Tarikh 02 Sept dalam kalender Masihi ini muncul lagi. Tarikh ini pada 15 tahun lalu telah membawa makna yang besar pada landskap politik Malaysia moden atau separa moden pada hari ini. Aku memasukkan perkataan "moden" kerana sebelum tarikh ini survival politik Malaysia hanya ketara antara golongan agama dari Parti Islam SeMalaysia PAS, politik Cina dari DAP dan kelas menengah Melayu dari Umno. Tetapi selepas tarikh ini ianya telah memecahkan semuanya dan membentuk satu survival politik baru yang bukan semata - mata ditandai oleh agama atau kaum. 15 tahun lalu, selepas tarikh 2 Sept ini politik Malaysia telah lebih berkisar kepada dasar - dasar kerajaan, hak, keadilan dan suara rakyat. Apa sebenarnya tarikh 2 Sept ini.
15 tahun lalu iaitu pada 2 September 1998 telah berlaku satu peristiwa yang mengemparkan bukan sahaja Malaysia malahan Asia dan Dunia. Pada tarikh ini seorang Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga Menteri Kewangan telah dicepat dari jawatan dan kedudukan beliau. Siri pemecetan ini disusuli dengan penderaan fizikal dan mental yang terus menerus dilakukan hingga hari ini. Individu tersebut adalah Dato Seri Anwar Ibrahim. Penulisan ini tidak mahu membicara panjang berkenaan susuk Anwar Ibrahim tetapi pada tarikh 2 September 1998 inilah Anwar Ibrahim dipecat dan diaibkan dengan segala bentuk, dan dari peristiwa inilah yang membawa kepada perubahan survival politik Malaysia baru.
Jika sebelum tarikh ini gerakan pembangkang untuk orang Melayu hanya dipelopori oleh PAS. PAS iaitu parti yang berteraskan agama iaitu agama Islam. Banyak ustaz, ustazah dan lebai dalam parti ini yang tidak putus - putus sejak 1951 melancarkan serangan kepada Umno/Barisan Nasional bersandarkan isu - isu agama. Golongan muda Melayu pada ketika itu yang mana mereka ini berpendidikan tinggi dan moden, walaupun banyak isu dan perkara yang mereka sendiri tidak berpuashati dengan pemerintahan Umno/Barisan Nasional tetapi dalam masa yang sama mereka juga tidak berminat menyertai atau menggunakan planform PAS bagi menyuarakan penentangan dan bantahan mereka. Ini kerana pendekatan dan gaya PAS itu sendiri pada ketika itu tidak diminati oleh golongan muda berpendidikan moden. Akhirnya rasa tidak puas hati ini terus dibiarkan sepi begitu sahaja. Begitu juga anak muda Cina dan India mereka ini jika dilihat pada waktu itu tidak ada pentas yang sesuai bagi menyuarakan dan menyatakan bantahan mereka. DAP yang ada pada waktu agak kurang diminati kerana gaya agresif politik DAP itu sendiri pada waktu itu.
Namum, selepas peristiwa 2 September 1998 semuanya berubah. Peristiwa 2 September 1998 ini telah membawa satu wadah baru dalam perjalanan dan perjuangan politik Malaysia. Golongan muda, mahasiswa, kelas menengah malahan atasan telah bangkit dan memanifestasikan apa yang mereka pendam selama ini kepada pemerintahan Umno/Barisan Nasional. Sekitar satu ke dua tahun selepas 2 September 1998 isunya jelas hanya berkisar tentang nasib yang menimpa Anwar Ibrahim, tetapi lama kelamaan ianya telah bertukar kepada isu hak, keadilan sosial dan kebajikan rakyat. Inilah yang boleh dikatakan sebagai politik moden kerana politik moden bukan hanya berkisar kepada sentimen, emosi dan perkauman.
Penubuhan Parti Keadilan Nasional pada 1999 dan kemudianya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia lalu membentuk Parti Keadilan Rakyat telah membuka wadah baru dan platform kepada anak muda beraliran kotemporari yang begitu dahagakan pentas perjuangan politik mereka. Kebijaksaan pemimpin PAS pada waktu itu Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang mengubah pendekatan politik PAS yang sebelum ini dilihat seperti ala Taliban. Kesedaran pemimpin - pemimpin DAP yang melihat perlunya perubahan dalam pendekatan politik masing - masing merancakkan lagi arena politik Malaysia selepas 2 September 1998.
Peristiwa 2 September 1998 ini telah mematang dan mendewasakan rakyat tentang politik. Sosiolisasi politik Malaysia juga berubah dengan pertambahan minat rakyat Malaysia kepada politik. Politik bukan lagi dianggap kerja orang tua tetapi selepas peristiwa 2 September 1998 anak muda telah kedepan dalam mempelopori bidang politik. Pemimpin - pemimpin muda politik muncul satu persatu baik dari parti pemerintah dan pembangkang kerana minat dan kesederan politik yang tinggi yang muncul dalam jiwa mereka.
Percayalah, jika tanpa peristiwa 2 September 1998 politik Malaysia hari ini tidak akan kelihatan seperti hari ini. Corak pemerintahan yang melihat rakyat sebagai tuan pasti tidak akan muncul. Jika sebelum peristiwa 2 September 1998, hanya satu pihak yang menggubal dasar, pihak itu juga yang menentang, ianya juga yang menyokong dan pihak itu jugalah yang melaksanakannya. Kita mungkin pada ketika itu kurang sedikit bezanya dari pemeritahan Suharto di Indonesia. Berbeza dengan hari ini, selepas 2 September 1998 ianya tidak membenarkan sistem yang sebegitu berlaku lagi.
Mungkin penganiayaan, seksaan dan keaiban yang diterima oleh Anwar Ibrahim sepanjang 15 tahun ini adalah harga yang dibayar oleh beliau untuk kita semua menikmati perubahan politik yang kita rasai pada hari ini. Pemerhati, pengkaji, peminat politik tanah air perlu melihat tarikh 2 September ini sebagai satu tarikh yang bermakna, kerana tanpa peristiwa yang pada tarikh ini dunia politik kita masih lagi tidak ubah seperti menonton drama Melayu di skrin hitam putih. -TTK-
No comments:
Post a Comment