Thursday, March 27, 2014

Antara Rakyat, Kerajaan dan Negara



Hari ini walaupun sudah hampir 57 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan namum rakyat negara kita malahan pemimpin-pemimpin dalam negara kita juga dilihat masih lagi tidak mampu untuk melihat dan membezakan antara rakyat, kerajaan dan negara. Kesukaran memahami dan membezakan ketiga-tiga perkara inilah yang menyebabkan salah faham dan krisis terhadap sistem kenegaraan kita hari ini. Maka tidak hairanlah pada hari ini, rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan atau melawan tindakan kerajaan akan digelar dan dituduh sebagai pengkhainat negara dan dengan tuduhan-tuduhan yang mahu merosakan negara dan sebagainya. Juga pemimpin yang terus membolot dan menggunakan harta negara kerana beranggapan bahawa dia adalah kerajaan dan rakyat terus merayu dan meminta kerana beranggapan bahawa rakyat adalah hamba yang perlu menurut perintah.


Sebenarnya semua tanggapan ini adalah salah sama sekali. Rakyat, kerajaan dan negara perlu dilihat dan dinilai dalam waktu yang sama tetapi pada tempat yang berbeza. Apa yang ingin penulisan ini sampaikan dan mahu memberi pencerahan kepada pembaca bahawa dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia, “rakyat” itu merupakan “tuan” atau boss kepada negara. Jika rakyat adalah tuan, boss atau tauke dalam sebuah negara, bagaimana pula dengan kerajaan? Bukankah kerajaan itu merupakan pemerintah?. Jawapannya adalah ya, memang kerajaan itu merupakan pihak yang memerintah tetapi ini bukan bermaksud mereka adalah tuan yang mutlak. Kerajaan dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia adalah seperti “pengurus” yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja mengurus. Kerajaan bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja menguruskan negara. Untuk siapa kerajaan ini menguruskan negara?. Jawapannya kerajaan menguruskan negara ini untuk rakyat.


Jadi setakat ini adakah pembaca yang budiman dapat melihat garis pemisah antara rakyat, kerajaan dan negara. Jika masih kurang jelas biar saya jelaskan dalam bentuk perbandingan. Mari saya membawa pemikiran pembaca kepada sebuah organisasi syarikat. Didalam sesebuah syarikat mesti terdapat majikan dan pekerja(pengurus). Dalam contoh ini, “syarikat” itu tadi boleh diumpamakan sebagai “negara” manakala “majikan” pula boleh diumpamakan sebagai “rakyat” dan “pengurus” boleh diumpamakan sebagai “kerajaan”. Kenapa saya mengatakan begitu? Mari kita lihat perenggan seterusnya.

Sumber: http://www.malaysia-today.net/protests-reflect-vibrant-democracy-pm/
Dalam sebuah syarikat, siapa yang melantik pengurus? Jawapannya sudah tentu majikan. Bagaimana pengurus ini dilantik? Jawapannya sewaktu sesi temuduga dan si pengurus tadi mengemukakan permohonan untuk mengisi jawatan sebagai pengurus. Dalam sistem negara kita siapa yang melantik kerajaan? Maka jawapannya adalah rakyat. Bila rakyat melantik kerajaan? Jawapannya ialah sewaktu pilihanraya bilamana parti-parti politik tertentu menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihanraya dan mahu dilantik untuk mengisi kekosongan sebagai kerajaan setelah parlimen dibubarkan. Tujuan apa majikan melantik pengurus? Sudah tentu untuk mengarahkannya menguruskan kerja-kerja syarikat. Dan kenapa rakyat melantik kerajaan? Tujuannya adalah untuk menguruskan negara. Jadi dalam sebuah syarikat siapa yang mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat seseorang pengurus? Jawapannya sudah tentu majikan. Juga dalam sistem negara kita, siapa yang mempunyai kuasa untuk melantik dan menukar kerajaan? Jawapannya sudah tentu rakyat. Maka adakah tidak tepat jika dikatakan rakyat itu adalah tuan,boss atau tauke dan kerajaan itu adalah pengurus, pekerja atau dengan kata lain kuli dalam sistem kenegaraan ini. 


Dalam sesebuah syarikat jika seoarang pengurus itu tidak pandai melaksanakan kerja dan tugas yang diamanahkan kepadanya apakah tindakan yang selalu diambil oleh majikan. Jika seorang pengurus itu tidak amanah, selalui mencuri duit syarikat, menyalahgunakan harta syarikat untuk kepentingan peribadi adakah pengurus ini patut diberi pujian dan dinaikkan pangkat. Jika seorang pengurus menyebabkan kuailiti produk keluaran syarikatnya merosot dan menyebabkan syarikat kerugian hampir setiap tahun adakah majikan mahu menyimpan lagi pengurus yang sebegini. Dapatkah pembaca yang budiman bayangkan apa yang akan terjadi kepada syarikat tersebut jika pengurus yang sebegitu terus dikekalkan untuk mengurus syarikat tersebut. Sudah pasti syarikat tersebut akan bangkrap dan majikan akan kehilangan perniagaannya serta hidup dalam keadaan merana. Adakah jika majikan memarahi pengurus yang tidak bertanggungjawab tersebut maka majikan tersebut akan digelar tidak bersyukur. Adakah jika majikan memecat pengurus tersebut maka majikan akan digelar sebagai pengkhainat syarikat  dan tidak setia dan tidak sayangkan syarikat. 


Manusia yang berfikiran waras pasti akan melihat tindakan majikan memarahi atau mungkin memecat penguruskan tersebut kerana majikan tersebut sayangkan kepada syarikatnya. Majikan tersebut tidak mahu syarikat mengalami kerugian setiap tahun yang mana kerugian tersebut akan ditanggung oleh majikan itu sendiri dan majikan tidak mahu syarikat tersebut bangkrap dan terpaksa ditutup. Maka berdosakah tindakan majikan yang mengambil tindakan terhadap pengurus tersebut.


Berbalik kepada sistem kenegaraan kita, kita mengatakan tadi yang rakyat itu adalah majikan, kerajaan itu adalah pengurus dan syarikat itu adalah negara. Jika sebuah kerajaan itu tidak pandai melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat, mengapakah rakyat pula yang dipersalahkan jika mereka memarahi kerajaan hingga ada yang menggelar mereka sebagai pengkhainat atau tidak tahu bersyukur. Apa perlu kita bersyukur apabila melihat pihak kerajaan yang sedang rakus merosakkan negara. Sebagai rakyat jika terus berdiam diri ini bermaksud rakyat tadi mahukan negaranya musnah atau bangkrap yang mana pihak yang akan menanggung beban daripada kemusnahan itu tadi adalah rakyat. 


Harus diingat, tindakan majikan yang memarahi atau memecat pengurusnya tadi, kerana dia mahu menyelamatkan syarikatnya. Begitu juga dengan rakyat yang menentang kerajaan dan mengkritik kerajaan atau menukar kerajaan adalah kerana rakyat tadi mahu menyelamatkan negaranya dan tidak mahu negaranya musnah. Kesetiaan, ketaatan dan sumpah setia yang tidak berbelah bagi setiap rakyat tanpa mengira apa bangsa dan agama adalah kepada negara dan bukannya kepada kerajaan. Kerajaan sifatnya boleh berubah dan bertukar ganti tetapi negara sifatnya kekal. Yang perlu dipertahankan bermati-matian adalah negara dan bukannya kerajaan. Jadi jika sudah jelas dan terang kelihatan sesebuah kerajaan itu sedang merosakkan negara maka amatlah wajar untuk kita tetang kerana kita semua cintakan kepada negara Malaysia ini.-TTK-

Pencerahan: TTK adalah bermaksud Teh Tarik Komtar. Ini bermaksud aktikel ini adalah hasil penulisan sendiri oleh admin blog Teh Tarik Komtar.

No comments: