Saturday, November 30, 2013

Kenapa Najib berani naikkan harga

Selepas PRU-13 menyaksikan kenaikan barangan dan keperluan hidup dengan menggila.

 - Lima bulan selepas PRU-13 harga petrol dinaikkan 
- selepas itu harga gula dinaikkan, disusuli pula dengan kenaikan
  bil Astro
- warga Kuala Lumpur dikenakan kenaikan cukai pintu
- bakal datang tahun hadapan tarif elektrik akan dinaikan  
- ura - ura kadar tol untuk lebuh - lebuh raya di Malaysia juga
  akan dinaikkan
- Tahun 2015 GST pula akan dikenakan

Rakyat Malaysia ni marah kejap ja.. minyak naik.. bising 2,3 minggu pastu senyap.. pastu sokong undi umno lagi...



Wednesday, November 20, 2013

Perjuangan & garis politik

Oleh: Hishamuddin Rais

Muktamar PAS ke-59 kali ini bukan hanya diperhatikan rapi oleh warga Malaysia sahaja. Malah, bekas rakan sekerja Edward Snowden dalam National Security Agency (NSA) di Amerika dan Goverment Communication Headquaters (GCHQ) di England turut sibuk merakamkan apa yang sedang berlaku. Keputusan pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini bukan hanya mempengaruhi arah politik Malaysia, malah juga ASEAN dan Asia Tenggara.
Sumber: www.keadilandaily.com 

Ahli PAS yang akan mengundi di muktamar kali ini berpeluang memilih pucuk pimpinan dari dua jalur atau dua garis politik. Media milik gerombolan United Malays National Organisation dan suku sakatnya mentakrif dua garis ini sebagai kumpulan ulamak dan kumpulan 'Erdorgan'. Sesekali Erdorgan ini dikatakan juga kumpulan profesional.

Sebenarnya ini nama-nama ini hanya ‘papan tanda' untuk mengelompokkan agar dapat diberi tanda. Ketika Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li melawan Mahathir Mohamad dulu, dikatakan wujud Tim A dan Tim B dalam United Malays National Organisation. Sebenarnya ada dua garis yang jelas yang diwakili oleh Ku Li atau Mahathir walau pun media tidak menerangkan secara tuntas. Nama diberi untuk memudahkan media membuat kerja.

Dalam PAS memang wujud kumpulan yang dipanggil ulamak. Dalam bahasa Arab, ulama membawa erti pemikir atau intelektual. Alim ertinya berilmu pengetahuan. Di Malaysia ini dua perkataan Arab ini telah disakralkan dan hanya diasosiasi dengan agama. Walhal alim dan ulama ini adalah untuk sesiapa sahaja yang memiliki daya fikrah yang kritikal dalam bidang keilmuan masing-masing, tidak semestinya hanya agama.

Erdorgan pula ialah ikutan nama perdana menteri Turki yang bukan ulama tetapi berjaya memimpin Turki dengan garis politik Islam. Nama ini muncul di Malaysia kerana golongan yang dikatakan kumpulan Erdorgan adalah gulungan profesional bukan guru agama, bukan lulusan pondok, tidak berserban, tidak berjubah dan tidak berjanggut panjang. Jauh sekali hidup mencari makan dengan menjual air jampi.

Kadang kala kumpulan Erdorgan ini dipanggil Anwarista. Jika perkataan Anwarista atau Anwarisna seperti dalam ucapan Zul Nordin maka kita tahu di belakang sebutan ini ada niat tidak baik. Anwarista ini digunakan untuk menggambarkan para pemimpin PAS ini sebagai macai kepada Anwar Ibrahim.

Di sebalik jenama ini sebenarnya ada garis politik yang amat jelas. Garis politik inilah yang wajib kita ketahui untuk memahami apakah tanda dan makna muktamar PAS kali ini.

Muhamad Sabu aka Mat Sabu dan Nik Amar yang merebut jawatan timbalan presiden PAS adalah manifestasi dari dua garis politik yang amat jauh berbeza. Dua sosok ini membawa dua pendekatan politik yang berlainan. Apa yang membezakan mereka ialah cara mereka melihat dan mentafsir Islam dalam konteks realpolitik Malaysia dan dalam konteks realpolitik dunia kontemperori.

Umum mengetahui bagaimana kumpulan ulama ini telah bersidang tidak berapa lama dahulu. Hasil persidangan ini satu ketetapan telah diluluskan. Mengikut ketetapan ini para ulama meminta parti PAS menilai kembali hubungannya dalam Pakatan Rakyat.

Mat Sabu lwn Nik Amar

Menilai kembali ini bermakna telah wujud perasaan tidak puas hati di kalangan alim ulama dalam hal perserikatan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik. Apa yang menimbulkan ketidakpuasan hati ini tidak pula jelas. Yang diumumkan kepada orang ramai hanyalah ulama mahu "menilai kembali" kerjasama dalam Pakatan.

Untuk yang arif politik, melintas Mat Bangla di depan mata telah diketahui sama ada pendatang haram atau tidak. Justeru, ketetapan dari persidangan ulama ini bermakna ada jalur dalam parti PAS yang tidak mahu terus bersama dalam Pakatan. Garis ulama ini menolak usaha menggalang barisan bersatu untuk menjatuhkan United Malays National Organsiation dan konco-konconya. Terlulusnya ketetapan ini bermakna garis politik para ulama PAS ialah menentang kerjasama dalam Pakatan. Dalam bahasa anak muda yang cool, PAS nak blah dari Pakatan.

Justeru garis PAS akan meninggalkan Pakatan menjadi mistos umum apabila pemerhati politik membincangkan muktamar PAS kali ini. Umum juga telah mengetahui bagaimana secara terbuka Nik Amar sendiri mengakui bahawa dirinya adalah ‘seorang ulama'. Justeru Nik Amar dianggap mewakili dan membawa garis ulama dalam muktamar PAS kali ini.

Manakala Mat Sabu dalam ceramahnya telah berkali-kali berkata:

"Apabila PAS keluar dari Pakatan, maka PAS akan menjadi lebih kuat. Tetapi jajahan takluk PAS hanya bermula dari Rantau Panjang dan berakhir di Kemaman."

Ucapan Mat Sabu ini jelas memperlihatkan bahawa garis politik yang dibawa oleh Mat Sabu ini ialah garis politik yang bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan. Mat Sabu memahami realpolitik Malaysia. Dalam politik pilihan raya - satu warga satu undi - tidak ada jalan lain untuk mengambil alih kuasa melainkan bekerja sama dengan kumpulan yang bukan dari parti PAS.

Ikatan kerjasama ini dari pandangan Mat Sabu telah memberi kejayaan dalam tahun 1999, 2004, 2008 dan dalam PRU13 yang baru selesai. Hanya dengan bekerja sama dengan parti-parti yang bukan dari bakul ketuanan Melayu barulah PAS mendapat kejayaan. Malah di Selangor kemenangan PAS yang amat cemerlang itu adalah hasil dari kerjasama dalam Pakatan.

Apakah perlawanan antara Mat Sabu dan Nik Amar ini membawa makna Mat Sabu menentang ulama? Dalam konteks Mat Sabu dan ulama, ia sesuatu yang pelik dan sukar untuk dipercayai. Sejarah masih belum merakamkan secara tuntas tentang konsep kepimpinan ulama dalam PAS. Tidak ramai yang mengetahui bahawa konsep ini adalah hasil dari gerakan Mat Sabu dan kawan-kawan yang telah melihat kejayaan Revolusi Iran 1979. Ketika konsep ‘kepimpinan ulama' ini diajukan Mat Sabu sedang bergerak aktif dalam Pemuda PAS.

Apakah para ulama tidak melihat realpolitik di mana Malaysia ini sebuah negara majmuk - berbilang bangsa dan agama. Malah dalam kumpulan penganut Islam itu sendiri tidak semua yang memegang kad pengenalan Islam bersetuju dengan apa yang cuba dibawa dan dilakukan oleh kumpulan ulama ini.

Parti 'fatwa fatwi'

Jawabnya, para alim ulama ini melihat realpolitik ini. Tetapi kefahamam politik dan analisa politik mereka tidak memasukkan ekonomi dan kelas sebagai asas politik. Gerakan parti politik bertujuan untuk mengambil kuasa. Dengan memenangi kuasa maka punca-punca ekonomi boleh dimiliki. Dengan memiliki punca ekonomi maka barulah dapat dilaksanakan satu sistem ekonomi yang berkemungkinan melahirkan Negara Berkebajikan.

Tanpa kuasa politik tidak ada kuasa ekonomi. Tanpa kuasa ekonomi tidak ada satu habuk. Yang ada hanya selipar Jepun dan kain cukin. Ini difahami jelas oleh Mat Sabu. Tetapi agak kabur dalam pandangan mata para ulama. Justeru kita melihat bagaimana akhbar Utusan Malaysia berhempas pulas cuba menimbul agenda hudud, isu Syiah, isu Allah, semua ini bertujuan untuk memerangkap ahli PAS agar gagal memahami ekonomi sebagai asas politik.

Niat dan cita-cita Utusan ini cukup jelas. Selagi PAS bersama Pakatan, maka kesihatan parti ketuanan Melayu ini akan terus merudum menuju ke liang lahad. Dalam realpolitik, kuasa United Malays National Organsiation hari telah lupus. Yang membolehkan gerombolan ini berkuasa hanya melalui kuasa polis, Cawangan Khas atau kuasa mahkamah. Sebanyak 52 peratus akyat Malaysia tidak lagi menyokong United Malays National Organisation dan konco-konconya.

Apakah para ulama tidak melihat ini? Jawabnya, ada melihat dan ada tidak. Kalau kita perhatikan dunia Islam hari ini ialah melimpah dengan kekayaan hasil bumi. Sayangnya kekayaan negara Islam ini disaluti dengan kebebalan fikrah warganya. Tidak ada yang alim dan tidak ada yang ulama. Para alim dan ulama ini hanya tinggal nama sahaja.

Mengikut Mat Sabu gerakan Islam hari ini masih lagi di tahap ‘takfiri'. Masih lagi membincangkan apa yang suci dan apa yang haram. Masih lagi menuduh siapa kafir dan siapa boleh masuk syurga. Islam gagal untuk mengajukan satu sistem sosial yang berkebajikan. Walhal hampir tiga suku ayat-ayat dalam Quran ialah tentang kebajikan umat manusia.

Semenjak tahun lalu mimpi berahi United Malays National Organisation dan Utusan Malaysia ialah kekalahan Mat Sabu. Gerombolan Ketuanan Melayu bermimpi sambil merancang agar parti PAS akan meninggalkan Pakatan. Jika semua ini gagal, parti ketuanan melayu berharap PAS akan kembali menjadi parti ‘takfiri' yang akan menuduh sesiapa sahaja sebagai kafir dan musuh Islam.

Gerombolan ketuanan Melayu berharap PAS akan menjadi parti politik yang kerjanya hanya mengeluarkan fatwa fatwi untuk menghukum dan mengkafirkan sesiapa sahaja yang dianggap tidak bersetuju dengan garis politik PAS. Bila ini berlaku maka anak muda akan lari lintang pukang menjauhi PAS. Bukan takut dengan PAS tapi menyampah dengan parti kolot yang mengganggu hidup mereka.

Jika ini terjadi maka jaringan luas yang wujud hari ini, dari anak semua bangsa dan dari agama semua kaum yang menyokong PAS akan kendur. 

Inilah yang dikatakan oleh Mat Sabu "wilayah takluk PAS hanya bermula dari Rantau Panjang dan berakhir di Kemaman". 

Maka akan bergumbiralah ahli United Malays National Organisation kerana mereka boleh merompak harta negara tanpa sekatan.

Setakat ini Utusan Malaysia akhbar milik parti ketuanan Melayu sedang berkempen memutar alam. Tapi ahli PAS yang bersidang ke muktamar telah dewasa. Setitik dakwat Utusan telah diketahui jantan betinanya.

Saturday, October 26, 2013

Memahami erti "Perbentangan Bajet"

Tujuan aku menulis penulisan ini adalah untuk mengajak pembaca mengubah persepsi tentang "bajet" atau pun "belanjawan". Ini kerana aku memerhatikan banyak rakyat yang mempunyai tanggapan dan presepsi yang salah tentang bajet terutamanya bajet 2014 yang dibentangkan oleh Dato Seri Najib baru - baru ini. 



Ramai orang dari tukang kebun ke kakitangan swasta hinggalah kepada pegawai tinggi kerajaan menantikan pengumuman bajet oleh menteri kewangan dengan teruja, berdebar dan penuh harapan. Mereka menantikan apakah habuan, ganjaran dan imbuhan yang bakal diberikan oleh kerajaan dalam satu - satu pengumuman bajet seperti perbentangan bajet 2014 baru - baru ini. Kakitangan awam menanti - nantikan pengumuman adakah bonus akan diberikan, ada yang berdebar menunggu adakah rebet telefon bimbit akan diberikan lagi, adakah jumlah BR1M akan ditambah dan pelbagai lagi dengan penuh harapan seperti hamba yang berhimpun dihalaman istana untuk menantikan ditabur wang emas oleh sang raja maka berebut - rebutlah golongan hamba tersebut memungut kepingan wang emas yang ditabur sambil ditertawakan oleh sang raja yang melemparkan wang emas tersebut. Bagi aku tindakan, tanggapan dan harapan yang sebegini adalah satu sikap dan perbuatan yang bodoh lagi membodohkan.

Mengapa aku mengatakan sikap dan perbuatan tersebut sesuatu yang bodoh lagi membodohkan?? Sebelum aku menjawab persoalan tersebut, aku mahu membawa pembaca mengenali dan memahami apakah maksud atau makna sebenar "Perbentangan Bajet" ataupun dikenali sebagai belanjawan sebelum ini. 

"Bajet" itu sendiri bermaksud anggaran atau perkiraan. Perbentangan Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Dato Seri Najib adalah satu anggaran atau perkiraan perbelanjaan yang bakal dibelanjakan oleh kerajaan pada tahun hadapan iaitu 2014. Dengan kata lain perbentangan bajet tersebut adalah perancangan kerajaan untuk berbelanja pada tahun 2014. Maka kata kuncinya disini adalah "perbelanjaan negara"

Apabila bercakap tentang perbelanjaan ianya mestilah melibatkan wang. Perkataan belanja atau perbelanjaan itu tidak akan boleh berdiri dengan sendiri tanpa adanya wang. Umpama manusia yang memerlukan oksigen, tanpa oksigen manusia tidak akan boleh hidup. Begitu juga dengan "belanja" atau "perbelanjaan" ianya tidak akan boleh berjalan tanpa wang. Kata kunci yang kedua adalah "wang"

Maka jika digabungkan kedua - dua kata kunci tersebut, kita boleh membina satu ayat yang berbunyi "Kerajaan memerlukan wang untuk menjalankan perbelanjaan negara"

Pada tahap ini kita patut timbulkan satu persoalan, dari manakah kerajaan mendapatkan wang untuk berbelanja pada tahun 2014? 

Jawapan dari persoalan ini adalah "kerajaan mendapatkan wang dari pelbagai jenis hasil cukai yang dipungut dari rakyat Malaysia dan hasil - hasil bumi yang terdapat di Malaysia". Maka dari jawapan ini satu kesimpulan ringkas yang kita boleh buat adalah "Kerajaan menggunakan duit rakyat dan hasil bumi negara yang juga merupakan milik rakyat untuk berbelanja pada tahun 2014". 

Oleh itu apa yang aku inginkan pembaca semuanya tahu dan faham ialah, "perbentangan bajet 2014" tersebut adalah satu tindakan pihak kerajaan dalam sistem demokrasi untuk memberi tahu kepada rakyat tentang bagaimana wang rakyat akan dibelanjakan pada tahun 2014 dan juga untuk meminta izin daripada rakyat untuk menggunakan wang rakyat untuk kerajaan berbelanja pada tahun 2014. Kata kuncinya disini pula ialah, "Perbentangan bajet = satu keadah atau cara kerajaan memberitahu atau membuat pengumuman dan meminta izin dari rakyat untuk berbelanja menggunakan wang rakyat pada tahun 2014". 

Maka sebab itulah perbentangan bajet tersebut dibuat di dalam Dewan Rakyat. Apabila perbentangan atau pengumuman tersebut dibuat di dewan rakyat, semua wakil - wakil rakyat yang terdapat di dalam dewan tersebut dan mendengar, mengetahui dan memahami tentang perancangan perbelanjaan kerajaan untuk tahun 2014 tersebut. Setiap wakil rakyat tersebut mewakili rakyat untuk kawasan mereka dan keseluruhan rakyat Malaysia. Ini bermakna membuat perbentangan bajet di dewan rakyat bermaksud membuat perbentangan bajet kepada rakyat.


Keduanya, aku mengatakan perbentangan bajet 2014 adalah satu cara atau kaedah kerajaan meminta izin daripada rakyat untuk berbelanja menggunakan wang rakyat. Ini kerana selepas menteri kewangan membentangkan bajet 2014 tersebut, pada persidangan dewan rakyat selepas ini semua wakil - wakil rakyat yang kita pilih melalui pilihanraya dan dihantar ke dewan rakyat untuk mewakili kita akan membahaskan atau mendebatkan setiap cadangan yang terkandung dalam bajet 2014 tersebut. Tujuan kandungan bajet 2014 ini dibahaskan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan duit rakyat seterusnya untuk mendapatkan kelulusan daripada dewan rakyat yang mewakili keseluruhan rakyat Malaysia. Hanya apabila cadangan atau isi kandungan bajet tersebut diluluskan oleh dewan rakyat barulah cadangan dan perancangan perbelanjaan untuk tahun 2014 yang menggunakan wang rakyat tersebut boleh dilaksanakan. Dengan kata lain, kerajaan meminta izin daripada rakyat melalui wakil rakyat kita di dewan rakyat.

Oleh itu kesimpulan secara keseluruhan yang boleh aku katakan dan untuk kita semua faham ialah, "perbentangan bajet 2014" adalah satu proses atau tindakan kerajaan membuat pengumuman dan pemberitahuan serta meminta izin dan restu daripada rakyat untuk berbelanja menggunakan wang rakyat (wang kita) pada tahun 2014. 

Maka rakyat sepatutnya menanti dan mendengar "perbentangan bajet 2014" dengan sikap yang tegas, garang, marah dan penuh kritikal kerana kerajaan pada waktu itu sedang merayu dan meminta izin kepada kita untuk berbelanja menggunakan wang kita. Apa yang diberikan oleh kerajaan melalui bajet tersebut adalah sebenarnya hak kita yang sepatutnya lebih dari itu dan ianya bukannya ehsan atau belas kasihan kerajaan. Kasihan atau tidak kasihan, tetapi hak tetap hak dan wang yang kita salurkan kepada kerajaan perlu dibelanjakan dengan penuh cermat dan bertanggungjawab agar hasilnya nanti pulang semula kepada kita dan bukannya menguntungkan dan mengenyangkan dua tiga kerat pemimpin.

Jika kita terus dengan presepsi "perbentangan bajet" adalah tempat untuk kita menunggu, merayu dan mengharapkan sesuatu ganjaran dari kerajaan samalah seperti kita memberikan wang gaji kita kepada jiran dan mengharapkan jiran tersebut dapat menghadiahkan sepasang kasut kepada kita yang dibeli dengan pemberian wang gaji kita tadi. Tidakkah itu satu sikap dan perbuatan yang bodoh lagi membodohkan. -TTK-

Friday, September 20, 2013

Siapakah DIA???





Dia adalah seorang yang tidak pernah berputus asa tetap sabar walaupun kejayaan tidak pernah dijanjikan dalam setiap langkah usahanya. Dia tetap berusaha bersungguh - sungguh walau sering yang dijumpainya adalah kegagalan. Namum disebalik kesungguhannya itu dia langsung tidak mengharapkan ganjaran jauh sekali mengharap ianya berjaya. Baginya usahanya itu adalah satu kepuasan bukan kejayaan dari usahanya itu yang memuaskan hatinya. Adakalanya dia dicemuh kerana dikatakan melakukan sesuatu yang sia - sia, tapi dia tetap tenang tidak membalas cemuhan itu kerana baginya adalah tidak adil menghukum balas kepada mereka yang tidak tahu apa - apa yakni jahil. Bila tiba masanya dia akan berusaha dan mencuba lagi, namum jauh dihatinya dia tetap tidak mengharapkan usahanya itu berbalas dengan kejayaan. Adakala dia berjaya namum yang dibicara adalah bukan kejayaan itu tapi usahanya. Begitulah unik sifat dia. Dia adalah........................







           Si Pemancing Ikan...

Wednesday, September 18, 2013

Mengapa dan siapa mengajar kita membenci Komunis?

Kematian bekas setiausaha agong Parti Komunis Malaya, Chin Peng pada 16 September 2013 yang lalu membangkitkan kembali ingatan dan pertanyaan tentang komunis. Aku percaya fenomena ini tidak akan semenarik ini jika kerajaan tidak mengambil pusing tentang kematian Chin Peng dan membiarkan sahaja mayatnya dibawa pulang ke Malaysia tanpa ada apa – apa respon dari pihak kerajaan. Aku percaya jika kerajaan mengambil langkah yang sebegini maka kisah tentang Komunis dan Ching Peng ini akan lenyap selepas satu atau dua hari kematian beliau. Tapi Dato Sri Najib sering mendapat nasihat – nasihat yang bijak dari pegawainya, dengan cara menongkah arus dan mengeluarkan kenyataan – kenyataan yang keras membuatkan makin ramai untuk mengkaji tentang Ching Peng dan Komunis dan ramai akan bersimpati dengannya. Mungkin Najib terlupa dia hanya memiliki 47% sokongan dalam Malaysia hari ini.


Mengapa kita disuruh membenci komunis? Menjawab kepada soalan ini, kita disuruh membenci komunis kerana ekonomi. Bukan kerana kezaliman atau kekejaman. Isu kezaliman dan kekejaman yang dimainkan itu hanya hiasaan untuk menutup tindakan golongan yang mahu menyedut sumber - sumber ekonomi.  Untuk memahami tentang komunis ini kita perlu melihat semula kepada sejarah Perang Dingin. Kita tidak boleh untuk memperkatakan tentang komunis hanya dengan melihat dari pergerakan komunis di Tanah Melayu, penilaian yang sebegitu adalah penilaian kerja khusus pelajar tingkatan 5.


Perang Dingin adalah perang yang tidak melibatkan peperangan secara terbuka sebaliknya melibatkan antara proksi dan propaganda. Ianya bermula pada penghujung Perang Dunia Ke-2 dan berlanjutan hingga lewat 80an sehingga kejatuhan Soviet Union USSR.  Perang Dingin melibatkan dua block iaitu Amerika Syarikat dan sekutunya dengan Soviet Union dan sekutunya (Amerika vs Soviet Union). Apa yang direbutkan oleh kedua – dua block ini? Kedua – dua block ini sedang berebut untuk menjadi kuasa dunia selepas perang dunia ke-2. Mengapa mereka mahu menjadi kuasa dunia? Dengan menjadi kuasa dunia mereka boleh menguasai setiap sumber yang terdapat di dunia ini demi untuk menjana kekayaan yakni ekonomi. Lihat sahaja Amerika Syarikat hari ini yang telah menjadi kuasa dunia, bagaimana mereka menguasai ekonomi dunia dengan pelbagai taktik dan perjanjian TPPA dan pelbagai lagi. Ini untung dan hasilnya menjadi kuasa dunia.


Dalam agenda perang dingin ini, Amerika Syarikat dan Soviet Union masing – masing berusaha untuk mendapatkan sokongan dari negara – negara dunia lain, tidak kira besar atau kecil, miskin atau kaya negara tersebut.  Dalam kata lain kedua  pihak ini sedang berusaha untuk meluaskan empayar. Apa yang digunakan Amerika Syarikat untuk mendapatkan sokongan dunia? Amerika Syarikat mencanangkan idea demokrasi moden dan dibawahnya diselit sistem “kapatilis” secara tanpa sedar. Ramai pemimpin – pemimpin dunia ketiga pada waktu itu masih jahil tentang kapitalis dan banyak juga negara – negara yang terdesak memerlukan modal untuk membangunkan semula negara mereka selepas kehancuran dari perang Dunia ke-2. Maka mereka – mereka ini tunduk kepada Amerika Syarikat dan menyokong agenda yang dibawa oleh Amerika Syarikat iaitu kapitalis yang bertopengkan demokrasi. Bagi pihak Soviet Union pula mereka membawa komunisme dan bersandarkan kepada sistem ekonomi sosiolis. Ideologi ini sekali imbas seperti sukar untuk membawa keuntungan yang banyak dalam masa yang singkat dan oleh sebab itulah ramai pemimpin dunia memilih untuk menyokong Amerika Syarikat kerana mereka dijanjikan dengan habuan yang banyak. Hanya beberapa pemimpin seperti Castro, Sukarno dan beberapa pemimpin lain lagi yang cekal dengan menentang kapitalis. Tunku Abdul Rahman pada waktu itu telah terang – terangan menyokong dan menjadi suruhan Barat.


Dalam situasi ini kedua – dua block ini sedang berebut – rebut untuk mendapatkan pelanggan. Sesuatu produk atau idea tidak boleh hidup tanpa pelanggan. Ekonomi kapitalis tidak akan boleh hidup jika hanya Amerika Syarikat seorang sahaja yang mengamalkannya, mereka perlu memaksa negara – negara dunia lain juga menggunapakai sistem kapitalis agar mereka boleh mengaut untung semaksimum mungkin. Begitu juga dengan pentadbiran komunisme dan sistem ekonomi sosiolis juga akan mati jika semua negara dunia ini mengamalkan sistem kapitalis maka mereka akan kehilangan pelanggan. Oleh itu semuanya ini adalah kerana duit, ekonomi dan soruu. Jika dikatakan komunisme dan sosiolis itu kejam, tetapi dalam masa yang sama masih banyak golongan gelandangan di negara – negara demokrasi yang mengamalkan ekonomi kapitalis. Masih banyak orang mencuri untuk makan di negara kapitalis, saban hari beratus – ratus orang diisytiharkan bangkrap oleh bank – bank di negara kapitalis. Ini juga satu bentuk kekejaman.


Berbalik kepada  situasi di Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman memang seorang pemimpin dunia ke-3 yang telah tunduk dan dicucuk hidung oleh penjajah Inggeris yang merupakan proksi Amerika Syarikat. Amerika Syarikat bimbang kerana pada waktu itu beberapa negara di rantau Asia Tenggara lebih cenderung untuk memihak kepada block Soviet Union atau dengan kata lain menjadi pelanggan Soviet Union seperti Indonesia, Vietnam Utara, Korea Utara dan beberapa wilayah Indo Cina. Situasi ini telah membuatkan Amerika Syarikat telah hilang beberapa pelanggan mereka di Asia dan Asia Tenggara. Dalam perniagaan, kehilangan pelanggan bermaksud “kerugian”. Oleh itu Amerika Syarikat menggunakan proksinya iaitu Inggeris yang bertapak di Tanah Melayu untuk menyekat kemaraan dan sokongan kepada komunisme dan sosiolisme. Kerana Amerika Syarikat tidak mahu lagi kehilangan pelanggan seperti Tanah Melayu dan Austrilia yang berkedudukan paling hampir dengan Asia Tenggara.


Maka apa yang perlu dilakukan oleh Amerika Syarikat? Mereka menggunakan Inggeris untuk menanam kebencian penduduk tempatan terhadap Komunisme dan Sosiolisme. Bagaimana Inggeris melakukan proses untuk menanam kebencian ini? Inggeris akan mencari pemimpin – pemimpin masyarakat Melayu dan menyemai cerita – cerita buruk tentang komunisme. Inggeris tahu orang Melayu akan lebih sensetif jika dikaitkan dengan agama, maka Inggeris menyampaikan cerita – cerita kepada pemimpin – pemimpin masyarakat Melayu ini dengan mengatakan komunisme dan sosiolisme itu tidak percayakan tuhan dan tidak ada agama, mengatakan komunisme dan sosiolisme ini akan menyebabkan rakyat miskin dan hidup melarat dan pelbagai cerita lagi. Maka cerita – cerita ini akan disampaikan oleh pemimpin – pemimpin masyarakat Melayu tadi di surau – surau, masjid – masjid dan kedai – kedai kopi. Orang – orang Melayu yang pada waktu itu yang langsung tidak tahu membaca rumi jauh sekali bahasa Inggeris terus terbakar semangatnya untuk menentang komunis kerana mencabar agama Islam. Sedangkan Sir Henry Gurney yang menjadi pesuruhjaya Inggeris di Tanah Melayu pada itu telah membunuh beribu umat Islam di Palestin sebelum dia datang ke Tanah Melayu. Itulah malang nasib bani Melayu yang malas membaca dan tiada maklumat.


Ya pasti ramai yang akan mengatakan komunis itu kejam, bunuh polis dan orang awam. Ya betul, mereka yang menjadi polis sewaktu penjajahan Inggeris, mereka itu adalah polis Inggeris walaupun dia seorang Melayu. Inggeris itu adalah penjajah menjadi polis Inggeris bermaksud bekerjasama dengan penjajah dan menjadi penjajah. Perlu diingat ramai penduduk Tanah Melayu sewaktu pendudukan Jepun menjadi tali barut kepada Jepun dan sewaktu Inggeris datang semula ke Tanah Melayu mereka ini menjadi pula tali barut atau barua Inggeris. Jadi golongan yang beginilah yang diperangi oleh komunisme kerana menyokong agenda penjajahan. Tetapi sejarah Malaysia menceritakan dari sudut yang berlainan untuk membangkitkan kebencian. Mengapa kekejaman Inggeris tidak diceritakan atau ditekankan dalam sejarah Malaysia. Sila singkap fakta, berapa banyak ulama – ulama dan pemimpin – pemimpin besar Melayu dibunuh dengan kejam oleh Inggeris. Dipasong dan digantung sampai mati, dihalau keluar dari Tanah Melayu. Mengapa kekejaman ini tidak diceritakan dan disembunyikan tetapi hanya diulang tayang kekejaman sebelah pihak.


Jawapannya kerana hari ini Amerika Syarikat dan proksinya telah menjadi kuasa dunia. Kita adalah pelanggan setia kapitalis kepada Amerika Syarikat dan proksinya. Mengapa kita menyokong Amerika Syarikat dan proksinya? Tidak lain tidak bukan kerana EKONOMI dan DUIT bukan kerana agama dan akidah.



Jadi siapa yang menyuruh dan mengajar kita agar membenci komunis??? TTK.

Monday, September 16, 2013

Siapa sebenarnya "Sir Henry Gurney" : Antara layanan terhadap Sir Henry Gurney dan Chin Peng

Kita umum mengetahui dalam buku-buku teks sejarah sekolah dan penulisan - penulisan sejarah arus perdana Sir Henry Gurney adalah seorang Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu pada 1948 - 1951. Beliau telah dibunuh oleh pihak Parti Komunis Malaya pada 6 Oktober 1951 sewaktu dalam perjalanan di Bukit Frazer. Ramai pihak di negara kita terutama yang malas membaca mengagong - agongkan Sir Henry Gurney ini kerana mendakwa dialah yang menggerakkan serangan bagi memusnahkan komunis. Malah ada pihak yang menganggap Sir Henry Gurney ini sebagai wira. Namum adakah kita tahu siapakah sebenarnya Sir Henry Gurney ini??

Sir Henry Gurney sebelum bertugas di Tanah Melayu sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu dia telah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kerajaan Palestin pada 1946 - 1948. (kepada yang rajin membaca sila cari apa yang berlaku di bumi Palestin pada tempoh 1946 - 1948). 

Sir Henry Guney lah antara salah seorang pegawai British yang telah bertanggungjawab membawa masuk pendatang Yahudi ke Palestin dan tertubuhnya negara haram Israel. Hari ini ramai antara kita membenci dan menentang regim Isreal dan dalam masa yang sama kita menganggap Sir Henry Gurney sebagai wira Tanah Melayu. 

Etzel-Deir-YassinPada Mei 1948 Sir Henry Gurney telah bertanggungjawab terhadap peristiwa Dier Yasin di Palestin yang menyaksikan lebih 300 wanita dan kanak - kanak Palestin terbunuh. Dalam peristiwa itu penduduk Palestin telah dihalau oleh pendatang Yahudi dan pegawai yang bertanggungjawab adalah Sir Henry Gurney. Ketika Henry Gurney bertugas di Palestin lah berlaku siri pembunuhan kejam di bumi Palestin. Tindakan pengganas dan keganasan Yahudi Haganah dan Irgun  terhadap penduduk Palestin memuncak adalah ketika Henry Gurney bertugas di Palestin. 

Deir-YasinSetelah berjaya beliau merosakkan bumi Palestin yang kesannya hingga hari ini masih belum selesai, Sir Henry Gurney telah dipindahkan oleh British untuk ke Tanah Melayu untuk merosakkan bumi Tanah Melayu pula. Mungkin Britain melihat sosiopolitik antara Palestin dan Tanah Melayu adalah lebih kurang sama dengan majoriti penduduknya beragama Islam maka pegawai yang paling layak untuk memikul tugas di Tanah Melayu adalah Sir Henry Gurney kerana berpengalaman di Palestin. Datangnya Sir Henry Gurney ke Tanah Melayu ramai orang Melayu Islam telah menjadi "barua" beliau dan menyanjung tinggi serta sanggup mati mempertahankan Sir Henry Gurney ini.

Orang Melayu dibodohkan dengan meletak papan tanda peringatan terhadap kematian Sir Henry Gurney dan menghargai si penjahat tersebut.
Namum penjahat ini tidak dibenarkan hidup lama di Tanah Melayu bilamana pada 6 Oktober 1951, Parti Komunis Malaya atas arahan Chin Peng telah membunuh si penjahat yang bernama Sir Henry Gurney ini. Maka pada waktu itu malahan hingga sekarang orang Melayu Islam memarahi dan membenci Chin Peng kerana membunuh Sir Henry Gurney. Maka bangkitlah segala pejuang Melayu untuk memburu Chin Peng dan membela kematian Sir Henry Gurney ini. 

Mayat Sir Henry Gurney yang boleh dikatakan musuh dunia Islam nombor satu itu, telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Cheras, Kuala Lumpur MALAYSIA.  Namum Chin Peng yang telah meninggal hari ini 16 September 2013,  merupakan seorang rakyat Tanah Melayu yang telah mengarahkan pembunuhan antara musuh bumi Islam Palestin ini telah dilarang dari dibawa balik mayatnya ke Malaysia oleh pertubuhan - pertubuhan yang mendakwa pertubuhan Melayu Islam.

Lihat bagaimana penjajah menipu kita melalui sejarah yang mereka reka terhadap kita. Jangan jadikan sejarah itu hanya "cerita orang menang". TTK.
Kubur Sir Henry Gurney yang gah dibina dan dijaga rapi di Tanah Perkuburan Kritain Cheras Kuala Lumpur Malaysia