Tuesday, May 1, 2012

Pengalaman Bersih 3.0 (28 April 2012) Part 1

Semboyan Bersih 3.0

Bermulanya semboyan Bersih 3.0 ditiupkan aku sudah menyatakan persediaan untuk menyertainya. Ini kerana dalam catatan aku dalam Bersih 2.0 http://mohdzamirul.blogspot.com/2011/07/catatan-lengkap-bersih-20-dari-anak.html aku sendiri menyatakan begitu berbangga kerana terlibat dalam membentuk sejarah. Namum kali ini notis yang dikeluarkan untuk diadakan perhimpuan Bersih 3.0 terlalu singkat iaitu tidak sampai 1 bulan. Aku segera menyusun strategi dan berbincang dengan Adil tentang kaedah apa yang perlu kami gunakan kali ini untuk ke Kuala Lumpur bagi menyertai Bersih 3.0. Setelah berbincang dan persetujuan dicapai yang kami akan pergi dengan menaikki kereta seramai 5 orang iaitu aku, Adil, Achen, Izmair dan Faqar. Tapi pergi dengan kereta apa dan siapa belum diputuskan.

Aku telah memohon cuti dua hari iaitu 27 dan 28 April dua minggu awal sebelum aku bertolak ke Kuala Lumpur. Semua staf - staf di tempat kerja aku merasa pelik bila aku memohon cuti kerana aku jarang mengambil cuti tahunan yang masih berbaki 12 hari. Ada juga staf yang mula syak yang aku akan pergi ke perhimpunan Bersih 3.0 kerana aku tiba - tiba memohon cuti pada tarikh tersebut.


Bertolak ke Kuala Lumpur

26 April 2012 pulang sahaja dari kerja aku seperti biasa akan mengumpul maklumat secukupnya berkenaan perkembangan perjalanan Bersih 3.0. Aku berehat sekejap dan selepas maghrib aku terus bersiap -siap barangan dan pakaian yang perlu aku bawa. Kali ini mungkin aku akan berada di Kuala Lumpur selama 3 hari. Selepas bersalaman dengan kedua  ibu dan ayah aku, aku terus keluar dari rumah dan memandu kereta ke rumah Adil. Lama aku menunggu Adil untuk dia bersiap, sekitar 9.30 malam baru aku dan Adil bergerak dari rumahnya ke rumah Faqar di Kebun Sireh. Kami pergi ke rumah Achen sekitar pukul 11.30 malam dan sekitar jam 12 tengah malam kami berlima mula bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaikki Satria Neo aku. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana Faqar, Achen dan Izmair berhimpit duduk di kusyen belakang kereta aku yang sempit itu.

Selepas mengisi minyak, sekitar jam 1 pagi kami mula memasuki lebuhraya utara selatan melalui plaza tol bukit tambun. Jalan yang agak lengang memudahkan perjalanan kami, aku yang memandu terus memecut dengan kelajuan yang berpatutan. Kami singgah sebentar di hentian rehat Tapah sekitar jam 3 pagi. Lebih kurang 45minit dihentian Tapah kami meneruskan semula perjalanan. 


Tiba di Kuala Lumpur dan Kumpulan Mahasiswa

Sejam lebih selepas itu kami mula tiba di plaza tol Jalan Duta Kuala Lumpur. Sebaik melepasi plaza tol Jalan Duta kami terus meluncur ke Dataran Merdeka bagi bertemu rakan - rakan dan anak - anak muda mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka sejak 14 April 2012 lagi. 

Sebaik tiba di dataran merdeka, kami melihat kumpulan mahasiswa dan beberapa aktivis sosial sedang berkumpul di bawah pokok bersebelahan bangunan sultan abdul samad berhadapan dengan padang dataran merdeka. Kami dimaklumkan oleh kumpulan mahasiswa tersebut yang mereka baru sahaja dihalau oleh pasukan DBKL dan ada diantara mereka dikasari oleh anggota DBKL dan khemah - khemah mereka dirampas. Pada malam itu mereka semua tidur beratapkan langit dan berhiaskan bintang. 

Pada waktu itu juga aku dapat memerhatikan kerja - kerja memagari padang dataran merdeka dengan lapisan sedang giat dilakukan oleh anggota DBKL. Tidak kelihatan anggota polis pada berada di sekitar dataran pada waktu itu. Jam pada waktu sekitar 5.30 pagi, dan maklumat telah tersebar yang mengatakan tepat jam 6 pagi 27 April 2012 dataran merdeka akan ditutup terus dari orang awam.
Sekitar jam 5.45 pagi kami bergerak menuju ke Masjid Negara untuk menunaikan solat subuh dan berehat sebentar bagi menghilangkan penat. Sebaik memasuki masjis negara, aku melihat disatu sudut dalam masjid negara bersebelahan kolam, di kawasan itulah aku menunaikan solat hajat sambil dikepong polis sewaktu perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2012 yang lalu.


Berehat di Masjid Negara

Selesai solat subuh, kami mencari tempat disekitar kawasan legar masjid negara untuk berehat. Kami memilih tempat yang mempunyai suis kerana masing - masing mahu mengecas laptop dan handfon agar kami tidak terputus maklumat. Tetapi malangnya banyak suis yang terdapat di masjid negara tersebut tidak boleh digunakan. Hanya 2,3 suis sahaja yang boleh berfungsi. Battery handfon aku pada waktu itu kehabisan terus dan tidak boleh dihidupkan lagi. Ini menyebabkan aku tidak dapat mengekses maklumat dan update status facebook aku.

Sekitar jam 7 pagi aku hanya memilih untuk tidur di satu sudut di masjid negara dengan beralaskan beg galas aku. Namum tidur aku tidak begitu lena, aku hanya mampu tidur - tidur ayam sahaja walaupun badan aku agak terasa penat kesan dari memandu dari Penang ke Kuala Lumpur. Sekitar jam 8 pagi kelas agama untuk kanak - kanak telas bermula di tingkat bawah masjid negara. Suara kuat kanak - kanak itu menjerit dan belajar mengaji membuatkan aku bertambah sukar untuk tidur.


Kembali semula ke Dataran Merdeka

Sekitar jam 10 lebih pagi kami semua mula bersiap untuk meninggalkan masjid negara dan pergi untuk bersarapan. Namum tidak berapa lama selepas itu Faqar mendapat panggilan dari salah seorang rakannya yang memaklumkan kumpulan anak muda mahasiswa masih lagi berkumpul di tempat semalam di dataran merdeka. Kami membatalkan niat untuk bersarapan dan memandu ke dataran merdeka semula. 

Setiba di dataran merdeka kami memerhatikan jumlah mahasiswa dan aktivis yang berada di situ sekitar 20 orang. Sekumpulan polis dan cawangan khas SB memerhatikan dari jauh kumpulan mahasiswa tersebut. Kami berbual dengan beberapa mahasiswa dan berlegar - legar sekitar tepi dataran tersebut. Selang beberapa lama kami dan beberapa pemimpin mahasiswa berjalan untuk ke arah Jalan Tun Perak bagi mencari kedai untuk sarapan pagi. Kami memilih untuk bersarapan di sebuah kedai mamak di Jalan Tun Perak. Aku bersarapan dengan sebungkus nasi lemak bersama teh O ais dan air suam. Sambil sarapan kami berbual dan berbincang tentang perancangan kumpulan mahasiswa untuk merampas semula datara merdeka yang telah dikepong dan dipagari oleh DBKL. 

Faqar yang juga merupakan bekas pemimpin mahasiswa universiti malaya mencadangkan beberapa program untuk dilakukan pada malam hari tersebut bagi menakluki semula dataran merdeka. Jelas mahasiswa - mahasiswa tersebut bersemangat walaupun hampir dua minggu mereka berkhemah dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Selesai sarapan kami kembali semula ke tempat mahasiswa tadi berkumpul di Dataran Merdeka. Setiba di tempat kumpulan mahasiswa tadi berkumpul, aku melihat semua mahasiswa tersebut berkumpul dalam satu kumpulan. Aku menghampiri kumpulan tersebut dan melihat satu sidang media sedang dilakukan oleh seorang aktivis muda iaitu Fahmi Rezza. Ramai wartawan dan blogger datang mendapatkan maklumat dari sidang media tersebut. Polis cawangan khas juga berada dalam kumpulan tersebut mungkin untuk mendapatkan maklumat atau mengambil beberapa statement Fahmi Rezza dalam sidang media tersebut untuk dijadikan bukti. Fahmi Rezza memberikan sidang media tersebut dalam bahasa inggeris dan aku melihat polis cawangan khas tersebut terkebil - kebil kerana mungkin tidak faham bahasa Inggeris.

Sekitar jam 11 lebih pagi kami masih berada di sekitar kawasan dataran tersebut. Faqar sibuk update maklumat terbaru kedalam website http://penanginsight.com/ (Faqar editor website tersebut). Aku sudah keletihan dan mengantuk. Ini kerana aku tidak dapat tidur yang cukup sejak dari semalam. Terdapat beberapa anggota polis yang berada 30 meter dari kumpulan mahasiswa tersebut sibuk mengambil gambar gambar kami yang berada disitu.


Gerombolan Polis Tiba

Selang tidak berapa lama selepas itu kedengaran siren polis dari arah Jalan Tunku Abdul Rahman menuju ke arah dataran merdeka. Tidak lama selepas itu aku melihat tiga buah bas polis membawa penuh anggota polis didalamnya masuk ke jalan dataran merdeka. Ketiga - tiga bas tersebut berhenti dihadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Tidak lama selepas itu gerombolan polis yang aku percaya mereka ini adalah polis pelatih dari pusat latihan polis pulapol turun dari bas dan berkumpul di satu kawasan lapang di hadapan bangunan sultan abdul samad. 

Mereka berada dalam baberapa barisan dan sedang menerima taklimat dari pegawai mereka. Aku sudah biasa melihat situasi ini yang mana bila selesai sahaja taklimat tersebut, kumpulan polis ini akan terus menerpa umpama dilepaskan dari kandang dan menyerbu dan menangkap sesiapa sahaja yang menjadi sasaran mereka. 

Melihat keadaan yang bakal menjadi tegang, aku mengajak Adil dan rakan aku yang lain beredar dari situ. Jam pada waktu itu sekitar hampir 12 tgh hari. Kami memandu kereta ke Medan Tuanku untuk parking kereta dan selepas itu kami mengambil monorail untuk ke Lowyat untuk membeli I-Pad bagi kegunaan Adil dan Faqar untuk update maklumat.


Ke Hotel Legend PWTC

Wan Ji seorang ulama muda membawa kami dari Lowyat ke Medan Tunku untuk mengambil kereta. Dari sana dia memimpin kami untuk ke hotel Legend kerana kami kurang mahir untuk kesana. Dalam perjalanan itu kami sempat berjumpa YB Salehuddin Ayob yang turut menumpang kereta Wanji untuk ke Kuala Lumpur.

Sebenarnya untuk bermalam di Kuala Lumpur tempat penginapan telah tersedia untuk kami. YB Mujahid Rawa telah menyediakan sebuah bilik hotel di Hotel Legend untuk kami dan beberapa lagi ahli-ahli masjlis MPSP dan pemimpin parti PAS yang bakal datang dari Penang. Kami mendapat penginapan yang agak selesa untuk malam tersebut. 

Selang beberapa lama selepas itu beberapa pemimpin Pas dan ahli - ahli majlis MPSP tiba. Kami lepak bersama dalam bilik hotel dan berbual - bual. Seorang blogger terkenal "Topeng Perak" juga tinggal bersama kami dalam di hotel Legend tersebut. Selepas mandi aku cas handfon dan updatekan maklumat - maklumat terkini ke blog dan facebook aku. Aku benar - benar rasa janggal bila terputus hubungan dengan internet dan handfon.

Nasi braini ayam yang aku tapau berhampiran lowyat tadi aku jamah dengan begitu berselera ini kerana aku belum makan tengahari pada hari tersebut. Jam pada waktu itu pun sudah hampir 6.30 petang.

Aku hanya memilih untuk berehat didalam bilik hotel dan enggan kemana - mana kerana aku perlu mengumpulkan tenaga yang banyak untuk perhimpunan esok hari. Aku tahu jika badan kita tidak bersedia dan tenaga kurang sudah pasti kita akan menghadapi masalah pada perhimpunan esok.

Walaupun ramai pihak mengatakan perhimpunan yang bakal berlangsung keesokan itu nanti merupakan lebih terkawal dan tidak seganas perhimpunan - perhimpunan besar sebelum ini, tetapi bagi aku ianya tidak semudah yang dikatakan. Aku dapat merasakan yang perhimpunan tersebut nanti juga akan ganas atau lebih ganas.


Bermalam di Hotel Legend

Pada malam tersebut, kami mendapat maklumat orang ramai sekitar 3 ke 4 ribu orang telah berkumpul di dataran merdeka yang telah dipagari dengan kawat berduri. Semua kawan - kawan yang sebilik hotel dengan aku pergi ke dataran merdeka pada malam itu untuk menyertai orang ramai tersebut. Jumlah orang ramai tersebut terdiri dari mereka yang datang awal ke Kuala Lumpur bagi menyertai perhimpunan Bersih 3.0 keesokannya. 

Aku tidak pergi ke dataran merdeka pada malam itu, ini kerana aku perlukan tidur yang cukup kerana aku sudah lebih dari satu hari tidak tidur. Aku juga meminum air kosong dengan banyak 2,3 hari sebelum perhimpunan tersebut bagi mengelakkan dari kekejangan otot kaki sewaktu perhimpuann Bersih 3.0 nanti.

Aku terlelap disofa diruang tamu hotel tersebut. Hanya aku seorang berada dalam bilik hotel pada waktu itu. Yang lain semuanya telah pergi ke dataran merdeka dan ada yang pergi ke taman melewar kerana terdapat ceramah politik dari pemimpin - pemimpin utama pakatan rakyat.

Aku terus terlelap tidak sedarkan diri dan keesokannya aku perlu bersedia untuk perhimpunan ibu segala demostrasi Bersih 3.0.

bersambung part 2....

klik link dibawah untuk ke Part 2
http://mohdzamirul.blogspot.com/2012/05/pengalaman-bersih-30-28-april-2012-part_03.html

No comments: