Oleh: Hishamuddin Rais a.k.a Tukar Tiub
Berita ceramah dan rapat politik Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat diserang oleh gerombolan United Malays National Organisation telah menjadi lumrah. Semakin hari semakin ganas. Dari Semborong ke Gambang ke Jalan Kebun ke Merlimau ke Pulau Pinang dan terakhir di Pantai Dalam. Apakah maknanya semua serangan ini? Apakah makna tanda-tanda ini? Dapatkah kita memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku?
Untuk memahami semua ini saya membawa para pembaca kembali kepada asas realpolitik. Kita wajib memahami apa itu politik dan kenapa kita berpolitik. Hanya dengan kita mamahami realpolitik barulah kita akan dapat pencerahan untuk memahami tanda-tanda dari keganasan ini.
Politik ialah kuasa. Berpolitik ialah berkerja untuk merebut kuasa. Kuasa ingin direbut dan dimiliki kerana sesiapa memiliki kuasa akan memiliki punca-punca ekonomi. Melalui kuasa politik sesebuah parti atau kumpulan akan mengawal dan memiliki punca-punca ekonomi. Punca-punca ekonomi ini bermakna harta kekayaan negara.
Di Malaysia harta kekayan negara bukan hanya – telaga minyak Petronas, telaga gas atau berpuluh-puluh syarikat kerajaan (GLC). Kita juga wajib memahami bahawa harta kekayaan negara lebih dari ini. Dua punca harta kekayaan yang tidak habis-habis ialah tanah dan tenaga rakyat Malaysia sendiri. Melalui kuasa politik – tanah dan tenaga manusia – boleh disusun untuk dijadikan harta kekayaan.
Justeru, perebutan politik ialah perebuatan kuasa. Perebutan kuasa ialah perebutan ekonomi. Inilah asas untuk kita memahami apa yang sedang berlaku sekarang. Jika pembaca tidak memahami asas ini maka saya rasa para pembaca akan gagal untuk memahami apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita.
Semenjak diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru ( 1974 ) United Malays National Organisation telah menjalankan dasar ekonomi dimana dasar ini bertujuan untuk mengimbangkan pencapaian ekonomi orang Melayu yang amat mundur. Dasar Ekonomi Baru ini telah diperkuatkan oleh Mahathir Muhamad dengan dasar penswastaan.
Dasar penswastaan ini maknanya – harta negara diambil alih oleh orang-orang persendirian. Harta negara bermakna harta orang ramai. Harta negara bermakna harta rakyat. Contoh harta orang ramai ialah syarikat pembekalan air, pembekalan api leterik, syarikat pengangkutan, syarikat kapal terbang, syarikat kereta api dan tanah-tanah milik kerajaan.
Orang persendirian yang dimaksudkan disini Orang Melayu ahli United Malays National Organisation. Ahli-ahli yang dimaksudkan ialah mereka yang rapat dengan pihak yang berkuasa. Yang rapat disini ialah yang rapat dengan para menteri dan politikus yang memiliki kuasa. Ini bermakna kaum kerabat, anak, bini dan kroni – yang rapat dengan yang berkuasa.
Para Menteri dan politikus dari United Malays National Organsiation menjadi kaya raya. Mereka hidup mewah dan bersenang lenang. Ini kerana mereka dan kroni mereka mengawal dan memiliki harta kekayaan. Melalui harta kekayaan mereka dapat membeli pengaruh. Satelah membeli pengaruh mereka sekali lagi dapat berkuasa.
Apa yang saya tulis diatas ialah asas untuk kita memahami realpolitik. Ini ABC politikal ekonomi. Asas politik ini boleh digunakan untuk memahami politik Indonesia, Pilipina atau politik Siam. Asas politikal ekonomi ini tidak berubah-ubah. Selagi negara itu mengamalkan dasar ekonomi kapitalis maka asas politikal ekonomi ini boleh digunapakai. Perbezaan yang wujud antara negara-negara ini hanyalah perbezaan kulitan. Perbezaan nama parti politik. Perbezaan pemain utamanya. Perbezaan kepentingan ekonomi para kroni. Isinya masih lagi sama – tidak berubah. Isinya ialah perebutan punca-punca ekonomi.
Sesudah 8 Mar 2008 yang lalu lanskap politik Malaysia berubah untuk selama-lamanya. Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 - menjadi tanda bukti bahawa rakyat Malaysia telah melintasi garis takut. Manakala Duduk Bantah Bersih 3.0 yang baru berlalu telah membuktikan bahawa garis takut yang telah dilintasi telah diperkukuhkan lagi dengan tuntuan yang adil dan demokratik. Untuk mengembalikan rakyat Malaysia ke zaman sebelum 8 March, sebelum Bersih adalah satu yang mustahil – semustahil Rosmah Mansor ingin menguruskan badannya.
Dari sini saya membawa kembali para pembaca untuk memahami kenapa serangan keatas PKR dan Pakatan Rakyat. Serangan ini dilakukan secara terancang. Ini bukan bermakna Rosmah Mansor menalipon Raja Nong Chik meminta mencari seorang ‘ budak samseng’ untuk melastik ‘ ball bearing’ ketika kepada program di Pantai Dalam. Ini tidak berlaku.
Serangan ini lebih licik dan lebih terancang. Bermula dengan Mat Gemok Jalan Kebun yang membuat huru hara. Klip video diperlihatkan sebagai saksi. Pihak polis mementaskan sandiwara – cuba cuba membuat kawad cam untuk mencari mereka. Hasilnya zilch – zero, noting , sifar – rien.
Kemudian serangan beralih ke Semborong. Pekara yang sama berlaku. Dari Semborong beralih ke Gambang. Muka, nama dan alamat Budak Baju Merah yang menyerang di Gambang tersebar. Tetapi tidak ada apa-apa dakwa dakwi. Serangan bertambah ganas apabila seorang wartawan telah mendapat 8 jahitan di Pulau Pinang. Gambar 6 Orang Lalaki Hitam muncul sebagai bahan bukti. Tetapi tidak ada dakwa dakwi. Polis pun tidak lagi mementaskan sandiwara kawad cam.
Pasti para pembaca akan bertanya dimana pula bukti-bukti yang serangan ini di rancang? Apakah apa yang saya tulis ini hanya fitnah dan tohmah?
Untuk memahaminya kita wajib mengundur ke belakang. Lihat kembali kes kepala babi dalam Masjid. Kes kepala babi ini hanya heboh-heboh di media kemudian hilang tanpa lanjutan. Kepala babi ini sengaja dimasukkan ke dalam Masjid bertujuan untuk menaikkan suhu kebencian orang Melayu terhadap orang bukan Melayu. Sayangnya, stratiji kepala babi ini meleset. Malah orang Melayu bukan sahaja tidak marah malah terus menuduh ini bukan kerja orang China tetapi ini kerja yang dirancang oleh gerombolan United Malays National Organsiation.
Apabila kes kepala babi ini padam bagitu sahaja maka ini sebenarnya tanda atau signal bahawa pihak polis tidak akan melakukan apa-apa jika penyokong gerombolan United Malays National Organsiation menyerang PKR atau Pakatan Rakyat.
Untuk memperkuatkan lagi hujah ini saya ingin mengingatkan pembaca tentang kes kepala lembu di Shah Alam pada bulan Ogos 2009. Amat jelas muka-muka gedebe yang melakukannya. Pada awalnya Mamat-Mamat Kepala Lembu bukan TIDAK didakwa malah telah dijemput bertemu Menteri dalam Negeri. Apabila orang ramai marah barulah Mamat-Mamt Kepala Lembu ini didakwa.
Apa maknanya semua ini? Tidak ada dakwa dakwi ini adalah bukti bahawa ada arahan yang jelas dari pucuk pimpinan United Malays National Organisation. Maknanya jika sesiapa menyerang PKR atau Pakatan Rakyat bukan sahaja akan mendapat liputan media malah mereka TIDAK akan didakwa dakwi. Isyarat dan tanda ini difahami oleh rangkaian gerombolan dari bahagian hingga ke cawangan.
Bukti akhir tentang rancangan jahat memang diatur ialah kenyatan Mahathir Muhamad sehari sesudah peristiwa berdarah di Pantai Dalam. Dengan licik lagi terancang Mahathir telah membuat kenyataan bukan mengutuk keganasan si penyerang tetapi menuduh Pakatan Rakyat sedang merancang demonstrasi ganas jika Pakatan kalah dalam pilihan raya yang akan datang.
Kenyataan Mahathir ini adalah kata laluan untuk ahli gerombolan United Malays National Organsiation bertindak ganas dan terus menyerang.
Melakukan keganasan yang terancang bertujuan untuk mengancam. Keganasan ini dilakukan terhadap penyokong Pakatan. Mereka yang luka berdarah atau yang dimasukan ke hospital bukan sasaran utama.
Yang menjadi sasaran utama ialah orang ramai yang sedang memerhatikan keadaan tegang yang terus berlaku. Dimana-mana pun dalam dunia ini semua warga tidak suka kepada kacau bilau. Mereka mahukan kestabilan. Kestabilan ini adalah mantra dari United Malays National Organisation. Cara kerjanya cukup senang: gerombolan membuat huru hara kemudian mereka tampil menuduh huru hara dicetus oleh penyokong atau pemimpin Pakatan Rakyat. Pihak yang menuduh akan dilihat baik dan bertanggung jawab untuk membawa kembali kestabilan.
Huru hara ini juga akan menakutkan orang ramai. Pakatan Rakyat melalui media tradisional akan dituduh sebagai punca keganasan dan kekacauan. Yang buat lain – yang dituduh lain. Saperti kenyataan Mahathir dan tiga orang bekas Ketua Polis Negara terhadap Bersih 3.0. Keganasan polis terhadap para demonstran telah dialihkan kepada keganasan penyokong Bersih.
Pucuk pimpinan United Malays National Organsiation amat sedar bahawa sokongan terhadap parti ini semakin merosot. Mustahil para Menteri tidak sedar bahawa parti politik mereka dilihat haprak. Orang Melayu semakin menolak parti ini. Masyarakat China telah hampir 90% tidak akan lagi menyokong mereka. Masyarakat India sekali lagi mula menjauhkan diri menyokong mereka.
United Malays National Organisation akan hilang kuasa bukan lagi satu yang mustahil. Semua jalur pemerhati politik dalam dan luar negara melihat pengaruh dan kuasa politik United Malays National Organisation akan berakhir.
Justeru, satelah memahami semua ini maka kita wajib kembali kepada realpolitik. Hilang pengaruh bermakna hilang kuasa. Hilang kuasa bermakna hilang punca-punca ekonomi. Berbilion-bilon ringgit harta kerajaan akan bertukar tangan. Mengikut kata Najib - duit berbilion ringgit dan harta kekayan negara inilah yang wajib dipertahan sampai ke titisan darah terakhir.
Hilang punca ekonomi ini akan menjadikan mereka saperti anjing kurap di tepi tong sampah. Menjadi anjing kurap masih dianggap baik. Anjing kurap tidak berhadapan dengan - kes rasuah, kes bunuh, kes salah guna kuasa, kes rampas tanah orang kampong dan seribu satu macam kes akan dibuka kembali. Justeru mengupah Mat Gemok Jalan Kebun, mengupah Mat Baju Merah di Gambang atau Mat Tukang Lastik Peluru di Pantai Dalam hanyalah belanja beli kacang puteh.
Satelah memahami realpolitik ini - penyokong Pakatan Rakyat wajib sedar dan bersedia kerana keganasan ini tidak akan mengurang malah akan meningkat.(TT)