Hujung minggu aku sama ja seperti hari-hari biasa. Bangun tido, makan, tengok tv pastu online. Memang bosan dan bosan itu adalah seni dan seni itu indah. Rasa bosan itu juga merupakan nikmat atau suatu perasaan yang dikurniakan oleh maha percipta kepada setiap makhluk. Aku rasa bukan manusia saja yang pernah dan akan mengalami perasaan bosan, malahan binatang juga mungkin pernah mengalaminya.
"Bosan" boleh dikategorikan sebagai satu perasaan atau situasi sunyi atau situasi bilamana sesorang itu tidak tahu hendak berbuat apa-apa atau tidak ada sebarang aktiviti yang menarik baginya. Mungkin seseorang itu ada mempunyai sesuatu aktiviti tetapi aktiviti itu sudah tidak menarik atau sering kali dilakukan dan melahirkan perasaan "bosan" terhadap aktiviti itu.
"Bosan" juga bukan sahaja boleh berlaku pada sesuatu aktiviti atau sesuatu situasi. Tetapi "bosan" juga boleh berlaku kepada diri sendiri, bosan dengan pasangan, bosan dengan kawan-kawan, bosan dengan pekerjaan, bosan dengan majikan, bosan dengan kereta yang ada, bosan dengan subjek pelajaran dan pelbagai lagi perasaan "bosan" ini boleh meresapi ke dalam diri kita. Selalunya kebosanan ini boleh melahirkan tekanan atau "stress".
Pelbagai langkah dan cara cuba dilakukan oleh setiap manusia untuk mengatasi rasa bosan. Dan adakalanya mereka berjaya dan ada juga yang tidak berjaya untuk mengatasinya. Seseorang itu boleh dikatakan berjaya mengatasi rasa bosannya jika dia berjaya menjumpai aktiviti atau sesuatu perkara yang boleh mengembirakan dirinya. Seseorang yang bosan pada hujung minggu dan tidak tahu berbuat apa-apa mungkin berjaya mengatasi rasa bosannya apabila dia menjumpai sesuatu aktiviti yang menarik untuk dia lakukan. Contohnya seperti bersukan, memancing, keluar membeli belah. Atau seseorang yang bosan dengan kereta yang dipakai dia sekarang berjaya mengatasi rasa bosanya jika dia berjaya membeli kereta yang baru. Begitu juga bagi mereka yang berjaya mendapat pasangan baru dan mungkin rasa bosan dalam hubungan dengan pasangan lama akan hilang.
Namun tidak semua orang berjaya dalam cubaan untuk mengatasi rasa bosan dalam hidupnya. Mungkin seseorang itu begitu bosan dengan pekerjaan dia sekarang tetapi dia tidak mampu untuk menukar ke pekerjaan baru diatas beberapa faktor seperti tawaran gaji yang lebih rendah atau jarak tempat kerja yang jauh, maka mahu tidak mahu dia terpaksa melayani kebosanan bekerja ditempat kerja yang sedia ada. Seseorang juga mungkin sudah bosan dengan kereta yang dipakai dia sekarang tetapi tidak mampu menukar ke kereta baru mungkin disebabkan kewangan yang tidak mencukupi.
Aku juga sebenarnya tengah mengalami apa yang sedang aku bicarakan ini iaitu "kebosanan". Lalu menulis di blog ini aku rasakan sebagai mampu untuk mengatasi rasa bosan yang sedang melanda diri aku ini. Tetapi aku sendiri tidak pasti adakah dengan cara ini mampu mengatasi rasa bosan dalam diri aku ini. Sebab itu aku katakan kebosanan itu adalah satu seni dan seni itu adalah indah. Dan jika ada dari anda yang tidak membaca penulisan aku ini hingga habis atau membaca dengan rasa "tidak best" itu bermakna anda juga sedang dirundung kebosanan dan aku berjaya menjerumuskan anda ke kancah kebosanan yang penuh seni ini.
Peace No War
1 comment:
Post a Comment