Thursday, July 21, 2011

Perlawanan Bola Sepak: Buncit Naning vs Pagar Ruyong


Dalam sebuah negeri yang terletak di benua artantika, telah dipersetujui oleh rakyatnya semenjak merdeka untuk memilih pemimpin mereka melalui perlawanan bola sepak. Terdapat dua pasukan bola sepak utama yang sering bersaing untuk menjadi pemimpin dalam negeri berkenaan. Pasukan tersebut ialah Buncit Naning dan Pagar Ruyong. Namum sudah hampir lebih 50 tahun negeri tersebut merdeka, hanya satu pasukan bola sepak sahaja dalam negeri itu yang menjuarai dalam setiap pertandingan yang diadakan dalam setiap lima tahun sekali itu. Pasukan tersebut ialah Buncit Naning. 

Telah ketahui melalui youtube, facebook, twitter dan blog bahawa pasukan Buncit Naning telah menggunakan pelbagai cara yang tidak adil untuk memenangi setiap perlawanan bola sepak yang diadakan, bagi memastikan wakil dari pasukan mereka boleh diangkat menjadi pemimpin dan pasukan mereka boleh terus memerintah negeri tersebut. Antara perkara – perkara yang tidak adil dan penipuan oleh pasukan Buncit Naning adalah seperti berikut.

Sebelum perlawanan berlangsung, media massa seperti televisyen dan surat khabar hanya dibenarkan untuk mempromosi pasukan Buncit Naning bagi menarik lebih ramai rakyat menyokong pasukan Buncit Naning dalam perlawanan itu kelak. Pasukan Pagar Ruyong tidak diberi peluang sama sekali untuk mempromosikan pasukan mereka di dalam televisyen dan surat khabar. Tidak cukup dengan itu, televisyen dan surat khabar juga bertindak memburuk – burukkan pasukan Pagar Ruyong dengan pelbagai tuduhan yang mana pasukan Pagar Ruyong tidak mempunyai ruang untuk menjawab tuduhan tersebut. Ini semua dilakukan bagi menarik lebih ramai rakyat untuk datang menyokong pasukan Buncit Naning dan pasukan Pagar Ruyong kehilangan penyokong.

Padang – padang yang boleh digunakan untuk berlatih telah ditempah kesemuanya oleh pasukan Buncit Naning yang mempunyai peruntukan wang yang banyak. Ini membuatkan pasukan Pagar Ruyong tidak mempunyai padang yang selesa untuk berlatih dan terpaksa berlatih tepi sungai, di bawah pokok, dan di dalam rumah. 

Kedai – kedai menjual peralatan sukan seperti kasut, bola dan pakaian sukan diugut dan diberi tekanan oleh pasukan Buncit Naning agar tidak menjual peralatan sukan kepada pasukan Pagar Ruyong. Jika dikesan ada kedai yang menjual peralatan sukan kepada pasukan Pagar Ruyong, lesen perniagaan mereka akan ditarik balik. Ini membuatkan pasukan Pagar Ruyong terpaksa memakai kasut bola yang dijahit sendiri dan berlatih dengan gumpalan kertas surat khabar utusan Malaysia yang dijadikan bola untuk ditendang.

Semasa perlawanan berlangsung, Buncit Ruyong sering membawa masuk pemain melebihi dari jumlah yang dibenarkan. Selain itu mereka juga sering melanggar syarat pertukaran pemain dengan melakukan pertukaran lebih dari 5 kali seperti yang ditetapkan. Namum tindakan pasukan Buncit Naning ini sering dilindungi oleh badan bola sepak negeri tersebut yang juga turut dianggotai oleh penyokong – penyokong Buncit Naning itu sendiri. Ini membuatkan pasukan Buncit Naning sering kelihatan bertenaga di atas padang kerana jumlah pemain yang melebihi had serta pertukaran yang  pemain sesuka hati. 

Pengadil dalam perlawanan bola sepak antara Buncit Naning dan Pagar Ruyong itu juga telah dirasuah dengan sekenyang - kenyangnyanya oleh Buncit Naning bagi memastikan kemenangan Buncit Naning. Oleh itu pengadil sering bertindak dengan berat sebelah dalam mengadili perlawanan. Pemain pasukan Buncit Naning yang melakukan kekasaran hanya diberi teguran lisan oleh pengadil dan adakalanya langsung tidak diambil tindakan oleh pengadil. 

Apabila pasukan Buncit Naning mengetahui dan mengenalpasti ada pemain yang handal dalam pasukan Pagar Ruyong, mereka akan mempengaruhi pengadil perlawanan untuk memberikan kad merah kepada pemain tersebut, lantas pemain yang handal dari pasukan Pagar Ruyong itu terpaksa keluar padang dan tidak dapat meneruskan permainan. Ini memaksa pasukan Pagar Ruyong bermain dengan 10 orang atau kurang tanpa pemain utama.
Setiap kali ada pergerakan dari pasukan Pagar Ruyong untuk menyerang kubu pasukan Buncit Naning, pengadil dan penjaga garisan dengan pantas mematikan gerakan serangan tersebut dengan alasan off side atau cuba menghalang pergerakan lawan dan kadang – kadang dengan alasan yang langsung tidak masuk akal. Hinggakan ada ketikanya jaringan dari Pagar Ruyong juga turut dibatalkan.

Pasukan polis dan FRU yang bertugas mengawal perlawanan pada malam itu pula, bertindak dengan memberi kawalan yang begitu ketat terhadap penyokong – penyokong pasukan Pagar Ruyong tetapi penyokong pasukan Buncit Naning yang meliar dengan melontar objek ke padang hanya dibiarkan tanpa gangguan oleh polis dan FRU.

Apabila kelihatan pasukan Buncit Naning sukar untuk memenangi perlawanan tersebut walaupun dengan pelbagai taktik kotor, pengadil akan cuba untuk mencari jalan memberi sepakan penalti kepada pasukan Bukit Naning. Terdapat juga pemain Buncit Naning yang berpura – pura jatuh dalam kawasan penalti dan pengadil tanpa teragak – teragak memberikan sepakan penalti kepada pasukan Buncit Naning. Situasi ini sering berlaku pada saat – saat akhir perlawanan kerana pasukan Buncit Naning cukup takut untuk bermain dalam masa tambahan.

Maka pada satu tarikh, berhimpunanlah rakyat negeri tersebut bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pengendalian perlawanan bola sepak yang cukup tidak adil tersebut. Apabila menyedari akan kemarahan penyokong – penyokong bola sepak yang mahukan perlawanan bola sepak itu dikendalikan dengan bersih dan adil, maka akan timbullah penganalisis – penganalisis sukan yang kononnya bijak dari university – university yang dirasakan hebat untuk memberi pandangan dan idea – idea kangkong mereka.
Namum semua ini, tidak mampu lagi membendung kemarahan dan kebangkitan peminat dan penyokong – penyokong bola sepak di negeri tersebut untuk mendesak perlawanan bola sepak berjalan dengan lebih bersih dan adil, dan mereka tidak akan terus berputus asa demi memperjuangkan sebuah pertandingan bola sepak yang BERSIH!!

1 comment:

mieza said...

perkara yang sama berlaku di negara kita... sungguh bersemangat ^_^