Tuesday, October 23, 2012

Lelaki Bosnia Berjalan Kaki 5,700km Untuk Tunaikan Haji



SARAJEVO - Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.

"Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic menerusi satu temu bual telefon.

Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,700 kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram.

Hadzic memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya termasuk gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing.

"Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan.

"Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka melepaskan saya," ujar Senad.

"Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu.

Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq.

Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di Jordan.

Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji. ~afp

Monday, October 22, 2012

Chua Soi Lek dan Hudud

Sejak akhir - akhir ini dan ditambah lagi dengan Perhimpunan Agong MCA ke-59 Chua Soi Lek dan cukong - cukongnya dalam MCA begitu galak dan rakus menyerang hudud. Perkara ini bukan lagi rahsia atau khabar - khabar angin yang bertiup tetapi dilaporkan secara terbuka oleh media - media yang menghadiri persidangan perhimpunan cukong - cukong tersebut. Langsung tidak kedengaran suara dari NGO Melayu Islam. Hanya sedikit dari Perkasa tetapi mana hilang Hasan Ali, Ibrahim Ali, Zul Nordin semuanya tersipu - sipu malu untuk bersuara bila mendengar kritikan dari kepala Cukong ini.

 Mungkin mereka boleh mengatakan, hudud yang Soi Lek kutuk dan hina itu adalah hudud ala PAS dan bukan hudud Islam sebenar. Tanya balik kepada Soi Lek apakah dia hudud Islam sebenar. Dalam laporan Malaysiakini semalam Soi Lek mengatakan, "lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat". Sekali lagi sila ajukan semula soalan kepada Soi Lek, jika beliau hanya menyerang hudud yang dikatakan ala PAS, tetapi dalam 8 negara yang dikutuknya itu negara mana yang ada Parti PAS didalamnya?

Kita semua jangan tersalah baca dengan isu hudud yang dimainkan oleh Soi Lek dan kuncu - kuncu cukongnya ini. Percayalah tanpa persetujuan, Soi Lek dan cukong - cukong ini tidak akan berani bercakap begini. Malahan tidak mustahil skripnya telah disiapkan dan diserahkan kepada Soi Lek untuk dilagukan dalam perhimpunan Agong MCA. Restunya sudahnya tentu datang dari Umno yang mana kita sendiri boleh lihat Najib sendiri datang pada majlis penutup perhimpunan agong tersebut dengan memakai tshit rasmi perhimpunan agong berkenaan yang terdapat cetakan "katakan tidak pada hudud PAS". 

Ini semuanya memang sudah dirancang dan bukan disebabkan oleh semangat membara Soi Lek akibat mendapat mimpi basah malam sebelum dia menyampaikan ucapannya. Tujuan yang jelas isu ini diarahkan untuk dibangkitkan oleh MCA adalah untuk menarik semula undi orang cina kepada MCA. Kita semua tahu MCA kini umpama pesakit yang mengidap panyakit barah tahap 4 yang mana memang sukar diubati lagi. Oleh itu MCA memerlukan nyawa dan nyawa mereka datang dari undi orang Cina. Orang Cina hari ini jelas dan terang memihak kepada DAP dan PKR malahan juga PAS.  Maka MCA perlu menarik semula undi orang Cina dengan menakut - nakutkan orang Cina yang menyokong DAP dengan hudud atas alasan DAP berkawan dengan PAS. 

Jika sebelum PRU-12 Umno menakut - nakutkan orang Melayu dengan gambaran dan cerita hantu cina kepada orang yang Melayu menyokong DAP dan parti pembangkang lain. Kini tugas MCA pula menggunakan modus operandi yang sama tapi kali ini MCA menggunakan kisah dan cerita hantu Melayu untuk menakut - nakutkan orang Cina  yang menyokong PAS, PKR dan DAP.

Mengapa tugas memainkan cerita hantu ini diserahkan pula kali ini kepada MCA walaupun kebanyakan orang Cina di Malaysia ini tidak gemar dengan cerita hantu? Ini kerana Umno tidak boleh mainkan isu hudud ini kerana Umno mahu dilihat lebih Islam dari Islam pada saat - saat PRU-13 akan datang ini. Jika  Umno terus menyerang parti pembangkang terutamanya PAS dengan isu hudud, sokongan orang Melayu yang hanya tinggal separuh bersama Umno sekarang ini bimbang akan menjadi suku kerana dilihat mereka ini anti Islam. Lagi pula, jika hanya Umno yang memainkan isu hudud ini ianya tidak akan diambil kisah oleh orang Cina dan akhbar - akhbar Cina tidak ambil port untuk melaporkannya. Tetapi jika MCA yang memainkan isu hudud ini, sudah tentu orang Cina akan mengambil perhatian lebih dan bukan sahaja Cina malahan sudah tentu Melayu dan mungkin juga India turut akan ambil peduli. 

Oleh itu MCA perlu menggalas tugas ini untuk terus mengelirukan dan menakutkan orang Cina dengan Hudud. Barisan Nasional sangat - sangat memerlukan undi bukan Melayu untuk menang dalam PRU-13 nanti. Dalam situasi hari ini BN hanya mampu memperolehi tidak sampai 1/4 undi bukan Melayu yang terdapat diseluruh Malaysia ini. Undi Melayu mungkin BN boleh pertahankan dari PRU-12 yang lalu dengan taburan wang dan pelbagai bentuk lain tetapi untuk menambah dan mempertahankan undi bukan Melayu dari PRU-12 untuk dibawa ke ke PRU13 sememangnya BN menghadapi jalan buntu. Orang bukan Melayu terutama Cina tidak mudah termakan dengan dengan sogokan dan imbuhan RM500 atau subsidi baja. Ini kerana majoriti orang Cina di Malaysia adalah berpendapatan tinggi dan tidak boleh dibeli dengan RM500. Yang mereka mahukan sebuah kerajaan yang baik urus tadbirnya, tidak mensia-siakan bayaran puluhan ribu cukai yang dibayar mereka setiap tahun dan perjalanan hidup yang baik.

Oleh itu Umno dan sekutunya MCA dan lain - lain akan terus bermatian - matian dalam tempoh yang ada ini untuk mengelirukan pengundi dengan isu - isu seperti hudud ini. MCA itu adalah parti yang bersifat taukey - taukey dan saudagar - saudagar Cina yang hanya memikirkan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan dan tidak berminat dengan isu agama tetapi kali ini MCA telah mula menunjukkan minat dengan isu agama mungkin kerana tarbiah dan usrah yang dilakukan oleh Umno, maka tidak hairanlah pada hari ini tauke - tauke buah kurma di Malaysia juga ramai terdiri dari orang Cina yang mungkin kroni MCA. 

Bagi rakyat Malaysia yang matang dalam menghadapi isu ini, kita semua perlu sedar bahawa "hanya yang keliru akan menjadi takut dan yang takut akan menjadi bodoh dan diperbodohkan".




p/s: Cukong = adalah dalam bahasa Indonesia yang membawa  makna "taukey - taukey besar"

Friday, October 19, 2012

Kos Membaiki Kenderaan Berusia Lebih Lima Tahun Lebih Tinggi

PETALING JAYA: Jika anda memiliki sebuah kereta berusia lebih dari lima tahun dan terbabit dengan kemalangan, bersedialah menerima tekanan daripada syarikat insurans dan bengkel, yang mengkehendaki anda membayar lebih atau berpuas hati dengan alat ganti tidak berkualiti.

Syarikat insurans menetapkan bahawa alat ganti tidak seharusnya baru dan tidak seharusnya diganti dengan yang tulin mengikut umur kenderaan.

Alat ganti baru hanya akan dipasang jika pemilik bersetuju untuk membayar caj "betterment" yang biasanya antara lima peratus dan 40 peratus daripada harga penggantian.

Bengkel motor mengeksploitasi keadaan ini dengan memasang alat ganti tiruan dan menyatakan ia baru atau asli.

Pemilik perlu membuat perbezaan berapa yang sedia dibayar syarikat insurans dan apa yang dicaj oleh bengkel.

Daripada 9,721,447 kereta di jalan raya, 1,984,140 berusia lebih dari lima tahun.

Pengurus operasi liga sukan berusia 36 tahun mempunyai pengalaman tipikal.

Shamim Imran menyedari fasal alat ganti apabila dia menghantar Proton Satria GTi berusia 12 tahun untuk dibaiki selepas ia rosak bulan lepas.

Setelah mengambil polisi insurans komprehensif, dia menganggap keseluruhan bil pembaikan akan ditanggung.

Sebaliknya, syarikat insurans hanya meluluskan RM5,000 untuk bengkel menggantikan pencucuh kereta, sistem penggera dan stereng.

"Tetapi saya difahamkan alat ganti tiruan akan digunakan untuk kereta saya. Jika saya mahu yang asli, saya terpaksa menambah sebanyak 40 peratus sebagai caj 'betterment'," katanya.

Dia berkata bahawa syarikat insuransnya telah mempersetujuinya dengan bengkel panel.

"Menurut mereka, peraturan Bank Negara membenarkan bahagian alat ganti kenderaan berusia 10 tahun dan ke atas digantikan dengan alat ganti tiruan.

"Saya bingung. Saya fikir insurans akan memberi kebaikan terhadap sebarang tuntutan kerosakan," kata Shamim, sambil menambah beberapa orang rakannya turut mendapat tawaran yang serupa daripada bengkel panel mereka.

Ahninaroah Mohd Noor dari Kuala Lipis berkata bahawa bengkel panelnya memasang alat ganti tiruan pada Proton Wira berusia lapan tahunnya selepas kemalangan yang merosakkan bumper depan, lampu, radiator dan tangki air.

"Saya telah diberikan RM4,000 untuk membaikinya. Apabila kereta pulang dari bengkel ia kelihatan elok," kata guru berusia 29 tahun ini.

Tetapi dia terperasan bahawa logo Proton yang baru ditukar mula pudar selepas beberapa hari.

"Apabila saya menggoncang bumper depan, ia jatuh dan saya menyedari bahawa saya telah diberi alat ganti tiruan," kata Ahninaroah, yang mengadu kepada syarikat insurans tetapi perkara itu tidak pernah diselesaikan.

"Saya akhirnya perlu menggantikannya dengan alat ganti tulin dengan duit saya sendiri."

Wednesday, October 10, 2012

Agensi Kuanseling dan Pengurusan Kredit AKPK

Mungkin ada antara kita yang tidak pernah mendengar tentang Agensi Kuanseling dan Pengurusan Kredit AKPK. Atau pun mungkin ada antara kita yang pernah mendengar tentang AKPK tetapi tidak tahu atau kurang jelas tentang fungsi atau peranan AKPK.

AKPK adalah sebuah badan pengurusan kredit yang terletak dibawah Bank Negara Malaysia. AKPK tidak memberi bantuan pinjaman kewangan tetapi membantu memberi khidmat kuanseling berkenaan pengurusan kredit dan kewangan serta membantu mereka menyelesaikan beban hutang dengan cara menyusun semula bayaran bulanan dengan kadar yang lebih rendah sekaligus meringankan beban si penghutang.

Sekiranya anda mempunyai beban hutang yang mana anda sendiri tidak mampu menjelaskan ansuran bulanan dan pihak bank atau agensi pengutip hutang serta pejabat peguam sering menghubungi anda memaksa dan meminta anda untuk menjelaskan ansuran bulanan dengan jumlah tertentu tetapi anda sememangnya tidak mampu untuk berbuat demikian. Dalam situasi ini anda boleh meminta perlindungan dari AKPK. Dengan meminta perlindungan AKPK bank - bank yang anda hutang tadi tidak lagi boleh menganggu hidup anda. Tetapi bukan semua jenis hutang yang membolehkan anda mendapat perlindungan AKPK. AKPK hanya memberi perkhidmatan kepada mereka yang mempunyai masalah hutang dengan bank-bank yang sah dan berdaftar dengan bank negara yang berbentuk:

- Hutang Kad Kredit
Mereka yang mempunyai hutang kad kredit yang banyak dan tidak mampu menjelaskan ansuran bulan seperti mana yang dituntut oleh pihak bank.

- Pinjaman Peribadi
Mereka yang tidak mampu menjelaskan ansuran bulanan pinjaman peribadi yang mereka buat dengan pihak bank.

- Rugi Atas Jualan
Bermaksud, sekiranya kita tidak mampu menjelaskan ansuran kereta atau rumah, bank akan tarik kereta kita atau menyita rumah kita. Selepas itu bank akan melelong kereta atau rumah kita itu tadi. Jumlah hasil lelongan itu tadi mungkin tidak mampu mampu untuk menampung jumlah hutang keseluruhan kita dengan pihak bank. Baki yang tidak mampu ditampung itulah digelar rugi atas jualan dan biasanya pihak bank akan menyuruh si penghutang untuk menjelaskan baki hutang tersebut. Contohnya, anda membeli kereta dan membuat pinjaman dengan bank sebanyak RM90 000.  Selepas 2 tahun anda menggunakan kereta tersebut anda mungkin telah membuat pembayaran sebanyak RM 14 000. Selepas tempoh itu anda tidak mampu membayar ansuran kereta dan kereta anda ditarik oleh pihak bank. Selepas anda tidak mampu mengambil semula kereta anda dari pihak bank, bank akan melelong kereta anda. Pihak bank mungkin hanya mampu melelong kereta anda pada harga RM40 000. Maka jumlah keseluran hutang anda RM 90 000 tolak jumlah yang telah dibayar oleh anda RM 14 000 dan tolak hasil lelongan RM 40 000 maka hutang anda dengan pihak bank masih berbaki RM 36 000. Baki RM36 000 itu pihak bank akan meminta anda untuk jelaskan dalam tempoh dan jumlah tertentu. Jumlah tersebut selalunya agak tinggi dan tempohnya agak singkat. (RM30 000 keatas membolehkan anda diisytiharkan bangkrap). Maka anda boleh meminta perkhidmatan dari AKPK dalam membantu anda menyelesaikan hutang tersebut dan mengelakkan anda dari diisytihar bangkrap.

Bagaimana AKPK membantu anda:
Seperti yang saya katakan tadi AKPK tidak menawarkan bantuan dalam bentuk kewangan atau dengan kata lain memberi pinjaman kewangan kepada anda. AKPK boleh membantu:
- Mengurangkan ansuran bulanan yang perlu anda bayar lebih 50%. Contohnya, anda mungkin didesak oleh pihak bank untuk membayar minimum RM500 sebulan ansuran hutang kad kredit anda. Kegagalan anda membayar membayar mengikut jumlah tersebut menyebabkan faedah atau pun bunga hutang anda bertambah. AKPK boleh membantu anda mendapatkan ansuran yang lebih rendah mengikut kemampuan anda dalam sekitar RM250 sebulan atau kurang pada itu.
- Anda mungkin mempunyai hutang dengan 2 atau 3 buah bank, dan melalui AKPK hutang-hutang ini akan boleh dikumpulan dan anda hanya perlu membayar satu jumlah ansuran bulan yang lebih rendah dan kadar feadah yang dikenakan juga jauh lebih rendah berbanding bank.
- Mengelakkan anda dari diiytiharkan bangkrap oleh pihak mahkamah bagi kes yang melebihi RM30 000
- Menenangkan hidup anda dari diganggu pihak bank atau agen pemungut hutang.

Bagaimana Proses Mendapatkan Perkhidmatan AKPK:
- Anda boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2575 bagi memilih perkhidmatan yang anda mahukan. Untuk pengurusan hutang seperti yang disebut diatas anda boleh memilih "Pengurusan Kredit"
- Anda akan dihendaki menghadiri "Taklimat AKPK" terlebih dahulu dimana - mana cawangan AKPK seluruh negara. Tarikh, masa dan lokasi boleh anda pilih berdasarkan jadual yang ditetapkan oleh AKPK.
- Semasa sesi taklimat sekitar 2 jam, anda akan diberi penerangan lengkap berkenaan program "Pengurusan Kredit" oleh pegawai AKPK. Anda juga boleh bertanyakan soalan dan perkara - perkara yang anda kurang jelas semasa sesi soal jawab. Jangan lupa untuk menandatangi rekod kehadiran anda selepas tamat sesi taklimat tersebut, kerana jika tidak proses seterusnya tidak boleh berjalan kerana nama anda tiada dalam rekod.
- Selepas selesai sesi taklimat anda boleh membuat keputusan sama ada mahu meneruskan program tersebut atau tidak. Dan sekiranya anda mahu teruskan untuk mendapatkan khidmat AKPK, anda boleh menghubungi AKPK sekali lagi untuk tetapkan temujanji dengan Pegawai Kredit (kuanselor) AKPK. Tarikh, masa dan tempat juga boleh anda tentukan sendiri berdasarkan kekosongan jadual AKPK. Semasa pertemuan kali kedua ini anda akan diminta untuk membawa salinan kad pengenalan, slip gaji terkini, penyata - penyata bank hutang anda, penyata caruman kwsp, surat peguam sekiranya ada dan rekod CRIS yang boleh didapati di cawangan bank negara.
- Sebelum anda berjumpa pegawai AKPK anda akan diminta menyenaraikan kesemua hutang dan perbelanjaan bulanan anda dalam satu borang yang disediakan oleh AKPK. Maklumat ini diperlukan untuk pihak AKPK melihat kemampuan kewangan anda dan jumlah bayaran yang bakal ditetapkan.
- Semasa berjumpa pegawai AKPK anda akan diminta untuk menerangkan serba sedikit berkenaan masalah hutang anda dan pegawai AKPK akan membuat pengiraan berdasarkan kemampuan anda untuk membayar ansuran hutang anda.
- Selepas itu anda akan diminta untuk membuat bayaran pada jumlah tertentu yang telah dipersetujui setiap bulan sebelum 30 hari bulan. 
- Keadah bayaran bulanan boleh dibuat terus ke akaun AKPK di mana -mana cawangan maybank seluruh negara (kuanter, atm atau online). Perkara ini akan diterangkan oleh pegawai AKPK.

Syarat - Syarat Untuk Mendapat Perkhidmatan AKPK
- Seseorang itu mestilah belum disytiharkan bangkrap atau pun muflis oleh pihak mahkamah
- Belum menerima arahan untuk hadir ke mahkamah
- Mempunyai pendapat yang positif

Syarat dan Kesan
- Anda perlu menjelaskan jumlah bayaran bulanan yang dipersetujui dengan AKPK setiap bulan sebelum 30 hari bulan tanpa gagal walaupun sebulan. Sekiranya anda gagal membayar sebulan sahaja ansuran, anda akan terkeluar dari program Penguruan Kredit AKPK  dan anda tidak layak untuk mendapatkan perkhidmatan AKPK lagi selepas itu.
- Dalam tempoh anda mendapatkan perkhidmatan AKPK ini misalnya 30, 60 bulan atau lebih, anda tidak boleh membuat sebarang permohonan pinjaman atau kad kredit dari mana - mana bank. Jika hutang berkaitan kad kredit, kad anda akan dibatalkan. Dengan kata lain anda "blacklist" dalam tempoh tersebut.
- Nama anda akan dibersihkan semula selepas anda selesai membayar kesemua hutang anda dalam tempoh yang ditetapkan atau lebih awal dari itu. 

(Apa yang boleh dikatakan program AKPK ini berkonsepkan menolong dan dalam masa yang sama menghukum agar kita bijak menguruskan kewangan kita)

Monday, October 8, 2012

Pemain Bola Sepak Import Dan Calon Politik Import

Perkara berkenaan pemain bola sepak yang diimport dari satu pasukan ke satu pasukan lain bukanlah satu perkara baru dalam arena sukan bola sepak. Tujuan sesuatu pasukan mengimport pemain dari pasukan lain atau pun dari negara lain adalah untuk memantapkan lagi pasukan mereka disamping merancakkan lagi sesuatu liga bola sepak itu. Contohnya Cristiano Ronaldo yang dahulunya bermain untuk pasukan Manchester United diimport oleh pasukan Real Madrid dan beberapa lagi pemain handalan dunia yang dilihat diimport oleh pasukan lain untuk bermain dengan pasukan mereka. 

Begitu juga dengan Liga Malaysia yang dilihat ramai pemain - pemain import memeriahkan Liga Malaysia ini. Kelab Pelita Jaya dari Indonesia mengimport penyerang handalan Malaysia Safe Sali dengan bayaran yang cukup tinggi dan dilihat ianya berbaloi bilamana pasukan itu mencapai kejayaan yang cukup cemerlang dan berjaya menarik ramai penonton ke stadium. Dengan adanya pemain - pemain import ini nama pasukan dan liga mereka terkenal dan menjadi sebutan diperingkat antarabangsa dan bukan sekadar liga kampung sahaja.

Ini semua gambaran "import" dalam arena sukan bola sepak. Saya akan membawa pembaca ke perkara "import" dalam arena politik khususnya politik Pulau Pinang. Mungkin ada kalangan anda mengatakan tidak boleh disamakan antara "import" bola sepak dengan "import" politik. Tetapi saya mahu pembaca memlihat disebalik yang kita nampak dari perbandingan ini.

Democratic Action Party DAP dilihat telah lama mengamalkan gaya politik import ini iaitu dengan membawa calon dari kawasan atau negeri lain untuk bertanding di kawasan atau negeri lain. Pencubaan yang dimulakan dengan Projek Tajung 1, Projek Tanjung 2, Projek Tanjung 3 dan kini akhirnya DAP telah berjaya membentuk sebuah kerajaan negeri yang dahulunya dilihat begitu sukar bagi parti DAP. Malah pada Pilihanraya Umum 2008 DAP membuat langkah berani mengimport saudara Lim Guan Eng dari Melaka untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan dan Dewan Undangan Negeri Air Puteh kedua - duanya di Pulau Pinang dan hasilnya calon import itu iaitu Lim Guan Eng hari ini diangkat menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama dari DAP dan juga dari komponen pembangkang. 

Kini parti DAP merupakan parti yang popular di Pulau Pinang bukan sahaja dari kalangan penduduk bukan Melayu tetapi hampir separuh penduduk Melayu Pulau Pinang meminati DAP dan tidak memandang DAP seperti tahun - tahun 80 dan 90an yang lalu. Ianya kesan dari perubahan yang dilakukan oleh parti DAP yang tidak mahu mereka dilihat sebagai sebuah parti berteraskan orang Cina dan peranan penting Ketua Menteri Lim Guan Eng yang diimport dari Melaka untuk mengubahkan presepsi rakyat terhadap parti tersebut. Jika tahun - tahun 80 dan 90an dahulu pernah kita terfikir seorang lebai boleh mengibarkan bendera DAP. Tapi hari ini ianya sudah boleh kelihatan. Semua ini adalah hasil usaha parti DAP dan salah satunya berani bermain dengan "Pemain a.k.a Calon Import"

Bagi Parti Keadilan Rakyat PKR pula, pemimpin parti mereka dilihat sedang cuba untuk membuka ruang kepada calon - calon import. Saifuddin Nasution dari Kedah diimport oleh PKR Kelantan untuk bertanding di kerusi Parlimen Machang dan Saifuddin Nasution berjaya menjadi wakil rakyat disitu. Dari Kedah ke Kelantan dua negeri yang mempunyai adat dan loghat bahasa yang cukup berbeza tetapi Saifuddin yang pada ketika itu tidaklah se-popular mana di Kelantan tapi boleh menang di sana, ini kerana keberanian untuk bermain dengan pemain import. 

Menjelang PRU-13, mengikut dari sumber dalaman,  PKR Pulau Pinang sekali lagi akan membuat langkah berani untuk bermain dengan pemain import dengan membawa Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang sekarang Mansor Othman ke parlimen kawasan yang bakal ditandinginya mungkin Nibong Tebal dan membawa masuk Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli ke mana - mana dewan undangan di Pulau Pinang dan mungkin Penanti dan mengikut sumber dalaman Rafizi ini akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang bagi menggantikan tempat Mansor Othman yang ke parlimen. Rafizi adalah anak kelahiran Terengganu dan mahu diimport PKR ke Pulau Pinang. Langkah ini mungkin tidak disenangi oleh calon - calon tempatan tetapi keberanian untuk itu perlu ada. 

Bagaimana pula dengan Parti Islam Se-Malaysia PAS Pulau Pinang. Calon - calon import masih kurang dipraktikan oleh PAS Pulau Pinang. Mungkin PAS masih hanya mahu calon - calonnya bermain dalam liga tempatan atau liga kampung. Percubaan PAS membawa Mat Sabu dari Kedah ke Kuala Terengganu pada PRU-12 yang lalu berakhir dengan kekalahan dan kini Salahuddin Ayub yang sudah 2 penggal di Kubang Kerian mahu dihantar pulang ke negeri asalnya di Johor. Adakah ini masalah pemimpin PAS yang tidak mahu bermain dengan calon import atau penyokongnya yang tidak gemar kepada calon import. 

PAS Pulau Pinang harus berani mengimport calon - calon yang berpotensi untuk bertanding di kawasan dewan undangan negeri Pulau Pinang yang diperuntukan kepada PAS. Mujahid Rawa adalah dilihat calon PAS komtemporer yang berkebolehan untuk menang jika dibawa ke Pulau Pinang. Kerusi DUN Sungai Acheh misalnya sangat sesuai jika diperuntukan kepada beliau. Mad Sabu juga rasanya tidak bermasalah jika diberikan mana - mana kawasan DUN di Pulau Pinang seperti Sungai Dua atau Bertam. Ini kerana pengaruh Umno disana dilihat semakin luntur selepas Pak Lah dipaksa turun dari jawatan Perdana menteri. Jika langkah ini berani dilakukan oleh pemimpin PAS pusat dan negeri ianya boleh menambahkan kerusi calon PAS dalam dewan undangan negeri Pulau Pinang sekaligus menutup mulut Umno yang mengatakan PAS hanya boneka di Pulau Pinang.

Saya percaya mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan idea "Calon Import" ini tetapi dalam untuk menempa kejayaan  kita bukan hanya perlu dan wajib mengekalkan indetiti dan kuatiti tetapi kualiti juga memainkan peranan yang sangat penting. Jika kita masih berpegang kepada prinsip hanya tempatan itu yang lebih baik, sila tolak tawaran ke Al- Ahzar Mesir dan teruskan sahaja belajar di sekolah pondok biasa.