak. Mereka sempat menjerit “hidup-hidup rakyat” ketika dimasukkan kedalam trak. Teriakkan mereka tersebut disambut dengan takbir dan bunyi hon oleh pengguna jalan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Aku melihat pergerakan polis semakin meluas dan seolah sedang mencari mangsa. Aku mula turun kebawah ke perhentian bas dihadapan SOGO. Terdapat sekumpulan lelaki diperhentian bas berkenaan. Mereka memberitahu yang mereka dari Perlis dan baru sampai ke KL pagi itu dengan menaiki bas. Selepas itu salah seorang daripada kumpulan lelaki dari Perlis tersebut mengajak kami semua untuk berada jauh sedikit dari kawasan SOGO kerana keadaan kelihatan agak kurang selamat kerana polis dilihat sudah mula bergerak kedalam orang ramai.

Kami beredar ke hadapan Pertama Komplek, dan memerhatikan orang semakin ramai berada disekitar kiri kanan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Mereka semua dilihat berlegar – legar seperti mahu membeli belah. Tetapi kami dapat menjangkakan yang mereka semua itu adalah mereka yang mahu menyertai perhimpunan anti ISA.

Kumpulan lelaki dari Perlis tersebut mahu beredar untuk mencari tempat penginapan untuk mandi serta membersihkan diri terlebih dahulu. Jam pada waktu itu sekitar 12.30 dan masih sempat bagi mereka berehat. Perhimpunan sebenar dijadualkan bermula jam 2.00 petang. Aku dan Adil menyeberang Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk berada diseberang jalan berkenaan. Ini kerana diseberang jalan berkenaan terdapat sekitar 20 orang sedang berkumpul. Dalam sumber – sumber yang aku perolehi, adalah lebih selamat berada dalam kumpulan yang ramai dari berada berseorangan atau dua tiga orang. Ini kerana polis atau SB akan lebih mudah untuk menangkap secara rambang mereka yang berada dalam kumpulan kecil atau berseorangan.

Ketika berdiri dalam kumpulan tersebut aku melihat sekumpulan polis dihadapan SOGO sedang diberi taklimat oleh pegawai mereka. Dalam masa yang sama juga kelihatan seorang anggota polis membawa anjing berlegar sekitar hadapan SOGO. Setelah habis taklimat diberikan kepada kumpulan polis berkenaan, mereka mula bergerak kearah orang ramai yang berkumpul di kiri kanan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Jumlah mereka yang berkumpul di kiri kanan jalan tersebut sekitar 100 ke 200 orang. Jumlah ini terus bertambah sedikit demi – sedikit. Kumpulan polis beruniform berkenaan terus menghala ke arah orang ramai berkenaan sambil meniup wisel dan menjerit mengarahkan orang ramai beredar.

Kumpulan orang ramai tadi terus bergerak kebelakang hingga ke Maju Junction dan Medan Tuanku. Sebaik saja kumpulan polis berkenaan beredar, kumpulan orang ramai tadi terus datang balik ke arah persimpangan Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan jumlah mereka dilihat semakin ramai dari sebelumnya.

Sebaik sahaja polis menyedari orang ramai mula berkumpul semula, kumpulan polis berkenaan datang sekali lagi dan mengarahkan orang ramai beredar, dan situasi berkenaan berulang hampir 3 ke 4 kali. Orang ramai dilihat seakan bermain “catch me if you can”. Aku turut menyertai kumpulan orang ramai berkenaan. Jam pada waktu itu sudah pun menunjuk hampir 1.30 petang. Dalam waktu itu aku melihat banyak tangkapan berlaku.

Jalan Tuanku Abdul Rahman pada waktu itu sudah lama ditutup, dan aku menyederi SOGO juga turut ditutup. Aku terdengar seorang lelaki disebelah aku berdiri bercakap dalam loghat pantai timur “Bersih dulu pun SOGO tak tutup” dan lelaki berkenaan mengatakan yang waktu perhimpunan Bersih dahulu tidak ramai begini. Aku melihat ke arah Jalan Sultan Ismail dan Maju Juntion, kelihatan orang semakin ramai datang dari arah berkenaan dengan berjalan kaki.

Aku terus berlegar – legar dikawasan berkenaan dan tidak mahu duduk setempat. Ini kerana risiko untuk ditangkap oleh polis cawangan khas SB adalah lebih tinggi jika berada dalam keadaan setempat. Ini kerana pihak SB ini yang menyamar sebagai peserta demostarsi akan bertindak menghampiri mereka yang leka berdiri dan terus menangkap secara mengejut.

Aku menyeberang semula ke Pertama Komplek, dan aku terjumpa dengan seorang kawan aku dari Kelantan. Perkenalan dengan sahabat aku dari Kelantan ini bermula dari hari penamaan calon pilihanraya kecil DUN Penanti. Dan sejak dari itu kami sering terjumpa di program-program politik. Tapi yang uniknya, walaupun kami sering terjumpa, aku sampai hari ini tidak tahu namanya dan terlupa untuk meminta nombor telifonnya.

Aku berborak – borak dengan sahabat aku tersebut berkenaan demostrasi berkenaan. Adil juga terjumpa sahabat lamanya dan mereka turut berborak. Tiba – tiba aku mendapat panggilan dari Khalid, sahabat tempat kerja aku yang lama. Dia ingin menyertai aku dalam demostrasi berkenaan. Khalid mencari aku dan dia memberitahu yang dia berada disekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman. Aku meninjau sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi mencari Khalid, dan aku ternampak Khalid berada diseberang jalan berkenaan. Aku terus melambai tangan ke arah Khalid dan mengarahkan dia datang kepada aku dan kawan – kawan aku disebelah sini.

Jam pada waktu itu menunjukkan 1.55 minit petang. Lagi 5 minit sepatutnya perarakan ke istana bermula. Aku bersalaman dengan Khalid dan agak gembira berjumpa dengan dia kerana kami sudah lama tidak berjumpa setelah aku tidak lagi bekerja di Kuala Lumpur. Aku bertanya kepada kawan aku dari Kelantan tadi, mengapa tidak ada seorang Unit Amal yang kelihatan pada waktu itu sedangkan jam sudah menunjukkan hampir pukul 2 petang. Hati aku mula terdetik, adakah perarakan ini tidak akan berlaku.

Sedang kami berdiri di situ tiba – tiba terdengar jeritan “gerak -gerak” dengan kuat. Rupa -rupanya pergerakan baru sahaja bermula dari hadapan SOGO menghala ke Jalan Raja Laut. Jalan Tuanku Abdul Rahman sudah ditutup dan dikawal ketat dan sebab itu pergerakan diarah ke Jalan Raja Laut tidak seperti jadual asal yang sepatutnya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman menghala ke Masjid Negara.

Aku dan rakan – rakan aku yang lain pada waktu itu berada di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Medan Mara. Terdapat seorang lelaki cuba menjerit menberi arahan kepada kami agar mengikut jalan belakang bagi menyertai jumlah pendemostrasi yang ramai sedang bergerak di Jalan Raja Laut. Tiba -tiba seorang lagi lelaki berkopiah menjerit, “jangan -jangan” lelaki tersebut menyatakan yang lelaki yang menjerit memberi arahan ke jalan belakang itu adalah polis cawangan khas SB yang bertindak mahu mengelirukan mereka yang mahu menyertai perarakan yang sedang berlaku. Aku dan rakan – rakan aku yang lain tadi mula terkeliru. Keadaan pada waktu itu mula kelam – kabut. Aku tidak mahu terpisah dari kumpulan yang sedang berarak kerana polis sudah bergerak untuk menangkap mereka yang tercicir dari perarakan tersebut.

Aku terus mengajak Adil dan kawan aku dari Kelantan tersebut mengikut jalan di sebelah Medan Mara untuk ke Jalan Raja Laut yang mana ketika itu peserta demostrasi sedang memenuhi Jalan Raja Laut. Aku dan kawan aku dari Kelantan terus berlari di jalan medan mara ke Jalan Raja Laut bagi memasuki kumpulan perarakan tersebut. Adil terbelakang pada waktu itu, mungkin kerana dia jarang berlari. Aku pun agak semput ketika berlari pada waktu itu, namum mungkin kerana semangat yang berkobar apatah lagi melihat ribuan peserta telah memenuhi Jalan Raja Laut, membuatkan aku lupa akan kepenatan.

Akhirnya aku, Adil dan kawan aku dari Kelantan tersebut berjaya berada di tengah -tengah peserta demostrasi. Khalid hilang entah kemana pada waktu itu. Aku kira Khalid mungkin tidak mahu menyertai perarakan tersebut. Jumlah peserta demostrasi yang berada di atas jalan Raja Laut berkenaan boleh dianggar sekitar 10 000 orang. Aku tidak tahu dari mana datangnya jumlah yang begitu ramai. Kerana aku melihat mereka yang berada disekitar SOGO pada sebelum itu tidaklah seramai itu.

Selepas demostarsi itu baru aku tahu bahawa sebahagian daripada mereka itu datang dari arah Masjid Jamek yang mana ianya salah satu tempat perkumpulan bagi demostarsi berkenaan. Kumpulan dari Maskid Jamek bergerak ke arah SOGO dan bergabung dengan kumpulan yang berada di sekitar SOGO termasuklah aku.

Aku mula bersemangat apabila berada ditengah-tengah lautan manusia itu. Kami melaungkan slogan “mansuh-mansuh, mansuh ISA” dan “Allahukakhbar”. Perarakan tersebut bergerak menuju ke Jalan Sultan Ismail dan menghala ke Jalan Kuching. Dari Jalan Sultan Ismail ke Jalan Kuching jumlah peserta demostrasi berkenaan cukup ramai. Boleh dikatakan hampir 15 ribu orang menyertai demostrasi tersebut. Laungan “Takbir” dan laungan “Mansuh2 mansuh ISA” terus bergema menengelamkan bunyi kenderaan yang lalu lalang.

Aku perhatikan polis yang beruniform sudah tidak kelihatan mungkin yang tidak beruniform masih ada dalam kalangan ribuan peserta demostrasi tersebut. Dipersimpangan Jalan Sultan Ismail tadi aku perhatikan polis trafik yang berada disitu hanya menjaga lalu – lintas.

Perarakan terus bergerak ke Jalan Kuching, kenderaan yang lalu – lalang memberikan hon dan mengangkat tangan tanda sokongan. Kepenatan langsung tidak terasa kerana semangat yang terus membara dalam diri aku. Aku sendiri melaungkan “Mansuh2 Mansuh ISA”, “Hidup2 Hidup Rakyat” dan “Takbir” beberapa kali sambil disambut oleh para peserta yang lain.

Pada jam hampir 2.40 minit petang kami tiba di atas Jalan Kuching dan hampir dengan jejantas untuk ke stesyen komuter bank negera. Dari jauh aku dapat melihat, sekumpulan lagi peserta demostrasi yang begitu ramai berada di hadapan. Aku percaya itu adalah kumpulan yang berkumpul di Masjid Negara. Tetapi mereka tidak dapat bergerak, kerana FRU telah membuat benteng di tengah – tengah jalan bagi menghalang dari kami bergabung.

Kumpulan kami terus bergerak dengan tidak menghiraukan gerombolan FRU dihadapan, untuk kami bergabung dengan kumpulan di Masjis Negara dan terus bergerak ke Istana. Tetapi dengan tidak dijangka sebaik sahaja kami melepasi jejantas stesyen komuter bank negara, kami dihujani berpuluh – puluh gas pemedih mata. Rupanya FRU menembak gas pemedih mata dari meriam. Kawasan sekitar langsung dipenuhi oleh asap yang memang memeritkan mata, mulut,hidung,dada dan kulit.

Aku segera membasahkan tuala yang aku bawa dan menekapkannya kemuka. Namun akibat terlalu banyak gas pemedih mata yang dilepaskan aku mula rasa seperti hilang kawal. Aku terbatuk – batuk menahan kepedihan, air mineral yang aku bawa aku basuhkan pada muka dengan segera. Datang seorang pemuda Cina kepada aku dan meminta sedikit air, aku terus menghulurkan air kepada pemuda Cina tersebut dan kami bergerak ke belakang bagi mencari kawasan yang kurang asap. Pada waktu itu aku sudah terpisah jauh dari Adil dan kawan aku dari Kelantan tersebut. Aku mencari semula Adil dan aku berjaya bertemu semula dengan dia. Tetapi aku terpisah terus dengan kawan aku dari Kelantan tersebut hingga tamat demostrasi. Diharapkan aku dapat bertemu kembali dengan kawan aku tersebut sewaktu pilihanraya kecil Dun Permatang Pasir nanti.

Setiba aku di tepi jalan, beberapa orang pemuda lain menghulurkan garam kepada aku. Garam memang petua yang digunakan untuk mengurangkan perit terkena gas pemedih mata. Aku segera memasukan garam tersebut didalam mulut dan dengan beberapa minit sahaja perit terkena dan terhidu gas pemedih mata itu hilang dan badan menjadi bertenaga kembali.

Memang power petua garam ni dan selepas kejadian itu baru aku tahu yang garam memang penting sewaktu berdemo. Kami sudah tidak boleh bergerak ke hadapan bagi bergabung dengan kumpulan dari Masjid Negara. Ini kerana FRU bagai sedang berpesta menembak gas pemedih mata. Tiba-tiba aku terdengar arahan dari Che`gu Bard yang mengarahkan semua peserta berpatah balik ke SOGO kerana kumpulan di Masjid Negara tadi juga sedang bergerak ke SOGO, kami bercadang untuk bergabung dengan mereka di SOGO.

Semua perserta tanpa kenal erti takut dan gentar terus berpatah balik ke arah SOGO, walaupun masing-masing sedang menahan kepedihan terkena gas pemedih mata, namum sedikit pun tidak menggentar atau melemahkan semangat para peserta. Aku berada pada barisan paling hadapan bersama unit amal semasa di jalan Sultan Ismail hingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk ke SOGO.

Setibanya kami dihadapan Maju Junction, kami perhatikan dihadapan SOGO keadaan baru sahaja teruk dibedil oleh FRU. Kami berhenti dipersimpangan Medan Tuanku. Laungan -laungan semangat terus berkumandang tanpa henti pada waktu itu bagi membakar semangat setiap perserta yang tiba. Kelihatan beberapa kumpulan dari Sogo sedang bergerak untuk bergabung dengan kumpulan kami.

Selepas itu Che`gu Bard memberi arahan untuk semua peserta berpatah balik dan menuju ke Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut untuk berkumpul di sana. Kami semua terus bergerak menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman menghala ke Chow Kit dan membelok ke kiri bagi menuju ke Pejabat PAS Jalan Raja Laut. Kaki aku sudah akan mahu tegang pada waktu itu dan aku memperlahankan sedikit langkah bagi mengelakkan kekejangan otot.

Ketika di Jalan Chow Kit aku begitu dahaga, aku meminta air mineral dari seorang pemuda India. Dia dengan sepantas kilat menghulurkan air kepada aku. Sampai di hadapam Pejabat Pas Jalan Raja Laut, kami diarahkan memenuhi jalan hadapan pejabat tersebut secepat mungkin dan biarkan kenderaan awam mengelilingi kami. Ini sebagai langkah untuk mengelak trak FRU dari sampai dan memancutkan air ketika kami sedang berhimpun disitu.

Ternyata taktik itu berjaya, polis dan FRU langsung tidak dapat masuk pada waktu itu dan perhimpunan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang ganguan. Setelah beberapa pemimpin berucap termasuk Masfuz, Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Lim Keng Siang, Saifudin Nasuition dan Mat Sabu, semua peserta diarahkan bersurai. Dan semua peserta mula bergerak untuk bersurai setelah tamat membaca doa selamat.

Aku yang berada pada kelompok hadapan pada waktu itu bergerak agak kehadapan. Jam pada waktu itu sekitar 5.00 petang. Aku mahu menuju ke restoran karatong di Maju Junction untuk bertemu dengan Jhon yang telah berada di sana dan mahu menjamu selera. Perut aku memang begitu lapar pada waktu itu, maklumlah program tadi memakan tenaga yang banyak. Selepas makan aku merancang untuk terus berjalan kaki ke puduraya dan mengambil bas untuk pulang ke Penang.

Ketika aku berada di Chow Kit tiba-tiba datang seorang pemuda dengan berlari laju dari arah belakang aku. Dia memberitahu yang FRU sedang menambak gas pemedih mata dan meriam air kepada perserta yang bersurai melalui Jalan Raja Laut. Nasib baik aku memilih untuk lalu ikut Chow Kit. Jika tidak mesti teruk aku nak berlari, kaki aku pun waktu itu dah mula rasa betul-betul hendak cram.

Sampai di hadapan Maju Junction aku perhatikan beberapa orang pengawal keselamatan maju juntion berkawal di depan pintu masuk. Aku perhatikan pergerakan keluar masuk ke Maju Junction dikawal begitu ketat. Aku menghubungi Jhon dan memberitahunya yang aku tidak dapat masuk ke dalam Maju Junction. Jhon mengarahkan aku masuk juga ke dalam dengan selamba.

Selepas itu aku dengan berbaju hitam berlogo PKR dengan selamba bersama Adil berjalan menuju ke pintu masuk Maju Junction. Pengawal Keselamatan yang bersenjata itu memerhati tepat ke arah aku. Aku dengan relax memberitahunya yang aku mahu masuk untuk makan sambil membuat isyarat untuk makan. Pengawal keselamatan tersebut langsung tidak menghalang aku dan aku terus masuk kedalam MajuJunction dan menghala ke restoran Karatong untuk berjumpa Jhon.

Aku duduk di dalam restoran tersebut dan terus memesan makanan. Dalam fikiran aku pada waktu itu, segala-galanya tentang demostrasi tersebut telah selesai. Sedang aku menunggu makanan yang dipesan, tiba-tiba seorang pekerja perempuan restoran karatong tersebut menjerit dengan memberitahu segerombolan polis dan FRU sedang mengempur Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Medan Tuanku.

Pada waktu itu Jalan Tuanku Abdul Rahman masih lagi ditutup dari lalu lintas. Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Tun Perak dan ke Dataran masih lagi penuh dengan polis bersenjata dan berperisai. Keadaan mereka dalam siap siaga dan akan bertindak bila -bila masa. Sesiapa juga yang menghampiri ke arah mereka akan ditangkap.

Ini menyebabkan mereka yang mahu bergerak ke Puduraya atau ke KTM untuk pulang terpaksa menangguhkan dahulu niat mereka. Maka mereka mengambil keputusan untuk berjalan – jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang mengandungi banyak kedai – kedai yang menarik dan menjamu selera di kedai mamak yang berhampiran serta ada juga yang mengambil kesempatan melepaskan lelah dengan duduk berehat sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Keadaan ini diambil kesempatan oleh polis dan FRU untuk menggempur mereka yang sedang berehat ini, barangkali polis mahu membalas dendam kerana perarakakan petang itu tetap juga berjaya walaupun mereka melakukan halangan yang begitu ketat. Atau mungkin juga mereka ada menerima arahan baru dari Najib yang bengang kerana sepanjang perarakan tadi kami melaungkan “Najib Altantuya” dan “Najib Pembunuh”.

Dari dalam Restoran Karatong Maju Junction aku dapat perhatikan polis dan FRU seakan dirasuk hantu dengan membantai orang ramai yang berada disekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Medan Tuanku. Aku bernasib baik kerana sudah terperangkap di dalam restoran tersebut, dan pihak pengurusan restoran tersebut tidak membenarkan siapa pun keluar atau masuk pada waktu itu. Jika aku berada di luar sudah pasti aku akan ditangkap kerana aku sudah tidak mampu untuk berlari kerana kaki aku yang sudah mahu cram.

Dari dinding kaca restoran Karatong aku dapat perhatikan bagaimana FRU menyembur air kimia ke dalam kedai Nasi Kandar dan kepada pelanggan yang sedang makan disitu. Motosikal terbalik terkena semburan air yang kuat. Aku juga dapat perhatikan seorang pemuda yang ditangkap oleh polis peronda kerana mengambil gambar, dengan jelas aku perhatikan polis membuka beg pemuda tersebut dan kameranya dirampas lantas dia terus dibawa masuk kedalam kereta polis dan ditahan.

Seorang pemuda yang cuba mengangkat sebuah motosikal yang terbalik diserbu oleh FRU dan ditangkap. Pemuda itu juga dibelasah dengan belantan oleh FRU. Orang ramai yang berada disitu berselerakan lari menyelamatkan diri. Seorang lelaki Cina terbaring diatas jalan dan tidak terdaya untuk bangun mungkin kerana terhidu terlalu banyak gas pemedih mata, selang beberapa saat selepas itu tubuh pemuda cina itu langsung ditenggelami oleh asap gas pemedih mata, kerana FRU menembak gas tersebut betul – betul hampir dengan dia.

Selepas itu bunyi siren ambulans datang dan aku percaya pasti sudah ada yang akan dimasukkan ke hospital. Apabila keadaan reda, orang mula datang kembali untuk melepaskan lelah setelah penat berlari, mereka duduk diatas tembok sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sememangnnya menjadi “port” lepak untuk warga kota pada hujung minggu. Tidak lama selepas itu, FRU datang kembali, kali ini dengan lebih ganas dan ala tentera Zionis membalas rakyat Palesten di Gaza.

Fru datang dengan senjata gas pemedih mata dan menembak gas pemedih mata tersebut ke arah badan manusia, bukan ke lantai. Ternampak saja orang awam FRU terus menghalakan bucu senjata mereka dan melepaskan gas pemedih mata kearah badan orang tersebut. Sekumpulan lain FRU mengejar orang ramai seperti tentera Zionis mengejar rakyat Palesten.

Hampir satu jam lebih keganasan dan kekejam oleh polis dan FRU itu berlaku. Jam pada waktu itu menunjukkan hampir 6.30 petang. Setelah keadaan dilihat reda, aku, Adil, Jhon dan awek dia keluar dari restoran Karatong di Maju junction tersebut. Kami meninjau kawasan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Medan Tuanku. Mata kami terasa pedih apabila berada diluar kesan daripada semburan gas pemedih mata yang melampau oleh FRU sebentar tadi. Jalan raya menjadi putih kesan dari simbahan air kimia.

Kami berjalan ke Maybank Medan Tuanku, aku ingin mengeluarkan wang. Selepas itu kami menyusuri tepi Jalan Sultan Ismail, kelihatan polis masih ramai di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail menghala ke Chow Kit. Kami terus pusing semula ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan menyusuri sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mencari kedai minum. Banyak kedai yang ditutup, akhirnya kami terjumpa sebuah kedai nasi kandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan terus kami masuk ke dalam untuk minum.

Dalam perjalanan tersebut aku menerima sms dari Cheng, dia bertanya lokasi akui dimana, aku memberi tahu lokasi aku pada dia dan bertanya tentang keadaan dia. Cheng memberi tahu dia sudah berada di Kl Central dan memberi dia terkena banyak gas pemedih mata.

Jam pada waktu itu sudah menunjukkan hampir 7.30 malam. Sebaik selesai minum, aku mengajak Adil dan Jhon untuk beredar,kerana aku mahu mengambil bas awal di puduraya. Kami pun beredar dari kedai tersebut, dan menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke persimpangan ke dataran merdeka. Jalan Tuanku Abdul Rahman masih lagi ditutup pada lalu lintas pada waktu itu.

Sepanjang berjalan kaki, kami sempat mengambil gambar sebagai kenangan. Memasuki Jalan Tun Perak untuk ke Puduraya, tidak lama lepas itu Jhon dan awek dia mengambil selekoh untuk ke Central Market bagi menaiki LRT Putra untuk pulang ke Cyeberjaya. Kami bersalam sebelum masing – masing meneruskan perjalanan.

Aku dan Adil terus berjalan kaki ke Puduraya. Setiba di Puduraya, aku terus mencari tiket bas dan aku bernasib kerana mendapat tiket bas yang akan bertolak pada jam 8 malam. Waktu pada ketika itu pun sekitar 7.50 minit malam dan aku tidak payah menunggu lama di puduraya untuk menaiki bas.

Sebaik bas tiba, aku dan Adil menaiki bas tersebut dan duduk dengan selesa diatas bas. Aku merasa puas kerana dapat terlibat dalam demostrasi tersebut dan bangga dengan diri aku sendiri. Di dalam bas tersebut juga, terdapat ramai peserta-peserta demostrasi yang ingin pulang ke Pulau Pinang.

Bas mula bergerak meninggalkan KL, Bas yang aku naiki tersebut melalui Jalan Kuching di tempat aku terkena semburan gas pemedih mata siang tadi, aku tersenyum melihat tempat tersebut (tempat jatuh lagi dikenang) dan memberi kepada Adil yang di jalan itu tadi kami ditembak dengan gas pemedih mata.

Dalam perjalanan ke Tol Jalan Duta, aku menghantar sms kepada Khaled dan bertanya kemana dia menghilang sewaktu perarakan siang tadi. Selepas itu Khaled terus menghubungi aku, dia memberitahu sebaik aku berlari untuk masuk kedalam crowd dia berpatah balik mengambil motosikal dan dia menaiki motosikal dalam perarakan tersebut. Dia turut berada di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut sewaktu acara penutup demostrasi tersebut. Dia sendiri melahirkan rasa puas dan bangga kerana dapat terlibat dalam demostrasi tersebut.

Hampir jam 2 pagi aku dan Adil sampai di hentian Juru dan tidak lama selepas itu Said datang menjemput kami. Dalam kotak fikiran aku pada waktu itu, aku masih terbayangkan detik -detik bersejarah yang aku lalui siang tadi.

Apa yang pasti, aku akan menjadi anak muda yang pertama untuk hadir jika ada lagi demostrasi untuk “suara rakyat” sebegini diadakan. LAWAN TETAP LAWAN!!!


Nota: tulisan ini adalah rakaman pengalaman penulis sendiri yang dipetik semula dari blog asal penulis iaitu http://suarasaktii.wordpress.com/2009/08/05/catatan-anak-muda-1-ogos-2009-mansuhkan-isa/

Tuesday, March 6, 2012

SUSAHNYA MENJADI ANAK MUDA

Oleh: Hishamuddin Rais a.k.a Tukar Tuib

Kalau saya dihadapkan dengan pertanyaan tentang apakah perkara yang susah dalam dunia ini, maka mungkin saya cuba senaraikan perkara seperti mencari penyelesaian perang di Iraq, menghapuskan bahaya senjata nuklear, menghadkan pencemaran udara atau memperbaiki kerosakan alam sekitar. 

Jawapan saya ini ada benarnya. Tetapi ada lagi satu perkara yang paling amat susah dalam dunia ini. Perkara ini adalah ibu kepada semua kesusahan dan kepayahan yang terkumpul dalam dunia ini. Perkara yang saya maksudkan ialah menjadi anak-anak muda Melayu di Malaysia. Mungkin warga negara luar tidak memahami apa yang saya maksudkan. Saya mengakui dan memahami kenapa orang luar akan menganggap pandangan saya ini tidak tepat. Malah warga Malaysia yang bukan Melayu juga tidak akan memahami sepenuhnya betapa susahnya untuk menjadi anak muda Melayu pada permulaan kurun ke 21 ini.

Jika saya mati dan kemudian diberi peluang untuk hidup sekali lagi; saya juga akan memilih sekali lagi untuk dilahirkan di Malaysia. Cuma kali ini saya tidak ingin menjadi anak muda. Saya ingin terus menerus menjadi kanak-kanak tanpa menjadi anak muda. Atau terus dilahirkan sebagai orang dewasa. Saya ingin melangkah zaman muda. Mungkin permintaan saya ini tidak akan dimakbulkan. 

Kalau hairan kenapa saya berkata sedemikian sila baca akhbar Melayu dari tabloid hingga ke akhbar arus perdana. Semua akhbar ini akan ada memberi laporan tentang masalah anak-anak muda Melayu. Anak muda Melayu ini sering menjadi induk berita. Ada yang memperkatakan anak muda Melayu lari dari Islam. Anak muda Melayu rosak akidah. Anak muda Melayu disesatkan oleh paderi. Anak muda Melayu minum holy water. Anak muda Melayu masuk agama Kristian.

Ada yang menulis tentang anak muda Melayu kurang hormat pada orang tua. Anak muda Melayu tidak berbudi bahasa. Ada yang membuktikan bahawa anak muda Melayu tidak pandai berterima kasih. Anak muda Melayu meninggalkan budaya Melayu. Anak muda Melayu tidak tahu lagi adat istiadat Melayu.

Kemudian diberikan bukti statistik bahawa anak muda Melayu paling ramai tersimpan dalam pusat serenti. Anak muda Melayu paling ramai sebagai kaki lepak. Anak muda Melayu paling ramai tidak pandai dalam ilmu sains dan matematik. Anak muda Melayu tidak cekap dalam Bahasa Inggeris. Anak muda Melayu banyak jadi Mak Nyah dan gay. Anak muda Melayu menjadi bohjan dan bohsia. Anak muda Melayu paling senang dipengaruh oleh Barat. Anak muda Melayu suka menjadi punk. Anak muda Melayu suka menjadi skinhead. Anak muda Melayu senang dipengaruhi oleh muzik heavy metal. 

Untuk mensahihkan berita yang dilaporkan ini, maka para pengamal media akan menemubual seorang profesor kangkong dari Universiti Sintok yang bertali leher tebal untuk memberikan pandangan tentang anak muda Melayu. Profesor kangkong ini akan berteori untuk mengatakan bahawa semua ini adalah gejala sosial yang puncanya dibawa oleh Barat. Ini akan disambut pula oleh seorang lagi profesor dari Universiti Institute Politeknik Teknologi Multimedia cawangan Manjung. Profesor ini yang tidak kurang juga kangkongnya akan memberi pandangan bahawa anak-anak muda Melayu ini akan menjadi warga yang berguna jika mereka digalakkan bertutur dalam bahasa Inggeris dan menggunakan tulisan jawi.

Pandangan cendiakawan Melayu ini akan disambut pula oleh para 'alim ulama' yang akan mengeluarkan fatwa-fatwi. Untuk kumpulan 'ulama' ini semua gejala sosial ini amat senang diselesaikan. Kuncinya ialah haram. Maka Sure Heboh wajib diharamkan, haramkan konsert muzik rock , haramkan vcd, haramkam pusat karaoke, haramkan percampuran lelaki dengan perempuan. Haramkan muzik yang bertali seperti gitar dan violin. Haramkan sambutan hari Valentine. Haramkan ini dan haramkan itu. Khalas. Bila semua telah haram, maka anak-anak muda Melayu akan bijak, bersopan santun dan fasih berbahasa Inggeris untuk mengikuti kuliah sains dan matematik.

Tidak cukup dengan fatwa dan fatwi ini, anak-anak muda Melayu akan menghadapi pelbagai jenis larangan pula. Ada negeri mencadangkan untuk melarang anak muda keluar malam. Ada larangan menghalang mereka duduk berdua-duaan di dalam taman. Mereka dilarang memakai seluar jeans. Ada larangan mewarnakan rambut mereka. Mereka dilarang dari menindik telinga atau hidung. Ada larangan mereka dari memasuki premis itu dan ini.

Hah! Berdarah kepala otak anak-anak muda Melayu apabila semua ini dihempapkan ke ubun mereka. Setiap hari mereka menerima kutukan. Setiap hari mereka dipersalahkan. Jika mereka tidak lulus belajar mereka dikatakan malas. Jika mereka berijazah tetapi tidak mendapat pekerjaan, mereka dituduh terlalu memilih kerja. Jika mereka bekerja, mereka akan dituduh tidak professional dan selalu curi tulang.

Saya perhatikan seolah-olah semua masalah dalam negara ini berpunca dari anak-anak muda. Anak-anak muda terutama anak muda Melayu adalah pembawa virus yang paling merbahaya ke atas negara ini. Apabila kutukan dan sumpah seranah ke atas anak-anak muda ini mula dilihat oleh awam sebagai satu yang betul maka hari ini anak-anak muda diwajibkan pula untuk memasuki Khidmat Negara. Ini dilihat sebagai satu lagi jalan pintas untuk memperbaiki akhlak anak-anak muda.

Nanti sebentar! Cuba kita buka mata dan amati apa yang sedang berlaku sekarang. Amat jelas bahawa ruang untuk anak muda untuk melayari kemudaan mereka makin disempitkan. Zaman muda untuk meneroka potensi dan semua kemungkinan dalam hidup muda ini semakin dihalang. Anak-anak muda Melayu ini ingin dituakan sebelum mereka tua.

Memang banyak persatuan belia yang wujud dalam negara ini. Hebat bunyi dan amat gah namanya. Tetapi lihat pula barisan pemimpin anak-anak muda dan belia ini - semuantya 'oldtai'. Semuanya telah kotai dan tua bangka. Ada pemimpin belia yang telah bercucu-cicit. Ada yang botak dan tidak ada sehelai rambut pun di kepala tetapi masih ada nafsu untuk memimpin anak muda dan belia. Ada yang datang ke mesyuarat dengan memakai tongkat. Mungkin tidak lama lagi akan ada pemimpin belia yang datang ke mesyuarat dengan kerusi roda! 

Dalam universiti - gelanggang ilmu anak muda – seribu satu macam larangan telah diwartakan. Bayangkan ada pula universiti yang mewajibkan para pelajarnya memakai baju lengan panjang dan tali leher. Ada yang mewajibkan memakai baju batik dan mengharamkan baju T. Kenapa perkara ini berlaku dan apa logiknya, masih menjadi satu persoalan besar untuk kurun ini. Mungkin jika anak muda ini memakai tali leher apabila mendengar kuliah maka otak mereka akan cepat menerkam apa sahaja yang diluahkan oleh para profesor kangkong. Tiba-tiba tali leher dan baju batik dilihat sebagai alat penting penerima ilmu.

Saya merasa sedih kerana setiap hari yang mati bergelempangan di jalan-jalan raya adalah anak-anak muda yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya. Setiap tahun hampir 30 ribu yang mati di jalan raya - majoritinya ialah anak-anak muda Melayu. Tidak ada pula sesiapa pun yang berani menyalahkan Orang Tua yang membuat dasar pengangkutan. Atau menyalahkan Orang Tua yang menjual motorsikal kepada anak-anak muda. Tidak ada pula alim ulama yang mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan motosikal. Langsung tidak kedengaran teori dan pandangan profesor kangkong tentang dasar pengangkutan yang terbaik untuk orang ramai. Yang untung menjual motor ialah Orang Tua. Yang mati di jalan raya ialah anak-anak muda. 

Sabar dahulu, fikir sajenak - sebenarnya memang susah untuk menjadi anak muda di Malaysia ini terutama kalau anak muda Melayu. Bila sudah mati pun anak-anak muda ini akan dipersalahkan. Tuduhan terus sampai. Mereka menerima maut kerana mereka ganas memandu. Mereka dilanggar mati kerana tidak ada lesen. Tidak ada road tax. Mereka dituduh sebagai Mat Rempit pelumba haram. 

Meleleh otak ke kaki jika menjadi anak muda di Malaysia. Yang Tua-tua bangka, oldtai ini baik sangat ke?

Nota: Batang kangkong kelihatan tegap segar tetapi kosong di dalamnya dan amat senang dipatahkan.

Monday, March 5, 2012

Untuk Pencerahan Anak Muda Tentang Reformasi 1998

Untuk anak muda yang kurang jelas, kurang faham dan kurang tahu apa itu Reformasi 1998, dalam video ini boleh terdapat jawapannya. Untuk anak muda yang ingin mengetahui mengapa berlaku perubahan dalam lanskap politik Malaysia, perubahan dalam sosio politik Malaysia hingga membawa kepada tsunami politik 2008 di dalam video ini terdapat pencerahannya. Reformasi 1998 inilah yang telah menarik minat dan semangat anak muda untuk terlibat aktif dalam politik dalam pelbagai rupa hingga ke hari ini. Jika sebelum era 1998, politik hanya dianggap kerja orang tua tetapi selepas era 1998 menyaksikan politik tanah air telah menarik minat dan semangat anak muda untuk terus bangkit menuntut keadilan dan perubahan. Kerana dunia ini akhirnya milik anak muda.

Konvensyen Media Sosial Pulau Pinang 2012


Orang Pulau Pinang, orang utara sila daftar segera untuk menghadiri "Konvensyen Media Sosial Pulau Pinang 2012" cara mendaftar sila rujuk kepada gambar di atas.

Saturday, March 3, 2012

BN Masih Belum Putus Asa Dengan Pulau Pinang - Shahrizat

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) masih belum putus asa malah sedang giat berusaha merangka strategi untuk merampas semula Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini, kata Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Katanya Jentera Pilihan Raya Wanita BN kini dalam mod menyerang untuk meraih sokongan pengundi wanita yang berjumlah 51.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di negeri itu yang ditadbir oleh pembangkang.

Katanya kekuatan jentera pilihan raya Wanita BN adalah di peringkat akar umbi dan kini mereka tetapi teguh untuk menghadapi segala cabaran bagi memastikan PRU ke-13 milik BN.

"Pembangkang kini terdesak dan akan melakukan apa saja untuk melemahkan kita, tapi wanita harus tetap teguh menghadapi segala cabaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pemantapan jentera pilihan raya (Jalinan Rakyat) Wanita BN Pulau Pinang di Kompleks Tabung Haji di sini, Sabtu.

Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata semua ahli wanita BN kini memainkan peranan kritikal untuk memastikan kemenangan BN pada PRU ke-13. - BERNAMA