Tujuan aku menulis penulisan ini adalah untuk mengajak pembaca mengubah persepsi tentang "bajet" atau pun "belanjawan". Ini kerana aku memerhatikan banyak rakyat yang mempunyai tanggapan dan presepsi yang salah tentang bajet terutamanya bajet 2014 yang dibentangkan oleh Dato Seri Najib baru - baru ini.
Ramai orang dari tukang kebun ke kakitangan swasta hinggalah kepada pegawai tinggi kerajaan menantikan pengumuman bajet oleh menteri kewangan dengan teruja, berdebar dan penuh harapan. Mereka menantikan apakah habuan, ganjaran dan imbuhan yang bakal diberikan oleh kerajaan dalam satu - satu pengumuman bajet seperti perbentangan bajet 2014 baru - baru ini. Kakitangan awam menanti - nantikan pengumuman adakah bonus akan diberikan, ada yang berdebar menunggu adakah rebet telefon bimbit akan diberikan lagi, adakah jumlah BR1M akan ditambah dan pelbagai lagi dengan penuh harapan seperti hamba yang berhimpun dihalaman istana untuk menantikan ditabur wang emas oleh sang raja maka berebut - rebutlah golongan hamba tersebut memungut kepingan wang emas yang ditabur sambil ditertawakan oleh sang raja yang melemparkan wang emas tersebut. Bagi aku tindakan, tanggapan dan harapan yang sebegini adalah satu sikap dan perbuatan yang bodoh lagi membodohkan.
Mengapa aku mengatakan sikap dan perbuatan tersebut sesuatu yang bodoh lagi membodohkan?? Sebelum aku menjawab persoalan tersebut, aku mahu membawa pembaca mengenali dan memahami apakah maksud atau makna sebenar "Perbentangan Bajet" ataupun dikenali sebagai belanjawan sebelum ini.
"Bajet" itu sendiri bermaksud anggaran atau perkiraan. Perbentangan Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Dato Seri Najib adalah satu anggaran atau perkiraan perbelanjaan yang bakal dibelanjakan oleh kerajaan pada tahun hadapan iaitu 2014. Dengan kata lain perbentangan bajet tersebut adalah perancangan kerajaan untuk berbelanja pada tahun 2014. Maka kata kuncinya disini adalah "perbelanjaan negara"
Apabila bercakap tentang perbelanjaan ianya mestilah melibatkan wang. Perkataan belanja atau perbelanjaan itu tidak akan boleh berdiri dengan sendiri tanpa adanya wang. Umpama manusia yang memerlukan oksigen, tanpa oksigen manusia tidak akan boleh hidup. Begitu juga dengan "belanja" atau "perbelanjaan" ianya tidak akan boleh berjalan tanpa wang. Kata kunci yang kedua adalah "wang"
Maka jika digabungkan kedua - dua kata kunci tersebut, kita boleh membina satu ayat yang berbunyi "Kerajaan memerlukan wang untuk menjalankan perbelanjaan negara"
Pada tahap ini kita patut timbulkan satu persoalan, dari manakah kerajaan mendapatkan wang untuk berbelanja pada tahun 2014?
Jawapan dari persoalan ini adalah "kerajaan mendapatkan wang dari pelbagai jenis hasil cukai yang dipungut dari rakyat Malaysia dan hasil - hasil bumi yang terdapat di Malaysia". Maka dari jawapan ini satu kesimpulan ringkas yang kita boleh buat adalah "Kerajaan menggunakan duit rakyat dan hasil bumi negara yang juga merupakan milik rakyat untuk berbelanja pada tahun 2014".
Oleh itu apa yang aku inginkan pembaca semuanya tahu dan faham ialah, "perbentangan bajet 2014" tersebut adalah satu tindakan pihak kerajaan dalam sistem demokrasi untuk memberi tahu kepada rakyat tentang bagaimana wang rakyat akan dibelanjakan pada tahun 2014 dan juga untuk meminta izin daripada rakyat untuk menggunakan wang rakyat untuk kerajaan berbelanja pada tahun 2014. Kata kuncinya disini pula ialah, "Perbentangan bajet = satu keadah atau cara kerajaan memberitahu atau membuat pengumuman dan meminta izin dari rakyat untuk berbelanja menggunakan wang rakyat pada tahun 2014".
Maka sebab itulah perbentangan bajet tersebut dibuat di dalam Dewan Rakyat. Apabila perbentangan atau pengumuman tersebut dibuat di dewan rakyat, semua wakil - wakil rakyat yang terdapat di dalam dewan tersebut dan mendengar, mengetahui dan memahami tentang perancangan perbelanjaan kerajaan untuk tahun 2014 tersebut. Setiap wakil rakyat tersebut mewakili rakyat untuk kawasan mereka dan keseluruhan rakyat Malaysia. Ini bermakna membuat perbentangan bajet di dewan rakyat bermaksud membuat perbentangan bajet kepada rakyat.
Keduanya, aku mengatakan perbentangan bajet 2014 adalah satu cara atau kaedah kerajaan meminta izin daripada rakyat untuk berbelanja menggunakan wang rakyat. Ini kerana selepas menteri kewangan membentangkan bajet 2014 tersebut, pada persidangan dewan rakyat selepas ini semua wakil - wakil rakyat yang kita pilih melalui pilihanraya dan dihantar ke dewan rakyat untuk mewakili kita akan membahaskan atau mendebatkan setiap cadangan yang terkandung dalam bajet 2014 tersebut. Tujuan kandungan bajet 2014 ini dibahaskan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan duit rakyat seterusnya untuk mendapatkan kelulusan daripada dewan rakyat yang mewakili keseluruhan rakyat Malaysia. Hanya apabila cadangan atau isi kandungan bajet tersebut diluluskan oleh dewan rakyat barulah cadangan dan perancangan perbelanjaan untuk tahun 2014 yang menggunakan wang rakyat tersebut boleh dilaksanakan. Dengan kata lain, kerajaan meminta izin daripada rakyat melalui wakil rakyat kita di dewan rakyat.
Oleh itu kesimpulan secara keseluruhan yang boleh aku katakan dan untuk kita semua faham ialah, "perbentangan bajet 2014" adalah satu proses atau tindakan kerajaan membuat pengumuman dan pemberitahuan serta meminta izin dan restu daripada rakyat untuk berbelanja menggunakan wang rakyat (wang kita) pada tahun 2014.
Maka rakyat sepatutnya menanti dan mendengar "perbentangan bajet 2014" dengan sikap yang tegas, garang, marah dan penuh kritikal kerana kerajaan pada waktu itu sedang merayu dan meminta izin kepada kita untuk berbelanja menggunakan wang kita. Apa yang diberikan oleh kerajaan melalui bajet tersebut adalah sebenarnya hak kita yang sepatutnya lebih dari itu dan ianya bukannya ehsan atau belas kasihan kerajaan. Kasihan atau tidak kasihan, tetapi hak tetap hak dan wang yang kita salurkan kepada kerajaan perlu dibelanjakan dengan penuh cermat dan bertanggungjawab agar hasilnya nanti pulang semula kepada kita dan bukannya menguntungkan dan mengenyangkan dua tiga kerat pemimpin.
Jika kita terus dengan presepsi "perbentangan bajet" adalah tempat untuk kita menunggu, merayu dan mengharapkan sesuatu ganjaran dari kerajaan samalah seperti kita memberikan wang gaji kita kepada jiran dan mengharapkan jiran tersebut dapat menghadiahkan sepasang kasut kepada kita yang dibeli dengan pemberian wang gaji kita tadi. Tidakkah itu satu sikap dan perbuatan yang bodoh lagi membodohkan. -TTK-