Pada 22 November 2013 ini akan berlangsung sekali lagi muktamar Parti Islam SeMalaysia PAS untuk kali yang ke 59. Lebih menarik muktamar kali ini berlangsung serentak dengan pemilihan parti PAS yang mana bakal menyaksikan jawatan - jawatan penting dalam PAS akan dipertandingan dari jawatan - jawatan sayap pemuda, muslimat hinggalah ke jawatan tertinggi parti yang selalunya dipertandingkan.
Melihat kembali kepada penubuhan PAS pada tahun 1951, hari ini parti tersebut telah mencecah usia 62 tahun. Parti yang mula diasaskan oleh persatuan ulama dan mula digerakkan dari sebelum merdeka itu boleh dikatakan antara parti politik yang tertua di Malaysia. Usia 62 tahun penubuhan PAS adalah tempoh yang cukup lama, namum adakah PAS hari ini sematang usia 62 tahunnya. Kematangan sesebuah pertubuhan atau sebuah parti politik itu boleh dinilai dari segi daya kepimpinannya, pendekatan politik yang digunapakai, kebolehan menghadapi krisis dalaman yang timbul, serta yang paling penting apakah pencapaian parti PAS itu sendiri sepanjang 62 tahun penubuhannya kepada parti, masyarakat dan juga negara.
Kepimpinan
Menyorot kepimpinan PAS boleh dikatakan parti ini mengalami pasang surut kepimpinan bermula dari Tuan Guru Haji Ahmad Fuad kepada Dr Hj Burhanuddin Al-Hilmi yang merupakan antara pemimpin PAS yang begitu berani dan lantang memperjuangkan dasar - dasar PAS. Beliau antara pemimpin PAS yang kedepan dalam isu-isu hak dan keadilan. Zaman pemimpinannya beliau membawa PAS untuk memperjuangkan bukan sahaja isu akidah dan agama tetapi isu - isu nasional seperti tuntutan kemerdekaan yang total dan nasib golongan pekerja yang mana isu - isu ini dekat dihati rakyat pada waktu itu. Keberanian beliau ini membawa kepada penangkapan beliau dibawah Akta Keselamatan dalam Negeri ISA dan meninggal akibat seksaan yang diterimanya sewaktu dalam tahanan. Beralih kepada kepimpinan Tuan Guru Haji Asri Muda yang memperlihatkan dibawah kepimpinan beliau PAS bergabung dengan Umno pada waktu itu dan mewujudkan sejarah suram bagi PAS selepas diperkotak - katikkan oleh Umno dalam pergabungan tersebut. Sedar dari kesilapan pergabungan tersebut, PAS keluar dari Umno dan bergerak sendiri sebagai sebuah parti politik seperti asal dan kepimpinannya diterajui oleh Tuan Guru Haji Yusuf Rawa yang merupakan ayah kepada ahli parlimen Parit Buntar hari ini iaitu Mujahid Yusuf Rawa.
PAS boleh dikatakan hampir mengalami zaman kegemilangan pada era kepimpinan Dato Haji Fadzil Mohd Noor. Dato Haji Fadzil atau Ustaz Fadzil Noor boleh dikatakan antara pemimpin PAS yang membawa perubahan atau reform kepada parti PAS. PAS yang mulanya dilihat agak keras dalam pendekatan politiknya telah perlahan - lahan menyesuaikan tindakannya dengan arus dan situasi politik semasa. Dibawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor banyak golongan - golongan kelas menengah dan profesional mula mendekati PAS pada waktu itu, disamping pengaruh Angkatan Belia Islam Malaysia ABIM yang kuat serta ahli - ahli ABIM yang kecewa dengan kemasukan Anwar Ibrahim kedalam UMNO. Ustaz Fadzil Noor dan Anwar Ibrahim adalah dua sahabat baik sewaktu mereka sama - sama didalam ABIM. Malahan sewaktu Anwar Ibrahim didalam UMNO dan kerajaan pun Ustaz Fadzil Noor turut mengekalkan hubungan peribadi yang baik antara mereka berdua. Inilah gaya dan salah satu contoh politik matang yang pernah ada pada salah seorang pemimpin PAS.
Ustaz Fadzil Noor adalah antara pemimpin PAS yang berjaya membawa parti PAS itu ketengah - tengah masyarakat. Ustaz Fadzil Noor cuba mengeluarkan PAS dari hanya bergerak di sekolah - sekolah pondok dan surau - surau ke tengah - tengah masyarakat semasa. Beliau secara terbuka mengajak untuk dianjurkan debat antara PAS dan Umno yang mana pada waktu itu debat merupakan satu perkara yang cukup asing dalam politik Malaysia. Sewaktu tercetusnya reformasi 1998 dengan isu pemecetan Anwar Ibrahim dari kerajaan, Ustaz Fadzil Noor lah antara pemimpin parti politik yang pertama hadir dan mempertahankan Anwar yang merupakan seteru beliau dalam politik sebelum itu. Lihat bagaimana daya kepimpinan politik matang yang pada Ustaz Fadzil Noor pada waktu itu. Beliau jugalah pengasas kepada tertubuhnya idea pergabungan antara parti - parti pembangkang untuk berhadapan dengan Umno/BN pada pilihanraya umum 1999. Pergabungan parti - parti politik pembangkang antara PAS, Parti Keadilan Nasional dan DAP yang dikenali sebagai Barisan Alternatif pada waktu itu sebenarnya idea yang datang dari Ustaz Fadzil Noor itu sendiri. Pada waktu ini ramai golongan muda dan profesional Melayu berbondong - bondong masuk menyertai PAS kerana mula tertarik dengan pendekatan kepimpinan Ustaz Fadzil Noor. PAS yang dulu yang kerap diwajahi dengan serban, jubah dan janggut panjang berubah hampir separuh kepada imej berkemeja, bertali leher dan suit. Namum ditengah - tengah pacuan Ustaz Fazil Noor, Allah SWT lebih menyanyangi beliau.
Hinggalah hari ini PAS diterajui oleh Tuan Guru Haji Abdul Awang. PAS dibawah Haji Abdul Hadi Awang dilihat terkeliru dengan arus perubahan politik Malaysia yang bergerak begitu pantas pada hari ini. Pada satu tahap sebelum pilihanraya Umum ke-12 Haji Abdul Hadi Awang dilihat memimpin PAS dengan konsisten dan jelas aras tujuannya untuk melawan Umno/BN. Tetapi selepas pilihanraya ke-12 yang memperlihatkan PAS memenangi jumlah kerusi yang agak selesa yang mana mempunyai 3 menteri besar iaitu di Kelantan, Perak dan Kedah kepimpinan Haji Abdul Hadi Awang mula diperkatakan. Kepimpinan Haji Abdul Hadi dilihat mudah termakan dengan asakan Umno/BN yang mengatakan "PAS hari ini tidak seperti PAS dahulu". Ayat tersebut seolah mengundang kegusaran kepada kepimpinan Haji Abduk Hadi yang mungkin mula melihat imej berserban, berjubah dan berjanggut panjang semakin kurang didalam PAS. Ditambah buruk pula dengan usaha penyatuan antara PAS dan UMNO yang mana banyak sumber mengatakan ianya dipersetujui oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang. Mungkin Haji Abdul Hadi mahu menghidupkan semula imej ulama dalam saf kepimpina PAS yang sememangnya masih lagi wujud dan tidak pernah padam dengan mula mengetepikan golongan - golongan profesional yang boleh dikatakan jumlah agak ramai dalam kepimpinan PAS.
Satu perkara yang harus diingat, golongan profesional inilah yang menyumbang kepada kemenangan besar parti PAS dalam PRU-12 yang lalu. Gerak kerja yang dilakukan oleh golongan profesional inilah yang telah mendekatkan orang bukan Islam seperti Cina dan India kepada PAS seperti yang diusahakan oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa. Di Shah Alam misalnya, undi kaum India dan Cina sungguh memberansangkan kepada Khalid Samad di sana kerana pendekatan politik moden dan matang yang diamalkan beliau. Anak muda India dan Cina hari ini sudah tidak takut untuk membawa bendera PAS kesana - sini sewaktu kempen - kempen piliharanya yang mana situasi ini amatlah sukar dan hampir mustahil untuk dilihat sebelum ini. Semua ini adalah hasil dari gerak kerja dari golongan profesional dalam PAS. Tapi sayangnya menghampiri pilihanraya umum ke-13 golongan profesional ini seakan diketepikan dan dipinggirkan oleh pihak - pihak tertentu didalam PAS. Seakan ada gerakan dan persetujuan dengan meletakkan calon - calon profesional PAS di kawasan - kawasan yang secara logik politiknya memang tidak akan menang sekaligus mewujudkan pembunuhan secara lembut kepada golongan - golongan profesional ini. Mungkin terdapat golongan tertentu didalam PAS yang mungkin takut dibayangi oleh golongan profesional yang mana bagi mereka ianya boleh mengubah PAS kepada parti yang bukan berteraskan Islam.
Jika inilah yang difikirkan oleh segolongan pemimpin PAS dibawah kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang, boleh dikatakan PAS masih belum cukup matang berbanding usianya. Politik hari ini perlu lebih progresif dan offensive bukannya defensif dan esklusif. Jika hanya mengawal PAS untuk golongan ustaz dan pendidikan agama sahaja yang menerajuinya tanpa memberi ruang kepada golongan profesional yang bukan berkelulusan dalam bidang agama memimpin dan menyuarakan idea serta pendapat, jelas PAS akan tercicir dan tergelincir dari arus politik semasa yang bergerak dengan cepat dan pantas ini.
Mungkin PAS tidak mempunyai satu badan penyelidik politik untuk mengkaji satu perkara yang mungkin mereka tidak sedar. PAS perlu melihat kegusaran yang besar adalah dirasai oleh Umno/BN apabila melihat golongan - golongan profesional seperti Dato Sri Nizar, Mujahid Rawa, Khalid Samad, Dr Hatta, Dr Dzulkfile dan beberapa lagi golongan profesional dalam PAS sedang meningkat naik. Kegusaran ini timbul kerana sebelum ini Umno lah parti yang menjadi pilihan golongan profesional Melayu tetapi hari ini tidak lagi dan situasi ini merugikan Umno dan menguntungkan PAS. Maka langkah diatur secara terang dan sulit untuk menakut - nakutkan kepimpinan PAS bahawa PAS bakal didominasi oleh golongan profesional yang bukan ulama sekaligus menghilangkan imej ulama pada parti PAS. Maka diulang bahawa "PAS hari ini tidak seperti PAS dulu". Kepimpinan dan ahli - ahli PAS yang kurang memikir dan membuat kajian ini mudah termakan dengan propaganda ini, sekaligus turut merasa gusar. Apa yang mereka tidak sedar, Umno telah berjaya memindahkan rasa takut dan gusar mereka kepada segolongan kumpulan dalam parti PAS. Mungkin muktamar kali ini dapat melahirkan seorang pengarah strategi politik yang bijak membaca taktik dan strategik politik demi kelangsungan politik PAS sebaya dengan usianya.
Pendekatan Politik
Melihat kepada pendekatan politik PAS pula, mungkin berlaku sedikit perubahan apabila PAS kini cuba mendekatkan diri mereka dengan pemimpin dan golongan bukan Islam. PAS hari ini dilihat sudah boleh mula bekerja sama dengan DAP yang majoriti ahli dan pemimpinnya terdiri dari bukan Islam. Kerjasama dengan PKR juga berjaya mendekatkan masyarakat kepada PAS. Namum pedekatan dan kaedah ini haruslah berterusan dan holistik. Pujian harus diberika kepada Dr Mujahid Rawa yang mengusahakan Kelab Penyokong PAS kepada rakyat yang bukan Islam. Sesungguhnya Kelab Penyokong PAS ini memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada kemenangan PAS dalam PRU-12. Namum hari ini gerak kerja Kelab Penyokong PAS dilihat semakin lemah dan tidak serancak dahului lagi. Mungkin yang mengasaskan Kelab Penyokong PAS itu adalah Mujahid Yusuf Rawa dan beliau merupakan golongan profesional dalam PAS maka penekanan serius mula dikurangkan oleh pucuk pimpinan PAS.
Dalam menghadapi isu - isu politik semasa yang timbul, PAS hari ini dilihat mudah termakan dengan mainan perangkap politik pihak lawan. Berkenaan isu kalimah Allah, kepimpinan PAS dilihat tidak sekata dalam menangani isu ini. Pun begitu, ianya disampaikan pula kepada media - media arus perdana yang selama ini mereka tahu media - media ini kerjanya memang untuk meruntuhkan PAS dan Pakatan Rakyat. Boleh dikatakan ramai antara pemimpin PAS yang bergelar ustaz dan lebai hari ini tidak pandai bermain politik. Mereka terlalu mudah terjerat dan akhirnya apa yang disampaikan mereka itu memakan parti mereka sendiri. Golongan ini harus ingat PAS didaftarkan sebagai sebuah parti politik dan bukan hanya semata - mata sebagai sebuah badan dakwah. Jika berdiri atas kapisiti sebuah parti politik suka tidak suka mereka harus bijak berpolitik baik dari segi tindakan dan percakapan.
Apa yang paling menjengkelkan, sewaktu menghampiri PRU-13 yang lalu pihak lawan sengaja menimbulkan isu Hudud di media - media arus perdana milik Umno/BN. Tanpa memikirkan itu adalah jerat politik pihak lawan untuk mengeruhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat beberapa pemimpin PAS dengan keras dan bersemangat menekankan isu hudud ini. Jika kematangan politik itu ada dalam kalangan beberapa pemimpin PAS, mereka ini tidak akan mudah melayan dan termakan dengan isu hudud yang sengaja dibangkitkan oleh lawan mereka ini. Jelas emosi acap kali melebihi rasional dan kebijaksanaan beberapa pemimpin PAS ini dalam mendepani serangan dan taktik pihak lawan.
Tindakan Presiden nya sendiri Tuan Haji Abdul Hadi Awang yang menyerang calon dari Parti Keadilan Rakyat PKR dalam kehangatan kempen PRU-13 juga merupakan satu tindakan politik yang cukup - cukup tidak bijak. Apa tah lagi yang bertindak demikian adalah presiden parti. Perkara ini sahaja memberikan modal yang cukup besar kepada lawan mereka untuk melanyak mereka dalam kempen politik PRU-13 yang hanya berbaki 3 hari sahaja lagi pada waktu itu. Wajarkah seorang presiden kepada sebuah parti yang berusia 62 tahun bertindak demikian.
Mengatasi Krisis Dalaman Parti dan Gabungan
Antara perkara yang dilihat begitu lemah bagi PAS adalah menguruskan krisis dalaman parti. Mujur PAS masih dikurniakan seorang Musyidul Am yang bijak mengawal keadaan semasa PAS iaitu Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Ramai penganalisis mengatakan tanpa Nik Aziz, PAS barangkali lebih sukar untuk menghadapi PRU-13 dan mungkin mengalami kekalahan teruk.
Isu kerajaan perpaduan yang wujud selepas PRU-12 memperlihatkan ramai golongan ulama dan ustaz dalam PAS mengambil sikap berkecuali malah ada yang menyokong seperti Nasharudin Mat Isa dan Hassan Ali. Presiden PAS sendiri gagal mengambil apa - apa tindakan kepada mereka dan atas ketegasan Nik Aziz lah mereka akhirnya dipecat dengan berat hati oleh PAS.
Tindakan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Hafiz Nordin yang terang - terangan menyerang kepimpinan dalam Pakatan Rakyat dan membuat kenyataan - kenyataan terbuka dalam media massa jelas memperlihatkan kelemahan kepimpinan PAS itu sendiri. PAS dilihat gagal mengambil sebarang tindakan terhadap Hafiz Nordin jauh sekali untuk memecat beliau dari parti. Begitu juga dengan tindakan Dr Mazlan yang bertanding atas tiket Umno untuk melawan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh pada PRU-13 yang lalu. Dr Mazlan adalah ahli PAS yang sah sewaktu mengumumkan untuk bertanding melawan Anwar Ibrahim atas tiket Umno. Namum PAS negeri dan PAS pusat langsung longlai dalam menangani isu ini. Sekurang - kurangnya kenyataan terbuka dari PAS negeri harus dikeluarkan berkenaan status Dr Mazlan ini dalam PAS.
Antara isu yang boleh dikatakan agak menjelekkan ialah pertembungan calon dalam beberapa kerusi DUN dalam PRU-13 yang lalu. Tindakan Presiden Parti Tuan Guru Haji Abdul Awang mengeluarkan watikah bertindih dengan calon pakatan rakyat adalah satu tindakan yang sukar difahami. Persoalan mula timbul tentang kejujuran beliau dalam Pakatan Rakyat. Apabila isu ini dimainkan, sekali lagi Hadi Awang bertindak dengan cara yang tidak bijak dengan membuat kenyataan terbuka dengan menyerang calon - calon parti dari Pakatan Rakyat dengan isu sosiolis dan pengedaran dadah. Adakah Tuan Presiden terlupa dengan hukum fitnah pada waktu itu.
Jika benar isu sosiolis atau Hadi Awang mempunyai bukti pembabitan calon PKR dengan pengedaran dadah mengapa beliau tidak menyuarakan bantahan beliau sewaktu mensyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat bagi memutuskan calon - calon yang untuk bertanding dalam PRU-13. Hadi Awang sendiri hadir dalam mesyuarat tersebut bersama pemimpin - pemimpin tertinggi PKR dan DAP bagi memutuskan calon untuk PRU-13 namum ruang yang ada itu tidak digunakan, sebaliknya beliau secara senyap - senyap mengeluarkan watikah kepada calon PAS di kerusi yang dipersetujui untuk PKR lantas mewujudkan pertembungan dan memberi modal politik kepada Umno/BN. Adakah cara dan tindakan ini dilihat wajar dilakukan oleh seorang presiden yang partinya sudah berusia 62 tahun.
Jika Hadi Awang sendiri mengatakan yang tindakan ini dilakukan tanpa arahan dan pengetahuannya atau mungkin tandatangannya dipalsukan, mengapa hingga kehari ini langsung tidak ada tindakan yang diambil kepada calon PAS yang bertanding dikawasan bertindih tersebut dan kepada pengerak - pengerak utama kepada pertindihan tersebut seperti Zaharudin Muhammad a.k.a "Din Ayam" yang juga merupakan menantu kepada Hadi Awang sendiri.
Pencapaian PAS selepas 62 tahun
Mungkin apa yang ketara dalam pencapaian PAS selepas 62 tahun menjadi parti politik adalah dari segi pertambahan kerusi di parlimen yang menyaksikan PAS memiliki kerusi terbanyak dalam sejarah politik mereka dan berjaya mengekalkan Kelantan disamping pernah bertapak di Terengganu, Kedah dan memiliki menteri besar di Perak. Itu dari segi jumlah, namum ianya wajarlah juga dipuji. Namum kerjasama erat dalam Pakatan Rakyat juga antara penyumbang terbesar kepada jumlah ini dan begitu juga kepada parti - parti lain dalam Pakatan Rakyat.
Namum disamping jumlah kerusi, perkara lain yang perlu dinilai adalah apakah sumbangan dan idea yang pernah diberikan PAS kepada masyarakat berdasarkan jumlah - jumlah kerusi yang mereka miliki ini. Jangan hanya dibanggakan kuatiti jika kualitinya tidak ada.
Dari sudut ekonomi, sepanjang 62 tahun menjadi parti politik apakah idea ekonomi yang cuba dibawa PAS kepada masyarakat Malaysia. Apakah pelan atau gerak kerja PAS yang dimajukan untuk diketengahkan sekurang - kurangnya untuk dibahaskan dalam isu mengurangkan kos sara hidup seperti menurunkan harga minyak dan keperluan asas yang lain. Idea serta langkah menurunkan harga minyak adalah direncanakan oleh rakan mereka dari PKR dan dibahaskan secara terbuka lantas mengoyangkan Umno/BN. Begitu juga dengan idea dan perincian lengkap tentang keadah menurunkan harga kereta, pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Nasional PTPTN adalah dari rakan mereka dalam Pakatan Rakyat dan bukan dari PAS. Walaupun perkara - perkara seperti menurunkan harga minyak, kereta dan pemansuhan PTPTN ini masih belum terlaksana kerana Pakatan Rakyat bukan parti pemerintah tetapi idea - idea yang dilontarkan ini telah menggegarkan golongan rakyat yang terbelenggu dengan kemiskinan dan membuka minda rakyat bahawa perkara ini boleh dilakukan. Irosnisnya lagi perkara - perkara yang dibangkitkan ini telah memberi tekanan kepada parti pemerintah supaya tunduk kepada kehendak rakyat.
PAS pernah membangkitkan berkenaan negara berkebajikan, namum bagaimana bentuk dan rupa negara berkebajikan tersebut tidak diperincikan dan dijelaskan dengan seterangnya. Maka rakyat melihat idea tersebut hanya cakap - cakap politik menjelang pilihanraya umum. Sebuah parti yang berusia 62 tahun sepatutnya lebih peka dengar perkara ini kerana rakyat pada hari ini bukan sahaja mahu mendengar apa yang hendak dilakukan oleh sesuatu parti jika menang tetapi rakyat juga ingin tahu dan jelas tentang bagaimana sesuatu itu hendak dilakukan.
Berkenaan isu sosial seperti pengangguran dalam kalangan belia dan masalah - masalah sosial lain yang timbul dalam masyarakat, kelihatan PAS begitu berminat berkenaan isu - isu ini. Namum hasilnya tidak ada mungkin disebabkan cara dan pendekatan yang digunakan kurang berkesan. Pendekatan keras dan mudah menghukum membuatkan generasi muda akan menjauhi PAS.
Kesimpulan
PAS amat memerlukan pemimpin yang berkaliber, berjiwa besar, matang serta mampu mengikuti dan menyesuaikan parti dengan arus perubahan politik semasa dalam berhadapan dengan situasi hari ini untuk terus kekal relevan. Mungkin PAS terlalu lama menjadi parti pembangkang dan membuatkan mereka begitu asyik dan seronok membangkang tanpa memikirkan bagaimana untuk membetulkan perkara yang dibangkangkan mereka itu. Oleh itu PAS amat memerlukan golongan - golongan profesional yang mendepani kepimpinan PAS. Ikhawan Muslimin yang merupakan parti Islam terbesar di Mesir itu sendiri pun ramai pemimpinnya terdiri dari golongan profesioanl.
PAS tidak boleh hanya berbangga dengan jumlah ahli yang ramai dan jentera yang ramai semata - mata. Perhatikan sahaja DAP jentera mereka hanya dibentuk secara ad-hoc menjelang pilihanraya tanpa sesi tarbiah khusus tetapi berjaya membawa kemenangan besar kepada parti DAP. Ini kerana kepimpinan dan hala tuju DAP itu jelas berkenaan isu - isu yang dibawa, terang serta logik untuk diterima. Sehingga satu tahap ada isu - isu serta janji - janji yang dibawa oleh DAP itu kelihatan betul - betul sedang berada dimulut rakyat dan penyokong mereka dan hanya menunggu masa untuk ditelan atau dengan kata lain hanya perlu menekan satu butang sahaja untuk dilaksanakan. Maka cara dan kaedah politik begitulah yang seharusnya dipraktikkan PAS supaya objektifnya kelihatan jelas dan logik. Mungkin rakyat terutama golongan muda boleh mempertikaikan bagaimana parti yang berusia 62 tahun tetapi masih belum mempunyai laman web rasmi yang khusus.
Jika hanya perjuangan PAS semata - mata untuk akhirat bukan dunia, maka adalah wajar PAS mengubah dasar parti mereka dari parti politik hanya kepada badan dakwah bebas. Kerana untuk menuju akhirat kita semua perlu menempuhi dunia terlebih dahulu. Moga muktamar dan pemilihan yang bakal berlangsung pada 22 November 2013 bakal membawa perubahan dalam arus kepimpinan dan perjuangan politik PAS yang sudah berusia 62 tahun. -TTK-
No comments:
Post a Comment