Saturday, April 5, 2014

Dilema: Isteri bersalin dengan doktor lelaki




Dilema isteri yang terpaksa melahirkan anak dengan menggunakan perkhidmatan doktor lelaki sudah menjadi lumrah di Malaysia hari ini. Saya percaya jika diberi pilihan pastinya si suami dan si isteri mahukan isterinya melahirkan bayi mereka menggunakan khidmat doktor perempuan malah jika mengikut hukum Islam sendiri pun ianya tidak dibolehkan. Namun dalam situasi di Malaysia mungkin jumlah doktor perempuan agak kurang dan memaksa khidmat doktor lelaki digunakan untuk menyambut kelahiran bayi terutamanya di hospital-hospital kerajaan. Masalah ini telah dilihat menjadi isu yang membungkam di hati pasangan suami isteri yang beragama Islam di Malaysia. 
Malaysia yang merupakan negara anggota Persidangan Negara-negara Islam, agama rasminya Islam, menteri-menterinya majoriti Islam, dalam kabinet terdapat jawatan khas menteri untuk menjaga hal ehwal Islam, perdana menterinya Islam, wujudnya Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam, Majlis Fatwa, Mufti, Universiti Islam dan lebih dahsyat lagi 9 orang raja-raja Melayu (bukan 1 tapi 9) yang ditugaskan untuk menjaga agama Islam namun masalah berkenaan wanita Islam terpaksa bersalin dengan perkhidmatan doktor lelaki ini masih belum lagi dapat diselesaikan.

Aku mohon mencadang, mungkin cadangan aku ini naif dan mungkin juga kelihatan bodoh. Namun aku cuma ingin mengajak pembaca yang membaca artikel ini berfikir kerana penyakit utama rakyat Malaysia semenjak dari zaman penjajahan Portugis ialah malas berfikir. Mari kita berfikir, masalah yang disebutkan adalah isteri-isteri yang terpaksa melahirkan bayi menggunakan khidmat doktor lelaki. Punca masalah yang kita selalu dengar ialah kekurangan doktor-doktor wanita di hospital-hospital kerajaan. Dan jika ada terpaksa pergi ke hospital-hospital swasta yang menelan belanja beribu ringgit. Maka bagaimana masalah ini dapat diselesaikan.

Cuba kita lihat di Malaysia, dalam urusan yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam Malaysia mempunyai pusat zakatnya yang tersendiri di setiap negeri dan Baitulmal yang jumlah wang terkumpulnya hanya menteri-menteri sahaja yang tahu. Mengapa tidak duit dari kutipan zakat dan dari baitulmal ini gunakan untuk menaja pelajar-pelajar wanita Islam ini menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran yang mana mereka ini kelak akan dapat mengisi kekurangan doktor wanita di hospital-hospital kerajaan dan sekaligus dapat mengatasi masalah isteri-isteri yang terpaksa bersalin dengan doktor lelaki.

Program khas dari kerajaan boleh dimulakan dari peringkat sekolah dengan mengarahkan guru-guru mengenalpasti golongan pelajar yang berpontesi dan mereka-mereka ini diberi perhatian khusus untuk memastikan mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM atau STPM atau A-Level dan sekaligus layak menerima biasiswa dari majlis agama, baitulmal atau mana pejabat zakat. Mengapa duit dari baitulmal dan zakat ini begitu sukar hendak disalurkan kepada orang Islam kembali. Perhatikan jika mahu mengutip zakat, merata tempat akan dibuka meja-meja kutipan zakat dari dalam shopping kompleks hinggalah ke kaki lima jalan meja-meja kutipan zakat disediakan, namun untuk pejabat-pejabat zakat memberi bantuan zakat, si pemohon perlu naik turun pejabat zakat berkali-kali dan belum tentu lagi permohonannya berjaya. 

Mengapa duit-duit yang terkumpul ini tidak digunakan untuk tujuan pendidikan bagi melahirkan doktor-doktor wanita Islam yang begini. Bukan tidak ada, malah ramai anak-anak perempuan Islam di Malaysia yang mempunyai potensi dan minat mendalam dalam bidang ini. Dengan lahirnya banyak doktor-doktor wanita, masalah melahirkan bayi dengan doktor lelaki akan berjaya diselesaikan. Mengapa perkara sebegini tidak boleh dilakukan dalam negara yang badan dan pertubuhan Islamnya bersepah-sepah.

Jika program biasiswa dengan menaja pelajar-pelajar perempuan Islam belajar dalam bidang kedoktoran ini dilakukan, ianya bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah berkenaan isu bersalin tadi sahaja, tetapi banyak feadah-feadah sampingan lain yang akan umat Islam dalam negara ini perolehi. Pertama apa bila program ini diumumkan, ianya akan melahirkan minat dan semangat pelajar-pelajar perempuan Islam di negara kita untuk belajar bersungguh agar terpilih menerima biasiswa dan tajaaan tadi, kedua ianya akan melahirkan lebih ramai lagi profesional Islam dalam bidang kedoktoran di negara kita, ketiga ianya dapat meningkatnya ekonomi orang Islam dari segi pendapatan yang mana mereka-mereka yang bergelar doktor ini sudah pastinya mampu meningkatkan ekonomi keluarga sekaligus negara. 

Ini semua adalah pelaburan jangka panjang yang cukup menguntungkan negara dan umat Islam di negara Malaysia ini. Namun malangnya badan-badan yang berkaitan dengan Islam di Malaysia ini lebih berminat berpekik mempertahankan kalimah Allah yang tidak pernah menjadi masalah di negara-negara Islam lain. Pegawai-pegawai agama Islam lebih berminat untuk menyerbu hotel-hotel bajet, majlis-majlis fatwa dan tok-tok mufti hanya bekerja mengeluarkan fatwa untuk mempertahankan menteri dan menghukum orang masuk neraka. 

Malangnya perkara-perkara dan isu yang lebih luas ini gagal difikirkan dengan lebih kritis oleh berpuluh badan-badan agama Islam yang terdapat di Malaysia. Sekian, saya mohon mencadang.-TTK-

2 comments:

Unknown said...

Tuan admin,aku faham akan dilema yg tuan maksudkan tapi tak adil utk tuan meletakkan kesalahan pd pemerintan,raja2,badan agama dan sebagainya. Sebenarnya kekurangan doktor/pegawai perubatan wanita islam adalah disebabkan cabaran yg tinggi yg perlu dihadapi utk sertai bidang ini,kebanyakan(kebanyakan) drpd pelajar kaum melayu islam kurang meminati bidang ini,lebih menggemari bidang2 yg lebih mudah utk lulus biar pun bidang tu dah bersepah dgn graduan yg masih menganggur.
Bersepah loan/biasiswa utk bidang ni dan rasanya bukan faktor kewangan yg jadi kekangannya tapi kesedaran,minat dan niat yg lebih perlu utk dipupuk terlebih dulu.
Aku cadangkan tuan mulakan kempen pd suku sakat tuan utk menceburi bidang ni dan berhentilah dari asyik menyalahkan pihak lain.
Sekian, tksh.

Anonymous said...

Sebab itu perlu diadakan program.. sila baca bagi habis..