Hari penamaan calon untuk Pilihanraya Umum ke-13 hanya tinggal lebih kurang satu minggu dari tulisan ini ditulis. Pada 5 Mei 2013 nanti rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih. Tetapi sebelum kita pergi ke tarikh 5 Mei 2013 aku ingin membawa pembaca ke tahun 1999 iaitu tahun dimana Pilihanraya Umum ke-10 diadakan. Mungkin ada dalam kalangan kita masih segar dalam ingatan tentang sejarah pilihanraya 1999 itu dan mungkin juga ada antara kita yang masih belasan tahun pada waktu itu dan belum mampu untuk menilai apa yang terjadi pada waktu itu.
Pada 2 September 1998 Dato Seri Anwar Ibrahim telah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Selang beberapa hari keahlian Anwar Ibrahim telah dilucutkan dari Umno. Bermula dari tarikh itu gelombang "Reformasi" telah tercetus tanpa henti dan marak sekali terutama dari mereka yang tidak berpuas hati dengan pemecatan tersebut. Demostarsi demi demostarsi sentiasa berlaku ditengah - tengah bandar Kuala Lumpur dan seluruh negara.
Kemuncak kepada rasa tidak puas hati ini adalah pada perhimpunan besar yang berlangsung di Masjid Negara dan berakhir di PWTC. Pada malam 20 September 1998 Anwar Ibrahim telah ditangkap dirumahnya sewaktu sedang mengadakan sidang media dan disusuli dengan peristiwa Anwar Ibrahim dipukul hingga lebam mata dan mengalami masalah kesihatan yang kronik. Peristiwa itu telah membakar lagi semangat reformis - reformis untuk terus menggerakkan arus "Reformasi" di Malaysia pada waktu itu. Namum bukan sosok tubuh Anwar Ibrahim yang aku mahu tekankan disini, tetapi pilihanraya yang berlaku pada waktu itu.
Situasi serta "mood" politik pada waktu itu dilihat amat - amat memihak kepada parti pembangkang yang mula membentuk Barisan Altenatif hasil gabungan PAS, DAP dan Parti Keadilan Nasional. Idea pergabungan ini sebenarnya dibawa oleh presiden PAS pada waktu itu iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Tujuannya adalah untuk berhadapan dengan Umno Barisan Nasional dalam PRU ke-10 pada waktu itu secara bersatu dan satu lawan satu.
Boleh dikatakan sesiapa sahaja yang merasai gelombang reformasi dan kebangkitan rakyat pada waktu itu akan mengatakan yang Umno Barisan Nasional akan tewas dalam pilihanraya umum ke-10 itu. Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia pada waktu itu dengan berani membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya umum dalam tengah - tengah gelombang kebangkitan rakyat menentang kerajaan iaitu pada 29 November 1999 iaitu lebih kurang setahun lebih dari tarikh bermulanya gelombang Reformasi.
Ramai pemerhati dan rakyat merasakan pasti akan ada perubahan pemerintah pada waktu itu atau dengan kata lain ahli - ahli politik pembangkang pada waktu itu begitu yakin yang mereka akan menang dalam pilihanraya 1999 hingga ada yang sudah berangan - angan untuk menjadi menteri. Jika kita perhatikan situasi dan keadaan sosial politik pada waktu itu iaitu sekitar 1998 dan 1999 mungkin kita juga akan beranggapan yang pasti Umno dan Barisan Nasional akan turun dari tahta pemerintahan.
Tetapi selepas keputusan Pilihanraya Umum ke-10 diumumkan semua tanggapan dan andaian itu jauh meleset. Cita - cita yang tinggi oleh ahli - ahli politik pembangkang juga melebur. Umno dan Barisan Nasional pada waktu itu masih lagi mampu mengekalkan kuasa majoriti 2/3 di dewan rakyat. Gelombang kebangkitan rakyat dan "refomasi" yang bergema pada waktu itu hanya mampu memberi sedikit pukulan kepada Umno/Barisan Nasional apabila mereka hanya kehilangan Terengganu kepada PAS dan gagal merampas Kelantan. Maka kecewa dan gundah gulana segala ahli dan pemimpin pembangkang hingga membawa kepada kekalahan yang teruk pada pilihanraya 2004. Semua ini ialah kerana sikap terlalu yakin atau "over confident" yang tinggi yang terdapat pada kalangan pemimpin dan parti pembangkang pada waktu itu.
Apa yang aku ingin membuat perbandingan ialah, situasi atau mood sosiol politik pada 1998/99 lebih kurang serupa dengan mood sosiol politik pada hari ini 2013. Rata - rata penyokong, ahli dan pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat mula dilihat begitu "over confident" untuk menang dalam pilihanraya umum ke-13 yang bakal berlangsung nanti. Hingga ada parti yang dulunya tidak berani meletakkan calon tetapi sekarang beriaya-ria mahu meletakkan calon hingga sanggup membelakangi semangat dalam Pakatan Rakyat. Mungkin ada juga dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat hari ini sudah mula dibuai mimpi - mimpi indah menjadi seorang menteri selepas PRU-13 nanti.
Apa yang aku ingin tekankan, jika Pakatan Rakyat tidak menteladani sejarah peristiwa Pilihanraya Umum 1999 tetapi hanya bersandarkan kepada semangat Pilihanraya Umum 2008 mungkin peristiwa sama seperti 1999 akan berulang. Maka betulkan semula matlamat dan niat dalam perjuangan dan jangan letakkan pangkat dan jawatan sebagai satu idaman. Perjuangan rakyat itu mesti terus dan menerus tanpa hiraukan pasang surut perjuangan.
Bagi ramalan aku, dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang bakal berlangsung nanti Pakatan Rakyat tidak akan mampu menawan Putrajaya. Kedah dan Selangor mungkin terlepas semula kepada Umno dan Pakatan Rakyat akan mendapat pertambahan kerusi dari Negeri Sembilan dan Perak serta mengekalkan Pulau Pinang dan Kelantan. Sabah dan Sarawak mungkin tiada perubahan. Apa pun aku mengharapkan apa yang aku ramalkan ini tidak tepat.
No comments:
Post a Comment