Dr Mahathir hari ni dilihat menyerang Anwar Ibrahim dalam sesi pra-kempen pilihanraya kecil DUN Kajang. Terbaru Dr Mahathir membangkitkan berkenaan isu Operasi 1987 bagi menyerang Anwar Ibrahim. Sebelum ini Dr Mahathir dilihat cuba menjadi juru cakap bagi Pakatan Rakyat apabila beliau mencadangkan jawatan Menteri Besar Selangor patut diberikan kepada PAS. Oleh itu, jika calon dari PAS yang dilantik menjadi menteri besar ini bermakna Pakatan Rakyat telah menuruti kehendak Mahathir dan Mahathir itu adalah musuh politik Pakatan Rakyat. Adakah suatu tindakan yang bijak dalam politik jika kita menuruti kehendak dan keinginan lawan. Maka calon dari PAS tidak boleh diangkat menjadi Menteri Besar. Dari satu sudut, pandangan Mahathir itu membawa makna bahawa PAS di Selangor adalah lemah dan senang ditewaskan oleh Umno. Ini kerana, dalam persaingan politik yang begini sudah tentulah satu-satu pihak mahukan lawan yang lebih lemah untuk mudah ditewaskan.
Jika melihat kepada situasi ini, menunjukkan bahawa jika Anwar menjadi Menteri Besar Selangor ianya akan menjadi ancaman besar kepada Umno dan Mahathir sendiri. Jika Umno dan Mahathir terancam ini bermakna keuntungan kepada Pakatan Rakyat. Maka teorinya mudah, jika mahukan Umno dan Mahathir itu terancam maka Anwar perlu diangkat menjadi Menteri Besar Selangor.
Oleh itu, pihak-pihak dalam Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju dengan tindakan Anwar bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Kajang dan menjadi Menteri Besar Selangor perlu melihat semula padangan mereka. Dalam politik kita mesti bijak membaca tindakan dan gerak-geri lawan. Politik bukannya seperti acara lumba lari 100 meter yang mana siapa yang kuat berlari dia akan menang. Tetapi politik umpama persaingan catur atau snooker yang penuh dengan taktik yang adakalanya tidak mampu dibaca.
Tetapi apa yang jelas dan nyata tetapi mungkin tidak disedari, Umno dan Barisan Nasional begitu takut dan menggeruni insan yang bernama Anwar Ibrahim. Semenjak dari 1998 hinggalah 2014 seluruh jentera dan kuderat yang ada oleh Umno Barisan Nasional digunakan untuk memerangi Anwar Ibrahim tetapi ianya masih belum berhasil sebaliknya gerak dan cengkaman politik Anwar Ibrahim semakin mengukuh dan pengaruh Umno Barisan Nasional semakin merosot.
Hari ini bagi menghadapi Anwar Ibrahim di Kajang, Umno Barisan Nasional dilihat tidak bermaya dan terpaksa mengimport jeneral pencen mereka iaitu Dr Mahathir bagi menyerang Anwar. Ini menunjukkan Anwar Ibrahim berada dalam kelas dan kedudukan yang tersendiri dalam arena politik Malaysia dan kehadiran Anwar dalam pentadbiran Selangor sebagai menteri besar sememangnya akan membawa impak dan momentum yang kuat kepada Pakatan Rakyat untuk bergerak menghampiri Putrajaya.