Persiapan
Strategi Menuju “Bersih 2.0”
Petang
Jumaat 8 Julai 2011, habis saja waktu kerja aku terus memandu pulang. Di
dalam fikiran aku pada waktu itu hanya memikirkan tentang perhimpunan besar dan
bersejarah yang bakal berlangsung keesokan pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur.
Perhimpunan yang dimaksudkan ialah perhimpunan BERSIH 2.0. Dalam perjalanan
pulang ke rumah petang itu aku singgah di kedai cyber cafe tempat kawan aku
iaitu Adil bekerja. Adil juga akan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 bersama dua
lagi rakan aku yang lain itu Ikhwan Nasir atau Achen serta Said. Kami berempat
telah mengambil keputusan untuk pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki keretapi
pada jam 10 malam itu.
Tujuan aku singgah di kedai tempat
Adil bekerja adalah untuk memikirkan strategi atau tempat untuk kami berkumpul
dan bergerak setiba di Kuala Lumpur nanti. Ini kerana keputusan pihak Gabungan
Pilihanraya Bersih dan Adil BERSIH 2.0 yang mengubah cadangan pada saat-saat
akhir perhimpunan ke Stadium Merdeka membuat aku turut juga terpaksa mengubah
cadangan dan rancangan kami . Pada mulanya aku telah memutuskan untuk turun di
stesyen keretapi Sungai Buloh dan mengambil komuter ke stesyen bank negara dan
berjalan ke Sogo untuk berkumpul di sana. Ini kerana, pada mulanya BERSIH 2.0
mencadangkan agar para penyokong berkumpul di tiga tempat sekitar Kuala Lumpur
pada hari itu iaitu di SOGO, Masjid Kampung Baru dan DBKL. Tetapi akibat
perubuhan tempat berkumpul disaat-saat akhir kesan dari tekanan dari pihak
kerajaan, membuatkan kami juga terpaksa mengubah perancangan kami. Lagi pun
berdasarkan pengalaman aku menyertai perhimpun Anti ISA 2009 yang lalu, SOGO
adalah tempat strategik untuk berkumpul.
Mengumpul
Maklumat
Aku cuba berhubung dengan rakan-rakan
aktivis yang lain pada hari Jumaat itu bagi mendapat maklumat sebenar dimana
kawasan strategik yang bakal digunakan untuk berkumpul. Satu maklumat yang aku
dapat, memberitahu agar berkumpul di Masjid Negara dan berarak ke Stadium
Merdeka selepas Zohor dan jika tidak dapat ke Stadium Merdeka diarahkan
berkumpul di Puduraya. Aku mengirim sms ke salah seorang aktivis sosial
terkenal iaitu Hishammudin Rais a.k.a Tukar Tiub bagi bertanyakan maklumat dan
serta idea strategi. Tukar Tiub mengarahkan aku turun keretapi di Stesyen Keretapi
lama Kuala Lumpur dan terus ke Masjid Negara dan berkumpul di situ hingga pukul
pukul 2 petang dan berarak ke Stadium Merdeka. Sebenarnya aku tidak berapa
berminat untuk berkumpul di Masjid Negara, ini kerana berdasarkan sejarah
demostrasi – demostrasi besar sebelum ini Masjid Negara adalah tumpuan utama
polis dan FRU untuk membelasah dan
menangkap para penyokong. Tapi akhirnya
aku akur juga kepada cadangan – cadangan untuk berkumpul di Masjid Negara.
Setiba di rumah aku terus mandi dan
berehat sekejap bagi menghilang penat bekerja pada hari itu. Dalam hati aku,
aku begitu tidak sabar untuk menanti jam 10 malam untuk menaiki keretapi ke
Kuala Lumpur. Aku turut menghubungi kawan – kawan aku yang lain yang akan
menyertai perhimpunan itu juga. Ada antara rakan aku yang lain ini pergi dengan
menaiki kereta dan ada yang pergi menaiki bas yang disewa khas. Aku memilih
untuk menaiki keretapi kerana bagi aku perjalanan dengan keretapi lebih lancar
dan selamat untuk ke Kuala Lumpur berbanding dengan kenderaan lain walaupun agak
sedikit memenatkan. Mustahil polis akan membuat sekatan jalan raya di atas
landasan keretapi. Ini kerana 3 hari sebelum perhimpunan itu berlangsung jalan
masuk ke Kuala Lumpur dikawal begitu ketat seperti situasi perang dan Kuala
Lumpur telah menjadi kawasan larangan pada pemimpin – pemimpin utama
perhimpunan BERSIH 2.0 serta banyak jalan juga telah ditutup menjelang 12
tengah malam 9 Julai 2011 bagi menghalang orang ramai memasuki Kuala Lumpur.
Hampir beratus juga telah ditangkap beberapa hari sebelum perhimpunan BERSIH
2.0 berlangsung. Aku cuma risaukan kalau
- kalau Keretapi Tanah Melayu KTM membatalkan semua perjalanan mereka ke Kuala
Lumpur pada malam itu. Aku telah membuat keputusan jika perkara ini berlaku aku
dan rakan – rakan aku tetap akan pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta
aku sendiri. Apa pun terjadi aku mesti libatkan diri dalam perhimpunan yang
bersejarah itu. Aku tidak mahu menjadi rakyat Malaysia yang hanya mengeluh
tetapi berpeluk tubuh tidak berbuat apa – apa.
Beberapa jam sebelum bertolak, aku
mengikuti perkembangan semasa mengenai perhimpunan itu di internet dan juga di
televisyen. Berbagai amaran dan ancaman yang keluar dari media – media arus
perdana pada saat – saat akhir hinggalah mahu menggunakan tentera bagi
menakutkan rakyat yang mahu menyertai perhimpunan itu nanti. Semua ancaman dan
tekanan yang keluar dari media arus perdana itu membuatkan aku lebih
bersemangat dan tidak sabar – sabar untuk menyertai perhimpunan BERSIH 2.0. Aku
perhatikan yang wajah ibu aku agak risau dengan perkembangan melalui berita tv3
malam itu. Namum aku cuba menyakinkan ibu aku bahawa tujuan aku pergi ini
adalah untuk menyertai perhimpunan yang aman dan bukan untuk membuat kekacauan.
Dalam hati aku, aku hanya mahukan “restu” dari ibu aku. Ayah aku hanya selember
dan tidak berkata apa – apa melihat aku bersiap – siap untuk pergi ke stesyen
keretapi pada malam itu. Namum aku tahu, ayah aku bersetuju dengan tindakan aku
cuma dia seorang yang tidak pandai menunjukkan penyetujuannya.
Melangkah
Keluar Dari Rumah
Tepat jam 9 malam aku melangkah keluar
dari rumah dengan membawa sebuah beg
galas dan sehelai tuala kecil. Aku tidak membawa sebarang pakaian lebih.
Aku keluar dari rumah dengan menaiki motosikal menuju ke rumah Said. Dalam
perjalanan ke rumah Said di Kampung Baru Alma, aku singgah di sebuah mesin atm
bagi mengambik wang. Aku hanya membawa RM150 dalam poket. Ini kerana aku baru beberapa minggu bekerja
dan belum mendapat gaji. Sampai di rumah Said, emak Said telah sedia menjemput
aku. Motosikal aku, aku tinggalkan di rumah Said dan emak bersama kakak Said
menghantar aku dan Said ke Stesyen Keretapi Bukit Mertajam dengan menaiki
kereta
KTM
Bukit Metajam
Setiba di KTM Bukit Mertajam, Adil dan
Achen telah sedia menunggu. Aku perhatikan telah ramai orang berkumpul di KTM
Bukit Mertajam bagi menaiki keretapi ke Kuala Lumpur. Dalam perkiraan aku ramai
yang berada di KTM Bukit Mertajam tersebut akan ke Kuala Lumpur dengan tujuan
yang sama dengan aku. Namum aku sedar, polis cawangan khas SB juga telah ramai
berkeliaran dan memerhatikan gerak – geri bakal penumpang keretapi malam itu
yang akan ke Kuala Lumpur. Di stesyen keretapi, kami berempat tidak duduk
sekali dan berlagak seolah – olah tidak mengenali antara satu sama lain, ini
kerana bagi mengelakkan gerak – geri kami disedari oleh polis SB yang belegar
sekitar kawasan stesyen keretapi. Ini ditambah pula, dalam beg yang digalas
Achen mempunyai 4 helai baju T-Shirt BERSIH 2.0. Kami tidak bercakap banyak
sementara menunggu keretapi datang. Aku berdiri di kawasan luar stesyen sambil
mengisap rokok sendirian begitu juga dengan 3 rakan aku yang lain dengan hal
masing – masing. Sehinggalah keretapi yang kami tunggu datang. Dalam hati aku
merasa lega melihat keretapi yang akan membawa kami ke Kuala Lumpur tiba juga
akhirnya. Aku bimbang kalau – kalau pihak KTM membuat pengumuman yang keretapi
pada malam itu dibatalkan perjalanan, ini kerana Malaysia ini semuanya boleh.
Setelah keretapi tiba, kami menaiki
gerabak seperti yang tertulis diatas tiket dan duduk di kerusi yang
ditetapkan. Aku telah membeli tiket
keretapi ini 3 minggu sebelum perhimpunan ini berlangsung bagi mengelakkan
kehabisan tiket. Apa bila keretapi mula bergerak, aku sudah berdebar – debar
serta tidak sabar untuk tiba. Sudah terbayang difikiran aku tentang lautan
manusia yang ramai membanjiri Kuala Lumpur serta aroma gas pemedih mata yang
pasti akan dapat aku hidu. Aku sedar yang peratusan untuk ditangkap oleh polis
pada perhimpunan BERSIH 2.0 itu nanti cukup tinggi, 60% untuk ditangkap itu
mesti ada. Namum semua itu membuatkan aku lebih bersemangat dan aku rela kalau
tertangkap. Kerana bagi aku, jika tertangkap sekali pun, aku pasti merasa
bangga kerana aku bukan melakukan kesalahan jenayah tetapi sebagai pejuang
rakyat. Sepanjang perjalanan dan beberapa hari sebelum kami bertolak ke Kuala
Lumpur, aku sering bergurau dengan kawan aku dengan mengatakan, “kita tak payah pikir la pasal nak balik
lagi...kita pikir pasal nak pi dulu..lagi pun bila kita pi belum tentu kita
boleh balik.....” semua ini walaupun aku ucapkan sebagai gurauan namum
masej yang aku cuba hantar ialah perhimpunan ini cukup memcabar dan kemungkinan
untuk ditangkap itu cukup tinggi, moga kami bersedia.
Situasi
Di Dalam Keretapi
Di dalam keretapi, aku terdengar cakap
– cakap penumpang yang duduk dihadapan aku tentang perhimpuan BERSIH 2.0. Aku
sedar bahawa mereka juga bakal menyertai perhimpunan itu. Setelah beberapa jam
dalam keretapi aku mula dapat merasakan bahawa hampir semua dalam gerabak yang
aku naiki itu adalah bakal demostrater yang akan menyertai perhimpunan BERSIH
2.0. Kini aku mula sedar bahawa pasti ramai yang akan menyertai perhimpunan itu
nanti walaupun pelbagai cara Umno Barisan Nasional gunakan untuk menghalang
rakyat menyertainya. Aku hanya tidur – tidur ayam diatas keretapi, walaupun
badan aku agak letih kerana bekerja disiang hari, namum aku tidak boleh tidur
dengan lena bukan kerana keretapi yang bergoyang tetapi asyik memikirkan dan
tidak sabar dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang bakal berlangsung kurang 24jam
dari masa tersebut.
Setelah bosan menonton tv di dalam
keretapi, kami berempat pergi ke kantin untuk minum. Di kantin aku juga
terdengar bisik – bisik orang bercakap tentang BERSIH 2.0, dan nada mereka
bercakap menunjukkan mereka akan menyertai perhimpunan itu nanti. Kami hanya
tersenyum menyatakan sokongan kepada mereka itu. Kami tahu ramai yang menyokong
BERSIH 2.0 di dalam keretapi itu tetapi tidak berani untuk menunjukkan secara
terbuka kerana bimbang dengan polis SB yang sentiasa berada di merata tempat.
Selesai minum kami lepak ditangga keretapi bagi menghisap rokok. Aku perhatikan
terdapat seorang lelaki sekitar lewat 40an sedang duduk ditepi tangga keretapi.
Rupanya lelaki ini menaiki keretapi dengan tidak mempunyai tiket dan sanggup
membayar denda harga tambang untuk ke Kuala Lumpur bagi tujuan yang sama. Terlintas dihati aku, jika pak cik yang
bersendal capar yang berusia hampir 50an ini berani untuk pergi ke perhimpuan
BERSIH 2.0 seorang diri, malulah aku yang berusia 20an yang penuh tenaga ini
jika tidak menyertainya.
Sepanjang perjalanan dalam
keretapi ke Kuala Lumpur, aku dihujani dengan banyak sms dari rakan dan pemberi
maklumat. Ramai rakan – rakan mengirim sms dengan ucapan selamat dan kata –kata
semangat. Ada juga yang menelefon dengan memberitahu keadaan semasa di Kuala
Lumpur. Aku juga turut mengirim sms bertanyakan perkembangan rakan – rakan aku
yang pergi dengan kereta dan bas. Ini bagi memastikan semuanya selamat tiba ke
destinasi demokrasi. Semua ini membuatkan aku lebih semangat. Kira – kira jam
5.15 pagi aku mendapat panggilan dari rakan aku yang pergi dengan kereta. Dia memberitahu
bahawa dia telah selamat tiba di Kuala Lumpur dengan selamat. Aku kagum kerana
dengan begitu ketat kawalan polis pada malam itu rakan aku itu dapat menembusi
juga ke Kuala Lumpur dengan menggunakan pelbagai jalan alternatif. Aku tiba di
Kuala Lumpur kira – kira sejam dari itu.
Apabila keretapi melintasi stesyen KTM
Sungai Buloh aku sudah bangkit membawa beg dan menunggu di tangga keretapi
kerana aku tahu selepas beberapa ketika sahaja lagi aku akan tiba di stesyen
lama Kuala Lumpur. Apa bila keretapi tiba di stesyen keretapi lama Kuala
Lumpur, keretapi kami tidak berhenti, malah terus meneruskan perjalanan ke KL
Sentral. Lagi aku terpaksa mengubah rancangan saat – saat akhir. Ini kerana rancangan
awal untuk ke Masjid Negara agak terganggu kerana jarak KL Sentral ke Masjid
Negara agak jauh, malah ada maklumat mengatakan yang semua komuter pada hari
itu telah dihentikan perkhidmatannya.
Namum kami terpaksa juga meneruskan racangangan. Kami tidak kekok
walaupun rancangan awal kami agak terganggu kerana ramai lagi para peserta
perhimpunan tersebut turun di KL Sentral.
Tiba
Di KL Sentral
Setiba di KL Sentral aku melihat ramai
para peserta perhimpunan telah tiba serentak atau mungkin sebelum kami. Aku
juga terjumpa beberapa orang kampung aku yang bakal turut serta dalam
perhimpunan itu nanti. Kami menuju ke surau KL Sentral dan ramai peserta –
peserta berada di surau hinggakan terpakasa menunggu giliran untuk solat subuh.
Setelah selesai kami berempat berlegar sekitar KL Sentral. Kami lepak bersama
peserta dari negeri – negeri lain di pintu masuk utama KL Sentral. Orang yang
makin ramai tadi telah makin kurang entah kemana. Aku mendapat maklumat ada
yang pergi berjalan kaki ke Masjid Negara dan Stadium merdeka yang jaraknya
agak jauh, malah polis telah makin bertambah di KL Sentral. Aku pergi berbual
dengan beberapa orang para peserta dari Johor. Setelah beberapa lama berbual,
salah seorang dari mereka mendapat sms dengan mengatakan arahan untuk berhimpun
di Masjid Negara dan bergerak ke Stadium Merdeka pada jam 2 petang. Aku
mendapat matlumat bahawa komuter ke arah Masjid Negara masih beroperasi dan
bakal ditamatkan tidak berapa lama lagi.
Aku lantas pergi kearah kawan aku dan
mengajak mereka membeli tiket ke untuk ke Masjid Negara. Aku dan rakan – rakan
aku bersama kumpulan lelaki dari Johor itu tadi terus bergerak ke kuanter
tiket. Namum kumpulan dari Johor itu tadi terlebih dahulu menaiki komuter dari
kami dan kami terpaksa menunggun komuter yang lain. Sekitar 8.45 pagi, kami
menuju ke stesyen keretapi lama denga menaiki komuter arah Rawang. Tiba di KTM
lama Kuala Lumpur kelihatan polis telah penuh sekitar kawasan Masjid Negara.
Namum polis pada waktu itu tidak mengganggu pergerakan bakal peserta
perhimpunan yang sekitar ratusan orang sekitar KTM lama dan Masjid Negara. Polis
hanya memerhatikan pergerakan para peserta kerana mungkin mereka belum mendapat
arahan untuk bertindak.
KTM
KL dan Masjid Negara
Adil dan Achen berjalan jauh ke depan
dan aku berjalan bersama Said dibelakang. Tiba – tiba Said mengatakan yang dia
mahu ke tandas. Aku membiarkan Said ke tandas dan terus mengejar langkah Adil
dan Achen yang jauh kedepan. Aku sukar memerhatikan mereka kerana jumlah orang
yang makin ramai. Aku menelefon Adil dan dia memberitahu bahawa dia dan Achen
berada sedikit dihadapan. Setelah aku bertemu semula dengan Adil dan Achen, kami
menunggu Said dihadapan restoran nasi kandar di KTM KL. Lama menunggu tapi Said
belum tiba, aku serta Adil dan Achen mengambil keputusan untuk pergi dahulu ke
Masjid Negara dan percaya Said akan menyusul kemudian memandang keadaan pada waktu
itu masih lagi tenang.
Setiba di Masjid Negara aku perhatikan
ramai anggota polis yang beruniform dan tidak beruniform telah berada dalam
kawasan masjid. Namum jumlah orang ramai juga makin meningkat sekitar
perkarangan masjid negara. Kami bertiga lepak di dataran Masjid Negara tersebut
sambil menunggu Said. Aku mula menghubungi Said tetapi tidak dijawab. Aku mula
memikirkan yang Said sudah mungkin ditangkap. Tidak berapa lama selepas itu,
Said menghubungi aku dan bertanya kami berada dimana. Aku memaklumkan yang kami
berada dalam perkarangan Masjid Negara dan mengarahkan dia datang ke sini. Said
memberitahu bahawa dia sudah tidak boleh datang kearah masjid kerana sudah ada
sekatan polis dari menghalang orang ramai masuk ke masjid. Said juga memaklumakan
bahawa dia telah ditahan polis dan beg yang dia bawa telah digeledah polis
namum tidak ditahan. Aku mengarahkan Said berjalan seperti biasa ke Masjid Negara
namum Said memberitahu dia sudah tidak boleh untuk berbuat begitu.
Suasana
Tegang Di Masjid Negara
Namum begitu, dalam beberapa ketika
sahaja keadaan di Masjid Negara sudah menjadi sedikit tegang. Polis yang
beruniform dan yang memakai vest polis telah mula bergerak kearah orang ramai.
Berdasarkan pengalaman aku, polis yang
memakai vest ini selalunya digerakkan
untuk menangkap dan membuat serbuan keatas para peserta secara rambang. Aku
mengajak Adil dan Achen masuk ke dalam masjid kerana dalam perkiraan aku polis
mungkin tidak menggangu mereka yang berada dalam masjid. Namum jangkaan aku
silap, Polis menghambat orang ramai hingga ke dalam masjid. Kami berlegar –
legar sekitar dalam masjid bagi menjauhkan diri dari polis yang mula menerpa
kearah orang ramai. Terdapat jeritan dari polis yang mengarahkan semua yang
berada di dalam masjid supaya beredar. Aku perhatikan dari atas seorang muslimat
PAS telah ditahan oleh beberapa polis wanita dan lelaki.
Sambil itu keadaan dalam Masjid Negara
mula agak tegang, Achen hampir bertekak dengan polis yang mahu mengambil
begnya. Aku tahu Achen tegas melawan tindakkan polis tersebut kerana terdapat 4
helai t-shirt Bersih 2.0 didalamnya. Jika ini dikesan sudah tentu Achen akan
ditahan. Aku menasihatkan Achen jika keadaan memaksa tinggalkan sahaja t-shirt
bersih itu kerana bagi aku penyertaan kami dalam perhimpunan bersih 2.0 itu
lebih penting dari t-shirt tersebut. Namum Achen begitu berani dan masih enggan
meninggalkan beg berisi t-shirt bersih 2.0 tersebut.
Solat
Hajat Yang Dikepong
Tidak berapa lama selepas itu,
terdapat seorang lelaki mengajak semua yang berada di dalam masjid untuk
menunaikan solat hajat. Aku mengambil keputusan untuk menyertai solat hajat
tersebut. Aku hanya mengambil wudhuk pada air pancut ditepi kolah masjid.
Selang beberapa ketika air pancut itu tadi ditutup entah oleh siapa, dan
mungkin tujuannya bagi menghalang orang ramai dari mengambil wuduk sekaligus
menghalang dari mereka bersolat hajat. Sekitar 70 orang lebih menyertai solat
hajat tersebut. Adil dan Achen tidak menyertai solat hajat tersebut kerana
mereka diprovok oleh polis untuk meninggalkan kawasan dalam masjid. Mujur aku
sempat memasuki saf solat dan polis tidak dapat berbuat apa – apa. Kini aku
sudah terpisah dari Adil, Achen dan Said. Jemaah lain terus bersolat hajat.
Dalam masa kami bersolat hajat, polis telah bertindak mengepong tempat kumpulan
jemaah yang sedang bersolat. Mungkin begini agaknya umat Islam di Palestin
menunaikan solat di Masjid Al-aqsa yang dikawal ketat oleh polis dan tentera
Israel. Aku kira setelah selesai solat
ini nanti pasti aku dan semua disini akan ditangkap. Namum aku terus menunaikan
solat hajat dengan tenang.
Selepas sujud yang terakhir, aku
mendengar arahan dari walkkie talkie polis yang mengarahkan agar semua yang
sedang bersolat itu ditangkap. Pada ketika itu imam sedang membaca doa, kami
semua tidak berganjak dari saf dan terus mengaminkan doa imam walaupun polis
telah mengelilingi kami dan mungkin hanya menunggu masa untuk menangkap. Doa
yang panjang dibaca oleh imam dan jumlah polis semakin ramai mengelilingi dan
menghampiri jemaah yang sedang berdoa. Namum tidak seorang pun yang berasa
gentar atau meninggalkan saf jemaah. Semua makin kuat dan bermangat mengaminkan
doa imam. Aku bersedia sahaja sekiranya ditangkap setelah solat itu.
Namum setelah selesai solat, seorang
pegawai polis yang berpaku tiga, mengarahkan dengan lembut dan sopan kepada
semua jemaah untuk beredar dari kawasan dalam masjid dengan berjalan kearah
hadapan dan pusing keluar mengikut pintu utama masjid. Walaupun aku merasa
sedikti lega dengan arahan itu, namum aku merasakan mungkin ada muslihat polis
dengan mengarahkan kami keluar dari dalam masjid dengan melalui satu arah.
Mungkin ada polis diluar sana yang telah bersiap sedia untuk menangkap kami.
Aku bersedia sahaja dengan apa jua kemungkinan.
Rupanya polis ikhlas dengan arahannya
tersebut, kami dibiarkan meningkalkan kawasan
dalam masjid dan perkarangan Masjid Negara dengan tenang dan aman tanpa
sebarang gangguan dan provokrasi. Aku juga sempat bergurau dengan salah seorang
polis ketika dia sedang mencari kasut dan dia juga membalas guruan aku dalam
loghat Kelantan. Terima kasih aku ucapkan kepada pegawai dan anggota polis yang
sanggup engkar arahan ketuanya yang menyuruh menangkap kami tadi. Dalam
demostrasi – demostrasi besar begini, saat paling genting serta berisiko tinggi
untuk ditangkap adalah pada sebelum dan selepas perhimpunan.
Restoran
Mamak Nasi Kandar KTM Lama KL
Setelah keluar dari perkarangan Masjid
Negara, aku menelefon Adil dan dia memberitahu bahawa dia dan Achen sedang
berada dihadapan KTM lama KL. Aku berjalan keluar dengan selamber sambil
melemparkan senyuman kepada anggota polis yang terdapat di kawasan sekitar. Aku
mencari – cari Adil dan Achen dicelah – celah orang ramai dan anggota polis.
Akhirnya aku bertemu kembali dengan Adil dan Achen tetapi Said telah hilang sejak dari tadi. Usaha
menghubungi dia juga gagal. Aku serta Adil dan Achen masuk ke dalam restoran
nasi kandar di KTM lama KL. Tujuan kami adalah untuk mengelak dari bertembung
dengan polis dan berlagak seperti pelanggan restoran. Keadaan pada waktu itu
walaupun kelihatan tenang tapi cukup membahaya umpama ikan yang bergerak
dicelah – celah jaring dan bila – bila masa sahaja boleh tersangkut pada
jaring. Polis menangkap sesiapa sahaja secara rambang dan usaha menjauhkan diri
dari mereka dan SB perlu dilakukan. Aku sempat menoleh kearah Masjid Negara dan
aku perhatikan Masjid Negara telah ditawan polis dalam sekelip mata. Hanya
kelibat polis sahaja yang kelihatan dalam perkarangan Masjid Negara tidak
seperti awal tadi.
Aku, Adil dan Achen masuk kedalam
restoran nasi kandar dan memesan minimum. Aku sempat menjamah roti canai bagi
mengisi perut. Keadaan dalam restoran nasi kandar itu juga penuh sesak dengan
orang ramai yang juga para peserta perhimpunan. Aku kira mamak nasi kandar itu
pada hari tersebut sahaja telah mengaut untung lebih dari hari – hari lain. Aku
menghubungi Said sekali lagi dan kali ini berjaya. Aku mengarahkan dia datang
dan masuk kedalam restoran nasi kandar tersebut. Dalam pada masa itu para
peserta perhimpunan di dalam restoran nasi kandar tersebut terus berbual dan
mengutuk kawalan ketat polis. Kali ini semuanya bersembang secara terbuka dan tidak
secara bersembunyi lagi. Tidak berapa lama selepas itu aku terlihat Said telah
memasuki restoran nasi kandar yang aku dan dua rakan aku lagi berada. Rupanya
selamat lagi Said dari ditangkap. Kami berusaha untuk mengelakkan diri dari
ditangkap bukan kerana takut dilokap atau ditahan, tetapi kami memikirkan rugi
jika tertangkap awal – awal kerana sudah tentu peluang kami untuk berhimpun
dalam beberapa jam sahaja lagi akan terbantut dan kami betul – betul mahu
terlibat dalam perhimpunan tersebut.
Tangkapan
Dan Pemeriksaan Beg Mencari T-Shirt Kuning “Bersih 2.0”
Sedang kami minum, kami memerhati
melalui tingkap restoran, tangkapan demi tangkapan telah dilakukan oleh polis.
Tidak berapa lama selepas itu datang arahan dari pegawai polis yang mengarahkan
sesiapa yang telah selesai makan dan minum agar terus keluar meninggalkan
restoran nasi kandar tersebut. Sebelah pintu restoran nasi kandar tersebut juga
telah ditutup bagi menghalang orang ramai masuk. Nampaknya polis yang menyekat
rezeki mamak itu pada hari tersebut. Aku merasakan keadaan mula agak kurang
selesa dan berbahaya di dalam restoran nasi kandar tersebut. Ini ditambah lagi
dengan polis yang sudah mengepung pintu masuk restoran tersebut. Aku mengajak 3
rakan aku yang lain agar keluar dari restoran. Setiba di pintu restoran untuk
keluar, polis mengarahkan agar semua yang membawa beg diperiksa beg masing –
masing oleh polis. Aku mula memerhatikan Achen kerana di dalam beg Achen
terdapat t-shirt BERSIH 2.0 dan memang tujuan pemeriksaan beg oleh pihak polis
itu adalah untuk mencari sesiapa yang memiliki
t-shirt BERSIH 2.0 untuk ditahan. Aku membisik kepada Achen agar
melepaskan dan meningkalkan sahaja beg itu didalam di dalam restoran nasi
kandar tersebut. Tetapi ternyata Achen berani dan keras hatinya. Dia masih
enggan melepaskan beg yang berisi
t-shirt bersih tersebut. Achen membelok ke tandas dan kami bertiga yang
lain keluar dengan selamber dari restoran nasi kandar tersebut. Beg aku
diperiksa polis dan begitu juga dengan beg Adil dan Said. Namum kami tidak
ditahan kerana tidak mempunyai t-shirt atau barang berunsur BERSIH 2.0 didalam
beg kami.
Berkumpul
Di Dalam KTM KL
Aku mengajak Adil dan Said masuk ke dalam
KTM lama KL, aku memberitahu mereka “jika polis menahan, kita cakap yang kita
hendak mengambil train untuk balik”. Sambil berjalan ke dalam KTM aku
melemparkan senyuman kepada polis walaupun aku jenis seorang yang sukar untuk
senyum. Sambil – sambil itu aku berkata kepada salah seorang aku anggota polis “nak berhimpun tak boleh kena ambik train
balik aarr..” sambil dibalas polis tersebut dengan berkata “aarr balik-balik..”.
Keadaan di dalam KTM terutama
disekitar tempat menunggu keretapi, orang sudah semakin ramai. Rupanya kini
tempat tersebut menjadi tempat perkumpulan sementara menunggu perhimpunan
sebenar bermula. Selang beberapa ketika ada terdengar orang bertakbir, malah
jumlah wartawan dan jurugambar juga makin ramai. Tiba – tiba aku ternampak
Achen berjalan masuk kedalam KTM, aku melambai tangan kepada dia untuk
memanggil dia kearah kami. Syukur Achen terselamat, dia memberitahu, t-shirt
BERSIH 2.0 itu tadi disorokkan dalam lipatan seluar dan polis gagal mengesan
ketika memeriksa beg dia.
Polis telah mula masuk ke dalam KTM
dan kawasan sekitar landasan. Beberapa tangkapan juga telah berlaku. Keadaan
yang mula tadi agak tenang kini dengan pantas menjadi tegang. Jam pada waktu
itu menunjukkan baru sekitar 10 pagi. Lebih kurang 3 jam lebih lagi untuk
menunggu masuk waktu Zohor, ini kerana kami percaya jika telah masuk waktu
Zohor, polis pasti tidak akan dapat menghalang orang ramai memasuki Masjid
Negara untuk menunaikan Solat dan selepas solat sudah pasti perhimpunan besar
akan berlaku. Tapi jangkaan aku meleset, maklumat yang aku dapat selepas itu,
Masjis Negara telah ditutup sama sekali dan tidak ada sesiapa dibenarkan
menunaikan solat Zohor di Masjid Negara.
Nampaknya Masjid Negara sudah menjadi seperti Masjid Al-aqsa. Tapi
sekurang-kurangnya di Masjid Al-aqsa umat Islam masih lagi dibenarkan
sembahyang sambil dikawal ketat oleh tentera Yahudi Israel tapi di Masjid
Negara pada waktu itu diharamkan terus masuk ke masjid dari menunaikan solat.
Kami masih terus berada dalam kawasan
berhampiran tempat menunggu train di KTM lama KL. Keadaan semakin tegang dan
aku jangkakan polis aku bertindak menyerbu bila – bila sahaja ke atas orang
ramai yang berhimpun disitu. Masih lagi lambat untuk menuju ke jam 2 petang,
jika terus menunggu disitu aku rasakan tidak akan membawa apa – apa dan risiko
tertangkap itu cukup tinggi. Akhir sekali kami berempat membuat keputusan untuk
menginap dimana – mana hotel berhampiran sementara menunggu jam 2 petang, ini
kerana jika sudah jam 2 petang perhimpunan besar telah berlangsung lautan
manusia telah wujud dan pada waktu itu polis tidak mampu lagi untuk membuat
tangkapan dan pada waktu hanya pertempuran dengan pasukan unit simpinan
persekutuan FRU sahaja yang akan berlaku dan menyeronokkan.
Menempah
Hotel
Oleh itu, kami berempat mula bergerak
dari KTM melalui jalan dalam KTM menuju kearah pasar seni dan ke Jalan Petaling
untuk mencari hotel buget di kawasan sekitar. Dalam perjalanan, aku teserempak
dengan bekas rakan sekerja aku yang merupakan seorang kakitangan awam yang lagi
3,4 tahun akan pencen. Beliau begitu berani dalam usia yang begitu dengan
statusnya sebagai kakitangan awam, yang jika tertangkap boleh hilang pencennya
datang ke perhimpunan tersebut. Aku tabik kepada beliau.
Akhirnya kami menempah satu balik untuk
4 orang untuk tempoh 2 jam iaitu 11pagi hingga 1ptg. Hotel yang kami pilih
ialah Hotel China Town di Jalan Petaling dengan bayaran yang dikenakan terhadap
kami RM120 selama 2 jam. Walaupun agak mahal, kami berkongsi duit seorang RM30
untuk menginap disitu buat seketika. Sekurang – kurangnya kami boleh melepaskan
dari risiko untuk ditangkap pada waktu awal, dapat merehatkan diri dan
mengumpul tenaga serta mandi. Aku memanfaatkan masa 2 jam itu untuk merehatkan
badan dan tidur sejenak. Apabila jam sudah 12.30 tengah hari aku bangun untuk
mandi. Achen dan Adil telah bersiap dengan lebih awal, Said masih tertidur.
Setelah selesai mandi, aku mengejutkan Said agar terus mandi dan bersiap.
Sementara menunggu Said siap mandi, aku sempat menjamah 2 keping roti yang
dibeli di KL Sentral pagi tadi. Hanya 2 keping roti itu yang akan mengisi perut
aku untuk berdemo hingga petang nanti. Ini kerana sudah tidak ada masa untuk
kami mencari kedai makan untuk makan tengah hari. Apa yang ada dalam kepala kami
pada waktu itu hanya “DEMOSTRASI”.
Lautan
Manusia Mula Wujud
Lagi 5 minit jam 1 petang kami
meninggal bilik hotel dan check out, dan setelah keluar dari hotel kami telah
mendengar jeritan dan laungan orang ramai yang entah berapa ramainya. Kami
dapati laungan itu datang dari arah belakang hotel kami menginap sekitar Jalan
Petaling. Said belum lagi keluar dari hotel kerana dia ke tandas. Aku, Achen
dan Adil sudah begitu teruja untuk menyertai kelompok ramai rakyat tersebut.
Setibanya di jalan belakang hotel kami menginap, kami perhatikan sekitar 2
hingga 3 ribu orang telah berada di atas jalan raya. Kami bertiga terus
menyertai kumpulan tersebut sambil melaungkan “hidup-hidup, hidup rakyat” , “bersih-bersih”, “reformasi” dan
pelbagai lagi selongan semangat. Hanya beberapa ketika sahaja jumlah orang
ramai tersebut terus meningkat, aku menoleh kebelakang dan perhatikan hampir
200 meter dari belakang aku sudah dipenuhi orang ramai hanya dalam masa tidak
sampai 5 minit. Entah dari mana jumlah orang ramai itu datang, ini kerana
ketika aku dan rakan aku berjalan disekitar Jalan Petaling untuk ke hotel pagi
tadi, suasana agak lengang, hanya ada beberapa kumpulan kecil ditepi jalan dan
yang lebih ketara adalah jumlah polis. Tapi kini lautan manusia telah menawan
sepenuhnya kawasan Jalan Petaling.
Helikopter polis berlegar – legar di
udara mungkin bagi memantau suasana perhimpunan aman itu. Setiap kali helikopter
terbang rendah, ianya akan disorak oleh orang ramai dan aku sendiri mengibarkan
t-shirt “bersih 2.0” yang aku simpan dibahagian punggung seluar aku sewaktu
turun dari hotel bagi mengelak dari dikesan polis. Said tidak bersama kami lagi
pada waktu itu, lautan manusia di Jalan Petaling terus bergerak menuju ke
hadapan menara Maybank Jalan Pudu.Jumlah yang aku boleh anggarkan di Jalan
Petaling sahaja sudah hampir 8000 orang. Ketika sedang menuju ke hadapan menara
Maybank, aku berjumpa kembali dengan Said setelah dia menghubungi Adil untuk
mengetahui lokasi. Kami terus bergerak dalam jumlah lautan orang ramai dan
terdiri dari pelbagai bangsa. Anak – anak muda kaum Cina boleh dikatakan agak
ramai dengan membawa bunga dan belon kuning. Tidak ada anggota polis atau FRU
yang kelihatan sekitar Jalan Petaling pada waktu itu. Ini mungkin kerana pihak
polis sudah tersalah percaturan dan menjangka tidak akan ada dan orang ramai
tidak berani berhimpun di Jalan Petaling yang terkenal dengan kisah kongsi
gelap.
Lebih kurang 100 meter untuk tiba
dihadapan menara maybank Jalan Pudu, aku sudah dapat melihat lautan manusia
sekitar 5 hingga 6 ribu orang sudah sedia berhimpun dihadapan menara maybank
tersebut. Ketibaan kumpulan kami disambut dengan laungan semangat beserta
tepukan gemuruh oleh para perserta perhimpunan Bersih 2.0 yang telah berada
disitu. Kami terus bergabung dan membentuk kumpulan yang makin besar sekitar 10
ribu pada waktu itu. Polis dan FRU masih belum kelihatan. Aku mendapat
panggilan dari kawan aku yang berhimpun di Masjid Kampung Baru bahawa mereka
telah dibedil dengan gas pemedih mata disana. Rakan aku juga memaklumkan jumlah
peserta di masjid Kampung Baru juga sekitar 5 ribu peserta dan mereka ini tidak
berjaya untuk ke menara maybank kerana kerana telah dikepung dan dibedil oleh
FRU. Mungkin FRU dan Polis lebih menumpukan perhatian di Masjid Kampung Baru
dan beberapa kawasan “panas” yang lain dan terlepas pandang di Jalan Pudu dan
Menara Maybank, makan kami selamat seketika.
Doktor Hatta sedang berucap dari atas
tangga menara Maybank dengan mengguna “heler”. Suara Doktor Hatta sayup – sayup
kedengaran kerana ditenggelamkan oleh suara orang ramai. Namum aku dapat
mendengar bawah Doktor Hatta telah memberitahu bahawa beberapa pemimpin Pakatan
telah ditangkap, antaranya Mahfuz Omar, Salahuddin Ayop dan Nurul Izzah. Dalam
masa yang sama aku dapat perhatikan jumlah para peserta makin bertambah.
Pergerakan masuk para peserta seolah tidak berhenti. Aku menoleh kearah Jalan
Tun Perak dan kelihatan para peserta terus datang berdoyon – doyon. Aku
mengalihkan perhatian aku kearah Jalan Pudu dari aku perhatikan kehadiran orang
ramai terus melimpah datang dari arah Bukit Bintang masuk ke Jalan Pudu. Tiba –
tiba aku mendengar jeritan orang ramai dari belakang. Aku toleh kebelakang dan
rupanya satu kumpulan lagi sekitar 3 hingga 4 ribu orang baru tiba dari Jalan
Petaling. Kuala Lumpur memang benar – benar telah ditawan oleh rakyat pada hari
itu. Setiap simpang dan setiap selekoh penuh dengan lautan manusia dan ianya
tidak putus dari pandangan. Sewaktu di hadapan menara maybank aku sempat
perhatikan 4, 5 orang pelancong asing turut menunjukkan reaksi gembira dengan
perhimpunan itu dan mereka turut menyertai dan bersorak riang. Aku menegur
seorang pelancong remaja lelaki, dia memberitahu dia berasal dari England, dia
tidak kekok malahan sedikit pun tidak takut dengan perhimpunan ratusan ribu
rakyat itu mungkin kerana perkara ini sudah biasa di negara seperti England.
Aku memberitahunya bahawa “we gather here
today, because we need a free and fair election, our government is very
corrouptent handle the election”
kata – kata aku itu disambut dengan tepukan orang sekumpulan remaja cina
yang berada dihadapan aku dan kami bersalaman.
FRU,
Water Canon Dan Aroma Gas Pemedih Mata
Lebih kurang satu lebih jam kami berada dihadapan menara
maybank yang umpama seperti pesta rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan
mempunyai impian yang sama iaitu “Free
and Fair Election”. Selepas beberapa ketika kelihatan sebuah truck FRU yang
membawa meriam air “water canon” mula tiba dari arah Jalan Tun Perak. Namum
para peserta sedikit tidak berganjak hinggalah apabila FRU melepaskan pancutan
air kimia yang berwarna biru kearah orang ramai. Aku, Achen, Adil dan Said lari
menyelamatkan diri dengan mengikut orang ramai menuju kearah jalan pudu.
Sebahagian lagi para peserta lari kearah Jalan Petaling, ini akan lebih
memudahkan kerja polis dan FRU kerana jumlah orang ramai telah berpecah dua
kearah arah Jalan Pudu dan Jalan Petaling. Dalam masa para perserta cuba lari
dan mengelak dari terkena pancutan air kimia,
segerombolan FRU yang berjalan kaki dan lengkap bersenjata melepaskan
gas pemedih mata. Akibat dari para peserta yang berganjak ke Jalan Pudu dan
Jalan Petaling, ini membuatkan ruang
jalan di hadapan menara maybank menjadi sedikit kosong dan membolehkan
FRU masuk dengan lebih dalam dan berada
betul – betul dipertemuan antara Jalan Pudu, Jalan Tun Perak dan Jalan Petaling.
Situasi ini memudahkan lagi FRU dan polis untuk bertidak zalim keatas para
peserta perhimpunan “bersih 2.0” yang berhimpun secara aman.
FRU terus menembak gas pemedih mata
bertalu – talu kearah Jalan Pudu tempat aku dan 3 rakan aku lain berada. Aku
terus membasahkan t-shirt “bersih 2.0” yang aku pegang tadi dengan air mineral
yang aku bawa dan menekapnya ke mulut dan hidung. Aku cuba bertenang kerana
dalam keadaan yang begitu jika terjatuh boleh menyebabkan kita dipijak oleh
orang lain dan yang paling membahaya ialah sepakan dan tapak kasut FRU boleh
hinggap dimuka jika terlalai. Ini kerana selepas melepaskan gas pemedih mata,
seleng beberapa minit selepas itu gerombolan FRU yang berbelantan aku masuk
membalas mereka yang gagal melarikan diri.
Aku bersama Said terus berjalan di
Jalan Pudu dihadapan Pudu Raya bersama puluhan ribuan peserta lain lagi. Aku
memperingati Said supaya jangan jauh dari aku kerana kami bimbang kalau – kalau
terpisah dalam keadaan yang sedikit tengang itu. Achen dan Adil masih berada dalam kelompok
orang ramai dibawah jejantas pudu raya. Aku bersama Said berada sekitar lebih
100 meter jarak yang dipisah dengan orang orang ramai. Mustahil aku dan Said
dapat bersama semula dengan Achen dan Adil kerana keadaan yang agak sedikit
kelam kabut dan jumlah orang yang ramai. Aku mengambil keputusan, aku mesti
bersama Said dan biarkan Achen bersama Adil, dan aku merancang untuk bertemu
semula setelah perhimpunan selesai.
Kumpulan
Rakyat Terpisah Dua
FRU kini berada betul – betul di atas
Jalan Pudu. Para peserta yang berada di Jalan Pudu itu sekitar 20 ribu orang
atau mungkin lebih. Sebahagaian yang lain telah berpecah ke Jalan Petaling dan aku mendapat maklumat yang
mereka kini menuju ke dataran merdeka dan bergabung dengan kumpulan di Sogo.
Tetapi kami masih di Jalan Pudu, dan boleh dikatakan kami sudah terperangkap
dan terkepung. Ini kerana jalan dari Pudu menuju ke Bukit Bintang telah
ditutupi oleh banteng polis. Sekali sekali datang gas pemedih mata dari arah
sana dan membuatkan para peserta bergerak semula menuju ke hadapan pudu
raya dan terhenti di persimpangan
hadapan pudu raya kerana FRU berperisai dan berbelantan telah berdiri bagi
menutupi jalan bersama sebuah truck “water canon”. Aku dapat lihat gas pemedih
mata telah dilepaskan dikawasan bawah jejantas pudu raya, tapi ianya tidak
memberi banyak kesan kepada aku yang berapa pada jarak lebih 100 meter dari
situ. Di atas jejantas penuh dengan para penyokong dan wartawan dan begitu juga
dengan laluan untuk ke lot parking di pudu raya.
Para peserta hanya bergerak di jalan
pudu dengan menuju kearah bukit bintang dan berpatah balik ke hadapan pudu
raya. Beberapa kali kami menyanyikan lagu Negara Ku dan pelbagai slogan keramat
dilaungkan. Aku membisikan kepada Said dengan memberitahu bahawa kami sudah
terkepung dan Said juga menyedari akan itu. Aku cuba mengenalpasti lorong –
lorong dicelah – celah bangunan lama sekitar Jalan Pudu sebagai laluan untuk
menyelamatkan diri jika FRU melakukan serangan. Ini kerana aku sudah merasai
bahawa FRU akan melakukan serang bila – bila masa sahaja ke atas para perserta
perhimpun aman “bersih 2.0” berdasarkan loceng truck FRU yang dibunyikan sudah
3 kali dan bunyi ketukan kuat belantan FRU ke perisai mereka yang menandakan
mereka akan menyerbu bila-bila masa sahaja. Aku perhatikan jam ditangan aku sudah
hampir pukul 4.00petang.
Tembakan
Bertalu – Talu Gas Pemedih Mata
Aku ternampak YB Saifuddin dan YB Siva
datang dari arah belakang di celah – celah orang ramai menuju ke barisan paling
hadapan sekali. Beberapa lama selepas
itu semua peserta diminta duduk dan
maklumat yang aku dapat, YB Siva cuba berunding dengan polis dan FRU bagi
membenarkan kami semua bergerak menuju ke Dataran Merdeka. Aku baru sahaja
hendak duduk dan aku mendengar loceng dari truck FRU dibunyikan sekali lagi dan
selepas itu bendera hijau diangkat oleh seorang anggota FRU dari atas truck
sambil menunjukkan tangannya ke arah orang ramai. Tidak sampai seminit bunyi tembakan gas pemedih mata kedengaran bertalu – talu. Aku mendongak
kepala ke udara dan memerhati lebih dari sepuluh gelongsong gas pemedih mata sedang menuju kearah para peserta yang berhimpun dan
ianya datang dari pelbagai sudut. Said memberitahu aku selepas perhimpunan itu,
bahawa ada tembakan gas pemedih mata yang datang dari arah bangunan
terbengkalai di Jalan Pudu. Mungkin FRU telah menyelinap masuk ke dalam
bangunan terbengkalai tersebut bagi mendapat jarak yang lebih dekat untuk
melepaskan gas pemedih mata.
Menyelamatkan
Diri
Kali ini beberapa gelongsong gas
pemedih mata jatuh kira – kira satu meter dari tempat aku berdiri. Hanya dalam
beberapa saat sahaja asap dan kesan gas pemedih mata tersebut telah menyerang
aku dan ribuan peserta lain.Situasi pada waktu ini cukup mencemaskan, sakit dan
kepenatan. Aku membasahkan lagi t-shirt “bersih 2.0” yang dipegang aku dengan
air mineral yang semakin kurang dan menekapkan ke muka. Masing cuba menyelamatkan diri, dan lari dengan
tidak tentu arah. Aku cuba untuk tidak menarik nafas dengan begitu dalam
walaupun penat kerana ini akan
menyebabkan asap gas pemedih mata tersebut masuk dengan lebih banyak ke dalam
badan aku dan boleh menyebabkan aku hilang kawal. Aku mencari kawan aku Said, aku melihat dia
berlari terus kearas jalan besar, aku menarik beg Said dan membawa dia lari
mengikut lorong ditepi bangunan lama. Aku tahu jika berlari terus mengikut
jalan besar, polis sudah bersedia di sana dan akan menangkap bila kami tiba. Ini yang menyebabkan ramai yang menyembunyikan
diri dalam perkarangan hospital swasta Tung Shin di jalan pudu yang mana polis
dan FRU bertindak membedil hospital swasta tersebut.
Aku membawa Said dengan mengheret beg
galasnya mengikut aku ke celah lorong, ramai sudah berpusu – pusu memasuki lorong
tersebut. Selepas hanya 2 meter pegerakan di lorong tersebut, terdapat sebuah
tangga dan para peserta yang mahu menyelamatkan diri tadi berpusu – pusu
menaiki tangga tersebut. Mujur tidak ada yang terjatuh atau yang terpijak oleh
para perserta lain. Aku melihat ramai yang tertanggal kasut dan berlari dengan
kaki ayam selepas kasut mereka tertanggal sewaktu berpusu – pusu menaiki
tangga. Setibanya diatas aku perhatikan 3 hingga 4 orang gadis remaja Cina
sedang terbatuk hingga hampir termuntah kerana terhidu gas pemedih mata. Aku
masih mampu menahan kesakitan dan keperitan gas tersebut.
Kaki
Kejang “cram” Di Tangga Sempit
Di kawasan atas tempat kami tiba itu ada
sebuah kuil hindu, ada yang mengambil kesempatan untuk bersembunyi dalam kuil
hindu tersebut baik dari kaum melayu atau cina. Ada beberapa kumpulan lagi
sedang memanjat tembok untuk pergi ke tempat yang lebih selamat. Aku sudah
tidak terdaya untuk memanjat tembok yang setinggi satu setengah meter itu kerana kedua- dua belah kaki aku sudah
mula terasa kejang “cram”. Jika aku memaksa dengan lebih kuat pergerakan pasti
kaki aku akan terus cram dan tidak dapat berjalan lagi dan pasti akan
ditangkap, ini kerana polis sudah mula menyerbu untuk menangkap sesiapa sahaja
para peserta yang mereka lihat. Memang ini taktik tangkapan yang aku perhatikan
dari pelbagai demostrasi – demostrasi yang aku sertai sebelum ini, FRU
melepaskan gas pemedih mata dan apabila gas tersebut sedikit reda gerombolan
polis dan FRU akan menyerbu masuk. Maka mereka yang telah lemah terkena gas
pemedih mata akan mudah tertangkap. Oleh
itu carilah stamina secukup mungkin sebelum menyertai mana – mana demostrasi
selepas ini.
Ketika berada di kawasan belakang blok
– blok kedai tadi, aku rasakan seperti sudah tidak ada jalan untuk melarikan
diri. Tiba – tiba aku terpandang sekumpul para peserta berpusu – pusu pada satu
sudut di tembok tadi. Rupanya disitu terdapat sebuah anak tangga yang
membolehkan para peserta menyelamatkan diri ke sebatang jalan raya yang boleh
menuju ke kawasan Bukit Bintang. Aku tidak menyedari terdapat anak tangga tersebut
pada awalnya kerana mata aku yang terlalu pedih akibat kesan gas pemedih mata.
Sekali lagi aku menarik Said yang kelihatan agak hilang kawalan selepas terkena
gas pemedih mata, menuju kearah anak tangga tadi dan situasi perpusu – pusu dan
berhimpit sekali lagi terjadi seperti ketika menaiki tangga yang pertama tadi.
Selepas melepasi tangga tersebut,
ramai antara kami termasuk aku dan Said berehat di bangunan Bursa Malaysia yang
terdapat situ. Mujur ketika asap gas pemedih mata mula menguasai ruang udara
hujan mula turun dengan sedikit lebat. Ini mengurangkan sedikit rasa perit
akibat gas pemedih mata tersebut. Peluang untuk berehat sekejap tersebut aku
gunakan untuk membasuh muka yang pedih. Beberapa peserta lain memberi garam
kepada aku dan beberapa orang lain lagi. Garam adalah penawar mujarab untuk
menghilangkan rasa perit gas pemedih mata dengan memasukkannya kedalam mulut.
Petua ini aku perolehi sewaktu demo anti ISA 2009 dan selepas mencubanya pada
waktu itu ternyata ia memang mujarab.
Garam
Dan Polis
Aku betul – betul dahaga dan tekak
menjadi kering, air mineral yang dibawa sudah habis diminum dan berkongsi
dengan para peserta yang lain tanpa mengira kaum. Hampir 20 hingga 30 orang
para peserta perhimpunan yang berlindung di bangunan Bursa Malaysia pada waktu
itu. Selain para peserta, terdapat juga 3 orang polis yang beruniform
berpangkat konstebel dan lans koporel
berada disitu. Aku tidak tahu apa motif mereka mereka berada disitu,
mereka kelihatan langsung tidak mengambil peduli kepada para peserta perhimpuan
yang berlindung dan berehat disitu. Aku sendiri hanya berdiri tidak sampai 2
meter dengan mereka dan mereka tidak ambil peduli. Yang aku perhatikan mereka
memegang tuala kecil dan menyapu – menyapu muka mereka kerana kepedihan gas
pemedih mata. Ada para peserta yang menghulurkan garam kepada polis tersebut
tetapi mereka enggan menerimanya. Mungkin anggota polis ini sedang mencuri
tulang atau tidak tahan terkena gas pemedih mata kerana dari riak wajah mereka
jelas mereka seperti menahan kesakitan. Atau mungkin mereka ini antara polis
yang tidak sanggup terlibat dengan aktiviti membelasah rakyat yang berhimpun
dengan aman.
Terserempak
Dengan Kumpulan FRU Yang Mengganas
Lebih kurang 15 minit berhenti di
bangunan Bursa Malaysia tersebut, datang tiga orang lelaki dengan dua buah
motosikal yang dipercayai unit amal pas dan mengarahkan kami untuk turun ke
jalan di bawah tempat kami berlindung, ini kerana katanya lebih ramai para
peserta perhimpunan sedang berada di bawah dan mereka mengajak kami membentuk
semula kumpulan yang besar. Kaki aku sudah betul – betul terasa sakit dan
kejang. Aku berjalan dengan agak terhencut – hencut dan perlahan. Semua
perserta yang berada di bangunan Bursa Malaysia tadi turun ke bawah mengikut
seperti mana arahan unit amal tadi. Setibanya aku dibawah ditepi jalan aku
mendengar laungan dan jeritan kumpulan manusia yang ramai. Aku cuba mencari
arah datangnya bunyi tersebut, dan apa bila aku perhatikan di sebelah kiri,
kira – kira 500 orang para peserta sedang bergerak dalam satu kumpulan dan
mereka ini sedang diasak dan dikejar rapat oleh FRU yang berperisai dan berkayu
belantan. Pada waktu ini aku sudah tidak tahu apa yang terjadi pada Achen dan
Adil kerana kami betul – betul telah terputus hubungan dan terpisah, hanya Said
yang masih bersama aku.
Jarak kumpulan para peserta
perhimpunan yang diasak dan dikejar FRU tadi lebih kurang 200 meter dari tempat aku berdiri dan mereka sedang
bergerak menuju kearah tempat aku berdiri. Bunyi deruman ketukan kayu belantan
FRU pada perisai yang mereka pegang cukup menakutkan kepada mereka yang belum
biasa merasai. Aku sudah tidak boleh berlari pada waktu itu dan hanya mampu
berjalan perlahan – lahan sahaja. Dengan pantas aku perhatikan kumpulan yang
dikejar dan diasak oleh FRU itu tadi semakin menghampiri aku dan Said yang
berdiri di tepi jalan. Aku mengarahkan Said agar lari kearah jalan agak menaiki bukit kerana aku pasti
jika FRU sampai ditempat kami berdiri sudah pasti kami akan menjadi ulam
mereka. Said terus berlari kejalan yang aku sebutkan tadi, tapi aku tidak mampu
untuk bergerak selaju Said kerana kaki aku sudah terlalu sakit dan kejang. Aku
hanya mampu berjalan perlahan – lahan bagi melalui jalan yang agak mendaki
tersebut.
Jalan
Mati
Setiba di separuh jalan, aku
perhatikan terdapat denai yang menaiki bukit dan aku memasuki denai tersebut
dengan tujuan untuk bersembunyi sementara menunggu kumpulan FRU yang menggila
tadi melepasi kawasan tersebut. Tindakan aku ini diikuti oleh 4 orang peserta
perhimpuan dari Kelantan. Aku bersama lelaki dari Kelantan tadi menyusuri denai
tersebut dan rupanya denai tersebut adalah jalan mati dan pergerakan kami mati
situ. Kami berlindung dibelakang timbunan tanah merah bagi mengelak dikesan FRU
yang mungkin masih berada di kawasan sekitar. Helikopter polis berlegar dan
terbang rendah di kawasan tersebut, aku percaya anggota polis yang berada
didalam helikopter tersebut pasti dapat melihat kami yang sedang bersembunyi.
Salah seorang dari lelaki Kelantan tadi menyatakan kerisauannya dengan
mengatakan “kalau FRU datang kita tak
boleh lari ni”. Aku juga menyedari situasi tersebut, tapi aku mencadangkan
agar kami berada situ dahulu dalam beberapa ketika sementara menunggu keadaan
reda. Ini kerana jika kami keluar pada keadaan FRU masih berlegar di kawasan
tersebut, sudah pasti risikonya lebih tinggi. Aku sebenarnya sudah bersedia
untuk ditangkap pada waktu itu, oleh itu aku mengambil tindakkan membuang
dengan membunyikan baju t-shirt Bersih 2.0 aku tersebut di tepi hutan tersebut.
Ini kerana jika tertangkap dengan memiliki baju t-shrit tersebut ianya akan
menjadi lebih panjang cerita.
Meneruskan
Pergerakan
Tidak berapa lama selepas itu, Said
menghubungi aku bertanyakan dimana aku berada, aku memberitahu yang aku sedang
bersembunyi di atas bukit tersebut. Said memberitahu keadaan sudah tenang FRU
semua sudah beredar dari situ. Aku mengajak kumpulan lelaki dari Kelantan tadi
untuk keluar semula. Sambil berjalan dengan terhencut – hencut aku mendapatkan
Said yang mula hendak menghampiri tempat aku dan beberapa lelaki Kelantan tadi
berlindung. Setelah turun dari bukit tersebut kami berjalan terus mengikut
jalan raya yang sedikit mendaki tadi. Beberapa kumpulan kecil para peserta tiba
dari arah belakang. Terdengar seorang lelaki memaki polis dan FRU dalam loghat
pantai timur, berbunyi “tidak guna punya
melayu, semua tu melayu belaka”. Aku hanya tersenyum memandang muka lelaki
tersebut yang berbaju melayu dan berkopiah sambil aku terus menahan kesakitan
kaki aku.
Aku dan Said serta beberapa para
peserta lain terus berjalan mengikut jalan raya tersebut. Aku sendiri tidak
tahu jalan tersebut menuju kemana. Aku bertanyakan kepada seorang lelaki cina
yang berkepala botak tentang arah jalan tersebut, dia memberitahu jalan
tersebut menuju ke bukit bintang. Kami meneruskan perjalanan agar dapat
membentuk semula kumpulan yang besar walaupun pada waktu itu aku sudah betul –
betul kekurangan tenaga. Sepanjang perjalanan aku menerima dua tiga panggilan
telefon serta dari rakan aku yang berkumpul di masjid kampung baru pagi tadi
dengan memberitahu dia sedang berada di pudu waktu itu, ini menunjukkan
kumpulan dari masjid kampong baru telah mengambil alih tempat kami di pudu.
Selain itu aku turut menerima panggilan dari rakan – rakan aku yang berada di
Penang bagi bertanyakan situasi semasa perhimpunan tersebut. Aku hanya menjawab
ringkas kerana terlalu penat.
Dijemput
FRU Dan Restoran Makanan Cina
Setibanya kami di Bukit Bintang sekali
lagi kami terperangkap, rupanya kumpulan FRU tadi sudah tiba lebih awal di
Bukit Bintang. Ketika aku berada disekitar kedai – kedai makanan di Bukit
Bintang, aku terdengar bunyi tembakan gas pemedih mata bertalu – talu. Bunyinya
datang dari arah belakang kedai – kedai makanan tersebut. Aku sudah betul –
betul tidak berdaya untuk belari pada waktu itu, aku dan Said berpatah balik
bersama dengan dengan para peserta lain yang kebanyakan kaum cina. Aku hanya
mampu untuk berjalan secara perlahan dan hanya redha kalau tertangkap.
Aku masuk ke sebuah restoran makanan
cina yang terdapat ditepi jalan tersebut. Pada mulanya mereka agak keberatan
untuk membenarkan aku masuk kerana bimbang akan menjejaskan perniagaan mereka.
Tapi selepas aku memberi penerangan mereka membenarkan aku berada dalam kedai
tersebut. Said mengambil selekoh ditepi
jalan tersebut dan masuk ke dalam restoran nasi kandar. Hanya aku
seorang yang berada dalam restoran makan cina tersebut kerana pihak pengurusan
restoran tersebut terus menutup kedai mereka apabila FRU mula menggila di luar.
Aku diberi layanan yang baik oleh kakitangan restoran dan pengurus restoran
tersebut. Mereka membawakan aku segelas air kerana mereka menyedari aku berada
dalam keletihan. Hampir setengah jam aku
berada dalam restoran tersebut. Di luar masih kedengaran tembakan gas pemedih
mata, Said menghubungi aku dan memaklumkan yang dia sedang berada di restoran
nasi kandar berhampiran di situ. Aku mengarahkan Said agar terus berada disitu
hingga semuanya reda dan berjumpa kembali selepas itu.
Setelah beberapa lama aku dalam
restoran makanan cina tersebut, salah seorang kakitangannya memberitahu bahawa
keadaan sudah “ok” dan sudah tidak ada polis di luar. Aku mengucapkan terima
kasih kepada kakitangan dan pengurus restoran tersebut kerana membantu aku dan
aku terus keluar dari restoran tersebut bagi mendapatkan Said. Aku cuba
menghubungi Said tetapi gagal kerana rangkaian telefon aku tiba tiada liputan.
Agak mustahil di tengah-tengah bandar besar seperti Bukit Bintang tidak mempunyai
liputan rangkaian telefon. Mungkin ada pihak yang sengaja mematikan liputan
rangkaian telefon pada waktu itu. Aku mencuba berulang kali, akhirnya aku
berjaya menghubungi Said. Aku tidak jelas dimana dia berada, aku berjalan
mundar mandir sekitar kawasan tersebut. Aku berbual dengan sekumpulan remaja
cina yang turut sama terlibat dalam perhimpunan tersebut. Katanya, rakannya
memaklumkan yang para peserta kini sedang bergerak ke KLCC dan ada juga
kumpulan yang tersangkut dihadapan Concord Hotel serta Sogo.
Jam sudah menunjukkan hampir 5 petang
dan merasakan perhimpunan Bersih 2.0 pada hari itu pasti sudah berakhir. Aku
mengakhiri perhimpunan tersebut dengan situasi yang agak genting dan
mencemaskan. Akhirnya aku berjaya berjumpa kembali dengan Said, aku dan dia
pergi ke restoran nasi kandar yang Said berlindung tadi untuk menghilangkan
penat dan dahaga. Di dalam restoran itu juga terdapat ramai para peserta
perhimpunan yang berehat dan melepaskan penat setelah separuh hari
berdemostrasi dan berhadapan dengan asakan FRU dan polis. Aku berbual panjang
dengan dua orang lelaki dari Selangor berkenaan politik dan perhimpunan
tersebut. Dari apa yang disuarakan mereka menunjukkan bukan aku sahaja yang
mahukan perubahan tetapi rata –rata rakyat Malaysia mahukan perubahan
terutamanya perubahan dalam pilihanraya.
Mengakhiri
Perhimpunan
Setelah hampir jam 6 petang Adil menghubungi aku, dia
memaklumkan mereka sedang berada dalam perhimpunan akhir di KLCC bersama
beberapa pemimpin seperti Chegu Bard dan beberapa yang lain lagi. Itu merupakan
perhimpunan penutup kepada perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai tersebut. Aku
dan Said tidak dapat melibatkan diri dalam perhimpunan penutup itu kerana
menerima asakan hebat FRU disamping keadaan fizikal yang telah tidak
mengizinkan. Aku bercadang untuk
berjumpa semula di hadapan Mcdonald di Jalan Bukit Bintang. Sekitar jam 6.30
petang kami berempat berjaya bertemu kembali
dan masing – masing tidak lekang dari menceritakan pengalaman sepanjang
hari tersebut. Selepas itu kami pergi ke sebuah kedai makanan untuk mengisi
perut. Selepas itu kami mengambil keputusan untuk bermalam di buget hotel di
Bukit Bintang kerana perkhidmatan bas di puduraya telah dihentikan hingga jam
10 malam dan pulang ke Bukit Mertajam keesokannya. Tenyata semua antara kami
malahan ratusan ribu rakyat yang terlibat dalam perhimpun Bersih 2.0 pada 9
Julai tersebut puas kerana berjaya terlibat dalam membentuk sejarah.
Sejarah
Tercipta
Perhimpunan “Bersih 2.0” 9 Julai 2011
yang telah berlaku itu pasti akan tercatat dalam lingkungan sejarah tanah air
kita. Jika berlaku perubahan kelak, ianya akan pasti akan tertulis di dalam
buku – buku tekt sekolah dan menjadi rujukan kajian dan bacaan intitusi –
intitusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Peristiwa ini juga akan
terangkum dalam dokumentari – dokumentari yang akan dilihat dan ditatap oleh
generasi anak cucu cicik kita 20,30 tahun yang akan datang. Berbanggalah kita
kerana kita yang melakukannya. HIDUP RAKYAT!!!!
|
credit to Alex Cheong for this picture |
|
credit to Alex Cheong for this picture |
|
credit to Alex Cheong for this picture |
|
credit to http://www.tranungkite.net/v11/ for this picture |
|
Catatan:
- Hampir
ratusan ribu rakyat dari pelbagai negeri dan kaum menyertai perhimpunan “Bersih
2.0”, namum media arus perdana cuba menafikan dengan menyebut hanya 6000 sahaja
- Hampir
1600 para peserta perhimpunan aman “Bersih 2.0” ditangkap
- Ramai
pemimpin utama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil “Bersih 2.0” ditangkap,
termasuk pemimpin Pakatan Rakyat seperti Ustaz Hadi Awang
- Dato
Seri Anwar Ibrahim tercedera selepas ditembak dengan gas pemedih mata di KL
Santrel.
- Naib
Presiden PAS Mat Sabu cedera dan terpaksa dibedah dibahagian lutut selepas
motosikal yang diboncengnya ke Masjid Negara dilanggar oleh Polis.
- Terdapat
lebih dari satu tempat rakyat berkumpul seperti di Pudu Raya, Masjid Kampung
Baru, Sogo, Dataran Merdeka, KL Sentral dan Stadium Merdeka. Namum mereka ini
tidak dapat bergabung serentak kerana asakan dan halangan FRU serta FRU.