Wednesday, April 18, 2012

Antara Sempurna dan Menyempurnakan


Kita selalu bercakap tentang kesempurnaan tetapi kita sering terlupa bagaimana untuk menyempurnakan. Baik dalam apa jua hal dalam hidup kita, kita pasti akan mencari yang sempurna. Dalam bidang akademik pelajar akan mencari kesempurnaan dalam keputusan peperiksaan. Tetapi adakah cukup sempurna seorang pelajar itu jika hanya mempunyai keputusan peperiksaan yang sempurna tetapi tidak sedar dan tidak tahu bagaimana untuk menyempurnakan ilmu  yang dipelajarinya. Adakah hanya cukup sekadar lakaran A diatas slip atau transkrip peperiksaan. Jika hanya lakaran A yang dikejar itu dikatakan sempurna ia sebenarnya belum sempurna dan masih lagi perlu kepada proses penyempurnaan.

Seorang pekerja tentu mahukan suasana tempat kerja dan pengurusan tempat kerja yang sempurna. Jika tempat kerjanya atau pengurusannya kurang sempurna pasti pekerja – pekerja ini melahirkan rasa tidak puas hati dan membebel – bebel tentang ketidaksempurnaan yang dirasainya. Namum pernahkah pekerja – pekerja itu tadi memikirkan bagaimana cara untuk menyempurnakan ketidaksempurnaan yang dirasainya itu. Adakah kesempurnaan itu boleh datang dengan sendiri tanpa berbuat apa – apa.

Dalam hidup berkeluarga atau mencari pasangan sudah pasti kita mahukan keluarga yang sempurna. Tetapi apa peranan kita sebagai anggota keluarga untuk menyempurnakan keluarga kita dan bagaimana ianya hendak disempurnakan. Mencari pasangan hidup sudah tentu sesiapa sahaja mahukan pasangan yang sempurna di mata dan di hati kita. Namum pernahkan kita terfikir jika yang datang itu sudah benar – benar sempurna maka peranan kita sudah tiada dan kita hanya akan menjadi pengguna atau dipergunakan. Sudah tentu kita mahu memainkan peranan dalam hidup dan peranan itu datang bila kita mampu untuk melakukan sesuatu agar boleh disempurnakan.

Tidak ada siapa yang tidak mahu sesuatu yang tidak sempurna mungkin ketidaksempurnaan yang kita lihat di depan mata kita itu sempurnanya ada pada kita atau pada orang lain. Oleh itu kita perlu memainkan peranan untuk menyempurnakan sesuatu ketidaksempunaan yang kita kesan baik dalam diri, masyarakat atau persekitaran kita. Sesuatu yang sempurna tidak tidak akan hadir tanpa diusahakan.

No comments: