Wednesday, December 17, 2014

TANDA-TANDA AWAL

Oleh:
Hishamuddin Rais a.k.a Tukar Tiub

Media milik United Malays National Organisation enggan dan gagal melaporkan tentang nilai ringgit dengan dolar yang mendadak jatuh. Hanya portal-portal internet yang berani melaporkan kejatuhan nilai ringgit/dolar ini. Mengikut berita - kejatuhan nilai ringgit ini sama saperti kemuncak krisis ekonomi 1998. Ketika tulisan ini digarap 1 dolar Amerika bernilai 3 ringgit 49 sen.
Media milik parti Ketuanan Melayu juga gagal memberi pencerahan kepada pembaca tentang makna dan tanda dari kejatuhan nilai ringgit ini. Pembaca Melayu terus dibodohkan dengan berita-berita Raja, Melayu dan Islam.
Pembaca wajib diberi maklum : apabila nilai ringgit jatuh ertinya duit upah/duit gaji yang masuk dalam poket kita – walau pun jumlah angkanya sama – tetapi kuasa membelinya merosot. Ini bermakna kalau dulu satu tin susu boleh dibeli dengan harga 1 ringgit kini harganya telah naik menjadi 2 ringgit. Bila harga barang naik ertinya nilai duit dalam poket kita kurang.

Tanda-tanda ekonomi dunia sedang dilanda krisis telah mula dapat dilihat. Harga minyak mentah tiga bulan dahulu lebih dari 100 dolar satu tong kini telah jatuh ke 61 dolar. Apa maknanya kejatuhan harga minyak? Dari satu segi harga yang murah adalah baik untuk pengguna. Baik untuk negara pengimpot minyak. Tetapi untuk negara pengeluar minyak saperti Malaysia kejatuhan harga ini memberi tamparan yang hebat.
Ketika Najib membentangkan belanjawan 2015 – pendapatan negara bergantung pada dua minyak – petrolium dan minyak sawit. Kini harga jualan kedua-dua minyak telah jatuh. Ertinya belanjawan Najib telah bocor. Kebocoran ini akan membawa krisis ekonomi yang melebar TIDAK berapa lama lagi.
Pendapatan negara pengeluar minyak – saperti Malaysia- semakin kurang. Kita bukan saja menghadapi krisis belanjawan yang bocor malah TIDAK ada lagi keupayaan untuk mengimpot barangan. Jual beli semakin berkurangan. Ini menjadikan ekonomi dunia merundum. Inilah lingkaran setan dalam sistem ekonomi kapitalis.

Kita telah membaca bagaimana TV Bernama telah gagal membayar gaji pekerja. Besar kemungkinan TV Bernama akan gulung tikar. Kita juga mula mendengar desas desus bahawa telah ada jabatan kerjaan yang upah dan gaji bulanan lewat dibayar. Kita juga mendengar bagaimana anak-anak muda – graduan yang baru lulus – mendapati peluang pekerjaan semakin menguncup. Dalam masa yang sama kita mula mendengar syarikat itu dan syarikat ini mula memberhentikan pekerja. Kita membaca tentang dana PTPTN telah dikurangkan.
Hakikatnya semua ini adalah tanda-tanda krisis ekonomi telah sampai. Hakikatnya krisis ini berkemungkinan lebih buruk dari apa yang berlaku pada tahun 1998 dahulu.
Merundumnya ekonomi akan membawa krisis politik. Pada tahun 1998 – krisis mata wang bermula dengan runtuhnya nilai Thai Bhat – merebak ke Rubles Rusia dan akhirnya melanggar Ringgit Malaysia. Kali ini pekara yang sama sedang berlaku. Mata wang Rusia sedang merundum. Bezanya kali ini bukan sahaja ekonomi Rusia merundum tetapi ekonomi dunia.
Krisis ekonomi ini akan membawa krisis politik. Pada tahun 1998 – krisis ekonomi telah meperlihatkan kepada kita bagaimana Presiden Haji Muhamad Suharto telah diburu rakyat di jalan raya. Di Malaysia krisis ekonomi ini telah menimbulkan krisis dalaman dalam parti United Malays National Organisation.

Pada tahun 1998 – Anwar Ibrahim telah dibuang dari kerajaan dan parti. Anwar telah dituduh meliwat. Apa yang terjadi kepada Anwar Ibrahim ini adalah manifestasi dari krisis ekonomi yang melanda Malaysia pada ketika itu. Dengan bijak Mahathir telah mengalihkan pandangan orang ramai dari memahami kenapa ekonomi merundum kepada jubur Azizan.
Di Jakarta demo anak-anak muda pelajar telah menumbangkan Suharto. Di Kuala Lumpur demo telah meledak apabila Anwar Ibrahim dibuang dari kerajaan. Apakah perkara yang sama akan berlaku? Jawabnya: Iya. Malah kali ini satu ledakan yang lebih besar akan berlaku.
Untuk memahami apa bentuk ledakan yang akan terjadi kita wajib meneliti apa yang sedang berlaku sekarang. Najib Razak kini sedang dilihat oleh ahli parti United Malays National Organisation sebagai beban. Kalau dulu parti Ketuanan Melayu ini terpaksa memikul Mahathir Muhamad. Kali ini bukan sahaja memikul Najib malah parti ini wajib memikul Rosmah dan anak beranak Rosmah Mansor.
Projek menendang Najib semakin kuat didengar. Dua tahun dahulu sebelum PRU13 kita ada mendengar secara hitam puteh Mahathir berkata jika Najib tidak dapat menebus kekalahan Dolah Badawi maka dirinya akan diundurkan. Dalam PRU13 Najib bukan saja gagal malah kalah lebih terok dari Dolah Badawai.

Bila parti bani Ketuanan Melayu ini kalah maka ianya telah membuat sandiwara mencari sebab yang membawa kekalahan. Sandiwara ini telah ke hulu ker hilir mencari sebab musabab kenapa mereka ditolak rakyat. Dikatakan parti Ketuanan Melayu ini telah melakukan kaji selidik dan bedah siasat. Musabahah diri.
Secara dalaman para pemimpin United Malays National Organisation tahu bahawa mereka hanya mendapat 47% sokongn rakyat. Ini pun kemenangan dengan jalan tipu. Rakyat Malaysia – termasuk di Sabah dan Sarawak- telah memberikan 52% sokongan kepada Pakatan Rakyat. Dimana-mana negara dalam dunia ini jika sesebuah parti mendapat undi 52% maka pastilah parti itu akan memerentah. Tapi TIDAK di Malaysia. Ini bukan penipuan. Ini ROMPAKAN siang hari.
Dalam sandiwara mencari kenapa parti Ketuanan Melayu ini kalah – telah timbul pelbagai tuduhan. Paling senang ialah menuduh Bangsa Cina belot dan tidak sedar diri sebagai pendatang. Kemudian menuduh ada kumpulan Melayu yang bersedia menjadi kuda tunggang DAP-Cina. Kemudian menuduh Melayu TIDAK bersatu.

Kelihatan pelbagai sebab telah ditimbulkan tetapi TIDAK ada pemimpin Parti Ketuanan Melayu yang mengakui bahawa orang ramai telah benci dengan United Malays National Organisation kerana mereka mendapat kuasa dengan jalan TIPU. Parti Ketuanan Melayu ini terbukti telah mendapat undi dengan penipuan yang dirancang oleh SPR dan dibantu oleh pelbagai jabatan kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara.
Apa yang saya tulis ini bukan fitnah. Ini bukan propaganda kering. Ini ialah hasil laporan Surahan Jaya DiRaja Sabah tentang pendatang haram yang baru sahaja diumumkan. Dari laporan ini amat jelas dibuktikan bahawa kuasa United Malaya National Organisation yang ada pada hari ini adalah kuasa haram yang didapati dengan jalan TIPU UNDI. Penipuan undi ini berlaku secara teratur dan dirancang di Sabah.
Apabila rakyat semakin benci dan semakin marah kepada bani Ketuanan Melayu maka kita mula mendengar suara Perkasa dan suara Isma. Suara ini disambut pula oleh pelbagai jenis NGO Melayu/Islam. Rata-rata semua suara ini membawa kesah-kesah dongeng tentang Raja, Melayu dan Islam. Raja tidak lagi di hormati, Melayu semakin hilang kuasa dan Islam sedang dihina.
Raja , Melayu dan Islam ini sebenarnya hanyalah manifestasi dari pada politik yang sedang bergolak. Politik ialah perebutan kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebuat ekonomi. Justeru apa yang kita lihat hari ini adalah perebutan punca-punca ekonomi. Parti Ketuanan Melayu yang selama ini berkuasa telah menjarah harta kekayaan negara ini. Dari kiri dari kanan – dari depan dari belakang – mereka telah merampok kekayaan negara untuk anak bini dan kroni. Rompakan ini telah diketahui ramai. Fakta ini telah disedari ramai. Orang ramai bertambah benci dengan parti Ketuanan Melayu ini.
Maka untuk menepis serangan orang ramai. Untuk menyelamatkan diri, dan untuk terus berkuasa parti United Malaya National Organisation tidak banyak pilihan. Parti ini terpaksa berdongeng dengan kesah Raja, Melayu dan Islam.



 
Raja , Melayu dan Islam ini kononnya akan dapat mempertahankan kuasa mereka. Memang betul untuk sementara waktu kesah dongeng Raja, Melayu dan Islam ini sedang agak menarik. Sebenarnya, Raja, Melayu dan Islam adalah agenda mengolah persetujuan untuk memastikan bani Ketuanan Melayu terus berkuas.da. Perkasa dan Isma dan kuncu-kuncunya sedang naik tocang. Tetapi hakikatnya: dibelakang semua ini ialah perebutan ekonomi.
Apabila krisis ekonomi dunia ini sampai dan melanda Malaysia maka kita akan melihat cerita dongeng Raja, Melayu dan Islam ini akan lebih rancak dijadikan slogan dan pekikan perjuangan bani Ketuanan Melayu.
Tanda-tanda semakin jelas dilihat bagaimaan Perkasa secara terbuka telah memberi amaran kepada Najib agar TIDAK menipu rakyat. Kita juga telah membaca bagaimana seorang Ketua Bahagian parti Ketuanan Melayu dari Batu Kawan telah membuat laporan polis terhadap 1MDB. Kita juga telah terbaca bagaimana Menteri Besar Pahang yang juga pemimpin tertinggi parti Ketuanan Melayu telah menyaman Utusan Malaysai. Walhal – akhbar ini adalah milik parti Ketuanan Melayu sendiri.


 
Ini adalah tanda-tanda bahawa parti Ketuanan Melayu ini sedang beramok sesama sendiri. Dibelakang semua ini wujud perancangan licik yang sedang diatur untuk menendang Najib dan Rosmah.
Semua tanda-tanda ini ikat berikat dan sabit menyabit. Semua tanda-tanda ini adalah signal bahawa kuasa United Malays National Organisation semakin rapuh. RAPUH? Jika telah rapuh pastilah akan runtuh? Jika runtuh pastilah baik untuk Pakatan Rakyat.
Sabar dahulu – politik, kuasa dan harta – yang dimiliki oleh United Malays National Organisation tidak akan senang menyerah bagitu sahaja. Jangan lupa dibelakang cerita dongeng Raja, Melayu dan Islam ini wujud Dulah Terpendam/Deep State. Pada ketika ini Daulah Terpendam sedang mengipas kesah kesah dongeng ini. Raja , Melayu dan Islam dikipas untuk satu persediaan yang lebih besar untuk menyambut kedatangan krisis ekonomi.(TT)


No comments: