Monday, November 24, 2014

Perang petrol dan ISIS

Oleh: Hishamuddin Rais




Sepuluh hari setelah World Trade Center di New York meledak dilanggar kapal terbang, Jeneral Wesley Clark, bekas Komander Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah datang melawat Pentagon.

Pentagon ialah ibu pejabat Jabatan Pertahanan Amerika. Jeneral Clark datang untuk bertemu dengan Naib Presiden Dick Cheney dan Timbalan Setiausaha Pertahanan Paul Wolfowitz. Mereka berbincang tentang ledakan yang baru berlaku.

Ketika beredar, Jeneral Clark 'ditahan' oleh seorang jeneral yang pernah bertugas bawahnya. Sang jeneral ini memberitahu bahawa Iraq akan diserang. Sesudah itu Syria, Lebanon, Libya, Sudan dan akhirnya Iran.

(There) is a memo (at the Pentagon) that describes how we’re going to take out seven countries in five years, starting with Iraq, and then Syria, Lebanon, Libya, Somalia, Sudan and, finishing off, Iran.”

- General Wesley Clark, former Supreme Allied Commander of NATO (1997-2000), (March 2, 2007) 

Justeru jelas serangan ke atas Iraq ini telah lama dirancang. Bisul telah lama mengeram. Ledakan WTC 9/11 hanyalah 'punat' yang dirancang untuk meletus. Perang tidak bermula secara spontan. Perang disusun, diatur dan dirancang dengan teliti. Perang bukan mabuk bergaduh di kedai todi.

Untuk para pembaca yang terlupa biar saya ingatkan bahawa Amerika telah menyerang negara-negara yang warganya beragama Islam: Iran (1980, 1987-1988), Libya (1981, 1986, 1989, 2011), Lebanon (1983), Kuwait (1991), Iraq (1991-2011, 2014- belum tamat), Somalia (1992-1993, 2007- belum tamat ), Bosnia (1995), Afghanistan (1998, 2001- belum tamat), Sudan (1998), Kosovo (1999), Yaman (2000, 2002- belum tamat), Pakistan (2004- belum tamat ).

Dan ketika saya menggarap tulisan ini perang sedang dilancarkan ke atas Syria.

Apakah maknanya semua peperangan ini? Kenapa perang ini berterusan?

Dari pemerhatian saya berita sama ada dari kaca TV atau yang dicetak telah gagal untuk menerangkan sejelas mungkin tentang makna perang ini. Media Malaysia, malah media dunia kapitalis telah gagal untuk memberi pencerahan tentang makna perang ini.

Akhbar dan media kita hanya melaporkan berapa yang mati, siapa yang meledak, di mana pertempuran berlaku, siapa yang diserang, kenyataan dari presiden itu dan perdana menteri ini atau dari politikus pelbagai jenis. Untuk saya ini tidak memadai untuk betul-betul memahami apa itu politik dan apa itu realpolitik. Dan apa maknanya perang.

Letupan, bom yang meledak, soldadu yang gugur, orang kampung yang tewas, kanak-kanak yang menjadi mangsa atau bangunan yang runtuh hanyalah fenomena perang. Semua ini adalah manifestasi. Di belakang manifestasi ini ada 'gajah' yang lebih besar. Gajah inilah yang tidak berani diusik oleh media. Gajah ini tidak berani dihujah oleh pemerhati politik. Gajah ini juga tidak dibogelkan untuk diketahui umum.

Tulisan saya ini ialah untuk membogelkan 'gajah ' ini.

Perang ialah politik. Saya ulangi sekali lagi bahawa perang adalah penerusan politik. Perang adalah politik yang tidak dapat diselesaikan melalui perundingan. Manakala politik ialah perebutan kuasa. Perebutan kuasa bertujuan untuk merebut dan memiliki punca-punca ekonomi. Ekonomi ialah asas politik. Gagal memahami asas ini maka kita akan gagal memahami apa itu politik.

Contohnya: Pakatan Rakyat berjuang untuk menggulingkan kerajaan BN kerana Pakatan mahu memiliki punca-punca ekonomi Malaysia. United Malays National Organisation terus mahu berkuasa kerana dengan kuasa mereka memiliki punca-punca ekonomi dan kekayaan Malaysia. Tujuan ahli-ahli Pakatan berpolitik ialah memiliki punca ekonomi.

Bangsa, bahasa, agama, kenegerian, wilayah, budaya dan, dan, dan, semua ini hanyalah alat propaganda dalam usaha untuk mengolah persetujuan orang ramai dalam usaha merebut kuasa. Ia tidak berubah-ubah sama ada parti itu ahlinya beragama Hindu, beragama Islam, tidak beragama atau tidak meminati agama. Ini hukum politik. Ini hukum ekonomi.

Justeru perang yang dilancarkan oleh Amerika terhadap negara-negara Arab, negara Afrika semuanya kerana ekonomi. Ekonomi yang dimaksudkan ialah minyak – bahan bakar petroleum. Hari ini siapa yang memiliki minyak akan memiliki kuasa dalam dunia ini. Tanpa memiliki bahan bakar petrol sesebuah negara tidak memiliki kuasa kerana minyak petrol ialah kuasa.

Hari ini harga bahan bakar petroleum telah jatuh mendadak. Ketika saya menulis ini harga minyak Brent mentah ialah AS$83.39 satu tong. Bulan April yang lalu harganya hampir AS$120 untuk satu tong. Kenapa ini berlaku? Kenapa jatuh mendadak? Biasanya apabila musim sejuk sampai maka harga minyak dan gas naik. Tetapi yang berlaku sebaliknya.

Sebenarnya turun naik harga bahan bakar petrol dalam Oktober/November 2014 ini ialah sebahagian dari strategi perang yang sedang dilakukan oleh Amerika. Harga minyak kini menjadi senjata.

Harus diingat bahawa pada ketika ini Amerika memiliki dua musuh yang jelas. Musuh Amerika ialah Rusia dan Iran. Ini musuh yang tersurat. Awas. Musuh akhir kuasa imperial Amerika ialah China. Malah tiga negara ini China, Rusia dan Iran secara gelap dan secara terang sering tidak patuh dan tidak tunduk kepada kuasa imperial Anglo-Amerika.

Amerika menyedari bahawa hari-hari akhirnya telah sampai apabila China menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar sesudah Amerika. China satu-satunya kuasa dunia yang boleh bersaing dan melawan Amerika. Jika China bersatu bersama Rusia jawabnya Amerika terkubur.

Atas kesedaran ini, secara rahsia Amerika telah bersekongkol dengan kerabat diraja Arab Saudi untuk menjatuhkan harga minyak. Caranya cukup senang. Saudi pada ketika ini ialah pengeluar terbesar minyak petrol dunia. Saudi telah telah mengalirkan minyak melebihi permintaan. Pasaran minyak dunia dilambakkan dengan minyak. Justeru harga mula jatuh.

Tujuan menjatuhkan harga minyak ini ialah untuk melemahkan ekonomi Rusia. Satu sekatan ekonomi telah dikenakan ke atas Rusia setelah Crimea bersetuju untuk kembali menjadi wilayah Rusia pada March lalu. Sekatan ini tidak menjejaskan ekonomi Rusia. Maka, satelah MH17 meletup 17 Julai dahulu, satu lagi sekatan ekonomi dikenakan. Tetapi ekonomi Rusia masih lagi kukuh kerana Rusia adalah pengeluar minyak kedua terpenting sesudah Arab Saudi.

Pada ketika ini Rusia membekalkan 38 peratus bahan bakar petrol untuk Eropah. Ini bermakna Eropah menjadi rakan niaga yang intim dengan Rusia. Eropah bergantung kuat dengan Rusia. Rusia terus mendapat tukaran dolar dan euro hasil dari penjualan minyak dan gas. Justeru, nikmat ekonomi Rusia ini wajib diledakkan.

Justeru rampasan kuasa kumpulan fasis di Ukraine wajib dibaca sebagai sebahagian daripada strategi mengepong Rusia. Apabila kumpulan fasis pro-Amerika ini dinobatkan di Kiev maka laluan saluran minyak dan gas dari Rusia ke Eropah akan diganggu dan dipotong. Pembekalan bahan bakar ini minyak dan gas ke Eropah Barat adalah tunggak ekonomi Rusia. Pasaran Rusia dihalang dalam masa yang sama harga menurun. Ini satu serangan hebat.

Penurunan harga minyak ini juga bertujuan untuk mengganggu gugat Iran. Iran sama seperti Rusia telah dikenakan pelbagai bentuk sekatan ekonomi. Banyak negara termasuk Malaysia yang pada satu ketika dahulu berniaga dengan Iran telah mendapat tekanan dari Amerika. Iran juga – sama seperti Rusia – adalah pengeluar minyak dan gas terbesar dalam dunia.

Sebenarnya apa lagi Amerika mahu?

Amerika sedang merancang untuk mewujudkan satu tata dunia yang baru. Ini dipanggil New World Order (NWO). Dalam strategi NWO ini, negara-negara dalam dunia ini akan hilang kedaulatan dan wajib tunduk bawah kuasa imperial Anglo-Amerika. NWO ini akan mewujudkan satu kerajaan yang didalangi oleh kaum pemodal Anglo-Amerika.

Justeru, pada ketika ini dunia telah dipecah-pecah ke beberapa wilayah. Amerika Utara dan Selatan satu wilayah. Afrika satu Wilayah. Timur tengah satu wilayah dan Asia satu wilayah. Ada wilayah yang terikat dengan perjanjian ekonomi dan pertahanan.

Contohnya, Eropah Barat ada perjanjian tentera dalam NATO. Jepun diikat dengan perjanjian ketenteraan semenjak tahun 1951 dengan Amerika. Asia kini sedang dipaksa untuk diikat dengan perjanjian TTPA.

Dalam perancangan kuasa imperial Anglo-Amerika – dengan bala tentera yang kuat maka empayar Amerika ini akan tegak berdiri hingga dunia kiamat.

Lalu persoalan timbul, apa kena mengena semua ini dengan ISIS?

Pada 10 Mac 2013 agensi berita Reuters di Berlin telah memetik satu berita tentang ISIS dari majalah Der Spiegal – mingguan dalam bahasa Jerman. Menurut laporan Der Spiegal, gerila-gerila ISIS telah dilatih oleh Amerika di Jordan. Berita ini tidak memeranjatkan sesiapa kerana umum telah mengetahui ISIS ini sama seperti Al-Qaeda, adalah anak didik Amerika.

Justeru apa tujuan ISIS ini diwujudkan?

Sebelum saya menjawab kenapa ISIS diwujudkan, saya amat yakin pasti semua pembaca teringat akan nama arwah Usama bin Ladin dari Al-Qaeda. Malah apabila nama ini disebut pasti imej sosok akan tergambar. Tetapi berapa ramai yang teringat akan nama Abu Musab Al-Zarqawi atau Zarqawi?

Ke mana hilangnya Zaqarwi yang dikatakan berkaki kudung dan bermata satu. Sosok ini dikatakan sebagai pemimpin numero unocawangan Al-Qaeda di Iraq. Dunia melalui media Barat telah heboh dengan Mamat Zaqarwi yang dilaporkan amat licik memimpin gerila menyerang soldadu Amerika di Iraq.

Kini 'Jom Heboh' Mamat Zarqawi ini telah padam. Tetiba dunia menjadi Jom Heboh dengan nama Abu Bakar Al-Baghdadi yang dulunya dikenali sebagai Dr Ibrahim atau Abu Du'a. Sosok ini dilaporkan oleh media Barat sebagai Khalifah Islam yang baru. Betul ke semua ini?

No comments: