Monday, December 16, 2013

Fokus protes harga barang naik 1 Mei, Mat Sabu respons isu Syiah

BERSEDIA untuk perhimpunan membantah kenaikan harga minyak serta barang di Kuala Lumpur pada 1 Mei tahun depan serentak dengan perayaan Hari Pekerja, kata Timbalan Presiden Pas Haji Mohamad Sabu.

Aktivis itu berkata, isu Syiah yang dikaitkan dengan dirinya itu hanya propaganda Kerajaan Pusat demi mengalih isu sebenar, iaitu kos sara hidup rakyat kian meningkat.

"Fokus pada perhimpunan 1 Mei, saya akan berbincang dengan NGO (badan bukan kerajaan).

"Isu Syiah bukan saja-saja timbul, Zahid pun tahu perhimpunan protes kenaikan harga minyak dan petrol akan berlaku," ujar Mohamad Sabu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat George Town, pagi tadi.

Mohamad Sabu memberi respons selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.

Mengulas mengenai tuduhan tidak langsung Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr.Ahmad Zaid Habis, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan lain berkata, "Ya, saya kagum Khomeini, tapi bukan Syiah".


PELABURAN PETRONAS BERJUMLAH RM15.8 BILION DI KANADA BERISIKO TINGGI

PETRONAS memeterai perjanjian pelaburannya yang terbesar mutakhir ini apabila ia memuktamadkan pembelian Progress Energy Resources Corporation yang berjumlah C$5.2 bilion (bersamaan RM15.8 bilion). Urusniaga itu dimuktamadkan akhir tahun 2012 bertujuan membolehkan PETRONAS menguasai rezab gas asli dari batuan (shale gas) di kawasan British Columbia.

Walaupun secara umumnya pelaburan PETRONAS sebelum ini tidak dipertikaikan oleh masyarakat, pelaburan sebesar RM15.8 bilion wajar diberi perhatian yang lebih.

Ini berikutan beberapa perkembangan terkini yang menunjukkan bahawa pelaburan gas asli batuan (shale gas) adalah berisiko tinggi dan syarikat-syarikat lain sudah banyak mengalami kerugian besar.

Pada ketika PETRONAS merundingkan pembelian Progress pada harga yang memecah rekod itu (sekitar tahun 2012), beberapa syarikat besar dunia yang telah lebih awal melabur di dalam gas asli batuan kerugian berbilion ringgit.

Rekod menunjukkan bahawa syarikat-syarikat terbabit mengalami kerugian berbilion ringgit akibat pelaburan di dalam rezab gas asli batuan:

1.      Pada 27 Julai 2012, syarikat gas asli terbesar Kanada iaitu Encana Corporation telah kerugian C$1.7 bilion (bersamaan RM5.2 bilion) apabila ia terpaksa melupuskan nilai (write down) pelaburannya di dalam rezab gas asli batuan yang tidak memberikan pulangan seperti yang dirancang. Encana Corporation juga mengumumkan bahawa ia akan lebih banyak menanggung kerugian dari operasi dan rezab gas asli batuan di masa hadapan.
2.      Syarikat gas British iaitu BG Group juga melupuskan nilai (write down) pelaburannya dalam operasi gas asli batuan sebanyak US$1.3 bilion (bersamaan RM3.9 bilion) dalam bulan Julai 2012.
3.      Sekitar Julai 2012, syarikat minyak dan gas Australia iaitu BHP telah kerugian US$2.5 bilion (bersamaan RM7.5 bilion) apabila pelaburannya yang membeli rezab gas asli batuan dari Chesapeake Energy setahun sebelum itu jatuh merudum sepanjang tahun 2012. Dalam tempoh hanya setahun, nilai pelaburan BHP susut hampir separuh dari nilai pelaburan asal.

Perkembangan-perkembangan ini menimbulkan tanda tanya kerana nampaknya hanya PETRONAS yang beriya-iya menyertai pelaburan gas asli batuan dengan melibatkan pelaburan yang terbesar pernah dibuat di dalam satu urusniaga, pada ketika syarikat-syarikat lain mengalami kerugian besar dalam industri itu.

Kerugian-kerugian yang dihadapi oleh Encana, BG Group dan BHP diketahui umum dan berlaku sekitar bulan-bulan PETRONAS merundingkan pembelian dari Progress Energy itu. Secara logiknya, PETRONAS wajar lebih berhati-hati memasuki industri yang sedang mengalami kerugian besar.

Oleh sebab itu, wajarlah PETRONAS dan Perdana Menteri melaporkan secepat mungkin kepada rakyat kedudukan sebenar pelaburan berjumlah RM15.8 bilion itu. Adakah PETRONAS terpaksa melupuskan nilai (write down) pelaburannya seperti mana syarikat-syarikat lain kerana harga gas asli di Amerika Utara kekal rendah pada harga US$3.37 setiap MMBTU, berbanding harga sebelumya di antara US$7 ke US$12 setiap MMBTU (tahun 2008 ke 2010).

Episod pembelian Progress Energy yang menimbulkan tanda tanya ini membuktikan perlunya badan pengawasan yang lebih kukuh ke atas pelaburan besar PETRONAS dan bukannya diserahkan kepada Perdana Menteri semata-mata. Saya akan terus membentangkan fakta dan analisa yang menimbulkan beberapa keraguan mengenai urusniaga ini setiap hari sepanjang minggu ini agar Perdana Menteri memberi maklumbalas sewajarnya.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

16 DISEMBER 2013 

Friday, December 6, 2013

Perwakilan mahu Salam 1Melayu, bukan 1M'sia (Yang bercakap tu pun tak berapa nak cukup Melayu)

Perwakilan mahu Salam 1Melayu, bukan 1M'sia

Perwakilan Umno hari ini meminta slogan Salam 1Melayu menggantikan slogan salam 1Malaysia kerana kaum lain gagal membantu Umno negerinya.

Wakil Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir menceritakan pengalaman beliau 'ditikam' oleh kaum lain ketika pilihan raya umum lalu dalam perbahasan ucapan dasar presiden hari ini.

NONE"Tempat dia bertanding kita kerja siang malam, tempat kita bertanding dia kerja tak sampai sehari," kata beliau merujuk pada parti majoriti kaum lain yang bersekutu dengan Umno.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan parti yang terlibat.

Musa (kanan) turut menyokong desakan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menolong orang Melayu khususnya ahli Umno.

Malah veteran Umno ini turut memerli jawatankuasa tertinggi Umno yang mengabaikan ahli setia dalam pemberian projek dan tempat di syarikat GLC.

"Wanita pun nak dijadikan tulang belakang sahaja. Nak suruh buat kerja panggil wanita tapi syarikat GLC bagi orang luar.

"Umno ditubuhkan oleh orang Melayu, kita ni orang Melayu. Kalau MCA, DAP dan Gerakan boleh bercakap pasal kaum mereka kita pun boleh!" Kata beliau disambut sorakan oleh para perwakilan.

Mahu Dr M kembali ke Petronas
Musa turut menghentam syarikat GLC yang mengabaikan orang Melayu dan ahli Umno seperti Petronas dan Tenaga Nasional Berhad.

"Sampai ada syarikat GLC, nasi lemak pun nak import dari luar negara. Nasi lemak kita lagi sedap," kata beliau merujuk pada Petronas.

NONESebelum menamatkan ucapan beliau,ketua bahagian Bukit Mertajam itu turut meluahkan kemahuan perwakilan untuk mantan Perdana Menteri Tun Mahahthir Mohamad (kiri) kembali menjadi penasihat Petronas.

Musa juga meminta Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan hasrat beliau kepada Mahathir.

"Kami semua mahu Tun (Mahathir) kembali pada jawatannya sebagai penasihat Petronas," kata beliau disambut sokongan penuh para perwakilan.


Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/248570

Saturday, November 30, 2013

Kenapa Najib berani naikkan harga

Selepas PRU-13 menyaksikan kenaikan barangan dan keperluan hidup dengan menggila.

 - Lima bulan selepas PRU-13 harga petrol dinaikkan 
- selepas itu harga gula dinaikkan, disusuli pula dengan kenaikan
  bil Astro
- warga Kuala Lumpur dikenakan kenaikan cukai pintu
- bakal datang tahun hadapan tarif elektrik akan dinaikan  
- ura - ura kadar tol untuk lebuh - lebuh raya di Malaysia juga
  akan dinaikkan
- Tahun 2015 GST pula akan dikenakan

Rakyat Malaysia ni marah kejap ja.. minyak naik.. bising 2,3 minggu pastu senyap.. pastu sokong undi umno lagi...



Wednesday, November 20, 2013

Perjuangan & garis politik

Oleh: Hishamuddin Rais

Muktamar PAS ke-59 kali ini bukan hanya diperhatikan rapi oleh warga Malaysia sahaja. Malah, bekas rakan sekerja Edward Snowden dalam National Security Agency (NSA) di Amerika dan Goverment Communication Headquaters (GCHQ) di England turut sibuk merakamkan apa yang sedang berlaku. Keputusan pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini bukan hanya mempengaruhi arah politik Malaysia, malah juga ASEAN dan Asia Tenggara.
Sumber: www.keadilandaily.com 

Ahli PAS yang akan mengundi di muktamar kali ini berpeluang memilih pucuk pimpinan dari dua jalur atau dua garis politik. Media milik gerombolan United Malays National Organisation dan suku sakatnya mentakrif dua garis ini sebagai kumpulan ulamak dan kumpulan 'Erdorgan'. Sesekali Erdorgan ini dikatakan juga kumpulan profesional.

Sebenarnya ini nama-nama ini hanya ‘papan tanda' untuk mengelompokkan agar dapat diberi tanda. Ketika Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li melawan Mahathir Mohamad dulu, dikatakan wujud Tim A dan Tim B dalam United Malays National Organisation. Sebenarnya ada dua garis yang jelas yang diwakili oleh Ku Li atau Mahathir walau pun media tidak menerangkan secara tuntas. Nama diberi untuk memudahkan media membuat kerja.

Dalam PAS memang wujud kumpulan yang dipanggil ulamak. Dalam bahasa Arab, ulama membawa erti pemikir atau intelektual. Alim ertinya berilmu pengetahuan. Di Malaysia ini dua perkataan Arab ini telah disakralkan dan hanya diasosiasi dengan agama. Walhal alim dan ulama ini adalah untuk sesiapa sahaja yang memiliki daya fikrah yang kritikal dalam bidang keilmuan masing-masing, tidak semestinya hanya agama.

Erdorgan pula ialah ikutan nama perdana menteri Turki yang bukan ulama tetapi berjaya memimpin Turki dengan garis politik Islam. Nama ini muncul di Malaysia kerana golongan yang dikatakan kumpulan Erdorgan adalah gulungan profesional bukan guru agama, bukan lulusan pondok, tidak berserban, tidak berjubah dan tidak berjanggut panjang. Jauh sekali hidup mencari makan dengan menjual air jampi.

Kadang kala kumpulan Erdorgan ini dipanggil Anwarista. Jika perkataan Anwarista atau Anwarisna seperti dalam ucapan Zul Nordin maka kita tahu di belakang sebutan ini ada niat tidak baik. Anwarista ini digunakan untuk menggambarkan para pemimpin PAS ini sebagai macai kepada Anwar Ibrahim.

Di sebalik jenama ini sebenarnya ada garis politik yang amat jelas. Garis politik inilah yang wajib kita ketahui untuk memahami apakah tanda dan makna muktamar PAS kali ini.

Muhamad Sabu aka Mat Sabu dan Nik Amar yang merebut jawatan timbalan presiden PAS adalah manifestasi dari dua garis politik yang amat jauh berbeza. Dua sosok ini membawa dua pendekatan politik yang berlainan. Apa yang membezakan mereka ialah cara mereka melihat dan mentafsir Islam dalam konteks realpolitik Malaysia dan dalam konteks realpolitik dunia kontemperori.

Umum mengetahui bagaimana kumpulan ulama ini telah bersidang tidak berapa lama dahulu. Hasil persidangan ini satu ketetapan telah diluluskan. Mengikut ketetapan ini para ulama meminta parti PAS menilai kembali hubungannya dalam Pakatan Rakyat.

Mat Sabu lwn Nik Amar

Menilai kembali ini bermakna telah wujud perasaan tidak puas hati di kalangan alim ulama dalam hal perserikatan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik. Apa yang menimbulkan ketidakpuasan hati ini tidak pula jelas. Yang diumumkan kepada orang ramai hanyalah ulama mahu "menilai kembali" kerjasama dalam Pakatan.

Untuk yang arif politik, melintas Mat Bangla di depan mata telah diketahui sama ada pendatang haram atau tidak. Justeru, ketetapan dari persidangan ulama ini bermakna ada jalur dalam parti PAS yang tidak mahu terus bersama dalam Pakatan. Garis ulama ini menolak usaha menggalang barisan bersatu untuk menjatuhkan United Malays National Organsiation dan konco-konconya. Terlulusnya ketetapan ini bermakna garis politik para ulama PAS ialah menentang kerjasama dalam Pakatan. Dalam bahasa anak muda yang cool, PAS nak blah dari Pakatan.

Justeru garis PAS akan meninggalkan Pakatan menjadi mistos umum apabila pemerhati politik membincangkan muktamar PAS kali ini. Umum juga telah mengetahui bagaimana secara terbuka Nik Amar sendiri mengakui bahawa dirinya adalah ‘seorang ulama'. Justeru Nik Amar dianggap mewakili dan membawa garis ulama dalam muktamar PAS kali ini.

Manakala Mat Sabu dalam ceramahnya telah berkali-kali berkata:

"Apabila PAS keluar dari Pakatan, maka PAS akan menjadi lebih kuat. Tetapi jajahan takluk PAS hanya bermula dari Rantau Panjang dan berakhir di Kemaman."

Ucapan Mat Sabu ini jelas memperlihatkan bahawa garis politik yang dibawa oleh Mat Sabu ini ialah garis politik yang bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan. Mat Sabu memahami realpolitik Malaysia. Dalam politik pilihan raya - satu warga satu undi - tidak ada jalan lain untuk mengambil alih kuasa melainkan bekerja sama dengan kumpulan yang bukan dari parti PAS.

Ikatan kerjasama ini dari pandangan Mat Sabu telah memberi kejayaan dalam tahun 1999, 2004, 2008 dan dalam PRU13 yang baru selesai. Hanya dengan bekerja sama dengan parti-parti yang bukan dari bakul ketuanan Melayu barulah PAS mendapat kejayaan. Malah di Selangor kemenangan PAS yang amat cemerlang itu adalah hasil dari kerjasama dalam Pakatan.

Apakah perlawanan antara Mat Sabu dan Nik Amar ini membawa makna Mat Sabu menentang ulama? Dalam konteks Mat Sabu dan ulama, ia sesuatu yang pelik dan sukar untuk dipercayai. Sejarah masih belum merakamkan secara tuntas tentang konsep kepimpinan ulama dalam PAS. Tidak ramai yang mengetahui bahawa konsep ini adalah hasil dari gerakan Mat Sabu dan kawan-kawan yang telah melihat kejayaan Revolusi Iran 1979. Ketika konsep ‘kepimpinan ulama' ini diajukan Mat Sabu sedang bergerak aktif dalam Pemuda PAS.

Apakah para ulama tidak melihat realpolitik di mana Malaysia ini sebuah negara majmuk - berbilang bangsa dan agama. Malah dalam kumpulan penganut Islam itu sendiri tidak semua yang memegang kad pengenalan Islam bersetuju dengan apa yang cuba dibawa dan dilakukan oleh kumpulan ulama ini.

Parti 'fatwa fatwi'

Jawabnya, para alim ulama ini melihat realpolitik ini. Tetapi kefahamam politik dan analisa politik mereka tidak memasukkan ekonomi dan kelas sebagai asas politik. Gerakan parti politik bertujuan untuk mengambil kuasa. Dengan memenangi kuasa maka punca-punca ekonomi boleh dimiliki. Dengan memiliki punca ekonomi maka barulah dapat dilaksanakan satu sistem ekonomi yang berkemungkinan melahirkan Negara Berkebajikan.

Tanpa kuasa politik tidak ada kuasa ekonomi. Tanpa kuasa ekonomi tidak ada satu habuk. Yang ada hanya selipar Jepun dan kain cukin. Ini difahami jelas oleh Mat Sabu. Tetapi agak kabur dalam pandangan mata para ulama. Justeru kita melihat bagaimana akhbar Utusan Malaysia berhempas pulas cuba menimbul agenda hudud, isu Syiah, isu Allah, semua ini bertujuan untuk memerangkap ahli PAS agar gagal memahami ekonomi sebagai asas politik.

Niat dan cita-cita Utusan ini cukup jelas. Selagi PAS bersama Pakatan, maka kesihatan parti ketuanan Melayu ini akan terus merudum menuju ke liang lahad. Dalam realpolitik, kuasa United Malays National Organsiation hari telah lupus. Yang membolehkan gerombolan ini berkuasa hanya melalui kuasa polis, Cawangan Khas atau kuasa mahkamah. Sebanyak 52 peratus akyat Malaysia tidak lagi menyokong United Malays National Organisation dan konco-konconya.

Apakah para ulama tidak melihat ini? Jawabnya, ada melihat dan ada tidak. Kalau kita perhatikan dunia Islam hari ini ialah melimpah dengan kekayaan hasil bumi. Sayangnya kekayaan negara Islam ini disaluti dengan kebebalan fikrah warganya. Tidak ada yang alim dan tidak ada yang ulama. Para alim dan ulama ini hanya tinggal nama sahaja.

Mengikut Mat Sabu gerakan Islam hari ini masih lagi di tahap ‘takfiri'. Masih lagi membincangkan apa yang suci dan apa yang haram. Masih lagi menuduh siapa kafir dan siapa boleh masuk syurga. Islam gagal untuk mengajukan satu sistem sosial yang berkebajikan. Walhal hampir tiga suku ayat-ayat dalam Quran ialah tentang kebajikan umat manusia.

Semenjak tahun lalu mimpi berahi United Malays National Organisation dan Utusan Malaysia ialah kekalahan Mat Sabu. Gerombolan Ketuanan Melayu bermimpi sambil merancang agar parti PAS akan meninggalkan Pakatan. Jika semua ini gagal, parti ketuanan melayu berharap PAS akan kembali menjadi parti ‘takfiri' yang akan menuduh sesiapa sahaja sebagai kafir dan musuh Islam.

Gerombolan ketuanan Melayu berharap PAS akan menjadi parti politik yang kerjanya hanya mengeluarkan fatwa fatwi untuk menghukum dan mengkafirkan sesiapa sahaja yang dianggap tidak bersetuju dengan garis politik PAS. Bila ini berlaku maka anak muda akan lari lintang pukang menjauhi PAS. Bukan takut dengan PAS tapi menyampah dengan parti kolot yang mengganggu hidup mereka.

Jika ini terjadi maka jaringan luas yang wujud hari ini, dari anak semua bangsa dan dari agama semua kaum yang menyokong PAS akan kendur. 

Inilah yang dikatakan oleh Mat Sabu "wilayah takluk PAS hanya bermula dari Rantau Panjang dan berakhir di Kemaman". 

Maka akan bergumbiralah ahli United Malays National Organisation kerana mereka boleh merompak harta negara tanpa sekatan.

Setakat ini Utusan Malaysia akhbar milik parti ketuanan Melayu sedang berkempen memutar alam. Tapi ahli PAS yang bersidang ke muktamar telah dewasa. Setitik dakwat Utusan telah diketahui jantan betinanya.

Saturday, October 26, 2013

Memahami erti "Perbentangan Bajet"

Tujuan aku menulis penulisan ini adalah untuk mengajak pembaca mengubah persepsi tentang "bajet" atau pun "belanjawan". Ini kerana aku memerhatikan banyak rakyat yang mempunyai tanggapan dan presepsi yang salah tentang bajet terutamanya bajet 2014 yang dibentangkan oleh Dato Seri Najib baru - baru ini. 



Ramai orang dari tukang kebun ke kakitangan swasta hinggalah kepada pegawai tinggi kerajaan menantikan pengumuman bajet oleh menteri kewangan dengan teruja, berdebar dan penuh harapan. Mereka menantikan apakah habuan, ganjaran dan imbuhan yang bakal diberikan oleh kerajaan dalam satu - satu pengumuman bajet seperti perbentangan bajet 2014 baru - baru ini. Kakitangan awam menanti - nantikan pengumuman adakah bonus akan diberikan, ada yang berdebar menunggu adakah rebet telefon bimbit akan diberikan lagi, adakah jumlah BR1M akan ditambah dan pelbagai lagi dengan penuh harapan seperti hamba yang berhimpun dihalaman istana untuk menantikan ditabur wang emas oleh sang raja maka berebut - rebutlah golongan hamba tersebut memungut kepingan wang emas yang ditabur sambil ditertawakan oleh sang raja yang melemparkan wang emas tersebut. Bagi aku tindakan, tanggapan dan harapan yang sebegini adalah satu sikap dan perbuatan yang bodoh lagi membodohkan.

Mengapa aku mengatakan sikap dan perbuatan tersebut sesuatu yang bodoh lagi membodohkan?? Sebelum aku menjawab persoalan tersebut, aku mahu membawa pembaca mengenali dan memahami apakah maksud atau makna sebenar "Perbentangan Bajet" ataupun dikenali sebagai belanjawan sebelum ini. 

"Bajet" itu sendiri bermaksud anggaran atau perkiraan. Perbentangan Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Dato Seri Najib adalah satu anggaran atau perkiraan perbelanjaan yang bakal dibelanjakan oleh kerajaan pada tahun hadapan iaitu 2014. Dengan kata lain perbentangan bajet tersebut adalah perancangan kerajaan untuk berbelanja pada tahun 2014. Maka kata kuncinya disini adalah "perbelanjaan negara"

Apabila bercakap tentang perbelanjaan ianya mestilah melibatkan wang. Perkataan belanja atau perbelanjaan itu tidak akan boleh berdiri dengan sendiri tanpa adanya wang. Umpama manusia yang memerlukan oksigen, tanpa oksigen manusia tidak akan boleh hidup. Begitu juga dengan "belanja" atau "perbelanjaan" ianya tidak akan boleh berjalan tanpa wang. Kata kunci yang kedua adalah "wang"

Maka jika digabungkan kedua - dua kata kunci tersebut, kita boleh membina satu ayat yang berbunyi "Kerajaan memerlukan wang untuk menjalankan perbelanjaan negara"

Pada tahap ini kita patut timbulkan satu persoalan, dari manakah kerajaan mendapatkan wang untuk berbelanja pada tahun 2014? 

Jawapan dari persoalan ini adalah "kerajaan mendapatkan wang dari pelbagai jenis hasil cukai yang dipungut dari rakyat Malaysia dan hasil - hasil bumi yang terdapat di Malaysia". Maka dari jawapan ini satu kesimpulan ringkas yang kita boleh buat adalah "Kerajaan menggunakan duit rakyat dan hasil bumi negara yang juga merupakan milik rakyat untuk berbelanja pada tahun 2014". 

Oleh itu apa yang aku inginkan pembaca semuanya tahu dan faham ialah, "perbentangan bajet 2014" tersebut adalah satu tindakan pihak kerajaan dalam sistem demokrasi untuk memberi tahu kepada rakyat tentang bagaimana wang rakyat akan dibelanjakan pada tahun 2014 dan juga untuk meminta izin daripada rakyat untuk menggunakan wang rakyat untuk kerajaan berbelanja pada tahun 2014. Kata kuncinya disini pula ialah, "Perbentangan bajet = satu keadah atau cara kerajaan memberitahu atau membuat pengumuman dan meminta izin dari rakyat untuk berbelanja menggunakan wang rakyat pada tahun 2014". 

Maka sebab itulah perbentangan bajet tersebut dibuat di dalam Dewan Rakyat. Apabila perbentangan atau pengumuman tersebut dibuat di dewan rakyat, semua wakil - wakil rakyat yang terdapat di dalam dewan tersebut dan mendengar, mengetahui dan memahami tentang perancangan perbelanjaan kerajaan untuk tahun 2014 tersebut. Setiap wakil rakyat tersebut mewakili rakyat untuk kawasan mereka dan keseluruhan rakyat Malaysia. Ini bermakna membuat perbentangan bajet di dewan rakyat bermaksud membuat perbentangan bajet kepada rakyat.


Keduanya, aku mengatakan perbentangan bajet 2014 adalah satu cara atau kaedah kerajaan meminta izin daripada rakyat untuk berbelanja menggunakan wang rakyat. Ini kerana selepas menteri kewangan membentangkan bajet 2014 tersebut, pada persidangan dewan rakyat selepas ini semua wakil - wakil rakyat yang kita pilih melalui pilihanraya dan dihantar ke dewan rakyat untuk mewakili kita akan membahaskan atau mendebatkan setiap cadangan yang terkandung dalam bajet 2014 tersebut. Tujuan kandungan bajet 2014 ini dibahaskan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan duit rakyat seterusnya untuk mendapatkan kelulusan daripada dewan rakyat yang mewakili keseluruhan rakyat Malaysia. Hanya apabila cadangan atau isi kandungan bajet tersebut diluluskan oleh dewan rakyat barulah cadangan dan perancangan perbelanjaan untuk tahun 2014 yang menggunakan wang rakyat tersebut boleh dilaksanakan. Dengan kata lain, kerajaan meminta izin daripada rakyat melalui wakil rakyat kita di dewan rakyat.

Oleh itu kesimpulan secara keseluruhan yang boleh aku katakan dan untuk kita semua faham ialah, "perbentangan bajet 2014" adalah satu proses atau tindakan kerajaan membuat pengumuman dan pemberitahuan serta meminta izin dan restu daripada rakyat untuk berbelanja menggunakan wang rakyat (wang kita) pada tahun 2014. 

Maka rakyat sepatutnya menanti dan mendengar "perbentangan bajet 2014" dengan sikap yang tegas, garang, marah dan penuh kritikal kerana kerajaan pada waktu itu sedang merayu dan meminta izin kepada kita untuk berbelanja menggunakan wang kita. Apa yang diberikan oleh kerajaan melalui bajet tersebut adalah sebenarnya hak kita yang sepatutnya lebih dari itu dan ianya bukannya ehsan atau belas kasihan kerajaan. Kasihan atau tidak kasihan, tetapi hak tetap hak dan wang yang kita salurkan kepada kerajaan perlu dibelanjakan dengan penuh cermat dan bertanggungjawab agar hasilnya nanti pulang semula kepada kita dan bukannya menguntungkan dan mengenyangkan dua tiga kerat pemimpin.

Jika kita terus dengan presepsi "perbentangan bajet" adalah tempat untuk kita menunggu, merayu dan mengharapkan sesuatu ganjaran dari kerajaan samalah seperti kita memberikan wang gaji kita kepada jiran dan mengharapkan jiran tersebut dapat menghadiahkan sepasang kasut kepada kita yang dibeli dengan pemberian wang gaji kita tadi. Tidakkah itu satu sikap dan perbuatan yang bodoh lagi membodohkan. -TTK-