Monday, December 26, 2011

Isnin terakhir dan minggu terakhir 2011

Hari ini Isnin 26 Desember 2011 adalah hari Isnin terakhir dalam tahun 2011 dan berada dalam minggu terakhir  2011. Selepas ini kita tidak akan berjumpa lagi pada tarikh ini, selepas ini kita tidak akan berjumpa lagi dengan minggu ini. Jika ditangisi dan diraung seluruh jiwa sekali pun tarik 26 Desember 2011 tidak akan kembali.

Begitulah realiti dalam kehidupan, setiap detik setiap ketika yang berlalu itu tidak akan kita dapat miliki semula walau sekelumit zarah sekalipun. Ya minggu depan masih ada lagi Isnin, ya bulan depan masih lagi ada minggu - minggunya tetapi tidak akan dapat kita pada tarikh dan minggu hari ini. 

Oleh itu, manfaatkanlah apa yang kita ada, nikmatilah apa yang dirasai, periharalah apa yang kita bisa. Kerana apa yang berlalu itu tidak boleh kita miliki lagi. Semuanya akan bertukar menjadi sejarah walaupun dalam keadaan kita suka atau tidak akan sejarah itu. Selesai sahaja anda membaca artikel ini, bacaam anda tadi telah menjadi sejarah kerana anda tidak akan membaca artikel ini pada tarikh dan waktu yang sama seperti anda mula - mula membacanya tadi. Itu kehidupan yang pasti.

Tuesday, December 20, 2011

Jangan Hanya Kerana Susuk Tubuh Itu Anwar Ibrahim


Umum mengetahui Anwar Ibrahim adalah satu tokoh dan ikon yang telah membawa perubahan besar dalam landskap politk tanah air Malaysia. Gelombang reformasi yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim telah membentuk sosialisasi baru dalam politik Malaysia. Kalau sebelum gelombang reformasi 1998 hanya golongan tua berbaju kemeja dan  bersongkok tinggi sahaja yang menaruh minat tentang politik yang muda langsung tidak berminat tentang politik kerana bagi mereka politik itu kerja orang tua. Tetapi selepas gelombang besar reformasi yang digerakkan Anwar Ibrahim telah mengubah perhatian poltik tanah air. Anak muda dari bangku sekolah hingga ke universiti, dari mat rempit ke minah kilang mula sudah minat dan ingin mengambil tahu tentang politik. Malahan peranan kaum muda tentang politik juga semakin bertambah selepas gelombang reformasi 1998.


Ya semuanya kerana Anwar Ibrahim pada waktu itu dizalimi, diaibkan seadanya yang mana belum pernah wujud dalam sejarah politik dunia moden. Parti Keadilan Nasional yang kemudianya bertukar nama ke Parti Keadilan Rakyat PKR ditubuhkan salah satu faktornya adalah sebab Anwar Ibrahim dan kerana Anwar Ibrahim. Mungkin ada politikus dalam PKR yang akan membantah dan mengatakan PKR bukan semata-mata kerana Anwar Ibrahim tetapi penafian tidak hanya boleh dilakukan dengan kata-kata kerana rakyat Malaysia melihat dan merasa memang faktor Anwar Ibrahim itulah yang memainkan peranan besar dalam PKR dan untuk PKR. Mungkin pahit atau ada politikus yang sedar namum enggan menyedari bahawa jika tiada Anwar Ibrahim PKR mungkin boleh lumpuh. Lihat saja pilihanraya 1999 dimana  PKR pada waktu itu hanya tinggal 1 kerusi dalam parlimen ini kerana pada waktu itu Anwar sedang melanjutkan pengajiannya di Penjara Sungai Buloh.

9 Jan 2012 ini mahkamah akan membuat keputusan tentang tuduhan liwat 2 yang dikenakan terhadap Anwar Ibrahim. Saya percaya ramai pihak baik dalam PKR, PAS, DAP, UMNO dan Anwar sendiri sudah dapat meramal dengan tepat tentang keputusan yang bakal mahkamah lakukan. Dan kali ini Anwar Ibrahim sekali lagi akan melanjutkan pengajiannya yang mungkin dalam bidang Phd di dalam Penjara Sungai Buloh sekali lagi untuk tempoh 7 atau 8 tahun. Pilihanraya raya umum akan diadakan dalam tempoh selang beberapa lama selepas Anwar Ibrahim dihumban ke penjara. Kalau berdasarkan pengalaman 1999 kita boleh meramalkan apa nasib PKR dalam pilihanraya umum akan datang.

Jadi apa yang boleh kita belajar dari sejarah pilihanraya 1999 ini??? Jawapannya adalah sesuatu perjuangan itu jangan hanya bersandarkan kepada sesuatu susuk tubuh manusia sahaja. Dalam hal ini, perjuangan PKR tidak boleh hanya bersandarkan untuk membela dan bermodalkan Anwar Ibrahim semata-mata. Perjungan ini adalah perjuangan rakyat. Pemimpin datang pemimpin pergi tetapi perjuangan itu mesti terus. Isu yang diperjuangkan mestilah isu rakyat, kemarahan dijalan raya itu adalah kemarahan rakyat dan bukan semata-mata kerana susuk tubuh itu Anwar Ibrahim. Ya memang sejarah menyaksikan Anwar Ibrahim dizalimi tanpa henti  lebih dari 10 tahun dan belum pernah ada pemimpin-pemimpin dalam sejarah dunia dan politik moden hari ini menerima kezaliman dan keaiban seperti Anwar Ibrahim. Bagi aku, ini adalah harga yang paling dan cukup mahal yang dibayar oleh Anwar Ibrahim bagi mematangkan rakyat tentang politik dan pentadbiran Malaysia.

Namum perjuangan rakyat jangan hanya terhenti setakat Anwar Ibrahim. Isu yang dihadapi rakyat adalah isu yang lebih besar dari Anwar Ibrahim. Kepada pejuang rakyat ambil semangat Anwar Ibrahim dan jangan hilang semangat kerana terpenjaranya Anwar Ibrahim. Yang bakal terpenjara itu adalah jasadnya Anwar Ibrahim dan jiwa dan semangat beliau tidak pernah bisa terpenjara dan dipenjara. Semangat Anwar Ibrahim telah melekat dan terbenam ke dalam jiwa rakyat Malaysia dan anak muda yang cerah minda dan jiwa.

Rakyat Mesir bangkit menumbangkan Hosni Mubarak bukan kerana bersandarkan mana-mana tokoh atau pemimpin yang mereka sanjung di Mesir, semangat rakyat Tunisia menghambat Ben Ali bukan kerana ada orang seperti Anwar Ibrahim di Tunisia. Ingat dan ingat Suharto itu tumbang di Indonesia kerana kemarahan anak muda dan mahasiswa serta warga Indonesia yang menentang korupsi Suharto, kemarahan itu bukan datang kerana kegilaan mahu mengangkat Gus Dur menjadi presiden. Taksin dihalau oleh rakyat Thailand ke luar negara bukan kerana Abhisit. Benigno Aquino ditembak mati di lapangan Fillipina, tetapi rakyat Filipina bangkit dengan laungan "People Power" untuk menumbangkan Marcos dan bukan "Hidup Aquino" atau semata-mata kerana matinya Aquino.

Pejuang rakyat dalam Pakatan Rakyat, anak muda mahasiswa, pejuang - pejuang reformasi baca dan belajarlah dengan  sejarah peristiwa-peristiwa revolusi dunia. Lakukan pencerahan dalam perjuangan, politik matang dan perjuangan tulen adalah untuk rakyat terbanyak bukan hanya kerana semata - mata susuk tubuh itu bernama Anwar Ibrahim. Dan ingat dan ingat, Mao Zhi Tong itu disanjung dan diangkat kerana ideologinya dan bukan kerana dia Mao Zhi Tong.

Sunday, December 18, 2011

Kalau Obor Perjuangan Itu Jatuh...


SESUATU yang ramai tidak mahu saksikan ialah pada 9 Januari 2012 ini Anwar Ibrahim akan digiring ke penjara Sungai Buluh untuk meneruskan 'pengajiannya Phdnya' di sana. Rasanya ramai rakyat yang berdoa dan bermunajat serta bersolat hajat memohon agar Anwar tidak di bawa ke penjara. Sekurang-kurangnya biarlah Anwar melalui pilihan raya ke-13 yang akan tiba tidak lama lagi.


Mereka yang berhati mutmainah akan mengira memejarakan Anwar satu pengkhinatan kepada bangsa Melayu dan negara ini. Sebaliknya mereka yang memakai baju amarah akan melihat satu kejayaan buat mereka. Sesungguhnya mutmanianah dan amarah itu dua nafsu yang jauh beza dan nilai taranya.

Itu harapan dan impian banyak orang terutamanya rakyat yang mahukan perubahan. Tetapi tidak dengan Ha Najib Razak dan kuncu-kuncunya. Bagi Najib pula pengiringan Anwar ke penjara satu keperluan dan satu kebagusan. Hanya dengan memenjarakan Anwar sahaja memberi sedikit harapan untuk Najib terus mengangkat sumpah sebagai PM di hadapan Agong baru.

Kalau pilihan raya ke 13 berjalan dengan sempurna, dengan Anwar masih berada di luar dan tiada sekatan-sekatan baru yang lebih ganas, rasanya impian Najib untuk menjadi PM sudah berkecai. Silap hari bulan Najib akan menjadi perdana menteri dari rahim Umno yang terpendek. Kerana mungkin Najib menghidu itu maka tiada ada pilihan buatnya melainkan menggunakan teori Mahathir Mohamad, penjara Anwar kemudian bubar parlimen.

Katakan pada 9 Januari ini Anwar akan digiring ke penjara, apa jadi dengan Pakatan Rakyat? Ramai orang berkira semangat para pendokong Pakatan Rakyat akan mengendur. Ramai yang menjadi lemah dan gemulai. Keinginan yang membuat-buak kini untuk merampas Putrajaya akan mengendur dengan tiba-tiba kalau Anwar berada di dalam. Kenapa jadi begitu? Kenapa selemah itu jiwa para pejuang sedang jiwa mereka harus menjadi kayu dan batu yang harus menggeras.

Kenapa harus kendur untuk menyerang Putrajaya kalau Anwar berada di penjara. Kenapa harus menjadi lemah gemulai dan berputus asa. Mereka yang melihat hanya Anwar segala-galanya tentu akan meras begitu. Hidup jangan lekas berputus asas. Dalam perjuangan untuk menegakkan kebenaran, menghapuskan kemungkaran... tidak ada hentinya. Ia juga memerlukan nilai harga yang mahal untuk dibayar. Perjuangan itu akan diteruskan hatta Anwar dipenjara 10 kali lagi pun. Ingat tiap dari kita sudah dititik besi kursani perjuangan ke dalam kalbu sebelum kewujudan Anwar lagi.

Para mujahadah dan mujahidah perlu ingat bahawa Anwar bukan segala-galanya. Anwar hanyalah kebetulan saja. Anwar hanya pembawa obor perjuangan saja yang dipilih kerana keberanian dan ketulusannya. Bila tangannya sudah melecur dan terbakar, sebelum obor perjuangan terlerek ke bumi, sambar dan angkatlah setinggi keupayaan yang kita ada. Julanglah ramai-ramai. Di luar sana masih ramai pejuangan kebenaran yang sedia memelucurkan tangannya. Usah risau dan rungsing.

Kalau kita kecut, kalau kita lemah untuk mengangkat obor maka selama itu kezaliman akan bermahajalela dan mengganas sampai ke anak cucu cicit kita. Jangan biarkan lembu terus gemuk .... mari kita relakan jajari jemari kita terbakar dan melecur demi anak cucu masa depan.

Kita haerus mengenali diri kita, siapa diri kita. Yang tidak mengenal diri sendiri itulah yang menjadi masalahnya. Tiap daripada kita semua adalah pembawa obor. Kita adalah pemikul panji-panji perjuangan. Dengan tiadanya Anwar bukan alasan untuk kita berhenti mara dan mengendurkan langkah. Sebaliknya apa yang ditanamkan Anwar jadikan azimat dan tangkai untuk terus mara dan marah. Penyeksaan dan ketidakadilan serta fitnah ke atas Anwar harus dibayar tunai dengan menumbangkan regim zalim.

Anwar sudah bilang dia akan berjuang dari penjara. Penjara baginya bukan tembok batu yang menghentikan segala gerak tindaknya. "Saya akan menyatu padukan dan memperkemaskan ikatan Pakatan Rakyat dari penjara," begitulah kata-kata Anwar. Kalau dari ruang tertutup dan terbatas Anwar masih boleh berjuang, nah bagaimana dengan kita yang bebas menghirup udara di luar ini. Bachul sangatlah kita.... Sesungguhnya setiap dari pendokong keadilan dan pendesak perubahan harus malu dengan Anwar.

Bertolak dari aspirasi dan semangat itu saya melihat Pakatan Rakyat akan menjadi lebih kuat dan bersemangat lagi kalau tertakdir Anwar diringkukkan di penjara. Perasaan geram dan marah rakyat akan bercantum untuk memantulkan satu pukulan padu ke arah muka tebal dan bebal UBN. Dengan masuknya Anwar nanti (mudah-mudahan) ia akan menghuru harakan lagi ketumbokan UBN kini sudah siap mara. Marah yang kita simpan tatkala pertama kali beliau di penjara kita keluarkan semua untuk mengiringi langkah melakukan perubahan.

Tetapi saya yakin saat Anwar di giring ke penjara tidak ada lagi air mata yang akan mengalir. Tidak ada lagi suara histeria yang meraung di luar mahkamah kesal dan sebal atas apa yang berlaku. Tiada lagi perempun, gadis dan ibu merintih kehibaan melihat dengan penuh kesenduan saat Anwar di bawa ke Sungai Buluh. Tidak ada lagi. Semua orang kena keringkan air mata untuk tidak ditumpahkan pada 9 Januari.

Tidak ada demostrasi lagi membantah pembawaan Anwar ke Sungai Buluh. Semuanya akan berjalan dengan tenang. Sebab semua orang sudah faham dan sudah masak dengan apa yang berlaku. Semua orang sudah mangli dan semua sudah berazam akan menghadapi saat-saat itu dengan penuh ketabahan dan keberanian. Iya untuk menang dalam peperangan semua orang harus degil dan berani.

Pengalaman lebih 10 tahun lalu memberi kekuatan kepada mereka. Kali ini rakyat tidak lagi menzahirkan kemarahan dengan protes, jerit, laung dan apa juga bentuk fizikal lain. Tetapi rakyat akan protes dengan senyap, laksana kalau mengharungi air, air tidak pun beriak dan berkocak. Kalau merentasi semak, semak usahkan berbunyi patah pun tidak. Rakyat akan protes dalam senyap, rakyat akan membunuh UBN dalam senyum dan tawa.

Rakyat akan menjerut leher penzaliman dengan tali azam dan nekad yang kuat. UBN tidak memahami ini, dan inilah nanti yang akan menjadikan UBN akan mati dalam ketawa sehingga mereka tidak percaya bahawa jasadnya sudah tidak akan bergerak lagi selepas ini. Rakyat bukan mahu melihat dan menanti penghukuman ke Anawar untuk dikatakan zalim, tetapi proses perbicaraan itu menyebabkan rakyat sudah mual dengan UBN.

Kepada pendokong keadilan, kebenaran dan perindu sebuah perubahan - persalinan kerajaan, tenang-tenang sahaja tunggu 9 Januari ini seperti telah berlalu sejuta hari sebelum ini. Kita tidak mampu melawan takdir tetapi ingat kita boleh mengubah skrip yang sudah berada di tangan kita berdasarkan sebuah firman berbunyi; nasib sesuatu kaum itu tidak akan berubah kecuali dia sendiri akan mengubahkannya. Dan Tuhan Maha Pengubah. Nah mari kita ubah


Oleh Mohd Sayuti Omar

Monday, December 5, 2011

MEMAHAMI APA DIA REALPOLITIK YANG BUKAN MIMPI

INI DIA REALPOLITIK



PRU13 INI APA MAKNYANYA

Pada satu ketika yang agak lama dahulu keluarga kami duduk jauh di pendalaman. Di wilayah ini tidak ada akhbar harian. Untuk berita dan hiburan kami ada radio yang menggunakan bateri kering. Sebuku bateri kering ini boleh menghidupkan radio kami untuk sebulan. Bila akhir bulan sampai radio kami mula bersuara rendah atau hilang terus bunyinya kerana kekurangan bateri. Untuk menyelamatkan keadaan Sang Kakak akan menjemur bateri ini. Hasilnya - untuk dua tiga hari kami sekularga akan dapat mendengar Radio Malaya sekali lagi. 

Untuk saya kongres Parti Keadilan yang baru berlangsung di Pulai minggu lalu samalah seperti kakak saya menjemur bateri kering. Tiga hari berkongres adalah tiga hari bateri dijemur. Hasilnya, sesiapa yang datang ke kongres akan mendapat tenaga baru. Akan mendapat suntikan tenaga apabila mendengar ucapan-ucapan berapi-api dari pelbagai bentuk mulut naga.

Berita dari Pulai dan ucapan pemimpin PKR telah jelas menunjukan bahawa PKR telah bersedia untuk menghadapi PRU13. Setiausaha Agung PKR telah beberapa kali membuat kenyataan menerangkan bahawa persedian kali ini lebih mantap dari tahun 2008. Berita saperti ini adalah cahaya matahari yang terik untuk bateri yang telah lemau.

Tetapi sebelum memasuki PRU13 ini biar saya membuat surah agar ahli parti dan juga aktivis PKR akan memiliki satu lagi bentuk pandangan. Naratif yang hendak saya surahkan ini agak jarang dijaja. Kenapa pandangan ini jarang dijaja? Mengikut istilah anak anak muda hari ini – pandangan ini adalah ‘pandangan potong stim’. 

Mana mungkin ketika ahli dan para aktivis PKR berjemur untuk mendapat tenaga baru saya cuba menjaja pandangan ini. Pasti ianya akan dilihat kurang sopan. Pandangan ini bukan pandangan terantuk baru nak tengadah. Pandangan ini bertujuan untuk membuka mata agar kita semua agar tidak akan terantuk di tiang atau tersepak tunggul dijalan. Inilah tujuan saya membuka surah.

Bagini kesahnya: Pilihanraya ini telah disediakan semenjak tahun 1955 lagi. Pada awalnya sistem pilihanraya peningalan British ini memiliki ciri-ciri yang agak demokratik. Contohnya : di zaman Tunku parti-parti politik dibenarkan berkempen lebih dari satu bulan. 

Tetapi apabila parti yang melawan United Malay National Organisation mendapat kejayaan maka telah dilakukan perubahan. Contoh yang jelas ialah masa berkempen ini semakin dipendekkan. Pada PRU 2004 yang lalu para pengundi hanya diberi 8 hari untuk membuat keputusan memilih wakil mereka.

Membuat peraturan baru ini cuba di viagrakan dengan pelbagai hujah. Pada tahun 1974 Parti Komunis Malaya telah dijadikan alasan untuk memendekkan masa berkempen. Menurut lojik SPR ketika itu – jika waktu berkempen panjang maka ianya akan memberi peluang kepada Parti Komunis Malaya untuk berkempen sama. Dalam suasana Perang Dingin ketika itu ramai orang telah menerima hujah palat ini. 

Kempen - 8 hari – pada tahun 2004 tidak ada apa-apa alasan yang diberi. Mungkin SPR malu untuk memberi tahu orang ramai bahawa Perdana Menteri Abdullah Badawi ketika itu mahukan masa kempen disingkatkan agar tidak menggangu masa dia hendak tidur.

Sayugia dingati bahawa ditahun tahun sesudah Merdeka dahulu pilihanraya ini dilihat sebagai satu permainan yang menyoronokkan. Ini kerana pada ketika itu harta kekayaan - rial dan dinar - belum lagi memainkan peranan sepenting hari ini. Sistem ekonomi kapitalis belum lagi menjalar ke semua pelusuk. Hari ini sistem ekonomi kapitalis ini telah menyerap ke semua cabang pembudayaan. Dalam masyarakat Melayu sendiri - dari kenduri kahwin hinggalah ke tanah perkuburan – ekonomi kapitalis telah diterima sebagai pemandu.

Apa yang ingin saya hebahkan disini ialah piliharaya ini sengaja dibuat berat sebelah. Tahun demi tahun undang-undang dan akta baru diwujudkan untuk memastikan pilihanraya ini akan terus menyebelahi parti yang sedang memerintah. Pelbagai peraturan diwujudkan semuanya untuk menyusahkan parti yang cuba memecahkan kuasa monopoli United Malay National Organisation.

PRU12 dahulu telah mengubah semua illusi tentang pilihanraya. Pilihanraya yang sebelumnya dilihat sebagai satu pesta olok-olok dimana rakyat digula-gulakan untuk memilih wakil mereka. Sesudah PR12 dengan jelas dilihat bahawa United Malay National Organisation boleh disingkirkan dari tampok kuasa. Kemungkinan kehilangan kuasa ini telah dan sedang melahirkan satu suasana politik yang belum pernah dirasakan di Tanah Melayu ini.

Apa yang saya maksudkan – dipilihanraya yang lepas-lepas lembaga-lembaga daulah telah digunakan untuk membantu kemenangan United Malay National Organisation. Pengunaan lembaga-lembaga daulah ini telah lama diketahui umum dan bukan satu rahsia lagi. Justeru apa pula yang baru?

Apa yang baru disini ialah lembaga-lembaga daulah ini – polis, tentera, special branch, BTN, Kemas dan lain lain – sedang merasa ancaman datang keatas diri mereka. Lembaga-lembaga daulah ini bukan satu yang abstrak. Di belakang lembaga-lembaga ini ialah sosok sosok dan individu yang telah membuat harta kekayaan dan dapat ‘cari makan’ kerana menyokong United Malay National Organisation.

Justeru jika PRU13 ini akan membawa kemenangan untuk Pakatan Rakyat maka disinilah ayat potong stim saya diperlukan. Saya ingin membawa ahli dan aktivis PKR keluar dari berjemur untuk memahami pilihanraya berpandukan realpolitik. Keluar dari berjemur dengan ilusi pilihanraya dan melihat politik terkini dengan berpandukan realpolitik.

Untuk memahami realpolitik ini saya menjemput para pembaca untuk menyelami otak para jeneral yang selama ini telah gemok dengan kontrek-kontrek pembelian senjata. Selama beberapa dekad ini para jeneral kita telah berlagak sebagai pakar rujuk membantu Pak Menteri membuat keputusan - sama ada hendak membeli kapal selama dari Sepanyol atau dari Peranchis. 

Kemudian cuba selami apa pula agakanya dalam kepala ketua-ketua polis yang selama ini ‘kenyang’ dengan duit lendir China Doll. Atau kenyang bergendut perut dengan duit hadiah dari tokan penyeludup dadah Iran. Apakah bentuk ancaman yang akan datang kepada mereka ini jika di PRU13 nanti Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan?

Ancaman PRU13 ini juga sedang dirasakan oleh kaum pemodal yang besar-besar. Cuba bayangkan apa agaknya yang sedang difikirkan oleh Ananda Krishnan, Lim Kok Thay anak Lim Goh Tong, Vincent Tan, Syed Mokhtar, Yeoh Tiong Lay atau Daim Zainuddin. Selama puluhan tahun ini orang-orang kaya ini telah merembat harta kekayaan negara kerana mereka rapat, kenal dan memiliki talian perniagaan dengan para pemimpin United Malay National Organisation. Jika United Malay National Organisation tewas apa yang akan terjadi kepada mereka?

Bayangkan juga apa yang akan terjadi kepada Sami Veloo dan anak lelakinya Vell Pari yang terlibat dalam pembunuhan seorang pelakon drama Tamil. Apa pula yang akan terjadi kepada VK Lingam, Musa Hassan, Ghani Patail yang selama ini mengunakan polis dan mahkamah untuk membuat jenayah.

Jika United Malay National Organisation disingkirkan dari kuasa pada PRU13 ini - cuba bayangkan apa yang terjadi kepada Mahathir Muhamad. Untuk ini saya meminta para pembaca mengingati kembali sidang akhbar Mahathir Muhamad pada petang 2 September 2004 dahulu bilamana Anwar Ibrahim dibebaskan dari Sungai Buluh. Ingatkan kembali bagaimana saya telah menulis dan menggambarkan Mahathir Muhamad bersendirian dan hanya diiringi oleh isteri dan Mukhriz anaknya. Pada petang itu saya melihat Mahathir Muhamad seperti seperti saekor tikus basah - lokoi dan mengigil takut.

Apakah mereka yang saya sebutkan diatas akan berdiam diri? Apakah mereka duduk lena menunggu rakyat meneranjang mereka masuk ke dalam penjara? Apakah mereka tidak merancang untuk memastikan Pakatan Rakyat akan gagal?

Justeru, apa yang saya surahkan ialah gambaran jika Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU13 nanti. Kemenangan Pakatan ialah ancaman untuk Barisan. Justeru kerana ancaman yang kelihatan semakin hampir maka Najib Razak kini sedang bekerja siang dan malam untuk membuat undang-undang baru sebagai tembok pertahanan. Contohnya: Rang undang undang Hak Berhimpunan Aman yang sedang dibaca di Parlimen bertujuan untuk memastikan United Malay National Organisation terus berkuasa. 

Biar saya jelaskan disini : Pada ketika ini warga Indon, warga Bangla telah diberi kad pengenalan untuk membolehkann mereka mengundi dalam PRU13 nanti. Dalam masa yang sama Rela, Tentera dan Wataniah telah dipasang dibeberapa kawasan stratejik untuk memastikan calon United Malay National Organisation akan menang. 

Semua perancangan bertujuan memastikan United Malay National Organisation menang dan terus berkuasa sesudah PRU13. Rancangan ini mendapat sokongan dari SPR, Jabatan Pendaftaran Negara dan PDRM. Telah terjalin kerjasama yang intim antara kuasa yang memerentah dengan kaki tangan kerajaan. Ini kerana ketua-ketua atau pegawai tinggi dari jabatan-jabatan kerajaan ini semuanya dikepalai oleh sosok yang telah kenyang dengan projek atau mereka kenyang kerana memasang lukah disetiap projek.

Semua lembaga-lembaga daulah yang sekarang merasa terancam ini akan memastikan Rosmah dan Najib terus berkusasa sesudah PRU13. Orang ramai akan merasa tertipu. Pakatan Rakyat dikalahkan kerana penipuan. Rakyat marah. Anak muda ingin turun membantah ke jalan raya sama seperti yang dilakukan oleh anak anak muda di Mesir. Sama seperti yang dilakukan oleh anak anak muda di Tehran. Disini Najib telah sedia dengan undang-undang baru. 

Bayangkan merompak kedai Mamak dendanya lebih ringan dari turun ke jalan raya berdemo. Denda kesalahan menunjuk perasaan dinaikan mem jadi 20 ribu ringgit. Jika ada YB dari Pakatan Rakyat yang ditangkap dan didenda lebih dari 2000 ringgit pasti mereka akan kehilangan kerusi. 

Saya membawa surah ini bukan ingin melembikkan Semangat Pulai yang sedang berkobar-kobar satelah tiga hari panas berjemur. Saya hanya ingin membawa satu pandangan untuk membukakan mata melihat realpolitik. Saya berharap kita semua ada menyimpan bateri sebagai persediaan jika penyokong dan pengundi Pakatan Rakyat ditipu dalam PRU13 ini. Saya juga berharap ketika kita menyimpan bateri ini ditempat yang selamat cuba bayangkan apakah Rosmah Mansor akan menerima kekalahan di PRU13 dan meninggalkan ratusan beg-beg tangan Birkinnya di Putrajaya?TT


Sumber: http://tukartiub.blogspot.com/2011/11/memahami-apa-dia-realpolitik-yang-bukan.html