Hanya UTM yang menokok sedikit kedudukannya dari tangga 358 (2012) kepada 355= (2013).

Kedudukan ini dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
  • Reputasi pencapaian akademik (40%)
  • Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)
  • Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)
  • Rujukan penyelidikan (citation) mengikut fakulti (20%)
  • Keantarabangsaan pelajar (5%)
  • Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%)
Ramai pimpinan Barisan Nasional yang masih berdolak dalih dan tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan mutu pendidikan tinggi dan kedudukan universiti awam negara adalah isu utama yang membawa kesan besar kepada rakyat.

Kedudukan universiti awam negara yang tidak berdaya saing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan.
Malah, masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/Bumiputra banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.

Oleh sebab itu, hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya univesiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China.

Ramai yang tidak tahu bahawa NUS mempunyai sejarah yang sama dengan Universiti Malaya kerana kedua-duanya diwujudkan sebagai University of Malaya di Singapura dalam tahun 1949 mengikut saranan Suruhanjaya Carr-Saunders.

Pada 1959, University of Malaya mempunyai dua kampus yang berasingan iaitu kampus asal di Singapura dan kampus baru di Kuala Lumpur. Pada 1962, kedua-dua kampus ini berpisah menjadi dua universiti berasingan iaitu Universiti Malaya di Kuala Lumpur dan NUS di Singapura.

Selepas 50 tahun, walaupun bermula dari titik yang sama, Universiti Malaya tidak pun berada di dalam kedudukan 100 teratas di dunia sedangkan NUS menjadi universiti terbaik di Asia.

Ini adalah hakikat yang perlu ditangani secara terbuka tanpa prejudis politik atau perkauman kerana mutu dan kedudukan universiti awam negara mempengaruhi taraf hidup rakyat dan daya saing negara seluruhnya.

Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya perkara-perkara demikian dibahaskan secara terbuka dan reformasi pendidikan tinggi dijalankan secara segera seperti berikut:
  • Kembalikan kebebasan akademik kepada universiti-universiti awam dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campur tangan kementerian dan kerajaan
  • Pemilihan kepimpinan universiti awam mengikut merit berdasarkan kredibiliti akademik, pengalaman mengurus universiti ternama, integriti peribadi yang bebas dari pandangan partisan dan ciri-ciri lain yang ada pada kepimpinan universiti ternama dunia
  • Kembalikan kebebasan minda yang sepenuhnya kepada siswazah dan gerakan mahasiswa dengan menghentikan serta merta sebarang aktiviti atau program yang mengongkong perkembangan minda bebas siswazah, termasuklah program propaganda politik yang dianjurkan oleh BTN dan badan-badan yang serupa dengannya
  • Menilai semula sistem pemberian biasiswa yang menekankan penghantaran pelajar terbaik ke universiti-universiti luar negara dan beralih kepada sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada mereka di universiti-universiti terbaik Malaysia, dan
  • Program khusus memperkasakan kredibiliti akademik fakulti di universiti-universiti awam dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia
Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran Universiti Malaya berada di dalam tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

Saya juga akan membuat kunjungan hormat ke NUS dalam bulan November 2013 untuk mempelajari sendiri langkah-langkah yang dilaksanakan selama ini untuk menjamin kualiti pendidikan di universiti itu.

Rafizi Ramli adalah ahli parlimen Pandan dan pengarah strategi PKR