Monday, January 7, 2013

BERAHI DENDAM CINTA TERLARANG


Dalam sebuah kota terdapat seorang jejaka yang bernama Encik Umno. Encik Umno ini dahulunya seorang jejaki yang hebat dan gah seantero alam. Tidak ada sesiapa boleh dan berani menyanggah apa yang Encik Umno mahu lakukan. Semua yang haram akan menjadi halal sekiranya dilakukan oleh Encik Umno. Begitu hebatlah Encik Umno ini sehinggakan siapa yang menentangnya pasti ditimpah tulah liwat. Maka tunduklah sekian penghuni dan jiran tertangga tetapi penuh dendam kepada Encik Umno.

Di pinggir kota tersebut tinggalnya seorang gadis yang tidak berapa sunti bernama Cik Pas. Cik Pas ini sepanjang usianya sering kali dizalimi oleh Encik Umno. Tetapi Cik Pas tidak mampu untuk melawan kezaliman Encik Umno ini terhadapnya dan Cik Pas hanya mampu berdoa. Ramai juga penghuni dan jiran tertangga baik di pinggir kota dan kota yang simpati dengan Cik Pas dan menyatakan sokongan mereka terhadap Cik Pas. Tetapi tidak banyak yang Cik Pas mampu lakukan dan terus  berdoa memandangkan Cik Pas dan En Umno ini sebangsa.

Sungguhlah zalim Encik Umno ini kepada Cik Pas sehingga Encik Umno yang kaya raya ini tidak mahu memberi pulangan  yang dikutip dari hasil mentah yang terdapat di pinggir kota. Encik Umno hanya memberikan sedikit bantuan ehsan kepada Cik Pas hasil dari hasil bumi yang dipunggah dari pinggir kota. Bukan itu sahaja, Cik Pas ini pernah dilebal sebagai sesat dari agama dan mengecam hebat amanat – amanat yang dibuat oleh Cik Pas. Cik Pas juga dituduh sebagai memecah belahkan kaum yang sebangsa dengan Encik Umno. Begitu dasyatlah kezaliman Encik Umno terhadap Cik Pas ini. Tetapi Cik Pas tidak melawan kerana bagi Cik Pas mereka lebih memilih akhirat berbanding dunia.

Tiba – tiba suatu hari tanpa disangka – sangka En Umno ditimpa penyakit yang maha dasyat. Belum pernah En Umno mengalami sakit yang seteruk ini. Akibat dari penyakit ini, kekuatan diri Encik Umno telah menjadi lemah. Ramai juga kawan – kawan En Umno yang selama ini begitu baik dengan Encik Umno menjauhkan diri dari En Umno kerana jijik dan bimbang akan dijangkiti oleh penyakit yang dihidapi oleh Encik Umno ini. Maka merayau dan meracaulah Encik Umno ini menanggung kesakitan yang amat sangat yang belum pernah dia alami sebelum ini.

Tiba – tiba datang beberapa dukun kangkong dari universiti sintok dan beberapa universiti nyamuk seluruh kota disamping bantuan dari Pak Lang Apco menyarankan kepada Encik Umno  agar menikahi Cik Pas. Ini kerana berdasarkan tilikan mereka, penyakit Encik Umno ini hanya boleh disembuhkan dengan cara menikahi Cik Pas. Maka tersentot dan terkemutlah Encik Umno bila mendengar cadangan itu, manakan tidak Encik Umno begitu jijik dan jengkel dengan Cik Pas dan telah menganggap Cik Pas ini sesat. Bagaimana Encik Umno mahu berkahwin dan tinggal sebumbung dengan Cik Pas.

Tetapi selepas dipujuk oleh pak – pak kangkong dan Pak Long Ibrahim Ali disamping mengenangkan penyakit yang dihadapinya, wajah Cik Pas yang selama ini dipandang jijik dan hina  bertukar menjadi indah dan memberahikan. Syahwat En Umno begitu mudah terangsang setiap kali terbayang wajah Cik Pas lalu mendorong Encik Umno bersama Uncle Soi Lek dan Dato T menonton filem porno. 

Maka dihantarlah rombongan untuk meminang Cik Pas. Dicananglah sekian alam bahawa Encik Umno akan berkahwin dengan Cik Pas yang digelar Perkahwinan Perpaduan. Dicanangkan juga bahawa dengan perkahwinan ini akan menyelamatkan bangsa mereka.

Cik Pas yang pada mulanya agak geli geleman dengan pinangan dari Encik Umno mula tertarik dengan pinangan tersebut apabila dijanjikan bulan dan bintang serta jawatan – jawatan besar dan darjah kurniaan.  Tidak sedikit juga dari penghuni yang tinggal di pinggir kota dan kota yang bersimpati dengan Cik Pas ini bersetuju dengan perkahwinan Cik Pas dan Encik Umno. Ramai mereka yang bersetuju ini menyatakan sokongan terhadap perkahwinan ini kerana bagi mereka perkahwinan ini dapat memajukan kaum bangsa mereka dari kaum lain.

Persiapan telah dibuat dan perjumpaan demi perjumpaan telah diaturkan. Maka tidak tertahan lagilah hati Encik Umno untuk memperisterikan Cik Pas. Tiba – tiba muncul Tok Nik yang merupakan Abang Long besar kepada Cik Pas. Sesungguhnya Tok Nik ini amat dihormati oleh sekelian penghuni. Tok Nik dengan tegas tidak merestui perkahwinan antara Cik Pas dan Encik Umno. Maka munculah rakan – rakan karib Encik Umno mengutuk Tok Nik dengan tuduhan tidak sayangkan bangsa. Malang sekali kumpulan yang sering bercakap tentang bangsa ini selalu sahaja terkeliru indentiti bangsa mereka sendiri.

Apabila hubungan cinta antara Encik Umno dan Cik Pas ini mula menjadi cinta terlarang maka meranalah kedua – dua jiwa ini. Keinginan untuk bersama ini sentiasa membuak – buak dan Cik Pas sentiasa terbayangkan keindahan singgah sana yang bakal dinikmatinya dan Encik Umno sudah tidak sabar mahu menghilangkan penyakit melarat yang dialaminya itu setelah berkahwin dengan Cik Pas. Ramai juga penghuni yang disekitar pinggir kota tidak berpuas hati dengan arahan Tok Nik untuk membatalkan perkahwinan antara Cik Pas dengan Encik Umno ini. Tetapi mereka tidak berani menyatakan rasa tidak puas hati itu kerana rasa hormat yang terlalu tinggi terhadap Tok Nik. Tetapi dalam masa yang sama mereka sentiasa mencari jalan untuk menjayakan juga perkahwinan antara Cik Pas dengan Encik Umno ini. Antara yang berusaha keras adalah seperti Din Isa dan San Li. Perkara ini telah membuatkan penduduk pinggir kota terpecah dua kepada kumpulan yang menyokong perkahwinan Cik Pas dengan Encik Umno dan satu lagi kumpulan yang menentang perkahwinan tersebut, dan mereka ini digelar Dorgan atau pelesit.

Di pihak Encik Umno pula, masing – masing bergundah – gulana apabila mengetahui cinta mereka ini mula terlarang oleh Tok Nik. Maka Tok Nik diserang dengan pelbagai bentuk dari pelbagai sudut bagi bagi melepaskan amarah yang tidak terhingga itu. Bermacam cara digunakan oleh Encik Umno untuk menjayakan juga perkahwinannya dengan Cik Pas tetapi tetap juga menemui jalan buntu. Berkali – kali rombongan meminang dibawa tetapi setiap kali itu jugalah pinangan itu ditolak. Maka menangis teresak – esaklah Cik Pas di dalam bilik bersendirian mengenangkan pinangan dari Encik Umno ditolak mentah – mentah oleh Tok Nik.

Akibat telah terlalu kecewa dan terlalu malu pinangannya selalu ditolak, maka Encik Umno memutuskan untuk tidak lagi cuba memikat Cik Pas walaupun nafsunya sentiasa memberahi terhadap Cik Pas. Perasaan cinta dan berahi itu akhirnya bertukar menjadi dendam kesumat yang sukar dipadam. Akibat rasa dendam itu maka hari ini Tok Nik dan Cik Pas serta seluruh penghuni pinggir kota terus diserang oleh Encik Umno walaupun keadaan fizikal Encik Umno masih lagi lemah akibat penyakit yang ditanggungnya itu masih belum pulih.

Cik Pas yang dahulunya dilihat begitu mengiurkan untuk diajak berkahwin bertukar menjadi begitu jijik bagi En Umno malah lebih jijik dari sebelumnya. Maka Encik Umno telah menuduh Cik Pas sebagai sesat kerana pernah menulis puisi yang bertajuk “Amanat Hadi” pada 31 tahun yang lalu. Bermodalkan isu puisi amanat itu Cik Pas hari ini diserang bertubi oleh setiap penghuni kota yang menyokong En Umno. Kelihatan pada waktu Cik Pas diserang, Cik Pas sendiri tidak mampu menahan jauh sekali melawan serangan tersebut. Rakan – rakan yang dahulunya begitu beria – ria mahunya Cik Pas untuk berkahwin dengan Encik Umno juga tidak mampu membantu Cik Pas dalam menangkis serangan tersebut. Sebaliknya rakan yang tidak digemari oleh Cik Pas kerana menentang usaha perkahwinannya dahulu yang banyak membantu Cik Pas dalam menghadapi serangan dari En Umno yang cintanya tidak kesampaian itu.

Hari ini Cik Pas telah diasak untuk menjelaskan tentang puisi amanat yang dihasilkannya 31 tahun yang lalu. Ini kerana setelah 31 tahun barulah Encik Umno dan pengikutnya menyedari bahawa mereka telah tersesat akibat dari puisi amanat tersebut. Sudahlah kecewa impian cintanya tidak menjadi bertambah sedih Cik Pas apabila pujaan hati yang pernah melamarnya dahulu, kini menyerangnya demikian rupa.

Akibat tidak tertahan menanggung serangan, Cik Pas meminta untuk memberi penjelasan berkenaan puisi amanat yang dihasilkannya dahulu. Cik Pas meminta agar penjelasannya itu dibuat secara langsung melalui wayang pacak RTM dan TV3. Rakan Encik Umno iaitu Mas Rais Yatim membenarkannya tetapi dengan pelbagai helah. Malang bagi Cik Pas kerana tidak mengetahui bahawa dia boleh sahaja merakam penjelasannya berkenaan puisi amanat tersebut dan memuat naik ke youtube dan dengan cepat video penjelasan tersebut boleh tersebar. Barulah warga lain boleh mendapat tahu bahawa sebenarnya puisi itu ditulis hanyalah suka – suka sewaktu dia sedang memancing dan bukannya untuk sesat lagi menyesatkan. Mungkin usia Cik Pas telah melebihi 30 tahun dan menghalangnya dari mendapatkan rebat RM200 untuk membeli telefon pintar yang berupayaan melayari internet.

Disamping itu, sakit yang menghinggapi Encik Umno sejak Mac 2008 masih belum pulih malahan semakin teruk. Setelah gagal mendapatkan penawarnya dengan berkahwin dengan Cik Pas menjadikan Encik Umno semakin tidak keruan. Mungkin ajal En Umno akan sampai tidak lama lagi maka berakhirnya hayat Encik Umno yang penuh angkuh dan sombong sepanjang hidupnya, maka mungkin matinya kelak dalam kecewa cinta yang melara kerana tidak sempat menikahi Cik Pas.

Sebenarnya Cik Pas tidak sedar, bahawa penyakit Encik Umno itu akan boleh menjangkiti Cik Pas dengan mudah setelah mereka berjimak apabila berkahwin. Penyakit yang menghinggapi Encik Umno ini umpama penyakit AIDS yang memang tiada penawarnya dan mudah merebak apabila berjimak.
Maka kisah cinta terlarang ini terus menjadi dendam abadi oleh Encik Umno kepada Cik Pas. -TTK-

2 comments:

5zal said...

hahahaha byk point of view dalam cita nie.......aku suka...

Anonymous said...

Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

pengkhususan Syarikat.
1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.